Polis enggan sahkan temui 100kg emas di kondo

Ketika pelbagai kisah mengenai rampasan pihak berkuasa ke atas barangan mewah tular di media sosial, tidak ada sebarang pengesahan mengenainya dikeluarkan.

Malah kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh masih terlalu awal untuk pihaknya memberikan pengesahan.

"Saya rasa ia pramatang... terlalu awal untuk mengesahkan atau menafikan barang-barang yang dirampas," katanya kepada media pagi tadi.

Menurut Amar Singh polis berpendirian begitu kerana setakat ini mereka belum memperincikan sepenuhnya barang yang diramas berkenaan.

Sebelum ini akhbar Sin Chew Daily melaporkan polis menyita lebih 100kg bar emas dari dua unit kediaman mewah di Pavillion Residence di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Selain itu polis turut merampas lebih RM100 juta wang tunai.

Hasil penggeledahan di dua unit kediaman yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB itu Amar Singh juga membuat kenyataan mengejutkan.

Polis memerlukan lima buah lori untuk mengangkut semua barang yang dirampas itu ke Bukit Aman.

Antaranya ialah 72 beg wang dan barang kemas serta 284 beg tangan. Wang tunai yang dirampas itu pula dalam pelbagai mata wang.

Baca Apa ada dalam peti besi di rumah Najib?

Polis juga menggeledah lima lokasi lain yang didapati berkaitan dalam siasatan mereka, termasuk Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya serta rumah anggota parlimen pembangkang dari Pekan Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Sejumlah dokumen berkaitan 1MDB juga dirampas.

Setakat berita ini ditulis, polis masih berada di rumah Najib di Jalan Langgak Duta itu. Antara lain mereka masih cuba membuta sebuah peti besi yang ditemui di rumah berkenaan pada pagi semalam.

Sebelum ini peguam Najib Datuk Harpal Singh Grewal mendakwa peti besi itu tidak dibuka-buka sejak 20 tahun lalu kerana kuncinya tidak ditemui.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan