Selepas kalah, Umno perlu kerjasama dengan Pas, kata bekas hakim

NASUHA RAHMAN
Umno perlu mencari kekuatannya selepas berhadapan dengan kekalahan pada PRU14 baru-baru
ini dengan mengadakan kerjasama dengan Pas.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, Umno perlu mengadakan kerjasama dengan Pas demi menjaga kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

“Jika Umno dapat dipulihkan sekalipun, selagi orang Melayu berpecah belah, politik orang Melayu akan terus lemah. Umno, Pas dan Perkasa perlu mencari jalan untuk bersatu atau bekerjasama,” katanya.

“Kebanyakan ahli-ahli Perkasa adalah bekas atau masih menjadi ahli Umno. Saya dapati mereka itu berjiwa Melayu seperti ahli-ahli Umno di tahun 50an. Mereka kecewa dengan Umno. Saya fikir mereka patut kembali kepada Umno. Mereka tidak sepatutnya menubuh parti baru. Ia hanya akan lebih mengeliru dan memecahbelahkan orang Melayu,”katanya.

Beliau berkata, perlawanan tiga penjuru pada PRU14 baru-baru ini telah merugikan Umno dan Pas dan keadaan itu jelas berlaku di Pantai Barat.

“Ini perlu dielak di masa hadapan. Untuk itu, kedua-dua pihak hendaklah mengenepikan kepentingan diri dan parti dan mencari jalan berkerjasama dalam PRU yang akan datang,” tegas beliau.

Berdasarkan senario PRU14 baru-baru ini, beliau berkata, undi Melayu yang diperolehi Umno lebih banyak berbanding Pakatan Harapan.

Justeru itu beliau yakin undi yang diperoleh Umno dan Pas adalah lebih kurang dua pertiga jika dijumlah antara undi Melayu yang diperolehi kedua-duanya.

“Manakala PH memperolehi, paling tinggi, satu pertiga sahaja. Ertinya dua pertiga pengundi Melayu masih menolak Pakatan Harapan,”tambahnya.

Bagaimanapun katanya, jika Umno tidak terkubur, maka Umno perlu diperkuatkan semula iaitu pemimpin-pemimpin yang menjadi liability hendaklah disingkir dan digantikan dengan muka-muka baru yang bersih.

Tegas beliau, pemimpin-pemimpin baru itu hendaklah belajar daripada kesilapan pemimpin-pemimpin Umno pra-PRU14 dan tidak mengulanginya.

“Buangkan amalan dan sifat-sifat keji yang dibenci oleh pengundi. Persidangan Agung Umno janganlah dijadikan medan pertandingan lawak jenaka dan suara siapa paling kuat untuk mendapat tepukan gemuruh. Itu tempat berbincang dengan serius dengan hujah-hujah yang bernas mengenai kedudukan dan masa depan Umno dan negara.

“Saya percaya banyak pengundi Umno sebelum PRU14 yang berpindah mengundi Pakatan Harapan akan kembali kepada Umno,”tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan