PAS kekal angkuh dalam kekalahan

Muammar Qaddafi
Kekalahan PAS di tangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRK Port Dickson sewajarnya menjadi pengajaran dan muhasabah buat parti itu agar memperbaiki strategi kempen pilihan raya akan datang.

Ia juga seharusnya mengajar PAS bahawa politik menyerang peribadi serta memainkan sentimen perkauman tidak laku lagi.

Malang sekali apa yang kita lihat adalah Pas kekal dengan keangkuhan dan walaupun telah kalah besar, tidak segan silu memperkecil kemenangan pihak lawan.

Saya merujuk kenyataan Pengarah Strategi Pemuda PAS Pusat, Syahir Sulaiman yang mendakwa kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu lalu disumbangkan secara tidak langsung oleh sejumlah besar pengundi yang tidak menyertai PRK berkenaan yang baginya bukan penyokong HARAPAN.

Pada masa sama beliau mengatakan pula PAS telah mendapat sedikit lonjakan daripada pengundi ‘bukan PAS’ berbanding PRU lalu.

Saya tertanya-tanya, beliau cuba kelabui mata siapa dengan kenyataan itu?

Peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRK Port Dickson (walau lebih tinggi berbanding tiga PRK sebelumnya) adalah perkara biasa dan atas beberapa faktor.

Ukuran yang lebih tepat adalah melalui peratusan kutipan undi, bukannya membandingkan dengan angka, dan kita lihat dengan jelas HARAPAN mendapat peratusan yang lebih besar berbanding PRU ke-14.

Begitu juga dengan jumlah majoriti dalam PRK ini yang menunjukkan berlakunya peningkatan sokongan terhadap HARAPAN.

PAS tidak perlulah mendabik dada dengan peningkatan undi yang sedikit, kerana mereka sepatutnya tahu undi itu daripada penyokong Umno yang tidak bertanding.

Itu pun sejumlah besar penyokong Umno masih tidak sanggup untuk menyerahkan undi mereka kepada PAS, sebaliknya memilih calon Bebas yang juga bekas pemimpin parti itu, Tan Sri Isa Samad.

Kepada PAS, berhentilah dengan politik syok sendiri dengan mengeluarkan kenyataan semata-mata untuk sedapkan hati sendiri jika ingin terus relevan dan mahu memberi saingan yang lebih baik.

Berusahalah untuk memperkukuhkan parti sendiri dan bukan cuba melonjakkan kedudukan dengan cara mencipta kelemahan pihak lawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan