Hubungan ketuanan Melayu dan agama (Bhg 2)

Wan Ji Wan Hussin
Dari sudut persepsi, ketuanan Melayu melahirkan gambaran seakan-akan wujud kekastaan berdasarkan bangsa dan kaum, atau wujud eleman mahu menjadikan bangsa lain sebagai hamba.

Persoalannya, apa sudut pandang Islam dalam melihat gambaran ini?

Dalam Islam, perhambaan hanya kepada Tuhan. Dengan demikian, Islam tidak mengiktiraf amalan perhambaan sesama manusia. Jauh sekali menerima konsep kasta. Ini disandarkan kepada beberapa bukti:

Pertama, seorang sahabat bernama al-Rab’ie bin ‘Amir berhadapan dengan Raja Rustum dari kerajaan Farsi, dia berkata bahawa Allah swt mendatangkan muslim untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah.

Kedua, di awal Islam berkembang, sistem perhambaan sesama manusia masih lagi diamalkan. Memandangkan amalan itu adalah sesuatu yang diterima secara lumrah dalam masyarakat Arab, Islam hapuskan sistem itu secara bertahap-tahap.

Antara caranya pembebasan terhadap hamba melalui membayar kifarat pada saat melakukan kesalahan dalam beribadat, seperti bersetubuh dengan isteri pada siang hari pada saat sedang berpuasa Ramadan.

Ketiga, ketika beribadat di Mekah dalam musim Haji atau Umrah, terdapat amalan memakai ihram. Ia tidak membezakan antara kasta sesama manusia, tidak kira ia dari kalangan Raja, atau bukan; dari kalangan orang berkuasa atau rakyat biasa.

Islam menolak perkauman

Apabila Islam menolak sistem perhambaan dan kekastaan, makanya tidak hairan Islam tidak menerima konsep kemuliaan seseorang manusia itu berdasarkan kaum dan bangsa. Ini disandarkan kepada beberapa dalil berikut:

Pertama, al-Quran menyatakan bahawa manusia itu diciptakan Tuhan dari lelaki dan perempuan, berbangsa dan beretnik. Tujuannya adalah untuk manusia saling kenal-mengenali sesama mereka.

Kedua, dalam Hadis, Nabi Muhammad ada menyatakan bahawa bangsa Arab tidak lebih mulia berbanding bangsa lain. Kemuliaan di sisi Allah di akhirat kelak adalah ketaqwaan manusia itu kepada Allah.

Ketiga, dalam Hadis ada diceritakan bahawa Bilal bin Rabah dihina oleh Abu Zar. Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa Abu Zar memanggilnya, “Wahai Anak kepada perempuan yang berkulit hitam”. Perkara itu menjadikan Rasulullah saw berkata kepadanya, “Wahai Abu Zar, kamu telah menghina ibunya? Sesungguhnya kamu masih ada lagi sifat-sifat jahiliyyah.”

Islam melihat bahawa pelantikan seseorang pemimpin, bukan berasaskan kepada kaum dan etnik tertentu, sebaliknya berasaskan kelayakan dan kemampuan dalam mengurus sehingga memberi kebaikan kepada rakyat. Asas ini berdasarkan kepada beberapa dalil berikut:

Pertama, Abu Hurairah bercerita bahawa ketika Nabi saw sedang berada dalam satu kalangan sahabat dan menyampaikan ucapan. Tiba-tiba datang seorang lelaki badwi. Dia bertanya, bilakah kehancuran akan berlaku? Nabi tidak menjawab, sebaliknya terus dengan ucapan Baginda sehingga ada dari kalangan sahabat berkata, bahawa Nabi saw mendengar soalan tersebut dan Nabi tidak suka soalan sebegitu.

Sebilangan yang lain pula kata, Nabi tidak mendengar soalan badwi itu. Apabila selesai, Nabi saw bertanya, di mana orang yang bertanya berkenaan kehancuran. Lalu, badwi itu menyahut dan mengulangi soalannya. Lalu jawab Nabi, apabila dikhianati amanah, ketika itu sampai saat kehancuran. Lalu, badwi itu bertanya lagi, bagaimana cara khianati amanah tersebut. Jawab Nabi saw, “Apabila diberikan sesuatu urusan itu bukan kepada orang yang berkelayakan, maka tunggu saat kehancuran.”

Kedua, Nabi dilahirkan di Mekah. Tetapi, apabila Nabi sampai ke Madinah yang ketika itu dikenali Yasrib, baginda dilantik jadi ketua kerajaan. Walaupun Nabi saw bukan rakyat tempatan Madinah, tetapi berasaskan kelayakan, Nabi dilantik menjadi ketua kerajaan di Madinah.

Ketiga, memandangkan Nabi bukan berasal dari Madinah, makanya selepas kewafatan Nabi, masyarakat Madinah bersetuju untuk melantik orang tempatan menjadi pemimpin. Sa’ad bin Ubbadah yang merupakan calon pemimpin mereka berkata, “Wahai masyarakat Ansar, kamu adalah golongan terawal dengan agama dan mempunyai kelebihan tersendiri dalam Islam yang tidak ada kabilah lain dari kalangan Arab.”

Walaupun berlaku kempen mengangkat Sa’ad bin Ubbadah yang merupakan orang tempatan, tetapi perdebatan sesama sahabat dalam pelantikan yang akhirnya bersetuju melantik Abu Bakar al-Siddiq menjadi khalifah, walaupun Abu Bakar kelahiran Mekah.

Keempat, lebih jelas lagi apabila Nabi suruh taat kepada pemimpin, walaupun bukan dari kalangan bangsa Arab. Dalam hadis, perkataan Nabi dipetik, dengar dan taat, walaupun yang menjadi pemimpin yang ditaati itu adalah seorang hamba yang berbangsa Habsyah (berkulit hitam) yang rambutnya seakan-akan buah kismis (Melayu: buah anggur kering).

Tindakan afirmatif

Tindakan afirmatif dalam konteks bernegara adalah merujuk kepada bantuan yang diberikan kepada golongan minoriti yang kurang mampu dari segi sosio-ekonomi dan pembangunan. Pada saat golongan majoriti bersaing secara sihat, terdapat golongan minoriti yang gagal untuk setahap dalam persaingan.

Dengan demikian, golongan minoriti ini “dibimbing tangan mereka” dengan bantuan kerajaan agar dapat bersaing secara sihat.

Dari sudut ekonomi, Islam cenderung kepada persaingan sihat. Ini didasarkan kepada satu kisah bahawa ada dari kalangan sahabat berjumpa dengan Nabi minta agar buat penetapan harga kerana harga barangan telah naik di pasaran. Nabi saw terus menyatakan bahawa baginda tiada hak untuk buat penetapan harga, malahan menyatakan semua itu bergerak di pasaran berdasarkan ketetapan Tuhan.

Hadis ini menjadi bukti bahawa harga barangan di pasaran bukan ditetapkan oleh pihak yang berkuasa, tetapi perlu berdasarkan persaingan di pasar secara “permintaan” dan “tawaran”.

Apabila ada persaingan antara ramai peniaga terhadap sesuatu barangan jualan, sudah pasti setiap mereka mahu memastikan barangan mereka dibeli, makanya mereka akan menawarkan barangan mereka yang lebih kualiti dan paling murah. Dengan itu, para pembeli akan dapat membuat pilihan dan keuntungan.

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan bahawa ada dari kalangan yang lemah dan tidak mampu bersaing secara sihat yang memerlukan afirmatif. Dalam tradisi Islam, tidak terdapat langsung tindakan afirmatif berasaskan bangsa atau kaum tertentu. Bantuan diberikan berdasarkan keperluan bagi orang yang memerlukan, tidak kira apa bangsa atau kaum dia sekalipun.

Antara bukti-buktinya adalah seperti berikut:

Pertama, semasa berlaku peperangan di Khaibar, Nabi saw membahagikan harta rampasan perang (bahasa Arab: Ghanimah) kepada sahabat yang terlibat dengan perang.21. Pemberian tersebut tidak berasaskan kepada kaum, tetapi merentasi bangsa dan kaum, kerana antara yang menerima itu adalah Bilal bin Rabah yang berbangsa Habsyah (golongan kulit hitam).

Kedua, konsep zakat diberikan bukan berdasarkan sesuatu kaum atau bangsa, tetapi berdasarkan keperluan dan kebajikan kepada yang memerlukan. Dalam al-Quran, dinyatakan lapan golongan yang layak terima zakat, iaitu (1) fakir, (2) miskin, (3) amil zakat, (4) muallaf, (5) orang yang tertawan (hamba), (6) orang yang berhutang, (7) orang yang berada di jalan Allah dan (8) orang ada masalah kewangan semasa dalam perjalanan.

Bagi fakir, miskin , riqab (hamba yang mahu dimerdekakan), Garimin (orang yang dikekang hutang), Ibn Sabil (orang yang ada masalah kewangan ketika dalam perjalanan25) adalah kelompok manusia yang memerlukan kepada bantuan kewangan, tidak kira dari apa bangsa dia.

Amil zakat (pengutip zakat yang dilantik kerajaan) pula, berdasarkan kepada kebajikan terhadap hasil kerja yang dilakukannya. Muallaf pula adalah memberi bantuan kewangan kepada mereka yang dibuang ahli keluarga mereka ekoran baru memeluk Islam atau kecenderungannya kepada agama Islam.

Dari konsep zakat ini, amat kelihatan bahawa bantuan tidak diberikan berdasarkan sentimen sesuatu kaum dan bangsa, tetapi berdasarkan kepada golongan yang memerlukan dan keperluan mendapat kebajikan. Lebih-lebih lagi, pada zaman Omar menjadi khalifah, beliau pernah menafsirkan maksud orang fakir dan miskin itu merujuk kepada orang ahli kitab yang tidak beragama Islam, sudah pasti tidak berbangsa Arab, kerana ahli kitab pada zaman itu adalah berbangsa Bani Israel.

Ketiga, pendekatan tidak berorientasikan bangsa ini lebih kelihatan apabila Nabi berpesan kepada Muaz bin Jabal semasa dilantik menjadi gabenor di Yaman, bahawa beliau perlu ajar kepada masyarakat Yaman yang Allah mewajibkan diambil sedekah dari harta orang-orang kaya yang kemudian perlu diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.

Keempat, pada zaman Saidina Omar menjadi khalifah, beliau telah ke pasar, beliau dapati Hatib bin Abi Balta’ah menjual buah zabib (anggur yang telah dikeringkan) dengan harga yang murah. Dengan kadar yang murah itu, menyebabkan peniaga-peniaga lain yang mempunyai kadar kos yang rendah tidak dapat bersaing dengan dia. Dengan demikian, Omar pun berkata kepada Hatib, “Sama ada kamu mahalkan harganya, ataupun kamu pergi berniaga di tempat lain”.

Hatib bin Abi Balta’ah berbangsa Arab sedangkan peniaga-peniaga di pasar itu bercampur dengan pelbagai kaum. Kewujudan Hatib bin Balta’ah menjadikan pasaran tidak seimbang. Makanya, Hatib yang berbangsa Arab diminta menaikkan harga jualannya ataupun dia pergi ke pasar yang lain supaya dia tidak membebankan peniaga lain dalam pasaran.

Ini menjadi bukti, pembelaan bagi golongan yang tidak mampu bersaing bukan berasaskan kaum dan bangsa, tetapi tahap kemampuan, tidak kira apa bangsa dan kaum dia sekalipun.

Kelima, semasa Saidina Omar memerintah, beliau tidak membenarkan pengutipan jizyah dari orang-orang yang lemah seperti kaum wanita dan kanak-kanak29.

Begitu juga, surat beliau kepada gabenor beliau yang bernama Osman bin Hunaif yang melarang mengambil jizyah dari orang yang lemah dari kalangan orang terlalu tua, wanita, orang gila, orang tidak ada kemampuan bekerja, orang yang tidak ada kemampuan untuk mendapat upah dan para ahli ibadat yang beribadat dalam rumah ibadat mereka.

Jelas dari tindakan Saidina Omar ini bahawa memberi bantuan bukan berasaskan kepada kaum dan bangsa, tetapi berasaskan kepada kelemahan individu dan kebajikannya yang perlu dijaga.

Ketuanan Melayu wujud dalam Islam?

Berbalik ke Malaysia, seringkali konsep Ketuanan Melayu cuba dihalalkan dengan beberapa hujah, dengan memetik kisah dalam Hadis.

Hujah pertama:

Ketuanan Melayu ini wujud dalam Islam, dengan merujuk kepada tindakan Saidina Omar, iaitu ketika tentera muslim telah menguasai Iraq selepas dijajah Farsi, tanah-tanah masyarakat Iraq sewajarnya dibahagikan kepada tentera muslim sebagai ghanimah.

Perkara ini dituntut oleh Bilal bin Rabah. Walau bagaimanapun, Saidina Omar tidak bersetuju dan meminta agar tanah itu diberikan semula kepada orang tempatan di Iraq. Pendapat Saidina Omar itu disokong oleh Abd al-Rahman bin ‘Auf.

Jawab:

Perlu difahami bahawa sesuatu tindakan Saidina Omar dari kisah ini bercanggah dengan prinsip yang diajar oleh Nabi, iaitu pembahagian harta ghanimah. Apabila demikian tindakan Saidina Omar, sudah pasti terdapat tujuan atau punca (Arab: illat atau manat) terhadap tindakan tersebut.

Apa yang pasti, terdapat riwayat bahawa beberapa kalangan bangsa Arab yang beragama Yahudi yang dikenali sebagai Bani Tughlub. Mereka memohon untuk duduk dalam kerajaan Madinah semasa Saidina Omar menjadi khalifah. Memandangkan mereka tidak beragama Islam, makan mereka perlu membayar jizyah.

Ketua mereka melihat bahawa orang Islam diwajibkan membayar zakat, sedangkan golongan bukan Islam termasuk Bani Tughlub tidak membayar zakat, sebaliknya perlu membayar jizyah. Sebagai kalangan yang mempunyai sentimen yang suka berperang, ketua Yahudi Bani Tughlub itu berjumpa dengan Saidina Omar dan menyatakan kebimbangannya — Andainya Yahudi Bani Tughlub membayar jizyah yang berbeza dengan orang Islam yang membayar zakat, akan melahirkan tanggapan bahawa mereka sebagai golongan kelas kedua dalam masyarakat Madinah.

Dengan ini, dibimbangi di masa akan datang, kelompok Yahudi Bani Tughlub akan bangun memberontak. Mendengar kebimbangan ketua Yahudi Bani Tughlub tersebut, Saidina Omar pun menyuruh tukar bentuk bayaran jizyah itu, bukan lagi dijenamakan sebagai jizyah, tetapi dijenamakan sebagai zakat.

Kisah ini membuktikan bahawa kebimbangan Saidina Omar adalah faktor masalah kerajaan tidak stabil di masa akan datang, iaitu kebimbangan masyarakat Bani Tughlub akan memberontak. Demikian juga ketika baru sahaja mengusai Iraq sejurus kekalahan Farsi. Ia bukan soal “ketuanan” tetapi soal menjamin kestabilan kerajaan dari sebarang elemen yang boleh membawa kepada pemberontakan.

Hujah kedua:

Terdapat dalam Hadis bahawa Nabi saw berkata, pemimpin itu dari kalangan Quraish. Dengan itu, ia menjadi dalil bahawa Nabi saw mengangkat konsep “Ketuanan Quraish”, dan ia selaras dengan konsep “ketuanan Melayu”.

Jawab:

Sesuatu hukum itu dilihat pada dua sudut, iaitu (a) hukum asal (Arab:al-hukmu Lizatih), dan (b) hukum yang berubah dengan sebab faktor-faktor tertentu (Arab: al-Hukmu li Ghairih). Bagi pemahaman konsep hukum ini, kita mengambil contoh menjual anggur yang dari sudut hukum asalnya adalah harus. Tetapi, andai tindakan itu memberi implikasi secara pasti untuk dibuat arak, maka hukum jual anggur yang asalnya harus itu telah bertukar menjadi haram.

Demikian juga hadis yang menyatakan bahawa pemimpin itu dari kalangan Quraish. Secara hukum asalnya, pemimpin itu dilantik berdasarkan kepada kelayakan, merentasi kaum dan etnik. Ini berdasarkan Hadis bahawa Nabi saw menyatakan, “Apabila disandarkan sesuatu urusan bukan kepada ahlinya, maka tunggu saat kehancuran”, dan Hadis bahawa Nabi saw bersabda, “Dengar dan taat, walaupun kepada pemimpin itu seorang hamba yang berbangsa habsyah (berkulit hitam) yang rambutnya seakan-akan buah anggur yang kering”.

Pun begitu, andai pelantikan selain Quraish membawa implikasi pertumpahan darah, maka dalam ketika dan tempat itu, perlu dilantik bangsa Quraish. Dengan makna, pada ketika dan di tempat yang lain pula, pelantikan selain dari Quraish tidak mendatangkan implikasi pembunuhan, maka ia tidak termasuk dalam maksud hadis tersebut.

Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, konsep ketuanan Melayu bukan sekadar tidak wujud dalam Islam, malahan ia tidak wujud dalam perlembagaan seperti mana yang diakui oleh pakar sejarah, pakar perlembagaan dan tokoh-tokoh besar dalam politik Malaysia.

Kedua, walaupun konsep ketuanan Melayu tidak ada, ia tetap dimainkan oleh parti Melayu Umno. Pun begitu, konsep ini mendapat serangan dari beberapa tokoh politik, seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Rafidah Aziz dan sebagainya.

Ketiga, kesan dari mengangkat konsep ketuanan Melayu, melahirkan persepsi bahawa wujud tanggapan bahawa bangsa selain Melayu sebagai hamba atau sentimen kekastaan antara sesama manusia berasaskan kepada bangsa. Tanggapan sebegini, sudah pasti bercanggah dengan ajaran Islam, kerana Islam menolak konsep perhambaan, dan menolak konsep perkauman dan kasta.

Keempat, demikian juga, kesan dari mengangkat konsep ketuanan Melayu ini melahirkan tanggapan bahawa bangsa selain Melayu sebagai penumpang dan pendatang. Keadaan ini tidak jauh beza tindakan orang munafiq yang bernama Abdullah bin Ubai bin Salul terhadap Nabi Muhammad sehingga Abdullah mendapat kecaman dari al-Quran.

Kelima, konsep ketuanan Melayu sering dikaitkan dengan tindakan afirmatif yang memberi bantuan; keutamaannya kepada bangsa Melayu. Secara dasarnya, afirmatif yang diterima dalam Islam bukan berasaskan kepada kaum dan bangsa, tetapi kepada membangunkan orang yang lemah dan memerlukan, tidak kira apa bangsa dan anutan agama dia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan