Atlet muda dan berbakat Thai, Nitiyaporn Srisalai, 22, ditemui kaku dan tergantung di bilik asramanya di Muang, Ratchaburi kelmarin.
Mayat Nitiyaporn yang juga juara Pertubuhan Muay Thai Dunia ditemui kira-kira jam 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Muang, Apichart Phuttaboon, berkata ketika ditemui jasad Nitiyaporn tergantung pada tali nilon yang diikat pada bingkai pintu biliknya.
“Pada malam Ahad, Nitiyaporn keluar minum dengan seorang rakan yang tinggal bersebelahan dengan biliknya.
“Keesokan harinya, kawan Nitiyaporn mengetuk pintu biliknya untuk mengajaknya ke kelas, tetapi tiada jawapan," katanya seperti dipetik Bangkok Post.
Ketika itu kata Apichart kawan Nitiyaporn tidak mengesyaki apa-apa lantas pergi ke kelas seperti biasa.
Bagaimanapun apabila kelas tamat kata Apichart, pintu bilik Nitiyaporn diketuk sekali lagi namun tetap tidak mendapat sebarang reaksi.
Sentiasa nampak ceria
"Tetapi apabila masih tiada jawapan, dia mengesyaki sesuatu lantas mengambil kunci pendua daripada penjaga asrama.
"Selepas memasuki bilik berkenaan mereka menemukan mayat Nitiyaporn," katanya.
Nitiyaporn yang berasal dari daerah Roi Et ialah penuntut tahun keempat di Universiti Muban Chombueng Rajabhat di Ratchaburi.
Dia juga merupakan atlet Muay Thai yang terkenal dan juara Pertubuhan Muay Thai Dunia untuk kategori 51kg.
“Mungkin Nitiyaporn ada masalah peribadi, dan dia bertindak demikian di bawah pengaruh alkohol,” tambah Apichart.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kajian Muay Thai Antarabangsa, Charnchai Yomadit menyifatkan kematian atlet kebangsaan Thai itu sebagai kehilangan besar kepada dunia sukan terbabit.
“Dia sentiasa kelihatan ceria. Dia telah bertarung sejak kecil sambil berusaha keras dalam pelajarannya bagi membina masa depan sejak ibu bapanya bercerai.
“Dia beraksi di gelanggang untuk menyara kehidupan dan untuk membiayai pendidikannya. Tidak lama lagi sepatutnya dia menamatkan pengajian," katanya.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan