Mat Sabu cabar Najib ulang dalam Dewan Rakyat

Khairil Ashraf
KUALA LUMPUR: Mohamad Sabu hari ini mencabar Datuk Seri Najib Razak mengulangi kata-katanya dalam Dewan Rakyat selepas kemampuannya sebagai menteri pertahanan dipertikaikan oleh bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata tindakan Najib mengulas prestasinya di luar Parlimen adalah tidak “gentleman”.

“Saya tak mahu jawab kalau komen di luar. Saya nak jawab dalam Parlimen. Kalau komen di luar, itu orang kata tumbuk bawah pusat,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Terdahulu, Najib mempertikaikan kemampuan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjadi menteri pertahanan kerana presiden Amanah itu lebih seperti bahan lawak dalam laporan media baru-baru ini sejak dilantik ke jawatan itu.

Najib yang pernah menjadi menteri pertahanan selama 14 tahun memberitahu hadirin dalam sebuah program kempen Barisan Nasional di Sungai Kandis baru-baru ini yang Mohamad, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, bukan seseorang yang kelihatan begitu yakin ketika mewakili Malaysia ke luar negara.

Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata, terlalu awal untuk beliau membuat komen mengenai kemampuannya menjadi menteri pertahanan.

“Saya baru 2 bulan jadi (menteri) nak nilai seseorang yang 2 bulan itu, belum tiba masanya.

“Tumpuan saya pada kementerian pertahanan, waktu saya habis masa saya di situ. Soal menilai tunggulah dan lihat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan