2 guru tahfiz cucuh api, ugut potong kemaluan pelajar (video)

Bernama
Mangsa berusia 8 tahun turut dipukul dengan rotan oleh guru wanita dan lelaki kerana didakwa mencuri makanan.

KUANTAN: Tindakan seorang guru tahfiz wanita mencucuh api dan mengugut untuk memotong kemaluan seorang kanak-kanak lelaki membawa padah, apabila dia dan seorang lagi guru lelaki ditahan polis malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohd Noor Yusof Ali berkata, 2 suspek berusia 43 dan 42 tahun yang dipanggil “bonda” dan “walid” ditahan 10 malam semalam di Kampung Selamat, di sini, selepas polis menerima laporan daripada bapa kanak-kanak berusia 8 tahun itu.

“Pengadu yang berusia 25 tahun itu hanya menyedari anaknya diperlakukan sedemikian selepas menonton satu klip video yang tersebar dalam aplikasi WhatsApp petang semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Yusof, klip video selama 1 minit 19 saat itu memaparkan guru tersebut menarik kemaluan anak pengadu, sebelum mengugut akan memotong dengan sebilah gunting pemotong rumput serta dicucuh pemetik api.

Malah, 2 lagi klip video masing-masing selama 25 saat dan 56 saat, turut memaparkan mangsa dipukul dengan rotan oleh guru wanita dan lelaki itu kerana didakwa mencuri makanan.

“Bapa mangsa telah dihubungi suspek yang menerangkan tindakan dilakukan adalah satu proses pembelajaran kerana mendakwa mangsa melakukan kesalahan kencing berdiri, mencuri barang kawan mangsa dan tidak mencuci selepas buang air besar.”

Yusof berkata, pengadu yang berang dan kesal dengan tindakan 2 guru tahfiz itu bertindak membuat laporan polis.

Katanya, difahamkan mangsa sebelum itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Rangin, namun dihantar ke sekolah tahfiz berkenaan oleh bapanya, selepas didapati kurang menunjukkan minat terhadap pelajaran.

“Mangsa yang mengadu sakit di bahagian punggung dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi tujuan pemeriksaan dan kes kini disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan