MANAN RAZALI
“Cuba bayangkan sejenak.. Sekiranya ATGNA masih bersama kita pada hari ini, adakah Pas akan berada di dalam kedudukan yang sama seperti apa yang kita lihat sekarang?”
Saya bukan ahli parti Pas. Sebaliknya saya adalah bekas penyokong tegar Pas yang telah berhenti menyokong Pas setelah selesai Perhimpunan Agung parti pada 6 Jun 2015 di Kuala Selangor di mana pemilihan pemimpin PAS di semua peringkat telah diadakan pada waktu itu.
Saya mula menyokong Pas setelah kembali dari menuntut di luar negara pada Julai 1987 di usia 24 tahun dan duduk di Kuala Terengganu sementara menunggu isteri saya melahirkan anak sulung kami di bulan November pada tahun yang sama.
Selama tempoh tersebut, saya cuba “mencari” Islam dengan mengunjungi banyak masjid di sekitar Kuala Terengganu. Tetapi apa yang saya cari tidak ditemui di semua masjid-masjid yang dikunjungi kerana ilmu dan maklumat yang saya terima tidak memuaskan hati dan gagal untuk memberi apa-apa bekas kepada jiwa saya. Sebaliknya, semakin banyak soalan-soalan yang mula timbul di dalam kepala saya.
Hinggalah saya mula mengunjungi Masjid Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) di Kg. Rusila, Marang, Terengganu, untuk mengikuti kuliah tafsir Quran yang beliau sampaikan pada setiap pagi Jumaat. Diringkaskan cerita, saya terpegun dan kagum dengan penyampaian ilmu oleh TGHA dan merasakan hampir semua soalan-soalah yang bersarang di dalam kepala saya pada ketika itu terjawab.
Mulai dari detik itu, saya menjadi peminat dan anak murid setia TGHA. Beliaulah yang bertanggung-jawab membuat saya menjadi semakin berminat mendalami agama dan mengaplikasikan ajaran Islam dalam usaha untuk menjadi seorang Muslim yang diredhai Allah.
Setelah anak saya dilahirkan, saya bawa isteri dan anak kecil saya kembali ke tempat asal saya di Kuala Lumpur untuk memulakan karier dan membina kehidupan. Sepanjang bertambahnya usia, saya telah menjadi penyokong tegar perjuangan Pas yang ingin mendaulatkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai perlembagaan negara. Dan pada tempoh itu jugalah saya mula mengikuti kuliah-kuliah Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) melalui kaset-kaset yang saya beli di beberapa masjid di sekitar Kuala Lumpur.
Kadang-kadang saya akan juga hadiri majlis-majlis ilmunya jika beliau berkunjung ke Kuala Lumpur. Mendengar ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh ATGNA membuat saya jadi lebih cinta kepada Islam. Sukar untuk rasa tidak tersentuh jiwa apabila melihat dan mendengar cara ATGNA menyampaikan ilmu.
Kini saya berusia 55 tahun. Saya mempunyai 4 orang anak hasil perkongsian bersama seorang isteri yang sentiasa berada disamping saya sepanjang 32 tahun kami berkahwin. Hidup kami selesa alhamdulillah.
Apa yang ingin saya ceritakan di sini ialah sejak 3 tahun lalu (2015), saya telah “membuang” tok guru yang amat saya kasihi dan hormati sepanjang 28 tahun bermula dari waktu pertama kali saya menjejak kaki di Masjid Kg. Rusila pada tahun 1987 dulu. Tidak sukar bagi saya membuat keputusan membuang dan meninggalkan Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) dari terus mengikuti perjuangannya kerana saya adalah seorang yang berfikiran waras dan objektif.
Saya berpelajaran tinggi dan saya tahu betapa pentingnya untuk mensyukuri nikmat akal yang Allah kurniakan kepada saya dengan menggunakannya secara kritis kerana Allah telah menyebut dalam Al-Quran bahawa di akhirat kelak, kita akan dipertanggung-jawabkan ke atas segala pendengaran, penglihatan dan niat termasuk perbuatan kita (Al-Israa’ : 36).
Lawan kepada sikap ini ialah jahil, sombong dan taksub. Dalam bahasa pasar, ia dinamakan bodoh sombong. Dan saya bukan orang yang bodoh sombong dan tidak bercita-cita menjadi begitu. Sia-sia Allah bagi akal jika saya tidak mahu gunakannya dengan betul untuk bezakan yang benar dari yang batil dan sebaliknya hanya bertaqlid buta dan taksub kepada orang lain.
Saya berhenti menyokong TGHA dan Pas setelah saya lihat bagaimana anak-anak didik Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) dikecam, dihina dan dihambat oleh ahli-ahli haluan kanan dalam parti ini bermula dari detik ATGNA meninggal dunia pada 12 Februari 2015 hingga 4 bulan kemudian pada waktu Perhimpunan Agung Parti pada bulan Jun di tahun yang sama untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka.
Segala nilai-nilai yang diajar oleh Islam dan akhlak yang sepatutnya dipamirkan oleh golongan yang bergelar Ustaz ini habis dicampak oleh mereka sendiri ke longkang pada waktu itu. Malu saya untuk bersama jamaah yang begini.
Saya kenal ramai orang yang tiada agama yang mempunyai akhlak lebih baik dari ustaz-ustaz Pas yang bagaikan dirasuk hantu pada ketika itu. Saya amat kecewa dengan sikap TGHA pada waktu itu. Bagaimana dia sanggup biarkan saja hal yang memalukan ini berlaku secara berleluasa benar-benar membuat saya hilang rasa hormat kepadanya. Saya bingung memikirkan apa sandaran agama yang digunakan olehnya untuk mewajarkan tingkah laku yang buruk dan tidak berakhlak begini?
Demikianlah serba sedikit latar belakang mengenai sejarah bagaimana saya jatuh cinta dengan Pas 31 tahun lalu, setia bersamanya selama 28 tahun dan membuat keputusan berpaling daripadanya 3 tahun lalu.
Bermula dari titik sini pula, saya akan beri gambaran mengenai penyakit kronik yang sedang dihidapi oleh Pas dengan permintaan supaya para penyokongnya berlaku jujur untuk menilaikan keadaan dan kualiti parti ini sekarang.
Sebelum saya bercerita lebih panjang, cuba kita tanya dan jawab soalan ini sendiri: Di era kepimpinan siapakah Pas lebih cemerlang dan disayangi rakyat? Adakah di era kepimpinan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) atau era Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) sekarang?
Saya ingin kemukakan 3 kayu pengukur utama yang ada pada diri Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) untuk digunakan di dalam penilaian ini :
1. Beliau berdakwah sepanjang masa menyeru orang Islam dan juga yang bukan Islam dengan penuh hikmah dan bijaksana untuk membuat mereka minat kepada Islam.
2. Beliau enggan mengadakan apa-apa jua jenis kerjasama politik dengan Umno kerana tidak mempercayainya walau sedikit pun.
3. Gaya hidup beliau amat sederhana dan sangat tawadhuk (rendah diri).
Ketiga-tiga sifat ini tidak terdapat pada hampir kesemua pemimpin-pemimpin tertinggi Pas yang ada pada hari ini. Yang lebih ketara ialah sikap mereka yang kuat putar belit, angkuh dan lebih bergaya dari kemampuan masing-masing.
Ketika ATGNA masih hidup, masing-masing pemimpin Pas masih tidak pandai bergaya. Tiba-tiba hanya dalam tempoh singkat selama 3 tahun selepas kematian beliau hingga ke hari ini, entah dari manalah mereka tiba-tiba berjaya mengumpul wang yang banyak untuk hidup bergaya dalam suasana ekonomi yang sungguh mencabar sekarang. Saya tahulah, sebab saya seorang ahli perniagaan yang boleh merasai bahang ekonomi negara yang amat mencabar sejak 1-2 tahun kebelakangan ini.
Tetapi pemimpin-pemimpin Pas yang rata-rata bukan ahli perniagaan sepenuh masa, boleh meletup pula apa yang mereka usahakan dalam tempoh yang singkat untuk membolehkan mereka hidup mewah berbanding majoriti rakyat yang sedang bergelut dengan cabaran-cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi.
Pemimpin-pemimpin Pas sangat pandai menipu pada hari ini. Dan yang paling kuat sekali menipu ialah bekas tok guru saya itulah. Pelik betul saya lihat sikap dia sekarang. Kalau nak dibandingkan dengan ATGNA, bagaikan langit dan bumi perbezaan mereka. Tapi yang peliknya ialah sebelum ATGNA meninggal dunia dulu, tidak pula saya perasan yang TGHA ini kuat temberang seperti sekarang. Sudahlah kuat temberang, kuat maki hamun pula lagi! Berlambak-lambak video yang terdapat di Youtube menjadi saksi yang mempamerkan auta beliau.
Perkembangan yang amat tidak diduga telah berlaku di saat mutakhir kini melihat tindakan anak lelaki sulung ATGNA yang bernama Nik Omar menyertai Parti Amanah Negara dan sekaligus menjadi calun parti tersebut di hari penamaan calun pada 28hb April lalu untuk bertanding di kerusi Dun Chempaka yang menjadi kerusi tradisi Allahyarham ayahandanya sejak 1995. Berita mengejut ini bagaikan halilintar yang membelah langit dengan bunyi dentuman yang amat kuat hingga terhenti seketika degupan jantung ramai ahli-ahli Pas yang taksub kepada kepimpinan TGHA.
Tanpa lengah, beliau telah diserang oleh adiknya Nik Abduh dengan kata-kata keras dan juga kenyataan terbuka TGHA yang menyamakan beliau dengan anak Nabi Nuh yang telah menderhakai ayahnya. Ini berlaku dalam keadaan Nik Omar sedikit pun tidak menyebut apa-apa yang buruk terhadap mereka, malah beliau sempat mendoakan kebaikan untuk adiknya.
Persoalannya sekarang ialah siapa yang benar di antara kedua-dua pihak ini? Adakah tindakan Nik Omar yang memilih parti Amanah sebagai wadah perjuangannya untuk memenangkan Islam itu benar, atau perjuangan Pas di bawah pimpinan TGHA yang memilih untuk kerjasama dengan Umno itu yang benar?
Yang pasti, ATGNA tidak pernah sekali pun bersetuju untuk Pas berkerjasama dengan Umno. Pendirian ini dipegang dengan amat teguh sehingga beliau meninggal dunia. Bagi beliau, berkerjasama dengan Umno adalah satu pengkhianatan yang besar kepada perjuangan Pas. Malah sesiapa yang beliau dapati cuba menjayakan usaha ini dimarahi dan dihalau keluar dari Pas. Begitu tegas pendirian beliau dalam hal ini tanpa ruang untuk kompromi.
Apa yang saya lihat ialah walaupun ATGNA mempunyai minda politik yang tajam, beliau tidak suka bermain politik ketika memimpin Pas dan ketika menerajui kerajaan negeri Kelantan sebagai Menteri Besarnya. Sebaliknya beliau lebih gemar berdakwah menyampaikan ilmu dan berusaha dengan jujur menjaga kebajikan rakyat.
Cara dakwah beliau ialah melalui pendekatan ‘Dakwah Bil Hal’ yang menyampaikan kebenaran dan keindahan Islam melalui akhlak dan tingkah laku dengan cara yang sangat berhikmah dan bijaksana.
Kita sedia maklum bahawa ketika hayatnya, ATGNA amat disenangi, disayangi dan dihormati oleh berjuta-juta rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat tidak kira yang Muslim dan yang non-Muslim, termasuk juga dari kalangan musuh-musuh politiknya dari Umno dan parti-parti lain. Beliau tidak pernah cakap berbelit. Perbuatannya selari dengan percakapannya.
Pendekatan ini membuat ramai orang-orang non Muslim mula meminati Islam sehinggakan ramai di kalangan mereka telah mengundi Pas pada PRU13 lepas kerana mereka merindui negara yang dapat memperjuangkan keadilan dan kebajikan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, dan mereka yakin Pas mampu “deliver” matlamat yang murni ini.
Malangnya, selepas ATGNA meninggal dunia pada 12hb Februari 2015, sebahagian besar dari rakyat mula hilang keyakinan dan timbul pula rasa meluat terhadap Pas setelah TGHA mengambil alih tampuk kepimpinan Pas. Islam mula kelihatan sebagai agama yang membingungkan. Ahli-ahli Pas syok sendiri dalam dunia mereka sehingga merasakan hanya mereka sahaja yang betul dan suci. Keluasan Islam mereka sempitkan sehingga wajah Islam yang indah telah menjadi hodoh.
Selain ini, mereka angkuh menghukum sesiapa yang tidak setuju dengan tafsiran Islam yang mereka bawa sebagai orang-orang yang rosak aqidah, malah terus dikafirkan juga kadang-kadang. Yang lebih teruk lagi ialah apabila mereka merasakan bahawa hanya dengan menyertai parti mereka sajalah baru seseorang itu akan layak ke syurga.
Mereka berpendirian bahawa hanya dengan menyertai Pas dan memberi ketaatan tanpa berbelah bahagi kepada pemimpin-pemimpin parti ini sajalah baru keislaman orang Melayu akan jadi sempurna. Pas adalah bagaikan agama bagi mereka. Sertai Pas jika ingin ke syurga. Dan sesiapa yang tinggalkan Pas dianggap telah meninggalkan Islam.
Tiba-tiba, apabila Nik Omar membuat kejutan untuk bertanding sebagai calun parti Amanah di Dun Chempaka pada hari penamaan calun pada 27hb April lalu kerana ingin meneruskan legasi ayahandanya, hampir seluruh rakyat Malaysia yang tidak cenderung kepada Pas dan Umno menyambut dan meraikan langkah Nik Omar ini dengan penuh gembira dan rasa syukur!
Paling tidak diduga ialah reaksi golongan non Muslim apabila melihat beliau membuat ucapan sulungnya di atas pentas politik di Putrajaya semalam (Khamis, 3hb Mei 2018). Terlalu banyak komen-komen positif bertebaran di media-media sosial menyatakan tentang betapa kerinduan mereka pada ATGNA kini telah terubat dengan kemunculan Nik Omar pada saat terkahir bersama parti Amanah di persada politik negara, dan betapa optimisnya perasaan mereka terhadap keindahan Islam yang sudah mula bersinar kembali setelah melihat video ucapan Nik Omar di Putrajaya selama 15 minit di Youtube. Sila klik link di bawah untuk menontonnya :
Sebenarnya, faktor keterujaan yang dizahirkan oleh ramai orang non-Muslim inilah yang merangsang saya menulis rencana ini. Keterujaan mereka berserta harapan besar agar pendekatan Islam yang dibawa oleh ATGNA dahulu akan dihidupkan kembali supaya mereka mendapat peluang mendekati Islam, membuat saya jadi lebih teruja dari mereka.
Kajian perbandingan agama dan usaha dakwah untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada non Muslim adalah bidang yang saya amat minati. Islam bukan suatu agama syok sendiri yang ekslusif untuk bangsa Melayu sahaja. Islam wajib disampaikan dengan baik dan bijaksana kepada seluruh umat manusia.
Cuba fikir.. Walaupun negara kita sudah merdeka selama 60 tahun, mengapa kita masih gagal berdakwah dengan berkesan kepada rakan-rakan non-Muslim kita? Sebaliknya, kita buat Islam jadi lebih sukar dan tidak praktikal kepada mereka dengan sikap tolol kita menyempitkan keluasan agama suci ini.
Ini yang TGHA dan penyokong-penyokong fanatiknya tidak faham sedikit pun. Cara yang mereka tahu ialah bersikap kasar, bengis, kuat menghukum orang lain dan kuat putar alam. Jangankan orang non-Muslim yang jadi menyampah dan meluat dengan Islam, orang Muslim sendiri pun semakin ramai yang tinggalkan Islam!
Bagi saya, kalau kita betul-betul ingin uji “kehebatan” kita, cuba berdakwah dan sampaikan Islam kepada golongan non-Muslim. Kalau setakat nak syok sendiri sahaja, jangan perasanlah.
Selanjutnya, disamping tadbir-urus yang baik dan menjunjung prinsip-prinsip keadilan yang saksama kepada semua lapisan rakyat tanpa mengambil kira latar belakang agama dan bangsa, ukuran kejayaan sebenar bagi sesebuah negara di sisi Allah ialah apabila berbondong-bondong rakyatnya memeluk Islam dengan sukarela (An-Nasr : 1-3).
Di mana kedudukan kita kalau surah ini digunakan sebagai kayu pengukur kejayaan kita setelah 60 tahun merdeka? Dan di manakah pula kedudukan Pas dalam konteks ini? Apakah kita yakin bahawa budaya dan pendekatan yang mereka ambil sejak 3 tahun lalu mampu memenuhi matlamat yang disampaikan oleh Suran An-Nasr dengan berkesan? Setakat nak maki hamun dan kafirkan orang, bolehlah.
Bayangkan.. Dalam tempoh 3 tahun setelah kematian ATGNA pada tahun 2015 hingga ke hari ini, wajah dan imej Islam telah dirosakkan oleh Pas di bawah pimpinan TGHA.
Tiba-tiba, hanya dalam tempoh 1 minggu sahaja sejak 28hb April 2018 hingga ke hari ini apabila Nik Omar muncul dengan pembawakan diri dan gaya percakapannya yang sangat mirip dengan almarhum ayahandanya, sebilangan besar rakyat negara ini baik yang Muslim dan juga yang non-Muslim bagaikan melompat dengan rasa penuh teruja dan gembira kerana beliau dilihat benar-benar sebagai satu-satunya anak ATGNA yang mampu meneruskan legasi ayahandanya.
Cuba kita fikir.. Mengapa perasaan optimis yang tiba-tiba disuarakan oleh golongan non-Muslim terhadap Islam setelah mereka melihat ucapan Nik Omar di Putrajaya semalam tidak ujud terhadap parti Pas yang diterajui oleh Hadi Awang sepanjang 3 tahun lalu?
Apa gunanya berkokok tentang kebenaran Islam jika ia gagal disampaikan dengan baik untuk menarik minat orang ramai terhadapnya? Jika Nabi (saw) gagal menyampaikan dakwah Islam dengan baik kepada orang-orang Arab yang berkeliaran di padangan pasir kira-kira 1430 tahun lalu, bolehkah kita harapkan Islam akan berjaya di atas mukabumi ini sehingga mempunyai seramai 1.8 billion penganut pada hari ini? Yang pasti ialah bukan mesej kebenaran saja yang penting. Penyampaiannya juga sama penting. Tanpa kedua-dua ini, Islam pasti tidak akan berjaya.
Maka kalau kita bersetuju bahawa pendekatan Islam yang dibawa oleh ATGNA sangat berkesan untuk diterima dengan baik oleh ramai rakyat Malaysia, tidakkah wajar untuk kita tinggalkan TGHA dan Pas untuk alihkan sokongan kepada Nik Omar dan Pakatan Harapan agar legasi ATGNA dapat diteruskan?
Tindakan ini tidak sukar kalau kita boleh berfikir secara objektif dan sanggup bersikap tegas dalam mengambil keputusan yang terbaik untuk diri, agama, dan negara kita.
Berdasarkan penjelasan di atas, siapakah di antara Nik Omar dan TGHA yang kita rasa lebih yakin dapat meneruskan legasi ATGNA ?
Sepanjang 3 tahun lalu telah menunjukkan dengan jelas betapa imej Islam telah dirosakkan oleh barisan kepimpinan Pas yang ada sekarang kerana pendekatan dan gaya mereka telah mengkhianati dasar yang diperjuangkan oleh 3 tokoh hebat Pas sebelum ini. Mereka adalah :
1. Tuan Guru Yusof Rawa (Mursyidul Am Pas yang pertama)
2. Dato’ Fadzil Noor (Presiden Pas)
3. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz (Mursyidul Am Pas yang kedua)
Yang aneh ialah anak-anak kepada ketiga-tiga tokoh Pas ini telah menyertai Amanah. Mereka adalah :
1. Dato’ Dr. Mujahid Yusof (Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak)
2. Faiz Fadzil (Calun ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang)
3. Nik Omar (Calun ADUN Chempaka, Kelantan)
Saya tidak mengharapkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong Pas yang taksub kepada kepimpinan TGHA akan membaca apa yang saya sampaikan dalam rencana ini dan kemudian berfikir mengenainya secara waras dan rasional.
Tetapi saya mengharapkan mesej ini akan membuat ramai pencinta-pencinta Islam yang inginkan pemimpin-pemimpin jujur untuk mentadbir urusan negara kita dengan lebih telus dan amanah, akan berfikir dengan rasional dan mengambil tindakan yang betul pada hari mengundi kelak sekiranya kita ingin legasi ATGNA yang akan menyerlahkan kebenaran dan keindahan Islam dapat diteruskan.
Cuba bayangkan sejenak.. Sekiranya ATGNA masih bersama kita pada hari ini, adakah Pas akan berada di dalam kedudukan yang sama seperti apa yang kita lihat sekarang?