N Faizal Ghazali
Wanita yang mengamuk dengan sebilah pisau sebelum berbogel di hadapan sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, kira-kira dua minggu lalu mendakwa dirinya dirasuk.
Tindakannya yang dikatakan di bawah sedar itu turut mencederakan dua wanita dan seorang kanak-kanak yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian wanita berkenaan secara tiba-tiba mengamuk dan bertindak mencederakan dua wanita berusia 24 dan 77 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.
"Hasil soal siasat awal suspek tersebut tidak mengaku telah bertindak sedemikian dan menyatakan dirinya telah dirasuk. Hasil siasatan juga mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
"Malah ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod lampau sebagai pesakit mental," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, pada 17 Disember lalu media tempatan melaporkan seorang wanita mengamuk dan mencederakan orang awam selepas dia dipercayai ditinggal kekasih.
Susulan kejadian itu, video dan gambar berhubung kes itu turut tersebar melalui aplikasi WhatApps beberapa hari selepas kejadian.
Sementara itu Abdul Rahim berkata, mangsa disambung reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, perbuatan khianat dan mencederakan.
"Selain itu, kita turut menyiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki pisau semasa kejadian," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan