Amirudin Shari MB Selangor baru?

Teka-teki siapakah bakal pengganti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor hampir terjawab apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sungai Tua, Amiruddin Shari berkemungkinan besar mengisi jawatan penting itu.

Kemungkinan itu berikutan Amiruddin, 38, dilihat keluar daripada Istana Alam Shah di Klang selepas dipercayai menghadiri majlis raptai penuh upacara angkat sumpah jawatan menteri besar kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Bagaimanapun usaha Bernama mendapatkan komen daripada Amiruddin gagal setelah beliau enggan memberhentikan kenderaan yang dinaikinya, sebaliknya hanya melambaikan tangan ke arah sekumpulan wartawan yang menanti di luar perkarangan istana.

Terdahulu, beliau yang hadir pada majlis mengetip kad perakam waktu buat kali terakhir Azmin sebagai menteri besar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kelihatan tergesa-gesa meninggalkan majlis tersebut.

Azmin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor terpaksa melepaskan jawatan menteri besar yang disandang berikutan pelantikannya sebagai menteri hal ehwal ekonomi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Amiruddin ketika dihubungi enggan mengesahkan mengenai desas-desus beliau akan dilantik sebagai menteri besar dan sebaliknya meminta semua pihak menunggu majlis angkat sumpah jawatan yang akan diadakan esok.

"Saya akan sahkan (calon menteri besar) esok,"katanya.

Amiruddin adalah Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Azmin hari ini mengesahkan mempersembahkan satu nama daripada parti itu sebagai calon menteri besar bary kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda.

Selain Amiruddin, seorang lagi calon yang disebut-sebut dilantik menteri besar adalah ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad.
-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan