Politik perlukan penampakan bukan acah-acah

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Politik perlukan penampakan bukan acah-acah
Walaupun saya ada ramai kawan daripada Ikram, tapi saya tidak pernah terlibat secara langsung dengan Ikram. Jadi, saya masuk AMANAH bukan kerana pengaruh Ikram.

Saya kenal Bang Mat (Presiden AMANAH, Mohamad Sabu) cukup lama, tapi tidak terlalu mesra. Hubunganku dengannya sekadar hubungan ketua dan pengikut. Dia tak pernah ajak saya masuk AMANAH. Jadi, saya masuk AMANAH bukan kerana Bang Mat.

Pengalaman berorganisasi saya bersama Pas agak banyak. Saya bermula dengan peringkat cawangan. Bahkan sampai detik terakhir saya bersama Pas, jawatan terakhir saya ialah ketua cawangan.

Saya masuk AMANAH sebab pendirian saya sendiri dalam menilai perkembangan politik negara. Saya boleh bersendirian dalam politik, tetapi itu tidak membawa saya ke mana-mana sebab saya bukan tokoh politik besar.

Justeru, untuk memenuhi ruang kemahuan diriku sendiri untuk berpolitik, setelah saya nampak AMANAH serasi dengan gaya fikir dan pendekatan saya dalam politik, saya pun aktif bersama AMANAH.

Sikapku bukan lihat peluang untuk makan dua belah. Ada orang yang acah-acah rasional, kononnya untuk dilihat profesional, padahal punya hasrat untuk meraih keuntungan daripada mana-mana pihak yang berkuasa dalam politik.

Semasa BN nyawa-nyawa ikan, dia kelihatan sangat cenderung kepada PH. Pada masa yang sama, sekali-sekala dia dilihat mesra BN sebab dia bimbang kalau-kalau BN masih berkuasa lagi selepas itu.

Apabila PH menang, pada awalnya dia kelihatan mesra PH, tetapi apabila dia nampak seolah-olah BN punya harapan untuk berkuasa kembali, dia ambil sikap tidak terlalu menentang BN.

Dekat pilihan raya, orang sebegitu pendiriannya semakin kalut. Nak terlalu mesra PH, bimbang BN menang. Nak terlalu mesra BN, bimbang PH kekal berkuasa.

Apa langkah dia? Dia ambil sikap kononnya benci politik, padahal dia ada hati untuk jawatan lantikan politik jika diberi peluang. Tapi nak serlahkan pendirian politik bersama parti tertentu, takut pula parti politik itu tak berkuasa pada masa akan datang.

Kemudian, acah-acahlah guna pendekatan akademik, analisa sana analisa sini, supaya dilihat dia tidak cenderung kepada parti politik tertentu supaya parti politik mana pun yang menang, dia harap dia ada habuan politik.

Akhirnya orang sebegitu tak kemana-mana dalam politik sebab politik memerlukan penampakan yang jelas. Jika anda suka parti PH, tunjukkan sokongan padu sama ada PH menang atau kalah.

Sikap itu memudahkan PH menentukan kedudukan seseorang dalam institusi negara atau negeri jika PH terus berkuasa, begitu juga sebaliknya jika BN kembali berkuasa.

Jika minat nak berpolitik, janganlah acah-acah warak, acah-acah profesional tidak memihak, kerana acah-acah bukan watak orang politik.

Orang yang berjaya dalam politik ialah orang yang berani menampakkan diri, menonjolkan diri, menyerlahkan diri dalam pendirian politik. Lihat sajalah Bang Mat Sabu, Tun M, Tok Pa, Najib, Kit Siang, LGE… Mereka bukan acah-acah berpolitik, jadi itulah hasilnya.

Kalau teringin nak jadi orang politik, atau nak berpolitik, atau nak habuan politik, janganlah acah-acah. Buat betul-betul.

Jadi hang berpolitik kerana kepentingan duniawilah? La… Politik memang urusan dunia pun. Hang jadi pensyarah, peniaga, guru, pegawaikah, tu kerana nak dunialah, bukan?

* Penulis ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan