PAS cari publisiti dangan fitnah dan isu yang direka-reka

Pendirian Menteri Kesihatan gagalkan cubaan fitnah PH aniaya Dr Ilyani
Pendirian Menteri Kesihatan gagalkan cubaan fitnah PH aniaya Dr Ilyani
ZIKRI ABDULLAH

Norashidah Jaafar
Percubaan menyebarkan fitnah terancang kononnya kerajaan Pakatan Harapan akan menganiayai Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi kerana menulis teguran terbuka melalui facebook tenyata gagal.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Norashidah Jaafar yang lebih mesra dengan panggilan Mbak Eda berkata, kenyataan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bahawa tiada sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap Dr Nur Ilyani semalam, jelas menunjukkan segala gembar gembur yang dimainkan hanyalah satu sandiwara yang mempunyai agenda tersembunyi.

“Ini semua satu permainan untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia baharu tanpa sebarang fakta dan asas kukuh.

“Mereka perlu sedar sekarang kita berada dalam era baharu pasca Barisan Nasional (BN) yang tidak terburu-buru menindas kebebasan mengeluarkan pendapat.

“Ini tidak bererti penyebaran berita palsu dan fitnah tidak ada akibatnya kerana sekarang rakyat bijak menilai dan mahkamah akan menjalankan peranannya melaksanakan undang-undang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan Dr. Dzulkefly berkata, tulisan pegawai perubatan itu merupakan pandangan peribadi dan pihaknya mengambil perhatian.

“Perkara itu di bawah perhatian saya dan Kementerian Kesihatan Malasyia (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dr Nur Ilyani masih bertugas seperti biasa, itu hanya pandangan peribadi beliau.

“Saya telah menjelaskan apa yang saya sebutkan ini adalah dasar KKM dan beliau menyatakan pandangan peribadi,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu.

Sebelum ini, doktor yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu itu dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ia susulan ‘surat terbuka’ yang ditulisnya di Facebook pada 6 Ogos lalu mengenai pandangan terhadap isu Lesbian,Gay, Biseksual, Transgender (LGBT).

Aduan kepada BPA ini telah heboh diperkatakan seolah-olah pihak berkuasa telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan kepadanya.

Sebuah ahkbar harian edisi timur hari ini menjadikan fokus laporan muka depan kononnya pelbagai pihak untuk bersolidariti dengan doktor berkenaan.

Ketua pemuda sebuah parti politik dalam laporan itu berkata, satu perhimpunan bantahan besar-besaran akan diadakan bagi menyokong pendirian Ilyani.

Bagi Mbak Eda semua ini agenda yang disusun untuk menimbulkan keresahan masyarakat yang sedang menerima dengan aman segala perubahan yang sedang dilaksanakan kerajaan PH.

“Kerajaan baru sedang bergerak membina situasi yang sama sekali berbeza dari dahulu.

“Kitalah yang dulu berjuang menentang kejahatan rejim BN menyekat kebebasan bersuara.

“Tak payahlah sesiapa yang nak ajar kita tentang perkara ini,” katanya.

Kerajaan PH katanya sedang bergerak melaksanakan situasi adil dan hormat menghormati termasuk kepada pembangkang.

“Mereka ini tahu hanya dengan situasi tegang, kebencian dan permusuhan boleh menangguk di air keruh, sebaliknya bila keharmonian dan keadilan jelas berjalan kumpulan seperti ini tidak akan ada tempat di hati rakyat,” katanya.

Dr Nur Ilyani yang mengkritik Marina Mahathir berhubung isu LGBT dalam tulisannya berkata beliau sebagai seorang doktor tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

“Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

“Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan terbaik buat mereka.

“Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?” tulisnya.

Tulisan beliau itu menerima pelbagai kritikan dan sokongan termasuk menggesa supaya tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

Malah, satu petisyen turut diwujudkan bagi menyatakan kebersamaan terhadap doktor berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan