Warga Palu masih trauma dikejar ombak hitam deras setinggi pohon kelapa

Malaysia Dateline
ARIF ATAN
Hilang enam ahli keluarga termasuk saudara ipar dan dua cahaya mata.Hanifa, 38, masih berteka-teka tentang kehidupannya selepas ini.

Termangu tenang di sisi katil menemani ibunya di lobi Rumah Sakit Umum Anutapura di Kota Palu, dia kemudiannya tenang menceritakan kembali bencana dahsyat memalu kota pelancongan pada 28 September lalu itu.

“Lewat sore (petang) itu, saya di tempat jualan tidak jauh dari pesisir pantai. Orang begitu ramai di pantai Talise ketika itu lantaran merayakan Festival Palu Nomoni.

“Ya Allah, pastinya mereka habis dipukul tsunami. Mujur saya dan ibu sempat melarikan diri. Kami berlari sekuat hati ke arah bukit,” ceritanya sebelum terhenti menahan sebak.

Selepas tiga minggu berlalunya tragedi, Hanifa dan ibunya meneruskan hidup dengan masih berteduh di bawah khemah.

“Kami tinggal sehelai sepinggang. Hingga kini masih trauma. Ombak besar hitam likat setinggi pucuk pohon kelapa seperti mengejar dan cuba meragut kami.

“Baju dipakai ini pun hasil sumbangan masyarakat yang peduli. Ramai lagi tidak mendapat bantuan. Keadaan kami hari ini masih tidak menentu,” ujarnya.

Hanifa antara mangsa gempa bumi, tanah mencair dan tsunami yang melanda wilayah Pasigala iaitu Palu-Sigi-Donggala pada 28 September lalu.

Beliau ditemui Malaysia Dateline yang mengikuti rombongan Misi Bantuan Kemanusiaan Palu anjuran Pemuda AMANAH Nasional dengan kerjasama organisasi relawan Indonesia, Aksi Cepat Tanggap (ACT).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan