Nama Malaysia sudah ada dalam peta Sepanyol pada kurun ke 16

Sejarah nama negara kamu
Dr Muhaimin Sulam

Saya memang bukan sejarawan untuk selayaknya menulis sejarah. Saya juga bukan guru atau pensyarah Sejarah.

Namun, saya minat belajar Sejarah kerana guru saya mengajarkan makna sejarah.

Guru Sejarah saya tidak ajar silibus Sejarah untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Kesedaran terhadap sejarah itu sangat penting agar sejarah buruk dapat dielakkan, dan sebaliknya mana-mana yang baik dan gemilang boleh diulang.

Apa yang tertulis di sini bukanlah sesuatu yang baru. Tulisan ini hanyalah sebahagian daripada beberapa kepilan pengetahuan dan kesedaran sejarah negara kamu yang kerap kali diulang tayang.

Mungkin masih ada yang terlepas pandang atau baru menyedari. Tidak salah menyedarkan sesuatu yang hampir dilupai atau memang dilupakan.

Malaysia ini negara kita. Saya, kamu dan dia adalah sama. Semuanya ialah penghuni negara bertuah dan merdeka ini. Nama negara saya, kamu dan dia ialah Malaysia.

Dalam buku-buku Sejarah - dari sekolah rendah hingga ke universiti, Malaysia adalah nama rasmi kepada Persekutuan Malaysia yang mengandungi sembilan negeri di Semanjung Malaysia, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Teliti dokumen dan artifak

Kesemua negeri itu bersetuju untuk bersekutu membentuk sebuah negara merdeka pada 16 September 1963. Namun dua tahun selepasnya Singapura memilih untuk meninggalkan persekutuan itu.

Nama Malaysia terus kekal walaupun Singapura tidak lagi bersama. Sebelum itu, secara umumnya negeri-negeri di Semenangjung Malaya dikenali Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu, atau Tanah Melayu. Istilah Malaya ialah ungkapan bahasa Inggeris.

Rata-rata menganggap nama Malaysia hanya muncul pada 1963 sempena penubuhan persekutuan yang ditentang oleh Sukarno dan Macapagal itu. Sukarno dan Macapagal waktu itu naik berang dengan idea gagasan Malaysia.

Gagasan ini akan menelan wilayah mereka. Sukarno sanggup mengisytihar ‘Ganyang Malaysia’. Sebenarnya ada sejarah di sebelah istilah Malaysia itu sendiri.

Biarlah saya terangkan dalam bentuk pensejarahan sebelum membuat analisis mengenai proses pembinaan semula makna nama negara ini.

Saya kira, persoalan makna negara lebih penting kerana pensejarahan itu sendiri diasaskan dengan pemikiran yang wujud semasa itu.

Penganalisisan secara kontekstual sangat penting bagi mendapat rumusan yang lebih adil dan tepat. Tiada cara lain bagi memahami konteks semasa melainkan dengan meneliti dokumen-dokumen ataupun artifak yang wujud ketika itu.

Menurut Tan Sri Ghazali Shafie, beliaulah yang mencadangkan nama Malaysia sebagai untuk persekutuan baru itu.

Ketika itu beliau ialah seorang daripada empat anggota Suruhanjaya Cobbold yang terbabit secara langsung dalam penubuhan Persekutuan Malaysia.

Perakam sosiobudaya semasa

Namun beliau tidak menghuraikan lanjut latar belakang pemilihan nama tersebut.

Nama 'Malaysia' pernah dijadikan pilihan oleh Perikatan sebelum merdeka, tetapi menurut Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, MCA mahukan nama negara merdeka itu disebut sebagai Malaya. Hal ini ada dicatat dalam buku berjudul Malaya tulisan AJ Stockwell.

Buku itu saya beli semasa berforum dengan Tawfik anak Tun Dr Ismail Abdul Rahman di Restoran Pelita berhampiran KLCC pada 2013.

Ini bermakna Tunku mempunyai idea awal tentang nama Malaysia sebelum penubuhannya pada 1963

Tentu ada latar belakang yang menyebabkan Tunku ataupun Ghazali Shafei terfikirkan nama Malaysia. Ia sudah wujud lebih awal lagi.

Seawal yang dapat dikesan setakat ini, nama Malaysia telah ada dalam gagasan kuasa penjajahan Barat sejak dicatat dalam peta Sepanyol kurun ke-16.

Pada tulisan akan datang saya akan kisahkan lebih lanjut mengenai hal ini berdasarkan rujukan daripada tulisan-tulisan orang Barat berupa buku catatan, jurnal dan juga peta-peta.


Mereka bukan sekadar pengembara, pengkaji atau pegawai yang datang bertugas di sini, tetapi bertindak sebagai perakam sosiobudaya semasa untuk masa hadapan.

DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan