Polis rampas 72 beg wang tunai, barangan kemas, 284 kotak beg mewah (Gambar)

Polis merampas 72 beg berisi barangan kemas dan wang tunai pelbagai mata wang dari kondominium mewah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pavillion Residence, Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, turut dirampas sebanyak 284 kotak mengandungi beg tangan mewah pelbagai jenama.

Dalam sidang medianya lewat malam ini, Amar Singh berkata rampasan itu mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung skandal 1MDB.

"Ini adalah hasil carian dari satu daripada enam premis.

"Jumlah barangan yang kita rampas 72 (beg) yang mengandungi wang tunai pelbagai mata wang dan juga barangan kemas," katanya.

Ditanya mengenai beg tangan yang dirampas, Amar berkata ia termasuk jenama mewah Hermes dan Birkin.

Manakala bagi nilai barang yang dirampas setakat ini, Amar berkata beliau tidak dapat memberikan anggaran kerana polis belum membuat pengiraan terperinci.

"Kami telah merampas beg berkenaan, kami tahu ia mengandungi wang tunai dan barang kemas.

"Secara tepat berapa banyak wang tunai saya tidak boleh katakan atau berapa banyak barang kemas. Tetapi jumlah barangan kemas agak besar," katanya.

Difahamkan polis berada di lokasi sejak kira-kira 7.30 malam.

Amar mengesahkan tiada sesiapa di kediaman berkenaan ketika mereka melakukan serbuan.

Diminta menjelaskan mengenai pemilik unit kediaman tersebut, Amar berkata salah satu daripada unit itu milik seorang "Tan Sri", namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Amar juga menambah polis telah menyelesaikan pemeriksaan di unit-unit mewah di situ.

Mengenai serbuan berterusan di kediaman rasmi Najib di Jalan Langgak Duta, Amar berkata pihak polis masih tidak dapat memecahkan peti besi keselamatan yang dikatakan terkunci selama 20 tahun.

Terdahulu, Orang ramai dan media dilihat berkumpul di luar kondominium mewah Pavillion Residences berikutan serbuan di kediaman yang terletak di Jalan Raja Chulan itu.

Sehingga jam 1.25 pagi, polis dilihat telah membawa sekurang-kurangnya lima trak ke kondominium mewah berkenaan.

Pegawai dan anggota polis kemudian dilihat memuat naik kotak-kotak barang yang telah dirampas daripada unit berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan