Datuk bandar sebak kenang 'anugerah penyapu' Khir Toyo

Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebak apabila terkenang peristiwa penerimaan ‘penyapu’ daripada kerajaan Negeri Selangor ketika beliau berkhidmat di bawah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada tahun 2007.
Katanya ketika itu MDHS mencapai kutipan cukai yang tidak memuaskan iaitu kurang daripada 40 peratus pada tahun 2006.

“Ketika dipanggil untuk menerima anugerah penyapu daripada bekas Menteri Besar Selangor (Dr Mohamad Khir Toyo), saya baru sahaja ditukarkan dari Kementerian Wilayah Persekutuan untuk dinaikkan pangkat sebagai pegawai daerah Hulu Selangor M52 pada September 2007.

“Anugerah itu diberi pada Disember 2007 atas prestasi hasil kutipan cukai bawah 40 peratus pada tahun 2006 dan bersama-sama dengan saya untuk menerima ‘penyapu’ itu ialah Yang Dipertua MDSH ketika itu Tukiman Nail.

“Walaupun ia bukan zaman saya, saya tetap juga menerima ‘penyapu’ dengan penuh tanggungjawab, yang mana ia telah menjadi sejarah kekalahan Barisan Nasional di Selangor,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai peristiwa itu selepas Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.

Nor Hisham berkata selepas peristiwa itu, beliau cuba meningkatkan hasil kutipan cukai dalam masa dua tahun sehingga mendapat anugerah cemerlang RM100,000 daripada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2009.

“Kami (MDHS) telah berjaya mencapai lebih 92 peratus hasil kutipan cukai dalam masa dua tahun yang kemudiannya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata peristiwa itu sebagai dorongan kepada Nor Hisham untuk membuktikan pencapaian mereka dalam Pihak Berkuasa Tempatan.

“Sebagai ketua, walaupun beliau menerima bagi pihak orang lain namun ia sebagai pengalaman pahit yang memberi dorongan kepada PBT itu untuk membuktikan kemampuan dan buktikan mereka salah dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Dr Mohamad Khir dilaporkan menjelaskan pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi secara simbolik bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif PBT yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.

Susulan peristiwa itu, Dr Mohamad Khir dikritik pelbagai pihak termasuk Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kerana tindakan itu dilihat mengaibkan penjawat awam.
-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan