Antara legasi Tok Guru Nik Aziz dan kepimpinan Hj Hadi Awang masa ini

MANAN RAZALI 
Antara legasi Tok Guru Nik Aziz dan kepimpinan Hj Hadi Awang masa ini“Cuba bayangkan sejenak.. Sekiranya ATGNA masih bersama kita pada hari ini, adakah Pas akan berada di dalam kedudukan yang sama seperti apa yang kita lihat sekarang?”
Saya bukan ahli parti Pas. Sebaliknya saya adalah bekas penyokong tegar Pas yang telah berhenti menyokong Pas setelah selesai Perhimpunan Agung parti pada 6 Jun 2015 di Kuala Selangor di mana pemilihan pemimpin PAS di semua peringkat telah diadakan pada waktu itu.

Saya mula menyokong Pas setelah kembali dari menuntut di luar negara pada Julai 1987 di usia 24 tahun dan duduk di Kuala Terengganu sementara menunggu isteri saya melahirkan anak sulung kami di bulan November pada tahun yang sama.

Selama tempoh tersebut, saya cuba “mencari” Islam dengan mengunjungi banyak masjid di sekitar Kuala Terengganu. Tetapi apa yang saya cari tidak ditemui di semua masjid-masjid yang dikunjungi kerana ilmu dan maklumat yang saya terima tidak memuaskan hati dan gagal untuk memberi apa-apa bekas kepada jiwa saya. Sebaliknya, semakin banyak soalan-soalan yang mula timbul di dalam kepala saya.

Hinggalah saya mula mengunjungi Masjid Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) di Kg. Rusila, Marang, Terengganu, untuk mengikuti kuliah tafsir Quran yang beliau sampaikan pada setiap pagi Jumaat. Diringkaskan cerita, saya terpegun dan kagum dengan penyampaian ilmu oleh TGHA dan merasakan hampir semua soalan-soalah yang bersarang di dalam kepala saya pada ketika itu terjawab.

Mulai dari detik itu, saya menjadi peminat dan anak murid setia TGHA. Beliaulah yang bertanggung-jawab membuat saya menjadi semakin berminat mendalami agama dan mengaplikasikan ajaran Islam dalam usaha untuk menjadi seorang Muslim yang diredhai Allah.

Setelah anak saya dilahirkan, saya bawa isteri dan anak kecil saya kembali ke tempat asal saya di Kuala Lumpur untuk memulakan karier dan membina kehidupan. Sepanjang bertambahnya usia, saya telah menjadi penyokong tegar perjuangan Pas yang ingin mendaulatkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai perlembagaan negara. Dan pada tempoh itu jugalah saya mula mengikuti kuliah-kuliah Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) melalui kaset-kaset yang saya beli di beberapa masjid di sekitar Kuala Lumpur.

Kadang-kadang saya akan juga hadiri majlis-majlis ilmunya jika beliau berkunjung ke Kuala Lumpur. Mendengar ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh ATGNA membuat saya jadi lebih cinta kepada Islam. Sukar untuk rasa tidak tersentuh jiwa apabila melihat dan mendengar cara ATGNA menyampaikan ilmu.

Kini saya berusia 55 tahun. Saya mempunyai 4 orang anak hasil perkongsian bersama seorang isteri yang sentiasa berada disamping saya sepanjang 32 tahun kami berkahwin. Hidup kami selesa alhamdulillah.

Apa yang ingin saya ceritakan di sini ialah sejak 3 tahun lalu (2015), saya telah “membuang” tok guru yang amat saya kasihi dan hormati sepanjang 28 tahun bermula dari waktu pertama kali saya menjejak kaki di Masjid Kg. Rusila pada tahun 1987 dulu. Tidak sukar bagi saya membuat keputusan membuang dan meninggalkan Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) dari terus mengikuti perjuangannya kerana saya adalah seorang yang berfikiran waras dan objektif.

Saya berpelajaran tinggi dan saya tahu betapa pentingnya untuk mensyukuri nikmat akal yang Allah kurniakan kepada saya dengan menggunakannya secara kritis kerana Allah telah menyebut dalam Al-Quran bahawa di akhirat kelak, kita akan dipertanggung-jawabkan ke atas segala pendengaran, penglihatan dan niat termasuk perbuatan kita (Al-Israa’ : 36).

Lawan kepada sikap ini ialah jahil, sombong dan taksub. Dalam bahasa pasar, ia dinamakan bodoh sombong. Dan saya bukan orang yang bodoh sombong dan tidak bercita-cita menjadi begitu. Sia-sia Allah bagi akal jika saya tidak mahu gunakannya dengan betul untuk bezakan yang benar dari yang batil dan sebaliknya hanya bertaqlid buta dan taksub kepada orang lain.

Saya berhenti menyokong TGHA dan Pas setelah saya lihat bagaimana anak-anak didik Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) dikecam, dihina dan dihambat oleh ahli-ahli haluan kanan dalam parti ini bermula dari detik ATGNA meninggal dunia pada 12 Februari 2015 hingga 4 bulan kemudian pada waktu Perhimpunan Agung Parti pada bulan Jun di tahun yang sama untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka.

Segala nilai-nilai yang diajar oleh Islam dan akhlak yang sepatutnya dipamirkan oleh golongan yang bergelar Ustaz ini habis dicampak oleh mereka sendiri ke longkang pada waktu itu. Malu saya untuk bersama jamaah yang begini.

Saya kenal ramai orang yang tiada agama yang mempunyai akhlak lebih baik dari ustaz-ustaz Pas yang bagaikan dirasuk hantu pada ketika itu. Saya amat kecewa dengan sikap TGHA pada waktu itu. Bagaimana dia sanggup biarkan saja hal yang memalukan ini berlaku secara berleluasa benar-benar membuat saya hilang rasa hormat kepadanya. Saya bingung memikirkan apa sandaran agama yang digunakan olehnya untuk mewajarkan tingkah laku yang buruk dan tidak berakhlak begini?

Demikianlah serba sedikit latar belakang mengenai sejarah bagaimana saya jatuh cinta dengan Pas 31 tahun lalu, setia bersamanya selama 28 tahun dan membuat keputusan berpaling daripadanya 3 tahun lalu.

Bermula dari titik sini pula, saya akan beri gambaran mengenai penyakit kronik yang sedang dihidapi oleh Pas dengan permintaan supaya para penyokongnya berlaku jujur untuk menilaikan keadaan dan kualiti parti ini sekarang.

Sebelum saya bercerita lebih panjang, cuba kita tanya dan jawab soalan ini sendiri: Di era kepimpinan siapakah Pas lebih cemerlang dan disayangi rakyat? Adakah di era kepimpinan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) atau era Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) sekarang?

Saya ingin kemukakan 3 kayu pengukur utama yang ada pada diri Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) untuk digunakan di dalam penilaian ini :

1. Beliau berdakwah sepanjang masa menyeru orang Islam dan juga yang bukan Islam dengan penuh hikmah dan bijaksana untuk membuat mereka minat kepada Islam.

2. Beliau enggan mengadakan apa-apa jua jenis kerjasama politik dengan Umno kerana tidak mempercayainya walau sedikit pun.

3. Gaya hidup beliau amat sederhana dan sangat tawadhuk (rendah diri).

Ketiga-tiga sifat ini tidak terdapat pada hampir kesemua pemimpin-pemimpin tertinggi Pas yang ada pada hari ini. Yang lebih ketara ialah sikap mereka yang kuat putar belit, angkuh dan lebih bergaya dari kemampuan masing-masing.

Ketika ATGNA masih hidup, masing-masing pemimpin Pas masih tidak pandai bergaya. Tiba-tiba hanya dalam tempoh singkat selama 3 tahun selepas kematian beliau hingga ke hari ini, entah dari manalah mereka tiba-tiba berjaya mengumpul wang yang banyak untuk hidup bergaya dalam suasana ekonomi yang sungguh mencabar sekarang. Saya tahulah, sebab saya seorang ahli perniagaan yang boleh merasai bahang ekonomi negara yang amat mencabar sejak 1-2 tahun kebelakangan ini.

Tetapi pemimpin-pemimpin Pas yang rata-rata bukan ahli perniagaan sepenuh masa, boleh meletup pula apa yang mereka usahakan dalam tempoh yang singkat untuk membolehkan mereka hidup mewah berbanding majoriti rakyat yang sedang bergelut dengan cabaran-cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi.

Pemimpin-pemimpin Pas sangat pandai menipu pada hari ini. Dan yang paling kuat sekali menipu ialah bekas tok guru saya itulah. Pelik betul saya lihat sikap dia sekarang. Kalau nak dibandingkan dengan ATGNA, bagaikan langit dan bumi perbezaan mereka. Tapi yang peliknya ialah sebelum ATGNA meninggal dunia dulu, tidak pula saya perasan yang TGHA ini kuat temberang seperti sekarang. Sudahlah kuat temberang, kuat maki hamun pula lagi! Berlambak-lambak video yang terdapat di Youtube menjadi saksi yang mempamerkan auta beliau.

Perkembangan yang amat tidak diduga telah berlaku di saat mutakhir kini melihat tindakan anak lelaki sulung ATGNA yang bernama Nik Omar menyertai Parti Amanah Negara dan sekaligus menjadi calun parti tersebut di hari penamaan calun pada 28hb April lalu untuk bertanding di kerusi Dun Chempaka yang menjadi kerusi tradisi Allahyarham ayahandanya sejak 1995. Berita mengejut ini bagaikan halilintar yang membelah langit dengan bunyi dentuman yang amat kuat hingga terhenti seketika degupan jantung ramai ahli-ahli Pas yang taksub kepada kepimpinan TGHA.

Tanpa lengah, beliau telah diserang oleh adiknya Nik Abduh dengan kata-kata keras dan juga kenyataan terbuka TGHA yang menyamakan beliau dengan anak Nabi Nuh yang telah menderhakai ayahnya. Ini berlaku dalam keadaan Nik Omar sedikit pun tidak menyebut apa-apa yang buruk terhadap mereka, malah beliau sempat mendoakan kebaikan untuk adiknya.

Persoalannya sekarang ialah siapa yang benar di antara kedua-dua pihak ini? Adakah tindakan Nik Omar yang memilih parti Amanah sebagai wadah perjuangannya untuk memenangkan Islam itu benar, atau perjuangan Pas di bawah pimpinan TGHA yang memilih untuk kerjasama dengan Umno itu yang benar?

Yang pasti, ATGNA tidak pernah sekali pun bersetuju untuk Pas berkerjasama dengan Umno. Pendirian ini dipegang dengan amat teguh sehingga beliau meninggal dunia. Bagi beliau, berkerjasama dengan Umno adalah satu pengkhianatan yang besar kepada perjuangan Pas. Malah sesiapa yang beliau dapati cuba menjayakan usaha ini dimarahi dan dihalau keluar dari Pas. Begitu tegas pendirian beliau dalam hal ini tanpa ruang untuk kompromi.

Apa yang saya lihat ialah walaupun ATGNA mempunyai minda politik yang tajam, beliau tidak suka bermain politik ketika memimpin Pas dan ketika menerajui kerajaan negeri Kelantan sebagai Menteri Besarnya. Sebaliknya beliau lebih gemar berdakwah menyampaikan ilmu dan berusaha dengan jujur menjaga kebajikan rakyat.

Cara dakwah beliau ialah melalui pendekatan ‘Dakwah Bil Hal’ yang menyampaikan kebenaran dan keindahan Islam melalui akhlak dan tingkah laku dengan cara yang sangat berhikmah dan bijaksana.

Kita sedia maklum bahawa ketika hayatnya, ATGNA amat disenangi, disayangi dan dihormati oleh berjuta-juta rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat tidak kira yang Muslim dan yang non-Muslim, termasuk juga dari kalangan musuh-musuh politiknya dari Umno dan parti-parti lain. Beliau tidak pernah cakap berbelit. Perbuatannya selari dengan percakapannya.

Pendekatan ini membuat ramai orang-orang non Muslim mula meminati Islam sehinggakan ramai di kalangan mereka telah mengundi Pas pada PRU13 lepas kerana mereka merindui negara yang dapat memperjuangkan keadilan dan kebajikan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, dan mereka yakin Pas mampu “deliver” matlamat yang murni ini.

Malangnya, selepas ATGNA meninggal dunia pada 12hb Februari 2015, sebahagian besar dari rakyat mula hilang keyakinan dan timbul pula rasa meluat terhadap Pas setelah TGHA mengambil alih tampuk kepimpinan Pas. Islam mula kelihatan sebagai agama yang membingungkan. Ahli-ahli Pas syok sendiri dalam dunia mereka sehingga merasakan hanya mereka sahaja yang betul dan suci. Keluasan Islam mereka sempitkan sehingga wajah Islam yang indah telah menjadi hodoh.

Selain ini, mereka angkuh menghukum sesiapa yang tidak setuju dengan tafsiran Islam yang mereka bawa sebagai orang-orang yang rosak aqidah, malah terus dikafirkan juga kadang-kadang. Yang lebih teruk lagi ialah apabila mereka merasakan bahawa hanya dengan menyertai parti mereka sajalah baru seseorang itu akan layak ke syurga.

Mereka berpendirian bahawa hanya dengan menyertai Pas dan memberi ketaatan tanpa berbelah bahagi kepada pemimpin-pemimpin parti ini sajalah baru keislaman orang Melayu akan jadi sempurna. Pas adalah bagaikan agama bagi mereka. Sertai Pas jika ingin ke syurga. Dan sesiapa yang tinggalkan Pas dianggap telah meninggalkan Islam.

Tiba-tiba, apabila Nik Omar membuat kejutan untuk bertanding sebagai calun parti Amanah di Dun Chempaka pada hari penamaan calun pada 27hb April lalu kerana ingin meneruskan legasi ayahandanya, hampir seluruh rakyat Malaysia yang tidak cenderung kepada Pas dan Umno menyambut dan meraikan langkah Nik Omar ini dengan penuh gembira dan rasa syukur!

Paling tidak diduga ialah reaksi golongan non Muslim apabila melihat beliau membuat ucapan sulungnya di atas pentas politik di Putrajaya semalam (Khamis, 3hb Mei 2018). Terlalu banyak komen-komen positif bertebaran di media-media sosial menyatakan tentang betapa kerinduan mereka pada ATGNA kini telah terubat dengan kemunculan Nik Omar pada saat terkahir bersama parti Amanah di persada politik negara, dan betapa optimisnya perasaan mereka terhadap keindahan Islam yang sudah mula bersinar kembali setelah melihat video ucapan Nik Omar di Putrajaya selama 15 minit di Youtube. Sila klik link di bawah untuk menontonnya :

Sebenarnya, faktor keterujaan yang dizahirkan oleh ramai orang non-Muslim inilah yang merangsang saya menulis rencana ini. Keterujaan mereka berserta harapan besar agar pendekatan Islam yang dibawa oleh ATGNA dahulu akan dihidupkan kembali supaya mereka mendapat peluang mendekati Islam, membuat saya jadi lebih teruja dari mereka.

Kajian perbandingan agama dan usaha dakwah untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada non Muslim adalah bidang yang saya amat minati. Islam bukan suatu agama syok sendiri yang ekslusif untuk bangsa Melayu sahaja. Islam wajib disampaikan dengan baik dan bijaksana kepada seluruh umat manusia.

Cuba fikir.. Walaupun negara kita sudah merdeka selama 60 tahun, mengapa kita masih gagal berdakwah dengan berkesan kepada rakan-rakan non-Muslim kita? Sebaliknya, kita buat Islam jadi lebih sukar dan tidak praktikal kepada mereka dengan sikap tolol kita menyempitkan keluasan agama suci ini.

Ini yang TGHA dan penyokong-penyokong fanatiknya tidak faham sedikit pun. Cara yang mereka tahu ialah bersikap kasar, bengis, kuat menghukum orang lain dan kuat putar alam. Jangankan orang non-Muslim yang jadi menyampah dan meluat dengan Islam, orang Muslim sendiri pun semakin ramai yang tinggalkan Islam!

Bagi saya, kalau kita betul-betul ingin uji “kehebatan” kita, cuba berdakwah dan sampaikan Islam kepada golongan non-Muslim. Kalau setakat nak syok sendiri sahaja, jangan perasanlah.

Selanjutnya, disamping tadbir-urus yang baik dan menjunjung prinsip-prinsip keadilan yang saksama kepada semua lapisan rakyat tanpa mengambil kira latar belakang agama dan bangsa, ukuran kejayaan sebenar bagi sesebuah negara di sisi Allah ialah apabila berbondong-bondong rakyatnya memeluk Islam dengan sukarela (An-Nasr : 1-3).

Di mana kedudukan kita kalau surah ini digunakan sebagai kayu pengukur kejayaan kita setelah 60 tahun merdeka? Dan di manakah pula kedudukan Pas dalam konteks ini? Apakah kita yakin bahawa budaya dan pendekatan yang mereka ambil sejak 3 tahun lalu mampu memenuhi matlamat yang disampaikan oleh Suran An-Nasr dengan berkesan? Setakat nak maki hamun dan kafirkan orang, bolehlah.

Bayangkan.. Dalam tempoh 3 tahun setelah kematian ATGNA pada tahun 2015 hingga ke hari ini, wajah dan imej Islam telah dirosakkan oleh Pas di bawah pimpinan TGHA.

Tiba-tiba, hanya dalam tempoh 1 minggu sahaja sejak 28hb April 2018 hingga ke hari ini apabila Nik Omar muncul dengan pembawakan diri dan gaya percakapannya yang sangat mirip dengan almarhum ayahandanya, sebilangan besar rakyat negara ini baik yang Muslim dan juga yang non-Muslim bagaikan melompat dengan rasa penuh teruja dan gembira kerana beliau dilihat benar-benar sebagai satu-satunya anak ATGNA yang mampu meneruskan legasi ayahandanya.

Cuba kita fikir.. Mengapa perasaan optimis yang tiba-tiba disuarakan oleh golongan non-Muslim terhadap Islam setelah mereka melihat ucapan Nik Omar di Putrajaya semalam tidak ujud terhadap parti Pas yang diterajui oleh Hadi Awang sepanjang 3 tahun lalu?

Apa gunanya berkokok tentang kebenaran Islam jika ia gagal disampaikan dengan baik untuk menarik minat orang ramai terhadapnya? Jika Nabi (saw) gagal menyampaikan dakwah Islam dengan baik kepada orang-orang Arab yang berkeliaran di padangan pasir kira-kira 1430 tahun lalu, bolehkah kita harapkan Islam akan berjaya di atas mukabumi ini sehingga mempunyai seramai 1.8 billion penganut pada hari ini? Yang pasti ialah bukan mesej kebenaran saja yang penting. Penyampaiannya juga sama penting. Tanpa kedua-dua ini, Islam pasti tidak akan berjaya.

Maka kalau kita bersetuju bahawa pendekatan Islam yang dibawa oleh ATGNA sangat berkesan untuk diterima dengan baik oleh ramai rakyat Malaysia, tidakkah wajar untuk kita tinggalkan TGHA dan Pas untuk alihkan sokongan kepada Nik Omar dan Pakatan Harapan agar legasi ATGNA dapat diteruskan?

Tindakan ini tidak sukar kalau kita boleh berfikir secara objektif dan sanggup bersikap tegas dalam mengambil keputusan yang terbaik untuk diri, agama, dan negara kita.

Berdasarkan penjelasan di atas, siapakah di antara Nik Omar dan TGHA yang kita rasa lebih yakin dapat meneruskan legasi ATGNA ?

Sepanjang 3 tahun lalu telah menunjukkan dengan jelas betapa imej Islam telah dirosakkan oleh barisan kepimpinan Pas yang ada sekarang kerana pendekatan dan gaya mereka telah mengkhianati dasar yang diperjuangkan oleh 3 tokoh hebat Pas sebelum ini. Mereka adalah :

1. Tuan Guru Yusof Rawa (Mursyidul Am Pas yang pertama)

2. Dato’ Fadzil Noor (Presiden Pas)

3. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz (Mursyidul Am Pas yang kedua)

Yang aneh ialah anak-anak kepada ketiga-tiga tokoh Pas ini telah menyertai Amanah. Mereka adalah :

1. Dato’ Dr. Mujahid Yusof (Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak)

2. Faiz Fadzil (Calun ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang)

3. Nik Omar (Calun ADUN Chempaka, Kelantan)

Saya tidak mengharapkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong Pas yang taksub kepada kepimpinan TGHA akan membaca apa yang saya sampaikan dalam rencana ini dan kemudian berfikir mengenainya secara waras dan rasional.

Tetapi saya mengharapkan mesej ini akan membuat ramai pencinta-pencinta Islam yang inginkan pemimpin-pemimpin jujur untuk mentadbir urusan negara kita dengan lebih telus dan amanah, akan berfikir dengan rasional dan mengambil tindakan yang betul pada hari mengundi kelak sekiranya kita ingin legasi ATGNA yang akan menyerlahkan kebenaran dan keindahan Islam dapat diteruskan.

Cuba bayangkan sejenak.. Sekiranya ATGNA masih bersama kita pada hari ini, adakah Pas akan berada di dalam kedudukan yang sama seperti apa yang kita lihat sekarang?

Umno pecat Daim, Rafidah dan Rais, kata Ku Nan

FMT Reporters
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan parti itu memecat 3 pemimpin veterannya, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim berkuatkuasa semalam.

“Semalam, surat-surat telah disediakan, saya telah tandatangani dan hantar pada mereka. Mereka sendiri tahu dan mereka barangkali hendak kita gugurkan mereka sebagai ahli.

“Mereka dahulu bersama kami, hari ini kita perbetulkanlah, kita dalam satu jemaah, kini mereka dalam jemaah menuding jari. Ini tak patut dan tak adil,” katanya selepas memantau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, hari ini.

Daim dan Rafidah menyokong Pakatan Harapan (PH) dengan menghadiri ceramah anjuran gabungan 4 parti pembangkang itu, manakala Rais pula membidas Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya secara terbuka kerana membuang gambar Tun Dr Mahathir Mohamad daripada papan iklan pembangkang.

Rafidah turut menyeru rakyat menolak BN dan memberi mandat mentadbir negara kepada PH.

Laporan polis ritual 'buang sial' enam pemimpin BN

PRU14 | Laporan polis dibuat mengenai sebuah video berbahasa Cina yang menampilkan elemen ritual keagamaan 'membuang sial' yang menjampi dan menyumpah enam pemimpin BN bukan Islam, lapor media tempatan.

Beberapa ketua cawangan parti MCA di Kuantan membuat laporan polis bersama mengenai video itu semalam, petik The Star.

Enam orang pemimpin BN yang dikatakan di dalam video itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalan presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong, ketua pemuda Datuk Chong Sin Woon, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, naib presidennya Datuk Dominic Lau dan Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam.

Dalam laporan polis tersebut, mereka meminta pihak polis menyiasat video berkenaan di bawah Akta Antiberita Tidak Benar dan undang-undang lain yang berkaitan.

"Kami juga bimbang tentang keselamatan para pemimpin yang disebut dalam video itu, kerana mereka telah diancam," jelas wakil MCA, Foo Kok How, seperti dipetik The Star.

Enam pemimpin yang dinamakan dalam video itu merupakan calon pilihan raya umum 9 Mei ini.

Dalam klip video yang berjudul "Rakyat Mengadu" itu, kata-kata kutukan dan sumpah seranah digunakan dalam ritual yang diberi nama da xiao ren itu.

Video itu memaparkan seorang lelaki yang mengetuai bacaan 'mentera' dan membakar colok 'sembahyang Cina'.

'Mentera sumpahan rasuah'

Berikut antara terjemahan bahasa Melayu, 'mentera sumpahan' yang disertakan dalam video itu:

"Pukullah pegawai rasuah, tangan patah dan kaki patah.

"Pukullah pegawai rasuah keluar dilanggar kereta.

"Pukullah pegawai rasuah awaklah bastard."

Ritual tersebut melibatkan peserta memukul kertas lukisan manusia dengan kasut atau selipar.

Da xiao ren adalah ritual kepercayaan Tao untuk "membuang sial" dan menyumpah orang jahat yang menghalang kejayaan kehidupan atau pekerjaan seseorang.
-malaysiakini

Saya dihalau dari mesyuarat Majlis Fatwa kerana kata mangsa Memali syahid – Ahmad Awang

MALAYSIA DATELINE

Tun dah minta maaf, maka sewajarnya dia dimaafkan, kata Ahmad Awang.

Penasihat AMANAH, Ustaz Ahmad Awang berkata, beliau pernah dihalau dari mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan kerana memberikan pandangan bahawa mangsa Memali adalah syahid.

“Saya dihalau dari Majlis Fatwa kerana kata mangsa Memali syahid,” kata Ahmad Awang yang pernah menjadi Pengarah Institut Dakwah Islamiyah (Indah), nama asal kepada Pusat Islam dan kini Jakim.

Menurut Ahmad, “satu-satunya ahli yang menentang keputusan Majlis Fatwa itu adalah saya (yang hadir mesyuarat Majlis Fatwa sebagai ex-officio).

“Akibatnya saya diusir daripada sidang mesyuarat itu (1986) dan dilarang terus daripada menghadiri mesyuarat Majlis itu hingga saya bersara pada tahun 1991,” katanya.

Bagi beliau, apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir bahawa korban Memali tidak syahid ada asasnya tetapi berkata korban itu mati katak memang tidak wajar.

“Tun kata korban Memali tu tak mati shahid kerana ikut yang Tun faham peristiwa itu berbangkit daripada amanat Haji Hadi yang mengkafirkan Umno.

“Lagi pun ikut fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (dengan 14 mufti dan 5 ahli lagi) telah memutuskan bahawa korban Memali itu hukumnya tidak mati shahid kerana mereka di anggap sebagai bughah (penderhaka).

“Yang masih hidup jadi mufti adalah mufti Perak Tan Sri Haji Harussani Zakaria. Sila confirmkan daripada beliau,” katanya.

Ustaz Ahmad Awang menyokong bahawa Tun Mahathir tidak wajar dan terkasar apabila mendakwa korban Memali adalah ‘mati katak’

“Tun telah agak terkasar bila beliau mengatakan korban Memali itu tidak syahid dan ‘mati katak’.

“Tun M sudah mengaku terkasar bahasa dan minta maaf kepada keluarga yang terkorban dalam peristiwa Memali. Nampak ikhlas sungguh-sungguh.

“Maka wajarlah beliau memohon MAAF dan yang berkenaan patutlah memaafkan Tun Mahathir. Itu lah yang diajarkan Rasul kepada ummatnya,” kata Ahmad, bekas naib presiden Pas itu.

Bekas pengarah Institut Dakwah Negara (Indah) itu menyatakan, korban Memali adalah mati syahid, namun tidak persetujui oleh para mufti.

“Kalau ada yang marah Tun kata korban Memali tak mati syahid saya cadangkan minta Majlis Fatwa Kebangsaan kaji semula fatwa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad, beliau sendiri telah sampaikan nasihat supaya Tun Mahathir jangan sentuh hal hukum hakam Islam (melalui Presiden).

“Mungkin Tun terkadang terdesak bila di provok Ustaz Haji Hadi yang tak habis-habis menyerang peribadi Tun.
“Jadi kita pun boleh faham situasi beliau seperti itu. Apa pun kita doakan agar Tun M sentiasa diberi Allah hidayahNya,” kata Ahmad.

Pak cik kopiah, berbaju hijau sumbang RM500 pada calon DAP

PRU14 | Calon DAP bagi parlimen Bakri Yeo Bee Yin berterima kasih kepada seorang penyokong yang menderma RM500 pada program ceramah di Parit Sakai, Muar semalam.

Menurut Yeo Bee Yin, penyokong berkenaan merupakan lelaki Melayu berkopiah yang memakai baju Melayu hijau dan berselipar.

Lelaki berkenaan, kata Yeo, berjumpa beliau selepas majlis sebelum menyerahkan sampul berwarna hijau dan memaklumkan ada RM500 di dalam sampul berkenaan sebagai sumbangan untuk dana kempennya.

Yeo berkata, dia terkejut kerana Parit Sakai adalah kawasan penduduk dengan pendapatan sederhana, maka pemberian RM500 daripada seorang individu adalah sangat besar.

"Oleh kerana saya terlalu terkejut, saya tidak respon dengan baik. Saya hanya tahu cakap terima kasih, terima kasih banyak-banyak.

"Apabila saya buka sampul hijau itu selepas itu, saya terharu tengok keadaan duit itu. Duit ini nampak bukan macam duit dari bank ataupun ATM tetapi duit lama yang dilipat seperti telah lama disimpan.

"Bagi saya, kemungkinan wang sumbangan pak cik itu dari hasil kerja keras beliau," katanya di Facebook.

Guna sebaik mungkin

Yeo juga memohon maaf kerana terlupa mendapatkan nama individu berkenaan namun berharap pesannya dapat sampai kepadanya.

"Walaupun badan kian letih, suara sudah kian hilang dengan aktiviti-aktiviti kempen berterusan selepas pembubaran parlimen, tetapi sokongan pak cik merupakan suntikan yang cukup kuat buat saya untuk teruskan perjuangan untuk lima hari yang akan datang.

"Pak cik, pasukan pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN) di Bakri akan gunakan duit ini dengan sebaik yang mungkin untuk memastikan kemenangan HARAPAN pada 9 Mei.

"Saya juga akan sentiasa ingat tindakan pak cik pada masa depan bahawa di atas bahu kita adalah harapan rakyat seperti pakcik untuk melihat negara tercinta kita bangkit semula dan kembali ke landasan yang baik, kehidupan rakyat boleh diperbaiki serta aspirasi dan potensi generasi akan datang boleh dipenuhi di tanah air kita," katanya.

Kerusi Bakri dipertahankan oleh Er Teck Hwa dari DAP pada PRU lalu.

Yeo merupakan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara pada penggal lalu namun akan bertanding di kerusi parlimen Bakri bagi PRU ke-14 dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon MCA dan PAS.

Pelik!!! Calon Pas galak ahli sokong BN?

Calon Pas galak ahli sokong BN?
AMNI JAGAT
Apabila Pas bertindak untuk tidak meletakkan calonnya di Parlimen P162 Iskandar Puteri yang ditandingi musuh terbaru Pas, Lim Kit Siang ia menimbulkan persoalan ramai pihak.

Hal itu telah menjadi tanda tanya serta perbualan ramai pengundi yang mempertikaikan mengenai hala tuju Pas yang dilihat tidak bersungguh melawan Kit Siang seperti digemburkan menolak Islam oleh mereka.

Namun dalam pertikaian tersebut, berlakunya satu  kes di mana secara maya calon Pas N49 Kota Iskandar, Sallehuddin Dahiran, didakwa telah berkempen untuk mengundi calon BN bagi Parlimen Iskandar Puteri.

Kerui Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Iskandar memperlihatkan pertembungan tiga penjuru di antara calon  Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN)  dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.

Hal itu telah tersebar luas melalui aplikasi ‘Whatsapp’ yang dipetik sebagai Ustaz Sallehuddin berkata: “kalau ikut pendapat saya LKS (Lim Kit Siang) tetap menang, kita bagi undi kepada Jason (Jason Teoh Sew Hock) untuk kurangkan majoriti LKS. Pandangan saja.”

Sallehuddin membalas dengan menjawab “semoga undi protes Cina kepada LKS menjadi realiti ketahuilah undi ‘king maker’ parlimen IP (Iskandar Puteri) berada di tangan-tangan kita. Kita benam si mulut celupar terhadap Islam di sini.”


Sallehuddin juga memberi amaran agar perkara tersebut tidak dihebohkan kepada orang ramai kerana bimbang akan ada undi simpati kepada Lim Kit Siang.


Peranan Pas dalam mencatur pergerakkan politik semasa menjadi semakin terserlah dengan sokong terhadap BN secara senyap.

Menurut seorang responden pengundi di Kota Iskandar dan Iskandar Puteri berkata, hal tersebut tidak langsung mencerminkan keikhlasan Pas dalam memperjuangkan agama suci Islam.

Iskandar Puteri menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon MCA dan DAP untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

Parlimen tersebut sebelum ini dimenangi oleh Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi menentang Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman.

Penuduh skandal Mat Sabu akan diheret ke mahkamah

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwanya mempunyai rakaman skandalnya dengan seorang wanita.

AMANAH pula akan mengambil tindakan sama terhadap tiga individu yang terlibat dalam sidang media itu semalam kerana menyamar sebagai anggota mereka, menurut timbalan setiausaha agung parti itu Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Ahmad Kerdee berkata semakan dalam pangkalan data keanggotaan mereka mendapati nama individu yang mengetuai sidang media semalam, Rizal Bakar, tiada dalam pangkalan data keanggotaan mereka.

“Kami juga telah menyemak dengan AMANAH Kuala Kedah dan tiada seorang pun mengenali individu tersebut,” katanya.

Rizal, yang hadir bersama dua lagi lelaki, semalam memperkenalkan diri sebagai anggota AMANAH Kuala Kedah dan mengaku sebagai pengkagum Mohamad meminta penjelasan sama ada pemimpin itu mempunyai skandal dengan seorang wanita.

Dalam sidang media di ibu pejabat AMANAH di ibu negara, Ahmad Kerdee juga berkata hanya seorang Rizak Bakar menjadi anggota mereka, tetapi beliau bukan anggota di Kedah dan bukan juga pihak yang mengadakan sidang media itu.

"Namun begitu, nama Rizal bin Bakar hanya muncul di satu kawasan di Selangor, bukannya di Kuala Kedah.

“Pihak kawasan di Selangor ini juga sudah menghubungi penama Rizal bin Bakar, dan dia menyatakan bukan dia yang berada dalam sidang media semalam,” katanya.

Beliau menunjukkan tangkap layar perbualan Whatsapp antara “Mohamad Sabu” dan seorang wanita serta rakaman suara perbualan mereka.

Dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur juga, Rizal mendakwa mempunyai rakaman video tetapi hanya akan mendedahkan selepas 36 jam (Ahad ini).

Sementara itu, berkaitan dakwaan skandal itu, Ahmad Kerdee berkata tuduhan sebegitu memang lazim setiap kali menjelang pilihan raya umum.

“Sebelum ini beberapa ahli politik lain juga telah menjadi politik kotor seperti ini,” katanya.
-malaysiakini

Pesona Nik Omar telah ingatkan bukan Melayu kepada Nik Aziz

ARIF ATAN dan WAN ZAHARI SALLEH 
Nama Ustaz Nik Omar sedang meningkat naik dalam arena politik Malaysia apabila beliau membawa mesej perpaduan dan kasih sayang.

Kemunculan Nik Omar Nik Aziz ke pentas-pentas ceramah di Lembah Klang telah mendapat sambutan hebat orang bukan Melayu sebagaimana mereka menghormati Tok Guru Nik Aziz sebelum ini.

Selepas beliau berceramah di Shah Alam petang semalam dan di Putrajaya malam tadi, media sosial dilimpahi dengan komen-komen mereka terhadap Nik Omar.

Anak kedua bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Nik Aziz Nik Mat itu dilihat mewarisi karisma kepimpinan ayahnya yang lembut berbahasa dan bersikap terbuka meraikan orang bukan Islam.

Hal itu dapat dilihat pada paparan komentar ketika program itu disiar secara langsung dengan meraih setinggi 62,000 tontonan menerusi Facebook rasmi atas akaun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Ibarat mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, pesona Nik Omar yang meneruskan perjuangan ayahandanya dalam AMANAH mengundang kekaguman segenap lapisan masyarakat ketika berbaki lagi enam hari untuk 14.9 juta rakyat Malaysia membuang undi.

Mengikuti cara dan pengisian ucapan Nik Omar, ramai yang memberitahu mengingatkan mereka akan Almarhum Nik Aziz sebagai pemimpin yang disayangi dan dihormati banyak pihak.

MESEJ KASIH SAYANG
Ceramah Nik Omar di Shah Alam yang membawa mesej kasih sayang untuk sesama Islam dan juga dengan bukan Islam.

“May God bless all of us in Malaysia from now n forever. Peace for all. Thank for the inspiring speech Nik Omar,” tulis Fung Fong.

(Semoga Tuhan merahmati kita di Malaysia dari sekarang hingga selama-lamanya. Keamanan untuk semua. Terima kasih atas ucapan yang penuh memberangsangkan Nik Omar)

Christopher Lee pula menulis, “Islam is beautiful through Nik Omar.”

(Islam itu indah melalui Nik Omar).

Chris Cheng Lai Peng pula menulis, “What a speech Nik Omar…You are so like your father TGNA!!! May Allah blessed you!! If your dad was alive he would have been do proud!!! Hidup PH.”

(Ucapan apa ini Nik Omar. Awak saling tak tumpah TGNA!!! Semoga Allah merahmati anda!!! Jika ayah mu masih hidup, dia tentu berbangga dengan mu!!).

Pengguna Facebook, Wilson Wong mengucapkan selamat maju jaya kepada Ustaz Nik Omar dan menganggap calon PH yang bertanding di kerusi Dun Chempaka itu antara individu yang dihormatinya.

Sementara itu, Ganesh Raj menulis, “Kami bangga dengan anda. Saya melihat TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dalam diri anda” manakala Erica Phoon berkata, “Nik Omar, anda akan buat ayahmu berbangga.”

Pendapat sama diluahkan Victoria Loh yang menyifatkan Almarhum Nik Aziz sentiasa berada bersama Nik Omar.

“Kami bangga dengan kamu. Semangat Nik Aziz terus hidup selama-lamanya,” kata Loh lagi.

Netizen juga berpendapat Nik Omar seorang pemimpin yang bersifat rendah diri apabila membahasakan diri sebagai ‘ambo’ (hamba iaitu saya) serta menggunakan gelaran ayahanda dan bonda kepada Tun Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah.
Pecah rekod penonton siaran langsung malam tadi Putrajaya. Semasa Nik Omar berucap sudah pecah rekod lepas, semasa Tun Dr Mahathir lagi meningkat.

Antaranya, Saravaswaran Gunalan berkata, “Beliau sama seperti ayahnya Nik Aziz. Orang yang merendah diri” juga diakui sama Chan Sp yang berpendapat, “Good father good son.”

Kesemua tulisan ini muncul selepas ucapan Nik Omar di Shah Alam dan Putrajaya malam tadi.

Ketika berucap di Seksyen 8 Shah Alam, Nik Omar mencerita antara memori beliau dengan Allmarhum Nik Aziz.

Antaranya Nik Aziz memberitahu suatu pagi dia demam tetapi mahu berjumpa juga dengan Karpal Singh bagi meraikan harijadinya.

“Pagi ayah beritahu dia demam tetapi nak jumpa juga Karpal Singh untuk raikan harijadinya. Petang saya dapat tahu ayah sudah berada bersama Karpal di Pulau Pinang,” cerita Nik Omar.

Menurut Nik Omar, pilihan raya kali ini bukan soal pilih agama tetapi memilih pasukan mana untuk mentadbir negara.

“Kita bersama-sama berlumba membuat kebajikan – fastabikul khairat.

“Bagi ambo, kita kena pilih pasukan terbaik untuk tadbir negara iaitu Pakatan Harapan,” katanya disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Berikut antara petikan komentar lain yang turut memuji pesona kepimpinan Nik Omar ketika menonton secara langsung ucapan anak bekas Mursyidul Am Pas itu di Putrajaya:

Jchanet Tan – God bless you… this May 9th will be the day.

Kogee Sinniah – We must unite, unite, unite… respect each other, work hard together, love each other.

Brian Low – We have found our future Minister of Religion.

Sai Murugan N – My respect to him grows more and more!!

Ken Ken – ISLAM IS GREAT… NIK OMAR CAN BECOME A GREAT LEADER…

Michelle Cheong – Well said Mr Nik. We respect all religion in Malaysia. BN always used religion to create hatred between the races.

Ken Ken – I FEEL HAPPY LISTENING TO THIS MAN TALKING… A GREAT INSPIRATION…

Fung Fong – Best said Nik Omar! Thanks for your encouraging words!

Meggie Teoh – You have all our support Nik Omar.

Valentina E. Pinji-Rajatin – Respect Nik Omar. A true leader!

Sum Km – His DAD must be so proud of him today…for doing the right thing.

Michelle Cheong – Nik Omar, your father will be so proud of you.

Mahkamah tolak permohonan Tian Chua

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman pemula oleh bekas anggota parlimen Batu, Tian Chua bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan beliau bertanding di kerusi parlimen berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Hakim Datuk Nordin Hassan ketika membenarkan bantahan awal oleh pejabat Peguam Negara mengatakan pemfailan kertas pencalonan merupakan sebahagian daripada proses pilihan raya.

Beliau memetik Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut sebarang cabaran mengenai pilihan raya mesti dibuat melalui petisyen pilihan raya sebelum dikemukakan ke mahkamah tinggi.

"Oleh itu, kerana beliau mencabar penerimaan kertas pencalonan mesti dibuat melalui petisyen pilihan raya.

"Saya juga tiada bidang kuasa dan kuasa untuk mendengar kes-kes petisyen pilihan raya. Pemfailan saman pemula ini melanggar Perkara 118. Berdasarkan ini, permohonan itu ditolak tanpa perintah berhubung kos," katanya.

Tian Chua yang nama sebenarnya Chua Tian Chiang sebelum ini memohon deklarasi bahawa beliau layak dan berhak untuk bertanding bagi kerusi Parlimen atau negeri seperti yang termaktub dalam Artikel 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.

Pandangan sebenar ibunya tentang akhlak Nik Omar

HDZ Ahmad 
Kulit buku “Bidadari Dari Syurga” nukilan Tuan Sabariah Tuan Ishak.

BAHAGIAN 1

Saya tak kenal pun Ustaz Nik Omar. Saya cuma tahu, beliau anak lelaki sulung TGNA. Cuma, ketika TGNA masih memimpin PAS, sewaktu PAS masih harmoni dan belum berpecah angkara kumpulan konservatif PAS dari Terengganu, saya ada lah mendengar cakap-cakap orang PAS tentang Nik Omar.

Antara yang saya dengar adalah, mereka mengatakan, anak yang paling mirip dengan TGNA dari segi akhlak, keilmuan, tutur kata dan cara berfikir ialah, Ustaz Nik Omar.

Kemuncak yang saya dengar tentang Nik Omar adalah waktu Nik Abduh membuat keputusan menyertai pilihanraya untuk menjadi ahli parlimen.

Ketika bersembang dengan sekumpulan orang lama dalam PAS, mereka menyebut, “Hok Tok Guru harap sebenarnya masuk politik ni, Nik Omar. Tok Guru nok sangat dio ganti Tok Guru. Tapi dio tokse. Dio berehi ngajar lagi”.

Hari ini, Nik Omar telah rasmi menyertai politik dan menjadi calon PAKATAN HARAPAN (PKR). Tutur kata dan akhlak beliau sewaktu berkempen samada ceramah atau temuramah, memang menunjukkan kepada kita, beliau benar-benar persis TGNA. Memang terbukti benar apa yang orang ramai kata dahulu. Hebat !

Di saat rakyat mampu menghilang rindu dekat TGNA apabila munculnya Nik Omar, ada perkara yang benar-benar menyedihkan berlaku terhadap beliau. Adiknya kandungnya sendiri, Nik Abduh mencela beliau apabila memberi perumpamaan seperti air mani yang terbuang hina.

TG Haji Hadi (TGHH) pula menyimbah minyak kepada keluarga TGNA apabila mengumpamakan seperti anak Nabi Nuh yang kafir walaupun ayahnya seorang Nabi.

Paling memeritkan, Nik Abduh menulis Nik Omar tidak dapat restu ibu, ibunya kecewa dengan tindakan Nik Omar sertai PH dan ibunya akan turun berkempen di DUN Chempaka untuk menentang anaknya, Nik Omar demi kemenangan PAS.

Selepas mendapat tahu “kemalangan” ini, saya tiba-tiba teringat akan satu buku yang ditulis oleh isteri TGNA, Datin Sabariah. Buku itu bertajuk, “Bidadari Dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang)”. Buku ini menceritakan kehidupan beliau sebagai isteri kepada seorang MB bergelar ulama, TGNA.

Dalam buku ini, beliau cuba menceritakan betapa terpujinya akhlak TGNA, indah tutur katanya, tinggi ilmunya dan tajam serta jauh cara berfikir TGNA. Menariknya, ada bahagian yang beliau tulis itu, mampu memberitahu kepada kita pandangan sebenar beliau terhadap anaknya, Ustaz Nik Omar.
Kandungan buku “Bidadari Dari Syurga” termasuk pengakuan Tuan Sabariah tentang Nik Omar.

Ketika memuji akhlak TGNA, ada satu bahagian ibu Ustaz Nik Omar dengan jelas menulis :

“Sifat positif (TGNA) ini dapat kulihat mengalir dalam personaliti anak-anak kami TERUTAMANYA NIK OMAR“. (Bidadari Dari Timur, M/S 47).

Ya, ditulis disitu ialah Nik Omar, tidak ditulis Nik Abduh apatah lagi nama menantu. Dalam ramai-ramai anak, nama Nik Omar yang ditulisnya. Begitulah pandangan sebenar seorang ibu kepada Ustaz Nik Omar.

Dakwaan orang ramai tentang sifat terpuji Ustaz Nik Omar persis TGNA disahkan sendiri ibunya. Nik Omar memang TGNA nombor 2, “The Return of Tok Guru”.

Sememangnya Nik Omar sama seperti TGNA baik dari segi akhlak, keilmuan, tutur bicara dan cara berfikir yang tajam serta jauh kedepan.

Jadi, dalam keadaan PAS berpecah sekarang dan wujud pula PAKATAN HARAPAN, sekiranya kita ingin tahu apa pandangan TGNA, Nik Omar selayaknya kita tanya dan ikut pandangan beliau kerana cara fikir Nik Omar bertepatan dengan cara fikir ayahandanya, TG Nik Aziz.

Sebagaimana TGNA, Nik Omar setia dengan kebenaran dan Islam, bukan setia dengan parti sehingga melahirkan sikap taksub.

Tapi, bagaimana pula dengan situasi Nik Abduh ingin melibatkan ibunya yang sakit untuk menentang abangnya (PH) demi memenangkan PAS? Saya akan ulas tentang kenapa Nik Abduh mahu libatkan ibunya dan PAS era Haji Hadi tidak menghalang perbuatan ini. Saya akan ulas namun tidak menyentuh sedikit pun tentang ibunya (isteri TGNA) pada tulisan part 2.

P/S = UPDATE (Inspirasi Dari Dr Rozaimi) : Politik bukan isu akidah, ianya isu ijtihad. Nik Abduh mempunyai ijtihad berbeza dengan Ustaz Nik Omar. Nik Abduh beraliran konservatif TGHH. Nik Omar beraliran progresif TGNA.

Saidina Ali berbeza pandangan politik sampai berperang dengan isteri Nabi, Aisyah. Isteri nabi merupakan ummul mukminin (ibu orang beriman), bukan sekadar ibu Nik Abduh mahupun bonda Rosmah. Adakah Saidina Ali merupakan penderhaka kepada bondanya?

Pecah rekod: 62,000 ikuti siaran langsung Jelajah PH Putrajaya

MALAYSIA DATELINE 
Padang letak kereta Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya penuh sesak dengan manusia malam ini.

Lima hari sebelum pembuangan undi PRU 14, Jelajah Pakatan Harapan Putrajaya malam ini memecah rekod penonton siaran langsung melalui facebook apabila 62,000 menontonnya.

Angka itu dicapai ketika calon Perdana Menteri PH, yang juga arkitek Putrajaya Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan ucapan bersebelahan dengan Masjid Tuanku Mizan.

Ketika Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berucap, ia sudah memecah rekod 36,000 yang dibuat ketika Jelajah PH di Stadium Kuala Selangor apabila penonton mencapai 45,800.

Di samping penonton secara langsung, puluhan ribu penyokong juga memenuhi kawasan tapak letak kereta Masjid Tuanku Mizan itu.
Pecah rekod penonton siaran langsung.

“Terima kasih orang Putrajaya kerana datang malam ini. Adakah anda semua dibayar?” tanya Tun Dr Mahathir dalam ucapannya.

Anak Tuan Guru Nik Aziz, Nik Omar yang menjadi calon DUN Cempaka, Kelantan turut memberikan ucapan beliau malam ini selepas berucap di Shah Alam pada sebelah petangnya.

Hari ini adalah penampilan sulung beliau di luar Kelantan selepas menjadi calon PH.
Penuh sesak…gambaran kehadiran ceramah Jelajah PH dari Masjid Tuanku Mizan.