Wak Doyok - Dulu PAS sekarang AMANAH

Nadia Azam
Selepas 9 Mei 2018 kian ramai selebriti berani menyatakan sokongan secara terbuka kepada sesebuah parti atau menyertai pertubuhan siasah sempena era Malaysia baru.

Terkini, melalui sekeping gambar tular, seorang selebriti bermisai lentik dan berjambang lebat, Wak Doyok, dikatakan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Namun, pada masa sama muncul cakap-cakap belakang terhadap penyertaan Wak Doyok yang kurang senang dengan tindakannya itu.

Menjawab komen itu, pemilik nama sebenar Mohd Azwan Md Nor itu berkata tiada perkara pelik jika dia mendaftarkan dirinya sebagai ahli AMANAH kerana ini adalah negara demokrasi.

“Yang tidak berpuas hati, mereka tiada hak untuk menghalang kerana ini pilihan individu malah mereka tidak boleh sekat sesiapa untuk masuk mana-mana parti.

“Nak cakap saya lalang atau masuk sebab jawatan itu, terpulang kerana yang penting saya tahu apa yang diperjuangkan.

“Yang banyak cakap itu, entah-entah belum pun mendaftar sebagai pengundi,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, Wak Doyok, 38, mengaku dia menjadi anggota PAS sejak 1998 sebelum menandatangani borang keahlian AMANAH pada minggu lalu.
Jika sebelum ini kelibat pereka fesyen tempatan itu pernah dilihat menghadiri majlis-majlis berkaitan BN, katanya, itu hanya sebagai memenuhi undangan dan menambah pendapatan.

“Saya tidak pernah masuk Umno, dulu datang sekadar memberi sokongan dan mencari rezeki, hanya sebahagian orang yang ada dalam bidang ini saja memahami konsep itu,” katanya.

Agar lebih dihormati

Mengulas lanjut apa yang menarik minatnya menyertai AMANAH, Wak Doyok berkata dia menyokong kepimpinan lama parti itu yang dulu pernah menganggotai jawatankuasa PAS.

“Saya sayang pucuk pimpinan lama seperti Mohamad Sabu, Khalid Abdul Samad, Salahuddin Ayubdan Dr Dzulkefli Ahmad.

“Dr Dzulkfli Ahmad itu bapa mertuanya menjadi imam di surau tempat saya, jadi memang rapat dengan keluarganya,” katanya yang turut mengagumi AMANAH dipelopori ramai golongan profesional.

Bagaimanapun, disebabkan pendaftaran baru dibuat minggu lalu, Wak Doyok memaklumkan proses untuk menerima nombor keahlian dijangka akan memakan masa.

“Saya baru saja serah borang di pejabat cawangan baru, Seksyen 13 Shah Alam. Saya difahamkan mungkin proses untuk mendapatkan nombor keahlian boleh memakan masa hingga sebulan,” katanya.

Namun, sekiranya penyertaannya dalam AMANAH sudah diterima secara rasmi, Wak Doyok memasang harapan untuk bergiat aktif menjalankan misi-misi embabitkan golongan belia.
“Saya memang bergiat aktif untuk masyarakat sejak dulu, kali ini saya ingin mengajak anak-anak muda agar menjadi bangsa lebih dihormati di mata antarabangsa dan membantu membentuk belia yang mempunyai perancangan masa depan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan