Nilai barang disita dalam siasatan Najib mungkin lebih setengah bilion, kata laporan

NILAI barangan yang disita setakat ini dari premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak mungkin melebihi separuh bilion ringgit, dengan proses menilai barangan mewah masih berterusan, laporan The Sun Daily.

Sumber mengatakan kepada akhbar yang proses itu akan selesai dalam masa beberapa minggu apabila Bahagian Jenayah Komersial mengambil jurunilai pihak ketiga.

Barangan itu termasuk yang dirampas awal minggu ini dari dua rumah di Precinct 10, Putrajaya, yang dikaitkan dengan Najib.

Sebanyak 40 beg tangan dan dokumen dirampas dari lokasi tersebut, kata laporan itu.

Kediaman Najib di Jalan Langgak Duta dan tiga unit kondominium mewah di Pavilion Residences sebelum ini diserbu, seminggu selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan melalui pilihan raya pada 9 Mei.

Serbuan di Pavilion Residences memperoleh wang tunai RM114 juta, 284 kotak beg tangan, serta barang kemas dan jam tangan.

Tindakan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Najib berhubung kes dana yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dan isteri Rosmah Mansor dihalang meninggalkan Malaysia. Kedua-duanya juga dipersoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung SRC International, bekas anak syarikat 1MDB dan salah satu entiti di mana wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB disalurkan ke akaun bank peribadi Najib.
-themalaysianinsight

Tiada ulasan:

Catat Ulasan