'Mari sini saya nak cili mulut tu...'

Kerajaan diminta mengkaji peraturan mengenai tawaran hadiah kepada artis yang menyertai sesuatu pertandingan bagi mengelak mereka menjadi mangsa penipuan.

Juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah, berkata kegagalan pihak penaja memenuhi janji mereka tidak wajar berlaku.

Justeru katanya kerajaan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuat penelitian berhubung peraturan hadiah yang ingin ditawarkan kepada pemenang sesuatu pertandingan.

“Jangan jadikan saya juara Gegar Vaganza pertama yang tidak menerima hadiah.

"Saya tidak boleh hadam mengapa perkara ini boleh terjadi begini. Ia membuatkan saya kecewa kerana sudah lama saya tidak menyertai mana-mana pertandingan.

“Gegar Vaganza satu platform baik untuk artis lama membuat kemunculan, tetapi kami bukan buat persembahan kebajikan (percuma),” katanya.

Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu ditemui pada sesi mempromosi single terbarunya, Malar, di 1 Sentral, Kuala Lumpur hari ini.

Perlu ada SOP

Malaysiakini sebelum ini menyiarkan laporan kekecewaan penyanyi Janji Manismu itu apabila masih belum menerima sebidang tanah yang dijanjikan penaja.

Astro selaku penganjur GV4 pula ketika dihubungi memberi menjelaskan syarikat yang menawarkan hadiah tapak lot banglo itu meminta diberikan sedikit masa lagi bagi menyelesaikan "isu berbangkit."

Selain tapak lot banglo, Aishah juga turut meluahkan kekecewaannya berhubung isu rantai berlian palsu tajaan pengusaha kosmetik yang didakwa sepatutnya bernilai RM80,000.

Katanya, dia bersama naib juara dan pemenang tempat ketiga GV masih bersedia memberi ruang agar isu itu diselesaikan secara baik.

Kata Aishah pada masa sama stesen penyiaran di negara ini juga perlu mempertimbangkan cadangan supaya menyediakan prosedur operasi standard (SOP) berhubung tajaan hadiah.

“Saya harap perkara ini tidak menjadi amalan mana-mana stesen penyiaran, gebang sana-sini. Perlu ditetapkan berapa lama tempoh maksimum untuk menuntut hadiah.

“Ini perlu supaya reputasi yang penaja terjaga dan pemenang tak perlu meminta-minta ke sana ke mari,” katanya yang mendakwa sudah jenuh cuba mendapatkan respon daripada pihak yang berkenaan tetapi tidak berhasil.

Mengenai barang kemas yang tidak memuaskan hati itu Aishah berkata dia dimaklumkan mengenak ketulenannya selepas berkunjung ke dua kedai berlainan.

Malah katanya dia juga masih menyimpan bukti daripada semakan kedai terbabit.

Dalam pada itu, mengulas komen netizen yang menuduhnya sebagai artis terdesak hingga perlu menjual barang kemas, Aishah berkata ia bukanlah seperti yang didakwa mereka.

“Hadiah itu memberi nilai peribadi kerana menjadi juara GV4, justeru memang ingin selalu memakai barang kemas itu ke mana jua saya pergi, tetapi saiznya terlalu besar.

“Saya ingin mengubah saiznya kepada yang lebih kecil termasuk untuk dipakai pada jari.

"Amboi... sedap sungguh mulut orang yang mengata, mari sini saya nak cili mulut tu,” katanya secara berjenaka.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi penaja barang kemas berkenaan namun masih menunggu reaksi mereka.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan