Pemuda bakar diri dirumah kekasih (Gambar)


Simunjan – Seorang pemuda dikejarkan ke hospital akibat melecur setelah membakar diri dengan minyak petrol di rumah teman wanitanya di Kampung Sageng di sini pagi ini.

Jurucakap bomba berkata, pihak bomba yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.42 pagi telah menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan untuk operasi menyelamat.

Beliau berkata, tiba di tempat kejadian, mangsa yang sempat diselamatkan oleh penduduk kampung didapati melecur 30 peratus anggota badannya.

“Mangsa berusia 24 tahun dikatakan telah membakar diri menggunakan minyak petrol motosikalnya di dalam rumah kekasihnya di Kampung Sageng.

“Namun, penduduk kampung yang melihat kejadian itu segera menyelamatkan mangsa yang terbakar menggunakan air,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, hanya lantai rumah berkenaan yang terbakar, manakala mangsa yang melecur dihantar oleh ambulans ke Hospital Simunjan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
-utusanonline

Polis yang menyoal Tun Dr Siti Hasmah ‘tersipu malu’

Bede Hong
Polis yang menyoal Siti Hasmah ‘tersipu malu’, kata peguam
Dr Siti Hasmah Mohd Ali disoal pihak polis selama lebih kurang sejam di pejabat suaminya di Yayasan al-Bukhary, Kuala Lumpur berhubung ucapan beliau semasa 'Himpunan Ungu' pada September tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2018.
SANGAT jelas dua pegawai polis yang dihantar menyoal Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada pagi tadi, berharap mereka berada di tempat lain, kata peguam yang hadir semasa sesi itu hari ini.

Peguam Haniff Khatri Abdulla menyifatkan kedua-dua pegawai polis dari Bukit Aman "tersipu-sipu" dan "malu-malu".

"Mereka juga memohon maaf. Mereka jelas kelihatan malu dan jelas tidak selesa kerana terpaksa mengambil kenyataan daripada negarawan seperti itu," kata Haniff kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu hari ini, polis menyoal Siti Hasmah mengenai ucapan yang diberikannya pada "Himpunan Ungu", perhimpunan wanita menentang situasi politik di Malaysia masa kini.

Acara itu diadakan di Kuala Lumpur pada 10 September 2017. Ucapan beliau, yang disiarkan dalam talian, berlangsung selama 5 minit dan 40 saat. Lebih 1,000 orang menyertai perhimpunan itu.

Siti Hasmah kini disiasat kerana didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pemimpin wanita dan peguam, bagaimanapun, mengecam tindakan itu dan mempersoalkan mengapa hanya baru sekarang polis menyiasatnya, empat bulan selepas acara itu.

Haniff memberitahu The Malaysian Insight, Siti Hasmah "tenang, terkawal dan memberi sepenuh perhatian" semasa sesi soal jawab.

"Beliau juga berjenaka ketika telefon bimbit pegawai polis dimatikan, dan nada deringnya adalah lagu Hindi. Beliau berkata, 'Kita boleh mendengar muzik semasa kita bercakap.'"

Dua pegawai itu menyoal beliau selama kira-kira satu jam. Siti Hasmah turut ditemani dua peguam dan seorang pembantu peribadi.

Haniff tidak mengulas mengenai soalan yang ditanya kepada Siti Hasmah tetapi memberitahu beliau menjawab 12 soalan. Selebihnya, Siti Hasmah memberitahu polis akan menjawabnya di mahkamah.

"Pegawai polis itu mungkin malu, tetapi mereka hanya menjalankan tugas. Tetapi secara peribadi, saya masih mendapati ia keterlaluan, pada usia 91 tahun, beliau (Siti Hasmah) terpaksa diseret melalui semua ini.

"Ya, polis diarahkan untuk melakukan ini dan jelas ia adalah untuk menimbulkan rasa takut kepada orang ramai. Jika mereka dapat melakukan ini kepada Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri, dan kini isterinya, anda perlu berjaga-jaga," kata Haniff.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, dimaklumkan pihak polis sedang menyoal isterinya, beliau tidak di situ kerana menghadiri mesyuarat lain.

"Beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan isterinya dan peguam," kata Haniff.

Ini adalah kali pertama dalam hidupnya Siti Hasmah disoal oleh pihak polis, kata peguamnya.

"Beliau memberi keterangan di mahkamah sebelum ini, tetapi ia berkaitan kes kemalangan dan rogol ketika masih menjadi doktor pelatih."

Siti Hasmah bakal mencecah usia 92 tahun pada 12 Julai dan akan meraikan ulang tahun perkahwinannya ke-62 dengan Dr Mahathir pada Ogos ini.

-----------------

Pihak berkuasa tak patut 'kacau' Siti Hasmah, kata Ku Li

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya mensasarkan Tun Siti Hasmah Mohamad Ali.

Anggota Parlimen Gua Musang itu mengulas tindakan polis yang menyiasat dan merakam keterangan isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berhubung ucapannya pada himpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’di Kuala Lumpur, 10 September lalu.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai "salah" dan hanya memburukkan imej kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan seharusnya hanya menumpukan perhatian kepada Mahathir, selaku pesaing utama menjelang pilihan raya umum ke-14.

"Mengapa tidak pergi dan tahan Mahathir saja? Tidak berbaloi untuk pihak berkuasa bertindak kasar...dan malah terhadap Siti Hasmah.

"Saya tidak rasakan ia tindakan yang betul...Ia hanya menambahkan lagi cerita tidak baik dan merugikan parti pemerintah, dan itu bagi saya tidak memberi manfaat kepada sesiapa," katanya pada sidang media selepas program forum bertajuk "Reformasi untuk Malaysia yang Progresif, anjuran G25 di Shah Alam, hari ini.

Ekoran penglibatan Siti Hasmah dalam himpunan itu, beliau disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.

Tengku Razaleigh yang mesra dipanggil Ku Li juga mengulas tentang kebarangkalian untuk Mahathir kembali berkuasa, selepas beliau diumumkan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau meramalkan pelbagai cabaran yang akan dihadapi pemimpin berusia 92 tahun itu untuk sekali lagi memimpin negara.

Beliau berkata, pada masa ini HARAPAN mungkin setuju untuk memilihnya jika mereka berjaya menumbangkan BN pada PRU akan datang, tetapi keadaan mungkin berbeza jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanya memenangi sedikit kerusi.

"Ada empat parti (dalam HARAPAN) dan jika parti Mahathir menang paling banyak kerusi, mereka akan berpeluang untuk mencalonkan pemimpin mereka, iaitu Mahathir.

"Tetapi jika mereka hanya menang dua atau empat kerusi? kemungkinan besar beliau tidak akan mendapat sokongan," katanya.

Adakah Dr M akan benar-benar berubah?

Ketika era pentadbirannya, pengkritik sering menyifatkannya sebagai diktator dan menggelarnya "Mahafiraun".

Sepanjang tempoh itu, negara antara lain menyaksikan penahanan ahli politik dan aktivis dalam Operasi Lalang 1987, krisis perlembagaan dan kehakiman 1988 yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, serta pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kedudukan timbalan perdana menteri pada 1998 yang mencetuskan gerakan Reformasi.

Ketika ditanya sama ada kembalinya Mahathir mentadbir negara akan memberikan kesan negatif kepada kebebasan bersuara dan badan kehakiman, Ku Li berkata sukar untuk meramalkannya.
Namun, beliau berkata Mahathir sudah mempunyai rekod sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

"Sepanjang 22 tahun itu beliau telah tunjukkan wajahnya. Usianya akan masuk 9 tahun, adakah beliau akan berubah? Ini persoalan besar bagi sesetengah pihak.

"Mungkin beliau akan berubah, dengan dipandu oleh pemimpin daripada parti (HARAPAN) yang lain," katanya lagi.
-malaysiakini 

Mat Sabu diraikan di masjid bulan sebaik tiba di Pasir Mas

ZIKRI ABDULLAH
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang tiba di Kelantan petang semalam disambut di masjid bulan yang selama ini menjadi markas Pas.

Beliau turut merasmikan bilik operasi pusat daerah mengundi (PDM) Kubang Bemban dalam Dun Pengkalan Pasir.

Pengerusi AMANAH Pasir Mas Che Rahim Che Daud yang menyampaikan ucapan aluan di majlis itu berkata, kini bangunan itu bertukar menjadi bilik operasi AMANAH dan Pakatan Harapan (PH).

“Bangunan sebelah masjid bulan ini diberi kebenaran untuk dijadikan bilik operasi PDM oleh pemiliknya,” katanya.

Mohamad dalam ucapannya menyatakan keyakinan PH akan menang dalam PRU 14.

“Pagi tadi ada perjumpaan pimpinan PH diketuai Tun Mahathir dengan duta-duta negara Kesatuan Eropah (EU).

“Jelas kepercayaan mereka akan berlaku perubahan kerajaan dalam pilihan raya ini.

“Kita hanya minta supaya mereka memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia supaya menjalankan pilihan raya dengan adil,” katanya.

Presiden AMANAH itu dijadualkan berada di Kelantan selama tiga hari.

Malam tadi beliau merasmikan bilik operasi pilihan raya (BOP) PH Dun Pengkalan Pasir manakala hari ini dijadual merasmikan bilik operasi pilihan raya PH Dun Air Lanas.
Presiden AMANAH merasmikan BOP PDM Kubang Bemban di Dun Pengkalan Pasir

Kakitangan hospital kantoi meramas buah dada pesakit

Rakaman video menunjukkan seorang kakitangan National Hospital Surabaya memohon mengakui dan memohon maaf daripada pesakit wanita yang dicabulnya kini tular di media sosial Indonesia.

Dalam rakaman itu, pesakit wanita terbabit yang berada di atas katil hospital kedengaran menyoal siasat lelaki terbabit yang didakwa meraba payudara wanita itu ketika menyorong mangsa keluar dari bilik bedah ke wad dan lelaki berkenaan akhirnya mengakui melakukan perbuatan keji itu.

Kakitangan terbabit kemudian memohon maaf kepada wanita itu dan anggota keluarganya.

Menurut laporan Tribun News, suami wanita itu, Yudi Wibowo Sukinto, berkata kejadian berlaku Selasa lalu, ketika isterinya disorong keluar dari bilik bedah.
Menurutnya, kakitangan lelaki itu yang dikenali sebagai Junaidi menyorong isterinya yang belum sedar sepenuhnya daripada bius.

“Junaidi berbual dengan isteri saya, termasuk asal dari mana sebelum meraba payudara isteri saya tiga kali.

“Isteri masih tidak berpakaian kerana baru keluar dari bilik bedah. Isteri sedar namun tidak berdaya,” katanya.

Berikutan itu, Yudi membuat laporan kepada polis hari ini.

Menurutnya, walaupun pelaku sudah memohon maaf namun dia tidak menerima lalu membuat laporan polis.

“Jika maaf diterima, belum tentu kejadian ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Ketua Polis Surabaya, Rudi Setiawan, berkata pihaknya sudah memulakan siasatan sebelum laporan dibuat selepas kejadian itu tular di media sosial.

Menurutnya, kakitangan lelaki itu masih belum ditahan namun sudah diambil keterangan dan menunggu hasil siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek boleh didakwa dengan tuduhan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
-kualalumpurpost

Azmin tak wajar diaibkan, Hanipa saran laksana hukum jenayah qazaf

HUSIN MAHAT 
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tidak wajar diaibkan oleh sesiapa pun dan tuduhan yang dilemparkan terhadap pengerusi PKR Selangor itu memberi pengajaran mengapa Islam mewujudkan hukum qazaf iaitu bagi menjaga maruah, harga diri dan air muka individu daripada tuduhan melakukan jenayah seks tanpa bukti.

Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Kanun) AMANAH Nasional Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau pernah membangkitkan persoalan qazaf di parlimen namun kesal kerana ahli-ahli parlimen yang mewakili sebuah parti Islam tidak peka dengan isu itu.

Qazaf adalah satu kesalahan jenayah syariah yang merujuk kepada tindakan menuduh seseorang melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi.

Mohamed Hanipa Maidin02Menurut Hanipa, beliau pernah mengkritik pedas tindakan seorang peguam kanan di Dewan Rakyat kerana melakukan ‘road show’ mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan seksual.

Peguam kanan itu, katanya diberi fiat (kebenaran) oleh peguam negara untuk mengendalikan kes dakwaan liwat Anwar.

Menjelaskan inti ucapannya di Dewan Rakyat di laman facebook, Hanipa memetik kandungan sebuah kitab tentang hukum qazaf yang menjelaskan khilaf (perbezaan pendapat) ulama sama ada qazaf termasuk dalam hak-hak Allah atau hak anak Adam (manusia).

Menurut beliau, ulama yang berpendapat qazaf adalah hak Allah menyatakan jika pesalah qazaf memohon maaf sekalipun, hatta mangsa yang difitnah memaafkan sipenjenayah, hukuman 80 kali sebatan tetap perlu dilaksanakan.

“Sepatutnya yang cakap isu itu bukan saya tapi para agamawan dalam ‘parti suci’. Tapi itulah… yang kuat berkokok (tentang) RUU 355, hairan juga masa kes Datuk Seri Anwar Ibrahim diaibkan, senyap sahaja dalam Parlimen.

“Saya kadangkala bingung isu agama sebegitu tak cakap, isu dunia seperti 1MDB pun tak cakap. Habis buat apa ada dalam Dewan Rakyat ya?” soal beliau.

Menurut Hanipa, secara peribadi beliau merasakan Azmin yang juga timbalan presiden PKR tidak wajar diaibkan sebegitu rupa dan insiden ini menunjukkan betapa pentingnya maruah, harga diri dan air muka individu amat perlu dihormati dan dilindungi dengan hukuman qazaf.

Semalam adik Azmin, Azwan Ali membuat laporan polis bagi menyiasat dakwaan skandal seks membabitkan Azmin seperti didakwa sebuah blog baru-baru ini.

Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 3 petang.

“Saya buat laporan polis ini kerana kes ini perlu dibersihkan apatah lagi melibatkan nama Azmin Ali dan isterinya.

“Ini maruah seorang pemimpin, ini bukan skandal seks artis tetapi skandal seks pemimpin nombor satu Selangor.

“Saya tak tuduh dia (Azmin) buat skandal seks tetapi laporan polis saya hari ini menjurus kepada dua spesifikasi iaitu kepada tertuduh dan yang membuat tuduhan (blog terbabit),” kata Azwan, pengacara rancangan hiburan yang turut mendakwa dirinya sebagai ‘Diva AA’.

Azmin awal minggu ini menafikan tuduhan di blog berkenaan yang mendakwa beliau mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang sudah berkahwin.

Katanya, artikel itu berniat jahat dan merupakan fitnah terhadapnya menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyekat akses ke blog berkenaan selepas seorang wanita membuat laporan polis.

Sementara itu Azwan turut menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengantung kedudukan Azmin selaku ahli lembaga pengarah pihak berkuasa itu sehingga siasatan selesai.

Azwan buat laporan polis dakwaan skandal seks Azmin

Selebriti kontoversi Azwan Ali hari ini membuat laporan polis bagi menyiasat dakwaan skandal seks membabitkan abangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti yang didakwa sebuah blog baru-baru ini. Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 3 petang tadi. 

“Saya buat laporan polis ini kerana kes ini perlu dibersihkan apatah lagi melibatkan nama Azmin Ali dan isterinya. “Ini maruah seorang pemimpin, ini bukan skandal seks artis tetapi skandal seks pemimpin nombor satu Selangor.

“Saya tak tuduh dia (Azmin) buat skandal seks tetapi laporan polis saya hari ini menjurus kepada dua spesifikasi iaitu kepada tertuduh dan yang membuat tuduhan (blog terbabit),” kata Azwan kepada wartawan selepas membuat laporan polis tersebut.

Sehubungan itu selebriti yang terkenal dengan gelaran Diva AA itu mencabar individu terbabit dalam dakwaan berkenaan agar tampil membuat laporan polis.

"Kalau betul ada bukti sila ke depan sebab kita nak keadilan dan juga saya cabar isteri orang itu untuk bersemuka dengan saya, apa masalah kau,” kata Azwan.
Mengulas lanjut, Azwan berkata kehadiran beliau hari ini bukanlah kerana kasih sayangnya kepada Azmin sebaliknya atas prinsip berani kerana benar.


“Ini bukan soal sayang tetapi soal perjuangan saya, walau dia bapa saya sekalipun kalau dia lakukan jenayah bukan saya untuk pertahankan dia," dakwanya lagi.


Azmin awal minggu ini menafikan tuduhan di blog berkenaan yang mendakwa beliau mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang sudah berkahwin.Katanya, artikel itu berniat jahat dan merupakan fitnah terhadapnya menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyekat akses ke blog berkenaan selepas seorang wanita membuat laporan polis.

Sementara itu Azwan turut menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengantung kedudukan Azmin selaku ahli lembaga pengarah pihak berkuasa itu sehingga siasatan selesai.
-malaysiakini 

Yang corot dan yang dominan dalam Pakatan Harapan Perak

DR MUHAIMIN SULAM 
BEBERAPA hari yang lepas, saya diajak untuk membaca sebuah posting dalam media sosial. Oleh kerana nama saya di’tag’ dalam postingnya, maka pintu ‘rumah’ saya diketuk berkali-kali. Khabarnya, ada ‘maklumat’ panas tentang Pakatan Harapan (PH) Perak.

Sudah beratus-ratus di’likes’, di’share’ dan kemudian disiarkan oleh akhbar politik di talian. Selanjutnya merebak menjadi bualan yang langsung tidak membina negara. Orang kampung kata ‘buang beras’.

Ia tentang pembahagian kerusi di kalangan PH di Perak. Tajuknya, ‘DAP mendominasi PH Perak. AMANAH pula di tempat corot’.

Headline atau tajuk berita itu sendiri mempunyai motif negatif dan mengajak pembaca mengikut acuan yang dikehendaki. Tajuk itu sudah ada unsur propaganda dan provokasi. Pemilihan terma ‘dominasi’ dan ‘corot’ bukan kebetulan tetapi adalah usaha pembenihan doktrin kepada pembaca. Manakala DAP dan AMANAH menjadi objek utama untuk ‘dikerjakan’ sebaik-baik yang mungkin demi kepentingan tertentu.

Memang jika dilihat dari ‘maklumat’ yang dihuraikan dalam tulisan itu dengan pemilihan terma propaganda dan provokasi tertentu, ia akan menguak emosi seketika. Sayangnya ‘maklumat’ yang dihuraikan itu adalah mentah dan lebih bersifat imaginasi. Elok renungi puisi Usman Awang yang bertajuk ‘Melayu’ yang berbunyi:

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Memang jika seseorang melihat dari segi kuantitatif dan berfikir selapis, cepat membuat rumusan bahawa 18 lebih besar daripada 15 dan 15 lebih besar daripada 10. Itu memang saya tidak menafikan rumusan sebegitu sekiranya diandaikan politik itu semata-mata matematik.

Politik itu logik. Politik itu rasional. Politik itu lebih kurang seperti menonton hikayat ringan sambil makan kunyah ‘pop corn’. Hoi! Politik tidak semudah itu untuk difahami dan difikirkan, kawan.

seni bergaul

Secara skema akademiknya, politik itu adalah suatu tatacara mempengaruhi sesuatu kelompok bagi mendapat kuasa untuk memerintah sesuatu kelompok, wilayah atau tempoh tertentu. Menurut Johannes Althusius politik itu adalah seni bergaul dengan manusia. Mao Tze Tung pula berkata, kuasa politik ditegakkan dengan kotak senjata dan Francis Bacon menyebut pula bahawa ilmu pengetahuan adalah kuasa. Bahkan ada berkitab-kitab menimbun menceritakan makna politik dan kuasa yang tak akan terkhatam oleh pemilik akal yang sendat dan singkat.

Aristotle mengajar kita tentang konsep manusia lahiriahnya sebagai haiwan politik. Mereka tinggal bersama atas sebab yang dipersetujui bersama bagi mencapai kehidupan yang sejahtera. Lalu terbentuklah budaya bermasyarakat yang memastikan segala tujuan kehidupan dapat tercapai. Wujudnya kelompok yang ditadbir dan pentadbir. Kedua-dua kelompok sama penting tetapi berbeza peranannya. Sekiranya pentadbir dikuasai iblis, mementingkan kelompok sendiri, itulah petanda kehancuran masyarakat. Masyarakat juga akan hancur jika golongan yang ditadbir bersikap mementingkan dirinya sendiri.

DAP dominan

Sejarah DAP dominan di Perak sebagai parti pembangkang bukanlah sejak dua tiga pilihan raya umum kebelakangan ini. Kerusi yang DAP bertanding di Perak adalah kerusi yang majoritinya pengundi majoriti bukan Melayu. Mengambil kira kemungkinan persempadanan semula dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, perkiraan tersebut mungkin sahaja boleh berubah. Tarikh penamaan calon masih jauh lagi. Ada seribu satu kemungkinan yang akan berlaku.

Kiranya dominasi DAP adalah suatu ancaman pada keamanan rakyat di Perak, apakah pengundi di Perak berani memilih DAP sebagai parti pilihan mereka? Mengapa pengundi di 18 Dewan Undangan Negeri (Dun) memberi sokongan kepada DAP dalam dua kali pilihan raya lalu? Apakah DAP menggunakan ilmu hitam sehingga pengundi tidak punya akal sihat untuk membuat keputusan yang waras?

DAP semakin dominan kerana ‘gerrymandering’ SPR telah menghimpunkan pengundi DAP dalam karung yang sama. Dalam kondisi kecenderungan pengundi Cina yang masih bersama pembangkang, DAP terus memiliki keistimewaan yang diperolehi dari sistem pilihan raya negara kita.

DAP dibiarkan dominan (dalam pembangkang) untuk kekal menjadi hantu bagi menakut-nakutkan pengundi yang miliki emosi melebihi akal. Saya fikir, DAP tidak selama-lama dijadikan hantu yang langsung tidak menguntungkan politik mereka.

landskap politik

Situasi landskap politik negara sudah banyak berubah. Politik perkauman dan sentimen keagamaan tidak lagi satu-satunya tiket untuk mendapat sokongan politik. Tanpa menafikan kedua-dua pendekatan masih wujud dalam masyarakat namun kadarnya sudah banyak terhakis.

Penghakisan politik perkauman dan keagamaan bukan kerana kaum dan agama sudah tidak penting. Masyarakat mula sedar wujudnya pihak yang berlindung di sebalik kepentingan kaum dan agama.

Hari ini DAP lebih terbuka dan ramai orang Melayupun menyertai dan ada yang menjadi pemimpinnya. DAP terpaksa menerima hakikat bahawa merekapun tidak boleh berjuang sendirian untuk berperanan lebih dalam negara demokratik ini. Sebagaimana parti-parti lain juga berpandangan sama.

Zaman ‘big brother’ sudah berlalu. Mana-mana parti sekalipun samada dalam PH, BN atau Gagasan Sejahtera usah mendabik dada konon ‘pemegang kunci syurga’. Hegemoni politik yang dinikmati oleh Umno selama ini dimusnahkan sendiri oleh pemimpin-pemimpin mereka. Parti yang berlagak memiliki ‘dragon ball’ akan memusnahkan kekuatan dirinya kerana terperangkap dengan minda tahyul. Didodoi mimpi panjang yang tiada kesudahannya.

AMANAH dikatakan tercorot dalam pengagihan kerusi di Perak kerana hanya diperuntukan 13 kerusi saja. PPBM dan Keadilan masing-masing memiliki 14 kerusi. Sebaliknya semasa Pakatan Rakyat dahulu Pas memperolehi 22 kerusi, manakala Keadilan dan DAP bertanding di 19 dan 18 kerusi.

Hujah itu kelihatan agak munasabah untuk AMANAH kecewa untuk menjadi gah seperti Pas yang mampu bertanding hingga 59 kerusi di Perak. AMANAH Perak rasanya tiada kudrat segagah Pas Perak yang bersemangat kental itu. AMANAH tidak perlu sebiji menjadi Pas. Ada eloknya difikirkan tentang kewajaran analogi ‘kecil-kecil cili api’. Begitulah juga dalam politik yang serba memungkinkan. Perlu berfikir secara ‘kuih lapis’, jangan berfikir lurus bendul.

tugas nasional

Berbalik kerja sebagai penulis. Kerja menulis adalah tugas nasional. Dalam konsep yang lebih luas ia adalah ibadah. Tulisan seharusnya membina dan membangkitkan martabat akal dan mengelakkan diri diperhamba dengan kebodohan diri sendiri dan kejahatan sang cerdik pandai.

Kita tidak perlu bersikap neutral bagi mempamerkan keegoan sarjana. Sebagai penulis, kita ada idea dan pendirian sendiri. Pertahankan pendirian tanpa memperbodohkan pembaca.

Posting sebegitu hanyalah suatu gerakan mendodoi orang Melayu agar terus tidur nyenyak. Bangkitlah!
_________________________
Dr Muhaimin Sulam ialah Naib Pengerusi AMANAH Perak.

Pas perlu berhenti berkhayal

SITI FATIHAH AWANG

KOTA BHARU – Pas tidak boleh meneruskan agenda memperdayakan masyarakat dengan ilusi mereka yang tidak berasas, kata Naib Pengerusi Amanah Negeri, Che Ibrahim Mohamed.


Menurutnya, Pas nampaknya masih terus berilusi dengan politik khayalan memandangkan amat mustahil dengan sasaran minima menang 40 kerusi, Pas mampu membentuk sebuah kerajaan tanpa sokongan parti lain.

“Umum mengetahui sebuah parti hanya boleh membentuk sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan bila sekurang kurangnya mendapat sokongan majoriti 112 ahli Parlimen (simple majoriti).

“Bila Pas mendakwa mengganti Umno, dalam masa yang sama Pas memusuhi dan menolak kerjasama dengan Pakatan, maka dengan parti manakah Pas bakal menjadi rakan kerjasama?”katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesahkan parti itu mungkin bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen di seluruh negara, PRU akan datang. Sasaran tersebut diletakkan bagi memastikan Pas dapat menjadi kerajaan, bukan lagi sebuah parti pembangkang.

Che Ibrahim turut mempersoalkan mengapa Pas sehingga kini tidak berani membuat dakwaan bahawa gabungan mereka dalam Gagasan Sejahtera sebagai bakal membentuk kerajaan baru di peringkat Persekutuan.

Anak saudara Hadi beri bayangan kesediaan menjadi calon PRU14 menentang Hadi di Marang

MALAYSIA DATELINE
Anak saudara Hadi  beri bayangan kesediaan menjadi calon PRU14
Ketua Amanah Kawasan Marang Miqdad Zakaria seolah-olah membayangkan beliau berkemungkinan akan menjadi calon dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Walaupun pernah dilaporkan sebelum ini beliau keberatan untuk bertanding melawan bapa saudaranya Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Marang pada PRU14, namun beliau juga tidak menyatakan hasrat untuk tidak bertanding di mana-mana kawasan sekiranya ditawarkan.

Menerusi statusnya di laman facebook hari ini, beliau memberikan respon terhadap muka hadapan akhbar Sinar Harian yang memaparkan tajuk utamanya: ‘Anak Saudara Cabar Hadi’?,
Miqdad berkata, mana-mana calon yang bertanding perlu laksanakan tanggungjawab kepada rakyat sekiranya berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan, Pas dan BN ia sebagai tiga blok berasingan itu.

“Kalau bertembung tu bertembunglah nak buat macam mana? Pakatan Harapan, Pas dan BN adalah 3 blok berasingan.

“Tanggungjawab calon adalah terhadap rakyat dan kerja tu kena juga buat.

“Sesiapa yang bertanding tu kena laksanakan,” ujarnya.

Miqdad dipetik pernah berkata pendiriannya untuk tidak menjadi calon PRU14 jelas walaupun Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidak mempertahankan kerusi sama.

Katanya, penyertaannya ke dalam Amanah adalah untuk mengubah landskap politik di Marang.

Lelaki maut direnjat elektrik ketika mengecas telefon bimbit

SEORANG lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbit di rumah rakannya di Jasin, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Arshad Abu berkata Rosli Othman, 35, dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memasang pengecas telefon bimbit ke plug penyambung di Felda Bukit Senggeh.

“Mangsa yang berkerja sebagai buruh ditemui oleh rakanya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri bersebelahan dengan telefon bimbit, pengecas telefon dan plug penyambung kira-kira pada 11.30 malam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini .

Siasatan polis tidak menemui sebarang kecederaan lain pada badan mangsa.

Tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Jasin untuk siasatan lanjut.

Mufti: Taubat paling baik buat Dr M ialah kembali jadi PM

Predeep Nambiar  
Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata lebih baik bekas perdana menteri itu membetulkan kerosakan lalu daripada berdoa semata-mata.

wan-salim-mahathirGEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang berkata taubat paling baik buat seorang ahli politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad ialah kembali membetulkan kezaliman dan kejahatan yang dikaitkan dengannya.



Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata orang Islam harus faham bahawa taubat bukan sahaja diucapkan melalui kata-kata seperti beristighfar tetapi yang lebih utama dilakukan dengan perbuatan dan amalan.



“Jika seorang hamba Allah yang pernah menjadi pemimpin atau pemerintah dan banyak melakukan kezaliman dan kejahatan ketika memimpin rakyat jelata dan memerintah negara, maka taubat yang paling baik ialah dengan menegakkan keadilan dan melakukan kebajikan jika dia berpeluang kembali berkuasa.

“Jadi jika Dr Mahathir ada berniat untuk bertaubat dengan cara yang demikian maka eloklah jika dia kembali memegang kuasa dan menjadi pemimpin negara sekali lagi,” katanya kepada FMT.

Wan Salim mengulas kenyataan penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin baru-baru ini, yang antara lain menyeru Dr Mahathir masuk sekolah pondok dan bertaubat atas dosa-dosanya semasa memerintah negara selama 22 tahun.

Dr Mahathir, 93, yang mempengerusikan Pakatan Harapan, adalah calon gabungan itu untuk perdana menteri.

Salim berkata orang Islam yang baik mesti bertaubat daripada segala dosa dan kesalahan sementara kesempatan masih ada.

Oleh itu, sekiranya Dr Mahathir ingin kembali ke arena politik dengan hasrat untuk memperbetulkan kesilapan, maka tiada salahnya dari sudut pandangan Islam.

“Tetapi jika tujuan beliau hanya untuk kepentingan diri, keluarga atau kroni maka tindakan sedemikian adalah salah dan merupakan suatu yg tidak wajar dilakukan,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda Pas Johor bersama keluarga, rakan sertai Amanah

MALAYSIA DATELINE 
Shamsul Bakri dua dari kiri) ketika menyerahkan borang keahlian kepada Mazlan Aliman yang turut disaksikan Suhaizan Kaiat (empat dari kiri).

Parti AMANAH Negara Kawasan Tebrau menerima masuk ahli baru dari Pas Shamsul Bakri dalam satu majlis sederhana diadakan malam tadi.

Shamsul adalah Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Johor merangkap bekas Ketua Dewan Pemuda Kawasan Tebrau.

Beliau juga adalah aktivis kepada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

“Saya kagum dengan jiwa besar dan keterbukaan pimpinan Amanah Tebrau serta rakan rakan.

“Meskipun tidak dapat kerusi Dun Puteri Wangsa, mereka tak patah semangat, sebaliknya akan terus berjuang memenangkan Pakatan Harapan’.

“Saya umum sertai Parti Amanah Negara bersama 7 ahli keluarga dan rakan-rakan saya malam ini,” ujarnya ringkas.

Borang keahlian diserahkan kepada Mazlan Aliman yang juga AJK Amanah Pusat.

Turut menyaksikan berita gembira ini, Naib Pengerusi Amanah Johor Suhaizan Kaiat.

Amanah boleh menang 20 kerusi, Kota Raja, Kota Bharu di kedudukan teratas

Zulkifli Sulong
AMANAH yakin dapat memenangi 20 dari 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepadanya dengan Kota Raja di Selangor dan Kota Bharu di Kelantan berada di kedudukan teratas.

Sumber Amanah memaklumkan, mereka hampir selesai mengkaji kesemua 27 kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti tersebut.

"Kita gredkan kerusi kita dari A+ hingga ke D. Dari situ kita dapat sekurang-kurangnya enam kerusi di gred A dengan Kota Raja dan Kota Bharu di kedudukan terbaik," kata sumber itu.

Kerusi A+ dan A adalah kerusi hampir pasti menang, B+ dan B kerusi boleh menang manakala C dan D agak sukar menang.

Daripada 27 kerusi yang diperolehi Amanah, mereka meletakkan enam kerusi di gred A, 16 di gred B manakala lima kerusi di gred C dan D.

Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub ketika ditanya mengenainya mengesahkan Amanah mengunjurkan menang di sekitar 20 kerusi namun ia tidaklah boleh dicapai dengan mudah.

Sehubungan itu, beliau meminta semua jentera Amanah digerakkan sepenuhnya bersama jentera Pakatan Harapan (PH) untuk mencapai sasaran itu.

"Senario kita paling buruk adalah menang hanya enam kerusi saja," kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu yang kini akan bertanding di Johor, negeri kelahirannya.

Unjuran paling buruk itu dibuat oleh Invoke, badan kajian yang ditubuhkan oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, berdasarkan sokongan hanya 25% Melayu, 65% Cina dan 30% India kepada PH.

Keyakinan Amanah tidak lari jauh dari apa yang dijangkakan oleh firma pengkaji bebas Politweet dalam laporan mereka minggu lalu, selepas PH memuktamadkan agihan kerusi mereka.

Menurut Politweet, jika berasaskan keputusan PRU13, Amanah boleh menang 18 kerusi berbanding Bersatu (enam), PKR (28) dan DAP (31).

Namun dengan cara pengundian 2013, PH dijangka gagal ke Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Jika PH berjaya menaikkan pencapaiannya dua mata lagi, Amanah akan mendapat 19 kerusi dan dengan lima mata, Amanah akan mendapat 22 kerusi.

Salah satu kerusi kategori terbaik Amanah adalah Kota Raja yang kini disandang ahli Parlimennya, Dr Siti Mariah Mahmud.
Kota Raja antara kerusi kategori terbaik Amanah dan kini disandang ahli Parlimennya Dr Siti Mariah Mahmud. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2018.
Dr Siti Mariah memenanginya untuk kali kedua dalam PRU13 dengan majoriti lebih besar, 29,395 undi berbanding berbanding 20,751 pada PRU12.

Penyumbang utamanya adalah pengundi pelbagai kaum yang menjadi pengundi majoriti di kerusi itu.

Komposisi kaum di sini adalah Melayu 44%, India (29%) manakala Cina (25%).

Dalam konvensyen Amanah Selangor 2017, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mengumumkan, pihaknya menawarkan kerusi di Selangor kepada presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Sejak itu, Mohamad disebut-sebut akan bertanding di Kota Raja, dan tidak kurang juga yang berpendapat Dr Mariah akan mempertahankan kerusi itu.

Satu lagi kerusi Amanah kategori terbaik adalah kawasan Parlimen Kota Bharu, di Kelantan yang dijangka akan ditandingi Pengerusi PH negeri itu, Husam Musa.

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Abdullah dalam satu majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Ia dipersetujui oleh Mohamad yang turut berucap dalam majlis sama di Bunut Payong, kerusi DUN yang terletak dalam Parlimen Kota Bharu itu.

Dari mana datangnya senarai agihan kerusi DUN Kelantan? - Datuk Husam Musa

Entah betul atau tidak, satu senarai didakwa sebagai keputusan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan membabitkan Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi tular sejak semalam.

Maklumat itu didapati tersebar di laman media sosial sekali gus mewujudkan perdebatan di kalangan penyokong pelbagai parti.

Dalam senarai berkenaan, Parti Amanah Negara (AMANAH) dikatakan bakal bertanding di 24 kerusi DUN, selain lima parlimen.

PKR yang sebelum ini berhasrat untuk bertanding di 15 kerusi DUN didakwa hanya mendapat lapan, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula diberikan 12 kerusi.

Selain itu, DAP turut disenaraikan bertanding di satu kerusi, iaitu DUN Kota Lama.

Bagaimanapun, senarai itu didakwa palsu dan sengaja direka pihak-pihak tertentu.

Pengerusi HARAPAN Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata senarai yang disebarkan itu tidak benar sama sekali.

"Ini bukan senarai kita, mungkin direka, " katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Perkara itu turut dinafikan Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai agihan kerusi di peringkat DUN Kelantan.

"HARAPAN Kelantan juga belum bermesyuarat untuk pembahagian kerusi DUN," katanya.

Difahamkan, HARAPAN Kelantan bakal menyelesaikan pembahagian kerusi di negeri itu seawal-awalnya penghujung bulan ini atau selewat-lewatnya Februari depan.

Terdahulu, HARAPAN turut melantik penyelaras di setiap parlimen dan DUN yang disifatkan sebagai bayangan calon oleh pemerhati politik tempatan.
-malaysiakini 

Pelajar nyaris maut dihempap tembok batu berlogo Pas (Gambar)

PBT, Pas Kelantan tidak muncul ziarah pelajar dihempap tembok batu berlogo Pas
ARIF ATAN 
Selepas empat hari insiden seorang pelajar dihempap struktur batu berlogo Pas, pihak Majlis Daerah Bachok dan Pas Kelantan tidak muncul menziarahi mangsa yang terpaksa menerima rawatan di hospital.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan memberitahu struktur batu setinggi kira-kira satu meter itu menghempap Muhammad Alif, 12, yang sedang menunggu bas sekolah sejurus menunaikan solat Jumaat untuk pulang ke sekolah tahfiz Ulul Albab di Bachok, 19 Januari lalu.

Akibat binaan tanpa kerangka besi yang runtuh secara tiba-tiba itu, mangsa yang cedera dan patah kaki dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Sehubungan itu, Hazmi menggesa seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu membuang mana-mana struktur yang usang dan berisiko membahayakan keselamatan orang awam bagi mengelak kemalangan sama berulang.

“Saya dihubungi seorang rakan yang memaklumkan seorang pelajar berasrama di Bachok kerana dihempap papan tanda Pas.

“Sehingga kini pihak Majlis Daerah Bachok, Pas Kelantan dan Kawasan Bachok masih tidak datang melawat bertanya khabar atau menghubungi keluarga adik Muhammad Alif,” jelasnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, pihak keluarga mangsa juga difahamkan telah menghantar mesej memaklumkan kemalangan tersebut kepada Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary tetapi turut tiada maklum balas dan tindakan daripada pemimpin Pas berkenaan.

“Pihak keluarga masih belum membuat laporan polis. Saya bersama pihak keluarga adik Muhammad Alif akan berbincang dengan peguam bagi tujuan mengambil tindakan undang-undang jika pihak berwajib gagal untuk menemui keluarga mangsa,” tegas Hazmi lagi.
Runtuhan tembok batu yang dibina tanpa kerangka besi setinggi satu meter yang nyaris meragut nyawa seorang kanak-kanak.

Projek Batterse Power Station untuk dana PRU?

Projek Batterse Power Station untuk dana PRU?
MALAYSIA DATELINE
Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu bersikap jujur dan mendedahkan secara telus perjanjian membabitkan dua anak syarikat berkaitan kerajaan yang membeli projek Battersea Power Station di United Kingdom.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil berkata,gesaan itu dibuat bagi memastikan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak berlaku ketirisan membabitkan dana awam bagi memastikan pembelian itu benar-benar mendatangkan keuntungan tinggi kepada rakyat.

Faiz Fadzil
“Pemuda AMANAH ingin mempersoalkan kewajaran PNB dan KWSP membeli phase-2 projek Battersea Power Station sebanyak RM8.7 bilion (1.6 bilion pound) daripada SP Setia dan Sime Darby yang melibatkan pembinaan projek hartanah termahal di London Battersea Park,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Pada Jumaat lalu SP Setia dalam satu kenyataannya dipetik berkata, PNB dan KWSP merancang membeli aset komersial bernilai £1.61 bilion (RM8.7bilion) yang sedang dibangunkan ketika ini dalam Fasa 2 projek Battersea Power Station.

Kedua-dua dana itu memeterai Perjanjian Dasar Induk dengan Battersea Phase 2 Holding Company – unit milik penuh Battersea Project Holding Co Ltd, yang merupakan syarikat sekutu 40 peratus milik SP Setia Bhd.

Juteru Faiz berpandangan, pembelian itu adalah transaksi hartanah terbesar dalam sejarah UK dimana kosnya dikhuatiri boleh meningkat berlipat kali ganda daripada asal.

Ini menjadikan ianya sangat berisiko terutamanya kepada rakyat Malaysia yang merupakan penyumbang kewangan utama KWSP dan PNB.

“Pembelian stesen janakuasa ini bukan sahaja menimbulkan persoalan sama ada ia bertujuan untuk menyelamatkan (bail out) projek tersebut, bahkan sama ada ia sebagai usaha Kerajaan menggunakan dana awam untuk mendapatkan dana pilihan raya Barisan Nasional (BN) dalam PRU Ke-14.

” Ini memandangkan bayaran yang dibuat mencecah 4 kali ganda daripada pembelian asal oleh SP Setia dan Sime Darby,” ujarnya.