Tiada lagi haji percuma dengan duit curi

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan tidak lagi akan menghantar jemaah untuk menunaikan haji dengan menggunakan wang yang dicuri.

Beliau jelas menyindir "program amal" Yayasan 1MDB yang menaja perjalanan haji percuma.

"Ramai orang tidak akan dapat melaksanakan haji kali ini kerana kerajaan tidak akan membayar haji mereka dengan wang yang dicuri.

"Jika anda mahu, kita boleh mencuri dan bayar, tetapi kita tidak percaya pada cara mencuri wang," katanya ketika berucap pada majlis makan malam di Tokyo dengan warga Malaysia yang menetap di Jepun.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan-rakannya dituduh memperalatkan 1MDB untuk menyalahgunakan dana daripada syarikat milik negara itu.

Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi.

Mahathir turut berkata kerajaan baru Pakatan Harapan terpaksa memulihkan negara dan menangani hutang besarnya RM1 trilion.

"Orang yang sudah mempunyai kehidupan yang cukup baik tidak akan mendapat bantuan HARAPAN seperti BR1M.

"Kami tidak menyebutnya BR1M, kami memanggilnya dengan nama lain kerana kami tidak mahu mewarisi kebiasaan buruk mereka (kerajaan sebelumnya)," katanya.

Hargai sumbangan Tabung Harapan

Beliau juga memuji mereka yang menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia, yang ditubuhkan bagi membolehkan orang ramai menderma bertujuan membayar hutang negara.

"Ada sesetengah orang membuat keputusan mereka mesti mendermakan wang kepada kerajaan dan bukannya disebabkan desakan kerajaan.

"Sekarang, kita telah kumpulkan lebih daripada RM40 juta. Sudah tentu, apabila anda perlu membayar RM1 trilion (hutang negara), maka jumlah RM40 juta bukanlah besar mana tetapi isyaratnya itu yang amat dihargai.

"Saya sangat berterima kasih kepada mereka, kami sangat berterima kasih kepada mereka, walaupun di sekolah-sekolah, murid-murid mengumpul wang untuk didermakan kepada kerajaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan