Pemilihan PKR: Nurul Izzah sokong bapanya, Anwar dan Rafizi

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyokong bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Rafizi Ramli pada pemilihan parti akan datang pada Ogos tahun ini.

"Ramai yang meluahkan hasrat mahu haknya (Anwar) dikembalikan dan melihatnya memimpin parti dan perjuangan Reformasi.

"Saya tidak terkecuali, saya mahu dia kembali ke PKR, dan ini termasuk desakan untuk personaliti seperti Rafizi mendapat perhatian sama," kata Nurul Izzah kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata ramai pemimpin PKR, termasuk Anwar sendiri, bercakap tentang dirinya menjadi presiden PKR.

Apa yang berlaku kepada Anwar pada masa lalu juga harus dipertimbangkan, katanya.

"Anwar dinafikan haknya dalam politik melalui badan kehakiman dan hukuman berat sebelah," katanya.

Anwar, yang kini adalah ketua umum PKR, sebelum ini mengesahkan bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti akan datang.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berkata bahawa beliau akan memberi laluan jika suaminya bertanding jawatan itu.

Pada temu bual dengan akhbar The Star pada 11 Jun lalu, Anwar juga menimbulkan nama Rafizi ketika membincangkan calon untuk jawatan timbalan perdana menteri apabila beliau kelak mengambil alih jawatan perdana menteri dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai sama ada timbalan perdana menteri akan dianggotai oleh timbalan presiden PKR, Dartuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar secara berseloroh berkata, "Rafizi tak termasuk? Macam mana?”

"Petik saya, tetapi tolong laporkan saya berkata demikian dengan girang," kata Anwar sambil ketawa.

Sementara itu, ketua wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa parti itu supaya tidak menghalang mana-mana ahli-ahlinya daripada mencabar sebarang jawatan termasuk presiden.

Pemilihan parti akan diadakan pada akhir bulan Ogos, sementara pencalonan mesti diserahkan sebelum pada 29 Julai.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan