‘Buat mereka berstatus pemimpin, jenguklah nasib marhaen’

ARIF ATAN
Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyeru agar pemimpin pada masa ini mengambil berat nasib dan keperluan golongan miskin yang antaranya masih tidak memiliki kediaman sesuai.
Menurutnya, jurang golongan kaya dan miskin di negara ini terlalu lebar tanpa mengira latar kaum.

“Orang kaya, ada yang memiliki rumah mengalahkan istana, sementara orang miskin, apabila hujan, dia tiada tempat untuk berteduh dalam rumahnya sendiri.

“Paling menyedihkan, kediaman orang kaya dan gerobok orang miskin terletak sebelah menyebelah.

“Pemisah antara dua premis itu ialah pagar kediaman si kaya yang penyelak pintu pagarnya saja boleh bina beberapa biji rumah untuk si miskin,” dipetik dari Facebook beliau.

Beliau berkata, jenis penggunaan kenderaan juga menjadi petunjuk lebarnya jurang kaya miskin di negara ini.

“Ada orang miskin yang naik motorsikal umpama ‘sate’ (berpanas terik), sementara si kaya, tempat simpanan mobilnya saja berdingin hawa.

“Bilakah ini semua bakal menyusut dan berakhir? Kita tiada jawapan yang tepat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain menyeru agar para pemimpin turun padang menyelami dan menangani isu kemiskinan yang dialami ramai rakyat.

“Kepada mereka yang berstatus pemimpin, sementara tuan-tuan semua berstatus itu, jangan lupa, setiap hari jenguklah nasib marhaen sebegitu.

“Jika bukan tuan-tuan, siapa lagi?” soalnya.

Dalam isu berkaitan, rata-rata analisis ekonomi menyifatkan jurang perbezaan pendapatan adalah besar sehingga menyebabkan anak-anak miskin bandar berisiko tinggi mengalami masalah pemakanan, pendidikan dan keselamatan.

Hal ini dibuktikan melalui kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dengan kerjasama firma penyelidikan tempatan DM Analytics yang dibentangkan pada 26 Februari lalu.

Didapati 52 peratus isi rumah kos rendah di Kuala Lumpur dan Selangor tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli makanan sejak beberapa bulan lalu.

Laporan kajian itu mendedahkan 97 peratus isi rumah kos rendah di kawasan Lembah Kelang itu mengaku tidak dapat menyediakan makanan sihat kepada anak-anak mereka lantaran harga makanan yang mahal.

Mereka yang memperoleh pendapatan median RM2,500 itu tinggal di 17 flat kos rendah di Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan 996 isi rumah dan 2,142 kanak-kanak sebagai responden.
Dr Muhammed Abdul Khalid

Pengarah Urusan dan Ketua Ekonomi DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid dalam laporan itu turut mendedahkan kanak-kanak di flat kos rendah mengalami kekurangan zat makanan lebih tinggi berbanding purata kebangsaan.

Kajian mulai 28 Ogos hingga 30 September tahun lalu itu turut menyaksikan ibu bapa tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Sebahagian kanak-kanak yang tinggal di rumah flat kos rendah terpaksa belajar di ruang tamu, berkongsi ruang dengan ahli keluarga lain yang menonton televisyen bahkan ada yang tidak mempunyai ruang belajar sama sekali.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dilapor berkata, 89 peratus daripada populasi pekerja di negara ini masih memperoleh gaji kurang RM5,000 sebulan.

Sehubungan itu, gesanya tumpuan harus diberi kepada golongan B40 di bandar kerana purata perbelanjaan isi rumah mereka sebanyak RM3,200 adalah melebihi purata pendapatan isi rumah kira-kira RM3,000.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2016 pula mendedahkan ramai rakyat Malaysia tidak cukup simpanan KWSP lantaran gaji diperoleh rendah.

Hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum aktif berusia 54 tahun mempunyai simpanan yang mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih untuk menampung kehidupan mereka dalam tempoh persaraan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan