Malaysia Baru melangkaui kepentingan parti - Dr Mujahid Yusof

Sejak gelombang reformasi hujung 1990-an tercetus telah dijangkakan satu era baru bakal akan terbentuk dan 20 tahun kemudian ia menjadi kenyataan dengan terbentuknya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018.

Lapan belas tahun bukanlah sekejap. Ia telah memakan banyak masa, tenaga dan pengorbanan khususnya mereka yang terpenjara seperti Anwar Ibrahim demi harga sebuah perjuangan.

Penyertaan Dr Mahathir Mohamad dalam gelombang besar Reformasi adalah kejayaan kepada kehendak perubahan yang selama 20 tahun didengungkan oleh para reformis. Lahirnya Amanah, Bersatu dan Warisan bukan antitesis kepada gelombang ini tapi memperkukuhkan kedudukan era baru yang ditunggu-tunggu.

Nama Malaysia Baru bukan terasing daripada pakej era Reformasi tapi rejuvenasi kepada makna kesungguhan membina semula negara, agar lebih realistik dan menyentuh denyut nadi rakyat. Ia membawa mereka kepada era baru negara dari sudut falsafah dan kebajikan.

Ada dua faktor kemunculan Malaysia Baru - asakan dan desakan gelombang reformasi dan fasa order lama telah tamat akibat kebobrokan dan kefasadan pemerintahan BN.

Pertama adalah usaha para pejuang yang berpegang kepada prinsip manakala kedua adalah faktor kerosakan dari dalam Umno BN yang mempercepatkan proses perubahan itu.

Tiada pihak yang boleh mendakwa gelombang ini miliknya mahupun sesiapa jua - apatah lagi individu tertentu - sebab ia adalah era yang diperlukan untuk meneruskan kesinambungan kebangkitan negara. Tokoh, kelompok dan parti hanya fasilitator kepada kebangkitan ini.

Dua dekad juga sarat dengan pembentukan idea dan gagasan baru mencabar status quo. Hari ini ramai tidak sedar ungkapan, pemikiran dan tindakan mereka gagal memahami hasrat idea yang telah terbentuk sekian lama oleh pemikir, penulis dan aktivis reformasi. Sebahagian mereka tidak ada semasa idea baru ini dilontarkan dan sebahagian mereka hari ini tidak menghayati betapa sukar menerobos idea itu ke pemikiran rakyat.

Cuba kita imbau Lebih 2 dekad yang lalu, kita telah gagaskan dalam Kerangka Perjanjian Bersama bahawa asas negara ini - Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu - tetap menjadi teras tertegaknya perubahan politik baru. Namun apabila kita diuji dengan permainan sentimen seperti sensitiviti Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu yang dimainkan pihak lawan, ternyata kita masih gagal memahami apa yang pernah kita meterai bersama.

Isu Icerd misalnya bukti kita masih dalam budaya pemikiran terkepung atau 'seige mentality'. Kerajaan telah menetapkan tidak akan meratifikasi konvensyen PBB itu dan keputusan itu didukung secara bersama. Namun penting juga untuk kita memberi penjelasan tentang idea baru dalam soal mempertahankan teras Islam, Melayu dan Raja-raja oleh PH.

Jika kita apologetik dalam semua hal akibat tekanan dan desakan lawan, bilakah lagi peluang untuk kita menterjemah dan memperkenalkan idea yang diyakini baik untuk membina Malaysia baru dengan teras Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu?

Gagasan terus diuji

Idea dan gagasan perpaduan nasional juga telah digarap sejak era Reformasi lebih tiga dekad lalu, tentang komitmen mengekalkan acuan kepelbagaian seperti mana asas pembentukan negara ini. Idea terbesar mencetuskan kebangkitan rakyat ialah penolakan perkauman sempit. Segala tindakandan manifesto sepanjang dua dekad menegaskan komitmen anti-perkauman sempit yang menjadi 'teriakan perang' era Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kemudian PH.

Malaysia 'tanpa prejudis kaum' menjadi laungan di jalan raya - dalam perhimpunan Bersih dan himpunan lain selama berdekad ini. Antara yang 'melambatkan' perubahan ialah ketegasan idea baru mempertahankan bahawa kita tidak akan tunduk kepada 'godaan' sentimen sempit perkauman dan agama. Sejak dulu kita tidak pernah berniat untuk bersaing atas premis yang merosakkan perpaduan.

Kita diuji dengan pencerobohan dan rusuhan Kuil di Seafield dalam mempertahankan asas dan idea perpaduan. Ada di kalangan kita hari ini gagal memahami penghayatan ini apabila turut terikut-ikut menari mengikut rentak penentang Malaysia Baru. Sebahagian kita hilang fokus kepada asas bahawa kita seharusnya menentang penceroboh kuil dan perusuh yang memangsakan Adib dan bukan membenci kaum atau agama tertentu.

Kita pernah mempertahankan isu kalimah Allah sejak 2009 atas asas objektiviti dan bukan kebencian agama walaupun terpaksa berhadapan dengan kesukaran mempertahankan objektiviti ini. Begitu juga tentang idea jangan mengheret kaum tertentu hanya perbuatan jahat individu dalam kaum tersebut.

Kita menentang amalan yang merugikan sesebuah masyarakat tak kira daripada kaum mana sekali pun. Kita menentang rasuah di kalangan pemimpin Melayu bukan menentang orang Melayu, begitulah dengan perasuah kaum Cina dan India bukan membenci kaum India atau Cina.

Sejak berdekad lamanya kita berjuang menolak taksub ke atas parti atau platform dengan tanggapan parti atau platform itu satu-satunya jalan menegakkan keadilan dan kemanusiaan. Bukan hari ini saja kita dibanjiri oleh ahli baru dan wajah baru, sama ada yang berjawatan atau pernah memegang jawatan dalam parti lawan kita.

Asasnya mudah, selagi mereka menerima gagasan baru dan apa yang dibawa idea politik baru, itulah syaratnya untuk diterima. Pembentukan PH yang menggabungkan empat parti adalah berasaskan perjanjian yang jelas membuka kepada kemunculan politik baru.

Asalkan Malaysia Baru

Hari ini PH diuji dengan kebanjiran bekas ahli Umno. Mengapa panik? Bukankah keterbukaan untuk menerima mereka tertakluk kepada gagasan dan politik baru? Atau apakah kita hilang kepercayaan kepada rakan komponen kita? Mungkin kita tidak jelas apakah penghijrahan ini memperkukuhkan parti komponen atau PH?

Sepatutnya kita bertanya apakah banjiran ini memperkukuhkan Malaysia Baru atau tidak? Malaysia Baru lebih besar dari parti komponen atau PH sendiri. Ia perlu dipertahankan dengan idea dan gagasan baru dan menjadi kayu pengukur kepada pelebaran kuasa PH.

Sebanyak mana pun kemasukan dari Umno atau BN tidak akan membawa pengukuhan Malaysia baru jika ideanya terbantut atau disabotaj rakan komponen sendiri.

Kita tidak mampu menyekat mana-mana parti komponen untuk berkembang tetapi kita ada hak untuk meletakkan gagasan Malaysia Baru sebagai penentu kepada kemasukan unsur baru pascaPRU ke-14.

Malaysia Baru adalah tuntutan rakyat dan mereka yang meletakkan kita berhak mempersoalkan kepentingan dan keutamaan politik baru. Selagi ruang Malaysia Baru dipermudahkan laluannya tiada siapa berhak disekat, tetapi jika ruang ini disempitkan dengan saki-baki idea terkebelakang maka semua pihak berhak bersuara atas nama Malaysia Baru.

Malaysia Baru lebih besar untuk dipertahankan daripada kepentingan kepartian mahupun kepentingan diri. Ini termasuk perasaan kita kepada dinamika di sekeliling. Kita terpaksa 'telan' semua perasaan dengan matlamat yang jelas untuk mempertahankan idea Malaysia Baru.

Jauhi sama sekali perbalahan dalaman dalam membawa idea dan gagasan Malaysia Baru. Jauhi juga kehendak penentang Malaysia Baru yang mahukan pimpinan PH hilang kepercayaan sesama mereka.

Pada waktu yang sama kita mesti menentang mereka yang mahu merosakkan Malaysia Baru dari dalam. Wajarnya Malaysia Baru adalah benteng terakhir seluruh rakyat Malaysia.


DR MUJAHID YUSOF ialah Naib Presiden Amanah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan