Umno boleh hilang ramai lagi wakil rakyat, kata penganalisis

Sheridan Mahavera
UMNO akan kehilangan lebih banyak lagi wakil rakyatnya kerana semangat lemah dalam kalangan ahlinya dan peluang kelam untuk Barisan Nasional (BN) pulih semula, dan seterusnya akan menyukarkan usaha parti itu bangkit semula selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kata penganalisis.

Penganalisis politik berkata, keputusan Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi keluar Umno dan BN membayangkan semangat dalam parti itu, seminggu sebelum ia mengadakan pemilihan yang akan menentu hala tuju untuk memulihkan parti.

Sekiranya Umno dan BN gagal mengekang kesan daripada episod ini, ada kemungkinan besar ia akan hilang lebih ramai lagi wakil rakyat dan ahli biasa.

"Kalau mereka tidak buat sesuatu, cawangan dan ahlinya akan berkurangan dan keluar parti," kata Hisomuddin Bakar dari Ilham Center.

"Sama ada ia berlaku cepat atau lambat," katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Dr Noor Azmi mengumumkan sokongan dan dukungan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau tidak menyebut alasan kenapa keluar Umno tetapi menjelaskan akan kekal sebagai wakil rakyat bebas.

Dr Noor Azmi adalah wakil rakyat BN yang ketiga di Perak yang keluar parti selepas dua wakil rakyat negeri, Zainol Fadzi Paharuddin (ADUN Sungai Manik) dan Nolee Ashiling Mohammed Radzi (ADUN Tualang Sekah) meninggalkan Umno dalam tempoh seminggu selepas PRU14.

Keputusannya itu juga dibuat sehari selepas Gerakan mengumumkan keluar BN dan dua minggu selepas BN kehilangan rakan kongsinya di Sarawak.

Tindakan keluar parti itu berlaku ketika BN sepatutnya cuba meraih modal politik dengan mengkritik apa yang dilihat sebagai salah langkah dasar kerajaan dan kegagalannya mengotakan janji pilihan raya.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tindakan Dr Noor Azmi membayangkan semangat yang rendah dalam Umno.

"Ini berlaku ketika pemimpin parti berjanji melakukan perubahan dan pembaharuan," kata pensyarah Sains Politik itu.

"Ia juga menunjukkan bahawa ahli-ahli serta pemimpin Umno lebih yakin pada Dr Mahathir berbanding pemimpin mereka sendiri," kata Mazlan.

"Kebanyakan mereka ini merasakan Umno semakin lemah dan tidak boleh dibangunkan semula."

Umno, yang kini mempunyai 53 ahli parlimen, sedang mengadakan pemilihan parti dengan calon-calon barisan baru kepimpinannya berkempen atas janji untuk memulihkan parti.

Namun usaha itu dilihat sukar selepas BN kehilangan Gerakan dan empat parti tempatan di Sarawak, kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Masalah BN ini bertumpuk ketika ia sepatutnya mengambil peluang ke atas pengundi yang sudah mula mempersoalkan kemampuan Pakatan Harapan melaksanakan janji pilihan raya, kata Awang Azman.

PH menang PRU14 atas kempennya menjanjikan pembaharuan institusi, menghapuskan rasuah dan paling penting bagi pengguna, mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan gaji.

Ia juga berjanji menawarkan pendidikan percuma di universiti awam, meningkatkan sistem rawatan kesihatan kerajaan dan menghapuskan tol di lebuh raya.

Tetapi selepas mendapati negara sebenarnya berhutang sehingga RM1 trilion, janji-janji itu disemak semula.

"Dalam masa dua bulan yang kita lihat PH bergantung atas kemarahan rakyat terhadap BN dengan mengumumkan pelbagai skandal pentadbiran yang lepas. Tetapi ada juga isu, ia tidak mampu melaksanakan janji 100 hari."

Isu-isu ini sepatutnya digunakan oleh BN untuk menggemblengkan semula sokongan terhadapnya tetapi parti itu seolah-olah masih terpaksa bertahan, kata Awang Azman.

"Akibatnya, ahli BN mula hilang keyakinan pada kemampuan pemimpin mereka menggerakkan semula Umno dan BN, dan mereka mula berfikir untuk meninggalkan parti."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan