BN sudah mati, hanya ada Umno, kata penganalisis

Anne Muhammad dan Zikri Kamaruzzaman

BN kini dilihat sudah 'mati' selepas gabungan itu kini hanya mempunyai empat parti komponen iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan berbanding 13 parti sebelum ini ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Baki sembilan lagi parti komponen BN dari Sabah, Sarawak dan Myppp meninggalkan gabungan itu dalam tempoh sebulan sejak kekalahan mereka pada 9 Mei lalu.

Ia merupakan kali pertama BN kehilangan kuasa dalam tempoh 61 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Gabungan BN kini hanya terdiri daripada Umno yang memenangi 54 kerusi parlimen, MCA dua dan MIC satu kerusi parlimen manakala Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi pada PRU14.

Untuk rekod, selepas kekalahan pada PRU14, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan selaku pengerusi BN dan presiden Umno berkuat kuasa serta-merta.

BN cuma nama saja

Penganalisis politik yang juga Timbalan Pengerusi Institusi Darul Ehsan (IDE), Professor Datuk Mohammad Redzuan Othman berkata kekuatan BN kerana mempunyai suara daripada parti kaum lain, namun kini tidak lagi.

""Sekarang dah tidak ada ada BN, Umno sahaja tinggal maknanya BN dah mati, cuma ada nama sahaja.

“BN dah tak ada kekuatan. Saya ingat sekarang BN adalah Umno dan Umno adalah BN. Kerana yang jadi kekuatan Umno adalah BN.

“Parti BN yang lain (MIC, MCA, Gerakan) tak ada makna lagi kerana kekuatan BN selama ini melalui sumbangan pelbagai parti dan kaumnya. (Sekarang ini) parti Cina, India, tak mewakili lagi seperti sebelum ini, yang tinggal hanya Umno.

“BN dah tak berfungsi, lumpuh,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, parti komponen yang masih ada dalam BN perlu mempertimbangkan kedudukan mereka kerana dilihat tidak mendapat apa-apa manfaat daripada gabungan itu.

“Kalau duduk dalam BN tak dapat apa-apa baik keluar sebab sekarang dia (MIC MCA Gerakan) tunggu tindakan selanjutnya dari Umno. Sebab kalau duduk (dalam BN) tak dapat manfaat apa-apa, mereka kena cari haluan masing-masing,” katanya.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) itu juga berkata berdasarkan kajian yang telah dibuat selepas PRU14, BN mempunyai 30 peratus sokongan, namun jika tidak ada sebarang usaha dilakukan, sokongan itu akan terus merosot dan lebih ramai ahli parlimen akan meninggalkan gabungan itu.

“Dalam kalangan parti, Umno adalah parti terkuat. Tapi kalau dia tak buat sesuatu sokongan yang (30 peratus dari rakyat juga) makin berkurangan.

“Dan apabila komponen parti keluar maknanya pengaruh merosot. Kalau dia (BN) tak buat sesuatu yang pro-aktif, ahli parlimen yang ada akan lari habis sebab mereka tak nampak Umno ada masa depan,” katanya.

Manakala calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (gambar) pula berpendapat bahawa parti itu harus kekal di bawah BN kerana ia merupakan jenama yang baik yang telah membangunkan negara.

Sebaliknya, beliau berkata parti komponen lain yang harus keluar daripada gabungan itu.

“BN tu boleh kekal tapi rakan dalam BN tu boleh berubah. Kalau MCA dah tak boleh, tak dapat sumbang, tak payah jadi ahli BN. Macam Gerakan dah tak boleh dapat sumbang, tak boleh buat apa, ibarat dah mati dan jadi liabiliti.

“Merekalah yang keluar (BN) kalau nak berundur,” katanya.

Anggota Parlimen Pasir Salak itu juga menambah, Umno perlu mencari rakan strategik baru untuk terus ke depan tanpa mahu menyebut mana-mana pihak yang difikirkan.

Tajuddin sebelum ini mengatakan bahawa Umno sepatutnya mempertimbangkan untuk membentuk satu blok politik baru dengan PAS.

Umno bergerak sendiri

Sementara itu Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, Umno kini perlu bergerak sendiri tanpa sebarang gabungan termasuk dari BN dan PAS.

“Saya rasa Umno patut gerak sendiri, kita tak perlu tunggu MCA, MIC dan Gerakan (untuk buat keputusan mengenai BN). Kalau nak buat sesuatu, kita patut buat dulu,” katanya yang berkata Umno mempunyai kekuatan sendiri.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii pula membantah cadangan itu sebaliknya berkata Umno perlu kekal dalam BN kerana sebelum ini gabungan itu pernah merasa keadaan parti komponennya yang tidak kuat.

Katanya, parti-parti komponen dari Sarawak yang meninggalkan parti itu patut dikecam.

“Umno patut kekal bawah BN. Parti-parti yang keluar BN kita kecam. Parti-parti yang keluar BN, patut masa kita lemah pun bersama.

“Apa yang parti di Sarawak buat tak patut, dia tak berjuang untuk rakyat seperti dilakukan BN,” katanya.

Semalam, empat parti pemerintah Sarawak - PBB, SUPP, PRS, dan PDP – keluar BN untuk membentuk gabungan baru negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang mesra dengan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.

Ia selepas parti komponen BN dari Sabah serta Myppp meninggalkan gabungan itu.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan