Islam, halal haram dan pisang goreng berkeju

Zolkharnain Abidin
Orang Islam begitu asyik berbalah dalam isu-isu cabang agama seperti hal berkaitan amalan sunat (boleh juga dibaca sunnah atau tidak) sebelum, semasa dan selepas solat.

Mereka juga diralitkan dengan perbalahan tentang perkara yang menjadi urusan Tuhan di akhirat iaitu siapa bakal masuk syurga atau neraka, siapa penghuni Firdaus dan Jahannam.

Bahkan, isu yang paling menarik untuk 'dibahaskan' ialah siapa Muslim, siapa kafir, siapa murtad, apa hukuman ke atas orang murtad dan siapa bakal masuk syurga atau neraka dan siapa bakal direjam atau dirotan.

Sepanjang masa, perbahasan dan perdebatan orang Islam berkisar mengenai sah dan batal, haram dan halal, syurga dan neraka, kafir dan Islam, di kuburan mana bakal disemadikan.

Dalam suatu seminar, apabila pembentang berbicara tentang keperluan orang Islam terlibat dengan bidang pengeluaran produk makanan, seorang peserta bangun bertanya tentang hukum pakai serban.

Bukan sekadar itu. Peserta wanita bertudung labuh itu mempersoalkan pembentang yang bercakap soal masa depan umat Islam dalam ekonomi kerana beliau hanya bersongkok, tidak berserban.

Isu-isu tadi boleh dibahas tetapi biarlah dalam situasi, masa, tempat dan ruang yang sesuai. Misalnya, dalam bilik-bilik kuliah khusus yang melibatkan mereka yang mengkhusus dalam bidang berkaitan.

Status keju atas pisang

Itu pun dalam kerangka perbahasan untuk melatih para pelajar dan penyelidik mendalami metodologi dan disiplin Islam bagi mendepani kepelbagaian pandangan tentang agama dan hukum-hakamnya.

Jujurnya, majoriti orang Islam tidak berminat untuk berbincang tentang isu pemeliharaan spesies haiwan yang hampir pupus dan boleh menjejaskan ekosistem alam semula jadi.

Bahkan, apabila ada orang Islam yang menyantuni anjing, perbahasan utamanya akan diheret kembali kepada soal hukum iaitu, apa hukum pegang anjing dan membela anjing.

Seharusnya, dalam konteks itu perbincangan utama ialah bagaimana usaha boleh dibuat oleh orang Islam untuk menyumbang kepada usaha menyantuni anjing sebagai salah satu makhluk Tuhan yang menyumbang kepada kestabilan ekosistem.

Demikian halnya dalam pengeluaran produk. Kebanyakan produk yang berkualiti yang memenuhi piawaian ekspot ke negara maju, orang Islam masih jauh di belakang.

Orang Islam masih menjual goreng pisang di laluan orang ramai (disebut sebagai contoh, bukan untuk memperkecilkan usaha ini), tetapi masih berbahas tentang keju yang ditabur di atas goreng pisang sama ada ia halal atau haram.

Pengeluar keju sudah mengedarkan produknya ke serata dunia, pembeli goreng pisang pula yang mempersoalkan status halal bahan berkenaan.

Akhirnya, goreng pisang orang Islam balik ke asal, iaitu goreng pisang celup tepung dogol yang kononnya halal 100 peratus, tetapi masih berada pada takuk lama.

Sepatutnya goreng pisang cheese perlu diterima oleh orang Islam sebagai inovasi dalam produk orang Islam, bukan diheret untuk bergelumang dengan hukum halal atau haram secara sembrono.

Demikian halnya dalam kesedaran menjaga alam sekitar. Ada orang Islam yang berserban dan berjubah, berada dalam suasana ibadah haji. Mereka amat menjaga amalan sunat dalam berpakaian dan larangan haji, tetapi pada masa sama membuang sampah merata-rata.

Selamba saja orang Islam yang bercakap soal halal dan haram, sunnah dan bidaah, orang itu kafir dan orang ini Islam, pelaksanaan hukum hudud dan sebagainya, tetapi longkang rumahnya sendiri penuh dengan plastik dan bahan buangan.

Paling tragis, pada waktu petang, selepas berjemaah semasa solat Asar di masjid, dia membakar plastik, tayar terpakai dan entah apa-apa lagi secara terbuka.

Baginya, agama hanyalah solat berjamaah, tetapi menjaga alam sekitar, menjaga agar udara tidak tercemar bukanlah urusan agama dan bukan tuntutan Tuhan.

Inilah sudut pandang rahmatan lil 'alamin yang sedang dan akan diterokai oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Sudut pandang yang terabai dan tidak teragenda secara konsisten oleh orang Islam pada masa kini.

ZOLKHARNAIN ABIDIN ialah pengarah hal ehwal syariah Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan