Lepas PRU14 berbondong-bondong mahu jadi ahli AMANAH

MALAYSIA DATELINE

Mereka tidak takut lagi cercaan dari penyokong Pas, kata Anuar Tahir.

Berikutan kejayaannya dalam pilihan raya umum ke 14 lalu, AMANAH kini menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk menjadi ahli, walaupun mereka takut-takut selama ini.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, sejak seminggu lalu hampir 500 permohonan untuk menjadi ahli secara online sudah diterima oleh Amanah berbanding sekitar 20 orang sehari sebelum ini.

Di samping itu, permohonan untuk mendapatkan borang menjadi ahli AMANAH juga meningkat dengan mendadak dari setiap negeri dan kawasan.

“Kawasan Temerloh saja mengambil 5,000 keping borang semalam,” kata Anuar yang sedang dalam perjalanan ke Temerloh ketika dihubungi Malaysia Dateline itu.

“Kebanyakan mereka adalah ahli Pas. Ada juga ahli Umno, Cina dan juga India. Saya sedang usaha agar Orang Asli juga menjadi ahli AMANAH,” kata Anuar yang juga ahli parlimen Temerloh itu.

Sebelum ini, kata Anuar, ramai yang berminat untuk menjadi ahli AMANAH namu mereka takut dengan serangan dan cercaan dari penyokong Pas terhadap AMANAH.

“Selepas kita buktikan kejayaan kita dan pandangan kita betul, berbondong-bondong mereka mahu memasuki AMANAH tanpa ragu-ragu lagi,” kata Anuar.

JANJI PILIHAN RAYA

Sementara itu, Anuar menunaikan janjinya untuk berpindah ke Temerloh jika menang dalam pilihan raya lalu.

“Dalam pilihan raya lalu, saya berjanji jika rakyat Temerloh pilih saya, saya akan pindah dan tinggal di Temerloh.

“Saya sekarang dalam perjalanan ke Temerloh untuk tinggal di sana bagi menunaikan janji itu,” kata Anuar yang berasal dari Perlis dan tinggal di Shah Alam sekarang.

AMANAH menang 11 kerusi parlimen dari 34 yang ditandinginya dalam pilihan raya lalu.

Hampir kesemua pimpinan kanannya menang kecuali yang bertanding di Kelantan dan Terengganu yang dimenangi oleh PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan