Isu tandas LGBT: Periksa kencing keluar ikut mana – mufti

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempunyai penyelesaian mudah untuk kekeliruan tandas untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Katanya, ia bergantung kepada saluran air kencing yang digunakan.

“Saya ingin mencadangkan jika kekeliruan ini terjadi kepada mana-mana individu, disyorkan dia berjumpa pakar untuk memeriksa dirinya semasa dia membuang air kecil di saluran mana air itu keluar.

“Jika ia keluar melalui alat sulit lelaki, silalah ke tandas lelaki. Jika keluar melalui alat sulit wanita, sila ke tandas wanita.

“Jika tidak keluar langsung, ataupun keluar tidak melalui alat sulit lelaki ataupun wanita, silalah ke hospital. Jika doktor kata anda cacat, bolehlah ke tandas orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Menteri agama Datuk Mujahid Yusof pagi tadi ini menjelaskan tiada arahan atau keizinan daripadanya untuk golongan transgender berkongsi tandas awam dengan wanita.

Katanya, dalam jawapan spontan dan sepintas lalunya minggu lalu, beliau hanya berkata “maybe” (mungkin) dan “if” (kalau) kerana ia boleh melibatkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan.

Berkaitan saf solat golongan itu pula, katanya, perkara itu sesuai dibicarakan lanjut oleh pihak mufti.

Mujahid bertemu Nisha Ayub selepas kontroversi gambarnya diturunkan dari pameran fotografi di Pulau Pinang susulan campur tangan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menulis di Facebook hari ini, Asri berkata jika pihak terlibat tiada kemampuan menemui pakar, dia boleh memeriksa sendiri alat kemaluannya.

Asri berkata demikian setelah beliau mendakwa ditanya banyak pihak mengenai isu itu.

“Entah mengapa tiba-tiba soalan seperti ini pun boleh muncul? Nampaknya, kekeliruan gender membawa kepada kekeliruan tandas,” katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan