Rafizi tanding timbalan presiden, Johari Abdul sokong 100%

Adam Abu Bakar  PETALING JAYA: Rafizi Ramli mengesahkan akan melepaskan jawatan naib presiden dan bertanding timbalan presiden pada pemilihan parti Ogos ini.

“Ya, saya sahkan,” katanya kepada FMT.

Timbalan presiden sekarang ini disandang Datuk Seri Azmin Ali, yang belum diketahui sama ada akan mempertahankannya atau mencapai jawatan lebih tinggi.

Sehingga kini, hanya Rafizi seorang mengesahkan akan bertanding jawatan nombor 2 parti itu.

Johari sokong
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyokong keputusan Rafizi untuk bertanding timbalan presiden, menyifatkan beliau “pilihan terbaik”.

“Alhamdulillah. Saya menyokong 100%. Rafizi akan meneruskan agenda reformasi,” katanya.

Johari berkata sudah tiba masanya untuk Rafizi kerana dia seorang yang konsisten memperjuangkan reformasi dan bertanggungjawab mengembangkan parti.

Beliau turut memuji peranannya pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, yang menyaksikan Pakatan Harapan menang dengan bergaya menewaskan Barisan Nasional.

“Dia jelajah seluruh negara dan melalui NGO miliknya iaitu Invoke. Dia buat bersungguh-sungguh. Saya tidak nampak pemimpin lain yang komited seperti dia.

“Sebagai seorang anak muda, dia ada kekuatan untuk teruskan agenda reformasi,” katanya.

Mungkin 3 penjuru
Sementara itu, Johari merasakan Azmin akan mempertahankan kedudukannya, dan seorang lagi pemimpin parti akan menyertai persaingan itu.

“Pilihan saya adalah Rafizi,” katanya.

Pemilihan PKR diadakan 3 tahun sekali. Penamaan akan dibuka pada hujung bulan ini, dan pengundian akan berlaku pada Ogos. Ahli boleh bertanding semua jawatan, tetapi beberapa naib presiden akan dilantik.

Pada 18 Julai lepas, Azmin berkata dia sedang mempertimbangkan sama ada akan mempertahankan timbalan presiden akan mencabar jawatan lebih tinggi.

Sumber dalaman memberitahu pada masa ini kelebihan memihak kepada Azmin, di mana 60% ahli bersama menteri hal ehwal ekonomi itu, manakala 40% bersama Rafizi.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dia akan bertanding jawatan presiden.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan