Lima sebab Umno-Pas akan kekal pembangkang jika berlaku gabungan politik

MALAYSIA DATELINE
Umno dan Pas bakal menjadi pembangkang untuk tempoh 61 tahun lagi, sekiranya gabungan dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu benar-benar berlaku, kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, terdapat lima faktor mengapa gabungan Umno dan Pas itu akan menguntungkan Pakatan Harapan dan bakal menghancurkan Umno-Pas.

Beliau berkata faktor pertama akan berlaku peralihan orang Melayu dan faktor keduanya di mana parti-parti di Sabah dan Sarawak menyokong perjuangan Pakatan Harapan.

“Orang bukan Melayu terutama kaum Cina sangat takut kepada Pas. Pas dilihat sebuat parti yang ekstrem dan tidak boleh berunding dalam keabsahan perjuangannya mahu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.

“Keputusan PRK Balakong menunjukkan MCA kehilangan sepenuhnya sokongan dari masyarakat Cina walaupun parti itu cuba menjarakkan diri dari Umno dan Pas, namun kehadiran pemimpin Pas dipentas MCA memberi gambaran buruk di kaca mata masyarakat Cina.

“Parti-parti di Sabah dan Sarawak pula akan lari kepada Pakatan Harapan ekoran kekalahan BN pada PRU14 yang lalu. Banyak komponen BN di Sarawak dan Sabah mula meninggalkan atau menjarakkan diri daripada BN secara beransur.

“Suasana hubungan dan toleransi agama yang tinggi di Sabah dan Sarawak amat bertentangan dengan cara dan pendekatan Umno-Pas yang suka bermain dengan isu agama dan perkauman.

“Gabungan Umno-Pas yang kelihatan semakin serasi dengan isu agama dan kaum akan mendorong parti dari Sabah dan Sarawak bakal meninggalkan terus BN dan bersekutu dengan PH yang dilihat lebih bersifat toleransi dan demokrasi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Faktor ketiga katanya, lagi, jika gabungan itu berlaku,Umno-Pas akan menjadi parti yang berasaskan luar bandar.

Ini kerana isu-isu yang menjadi tumpuan Umno-Pas sekarang lebih menarik minat segmen pengundi Melayu yang banyak mendiami kawasan-kawasan luar bandar.

Isu-isu kaum dan agama kurang disenangi oleh masyarakat bandar yang lebih berpendidikan.

Ini bakal menyebabkan pengaruh Umo-Pas ujarnya lagi akan merosot di kawasan bandar, sebaliknya sokongan terhadap mereka hanya tertumpu di luar bandar.

Lantas keadaan itu akan memungkinkan membawa kepada faktor keempat, iaitu sokongan terhadap Umno-Pas tertumpu kepada Melayu luar bandar.

“Hanya Melayu luar bandar/desa/felda sahaja yg tertarik dengan isu yang menjadi teras perjuangan Umno-Pas mutakhir ini. Kebergantungan terhadap pengundi luar bandar sahaja tidak mungkinkan Umno-Pas mampu menawan Putrajaya,” ujarnya.

Dan faktor kelima, sekiranya Umno-Pas bergabung, beliau menyebut PH pastinya akan menikmati sokongan bersifat rentas kaum, sesuatu yang BN nikmati sejak sekian lama dulu.

“Peluang PH mengekalkan kuasa semakin meluas apabila kolisi itu mula mendapat sokongan bersifat rentas kaum, sebaliknya Umno-Pas bakal mendapat sokongan satu kaum sahaja.

“Dulu BN mampu mengekalkan kuasa selama 61 tahun disebabkan sokongan rentas kaum yang diterimanya, tetapi hari ini keadaan sudah berbeza di mana giliran PH pula mendapat sokongan semua kaum,” terangnya dalam kenyataan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan