Agensi berita Bernama terus mendapat kritikan daripada pembangkang susulan laporannya yang didakwa cenderung kepada kerajaan.
Sebelum pertukaran kerajaan, pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) melemparkan kritikan serupa kepada agensi berita itu. Kini, Bernama menjadi sasaran kritikan pemimpin Umno.
Dalam kenyataan petang ini, Ketua Bahagian Umno Batu Pahat Datuk Mohd Puad Zarkashi mengkritik artikel yang ditulis Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang yang memuji HARAPAN.
"Sudah tentu dengan apa yang dia tulis, dia akan kekal sebagai pengerusi Bernama.
"Dia tidak akan menerima nasib sama dengan ketua-ketua (era BN) seperti bekas hakim negara, peguam negara, gabenor Bank Negara, ketua pengarah SPRM, bekas pengerusi PNB dan yang lain yang ditekan untuk meletakkan jawatan," katanya.
Dalam artikel yang disiarkan di The Sun Jumaat lalu, Azman berkata Malaysia menjadi lebih inklusif di bawah HARAPAN.
Selain memuji Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang memperkenalkan diri sebagai "menteri Malaysia", Azman turut menggesa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk melantik bukan Melayu sebagai naib canselor di universiti awam.
Puad bagaimanapun tidak bersetuju.
"Azman memuji Lim sebagai menteri kewangan terbaik? Apa yang hebat sangat dengan dia (Lim)?
"Dia memutar belit isu hutang negara sehingga pelabur luar menarik diri dan tidak berminat melabur di Malaysia," katanya.
Puad berkata demikian sebagai merujuk kenyataan kerajaan yang menyatakan hutang negara melebihi RM1 trilion namun kemudian menjelaskan angka itu termasuk liabiliti.
Pua juga membidas Lim kerana rancangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meminta kerajaan persekutuan pinjaman RM1 bilion bagi projek pengangkutan negeri itu.
Beliau mendakwa pelantikan Lim sebagai menteri kewangan bertentangan dengan nilai meritokrasi yang disebutkan Azman, kerana menurutnya pemimpin DAP itu mempunyai kes mahkamah berhubung dakwaan rasuah yang sedang berlangsung.
Sementara berhubung Dr Maszlee pula, Puad berkata, jika Azman mahu naib canselor bukan Melayu di universiti awam, dia juga perlu meminta menteri pendidikan itu untuk melantik naib canselor Melayu di universiti swasta.
Puad juga menambah bahawa Azman perlu mengingatkan Dr Maszlee untuk menumpukan pada dasar-dasar pendidikan dan bukannya hal remeh seperti kasut hitam.
Ketika dihubungi, Azman enggan mengulas kenyataan Puad dan menyifatkan dia menghormati pandangan peribadi orang lain.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan