Umno sah kahwin dengan Pas, kata penulis

MALAYSIADATELINE
Umno sah kahwin dengan Pas, kata penulis
Perarakan calon Pas untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia Dr Halimah Ali pagi ini yang turut disertai ahli dan beberapa orang pemimpin Umno memperlihatkan kerjasama Umno Pas yang semakin nyata, demikian menurut penulis Mohd Sayuti Omar.

“Alhamdulilah, nampakkan kerjasama Umno Pas, Pas Umno sudah makin nyata. Situasi ini menggembirakan saya yang mahu melihat parti itu “bertokol” sepadu mungkin sejak lama dulu,” katanya di Fecbook beliau.

Beliau berkata, gabungan itu sudah lama ditunggu dan diibaratkan sebagai pasangan pengantin yang sesuai dan padan ‘bagaikan pinang dibelah dua’, dan umpama sireh pulang ke gagang.

Bagaimanapun beliau berpandangan dua-dua parti Umno dan Pas tidak bijak kerana mereka bergabung dan mengadakan kerjasama selepas kedua-duanya kalah di dalam PRU14 lalu.

“Alangkah baiknya kalau keadaan ditunjuki hari ini berlaku sebelum PRU, mungkin kerajaan Malaysia kini diungguli Umno dan Pas, dengan wakil daripada Umno jadi perdana menteri manakala wakil daripada Pas jadi timbalan perdana menteri.

“Menutup catatan ini saya hendak menarik kata-kata seorang bekas Adun Pas yang menyifatkan kerjasama kedua parti itu persis “perkahwinan pasangan tua?

“Katanya, perkahwinan itu baik, tetapi sayang ia tidak akan dapat melahirkan zuriat kerana ia berlaku sesudah kedua-duanya, si perempuan putus haid dan lelaki pula sudah mati pucuk.

“Tak apalah, tidak salah dan orang tua-tua juga masih boleh berkahwin sekurang-kurang untuk menghilang sepi bila di rumah, atau mengundang kehangatan di musim bah. Didoakan “perkahwinan” itu akan berkekalan,” ujarnya.

Penamaan calon bagi PRK Dun N.32 Seri Setia yang berlangsung hari ini akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar dengan calon Pas Dr Halimah Ali.

Kempen beli Lira bantu Turki hadapi serangan ekonomi

MALAYSIADATELINE
Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Istanbul Turki menyeru kepada semua rakyat negara ini untuk bekerjasama membantu Turki di dalam perang ekonomi yang sedang Washington lancarkan ke atas Istanbul sekarang.

Perkara pertama yang perlu dibuat rakyat negara ini katanya, menukar sebanyak mungkin matawang asing yang ada di dalam tangan kepada Turkish Lira.

Menurut beliau yang menggunakan nama Mehmet Izudin Gül, pertukaran itu akan membantu mengukuhkan kembali nilai 1 Lira yang lebih seminggu lepas adalah bersamaan 80sen Malaysia.

“Sejak serangan Washington, Lira telah ‘drop’ sejauh 59sen, paling teruk dalam tempoh dua dekad ini.

“Krisis ini adalah ‘real’. Ini bukan main-main. Atas level pengalaman peribadi – Jumaat lepas, ketika serangan Washington ini mencapai titik klimaksnya, semua Döviz (money changer) di seluruh Istanbul sekelip mata menutup pintunya dan berhenti beroperasi.

“Bank-bank Turki tidak lagi membenarkan sebarang ‘currency trade’ di dalam sistem mereka. Ustaz Alang Mohd Firdaus Madzlan yang mendarat di Istanbul Atatürk Airport ketika itu melihat sendiri bagaimana döviz-döviz di airport semuanya tutup. Bahkan, Imam Abdullah Turki datang sendiri ke rumah Ayah demi menceritakan hal tersebut di samping berpesan agar memboikot segala barangan Amerika buat masa ini.

“Pesanan Imam itu adalah bertitik tolak daripada galakan Erdogan sendiri apabila beliau menyarankan agar rakyat Turki berhenti membeli produk elektronik Amerika dalam salah satu ucapan terbarunya. Turki sendiri akan lebih mempergiatkan industri pembuatan mereka,” tulisnya dalam satu kenyataan yang kini telah menjadi viral.

Kini katanya, komuniti yang paling aktif dalam membantu Turki adalah bangsa Arab di kawasan Teluk, mungkin kerana nostalgia purba mereka yang pernah lama bernaung di bawah pemerintahan Turki Uthmaniyyah.

Jelasnya, Kuwait adalah yang paling mula-mula sekali membantu, sejak hari pertama krisis minggu lepas, rakyat Kuwait telah berbondong-bondong beratur di ‘money changer’ mereka untuk membeli Lira.

Begitu juga bangsa Arab, katanya yang paling ramai beratur di outlet-outlet seluruh Istanbul sekarang.

“Dengan kejatuhan Lira, mereka mengambil peluang ini dengan memborong sebanyak mungkin barangan-barangan berjenama di Turki. Namun, Erdogan memandang positif perkara ini. Pesan sang Presiden, “Layani pelancong-pelancong Arab ini sebaik-baiknya. Kerana mereka mempunyai Dolar & Euro.” Setiap pertukaran yang mereka lakukan, akan sangat-sangat membantu menstabilkan kembali nilai Lira,” ujarnya.

Emir Qatar telah membuat investasi sebanyak 15 billion USD kepada Erdogan dan Turki semalam, tindakan bijak Emir Qatar ini katanya, terbukti berhasil apabila nilai 1 Lira melonjak kepada 69sen Malaysia selepas investasi itu berlaku.

“Jadi, masanya memang telah tiba untuk anda memberikan bantuan. Jika anda tidak punya Dollar atau Euro untuk ditukar, Ringgit pun anda boleh gunakan untuk membuat pembelian ke atas Lira. Sudah cukup kalau setiap seorang rakyat negara Malaysia yang berpopulasi lebih 30 juta itu menukar sebanyak RM100 seorang kepada Turkish Lira.

“Anda kena bantu kubu terakhir umat Islam ini dengan setiap titikan darah yang anda ada. Jangan sesekali membiarkan ia diganggu gugat. Rebahnya Turki saat ini menandakan tersungkurnya umat Islam di akhir zaman. Selama ini, Erdogan telah bersusah payah berjuang untuk menjatuhkan sistem sekular di Turki sehingga Islam di Turki telah kembali pulih seperti sekarang,” rayu beliau.

PRK Seri Setia: Pemimpin PAS, Umno iringi Dr Halimah


Faiz Zainudin

PETALING JAYA
: Lebih 1000 penyokong dan pemimpin PAS serta Umno mengiringi calon PAS Dr Halimah Ali ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ pagi ini.

Pemimpin PAS yang hadir ialah Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Islandar Samad dan Idris Ahmad.

Sementara itu, pemimpin Umno yang turut hadir ialah Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri; Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad; Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Lokman Noor Adam serta 100 penyokong.

Calon PAS Dr Halimah tiba di Dewan Sivik MBPJ kira-kira jam 8.30 pagi selepas berarak dari bangunan Maybank.

Sementara itu, calon PKR, Halimey Abu Bakar yang berbaju biru, tiba kira-kira jam 8.45 pagi diiringi antara pemimpian Pakatan Harapan termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamarudin, Dr Mariah Mahmud, Amirudin Shari, Maria Chin, Tian Chua, Nik Nazmi dan lebih 300 penyokong.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos lalu.

Proses penyerahan borang pencalonan ditutup pada am 10 pagi tadi. Tidak kelihatan calon daripada parti lain atau pun calon Bebas menyerahkan borang pencalonan mereka.

Pilihan raya kecil kali ini akan menyaksikan bendera PH digunakan buat pertama kali dalam pilihan raya selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Yusoff HM Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).

PRK Seri Setia akan diadakan serentak dengan PRK Balakong, di mana hari penamaan calon berlangsung hari ini dan hari mengundi pada 8 September nanti.

PRK Seri Setia, Belakong saksi perlawanan satu lawan satu

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu masing-masing antara calon Pakatan Harapan dan PAS dan DAP.

Di Seri Setia ia melibatkan calon HARAPAN, bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Halimey Abu Bakar, 46, dan calon PAS, yang juga bekas anggota Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, 58.

PRK Balakong pula akan menyaskikanpertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan dan MCA antara Tan Chee Tiong (MCA) dengan Wong Siew Ki (DAP).

Pegawai Pengurus PRK DUN Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain membuat pengumuman itu pada pukul 10.37 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada calon HARAPAN pada pukul 9.10 pagi, manakala daripada calon PAS, pukul 9.15 pagi.

Proses penamaan calon yang berlangsung selama sejam ditutup pada pukul 10 pagi.
- Bernama

Bendera HARAPAN dikibar buat pertama kali di PRK Balakong, Seri Setia.

BALAKONG | SERI SETIA | Hari ini adalah hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil(PRK) Balakong dan Seri Setia di Selangor - kira-kira 100 hari selepas PRU14 pada bulan Mei.

Dua kerusi Pakatan Harapan itu menjadi kosong selepas kematian penyandangnya - ADUN Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada 20 Julai, manakala ADUN Seri Setia, Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos kerana kanser kolon.

Pencalonan ditetapkan untuk bermula pukul 9 pagi dan akan berakhir pada pukul 10 pagi.

Proses penamaan calon bagi PRK Balakong di Pejabat Daerah Hulu Langat manakala PRK Seri Setia: Proses penamaan calon di Dewan Sivik, MBPJ

Manakala bendera Pakatan Harapan dikibar secara rasmi buat pertama kali, iringi calon PH di PRK Balakong dan Seri Setia.

PRK Balakong, Calon MCA Tan Chee Teong serah borang pada pukul 9.07 pagi. PRK Seri Setia: MCA catat sejarah buat pertama kali guna logo parti sendiri

Manakala calon DAP, Wong Siew Ki serah borang pada pukul 9.12 pagi.

Di Seri Setia: Calon PH Halimey Abu Bakar serah borang pencalonan.
-malaysiakini

Khairy Jamaluddin sekolahkan pemimpin umno

Manifesto HARAPAN: Tak laksana pun rakyat tak kisah, kata Khairy

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpendapat tidak penting untuk menilai prestasi 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana rakyat tidak ambil kisah sama ada janji mereka itu ditunaikan atau tidak.

“Media tanya saya berkenaan 100 hari kerajaan HARAPAN. Saya kata, rakyat tak kisah tentang janji 100 hari atau janji lain dalam manifesto.

“Tak laksana pun rakyat tak kisah. Mereka hanya mahu buang Umno-BN pada PRU14. Justeru, parti saya kena fikir strategi baharu,” cuitnya di Twitter, hari ini.

Khairy percaya, apa yang penting kepada rakyat ialah BN ditumbangkan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diturunkan daripada terus mentadbir negara.

Malah, katanya rakyat juga berkata “lebih baik dari kamu (Umno-BN) dulu” dan “tak dapat tunai sebab hutang yang ditinggalkan BN.”

Justeru, katanya Umno dan BN hari ini terpaksa mencari naratif dan hujah baru.

“BN-Umno perlu halatuju baharu. Kepimpinan mesti berada di hadapan kelok perubahan.

“Dah sampai 100 hari. Patut fikir “what’s next?” Bukan masih jual naratif janji tidak ditunaikan. That’s done. Move on,” katanya.

Hari ini genap 100 hari pentadbiran HARAPAN menerajui Putrajaya selepas menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
-malaysiakini

Pesta seks di taman rekreasi

BANGKOK - THAILAND. Polis diarah berkawal di seluruh taman awam sekitar Bangkok selepas menerima aduan mengenai sekumpulan pelancong asing melakukan pesta seks di Lumpini Park yang menjadi mercu tanda bandaraya itu pada 7 Ogos lalu, menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA).

Langkah itu diambil selepas tweet dimuatnaik oleh @jiji_winkieboy tular di media sosial.

Pemuda itu dalam tweetnya mendakwa, telah menyaksikan perbuatan tidak bermoral tersebut di satu kawasan terpencil yang dikhaskan untuk aktiviti berjoging.

"Saya ingat mereka sedang mencari Pokemon," menurut tweet tersebut yang merujuk permainan Pokemon Go.

Susulan itu, Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang menawarkan 100,000 Bhat (RM12,328) kepada pemilik Twitter tersebut jika beliau mampu membuktikan dakwaannya.

Dalam pada itu, seorang pengawal keselamatan mengesahkan dakwaan pemuda berkenaan, dimana beliau bertindak memarahi dan mengusir kumpulan pelancong asing terbabit tanpa sebarang kejadian tidak diigini berlaku.

Difahamkan, terdapat 37 taman di bawah pemantauan BMA yang dibuka kepada orang awam dari 4 pagi hingga 9 malam. - Bangkok Post

Inilah tahap ulama PAS yang nak memperbodoh ralyat Malaysia

PAS: Undi MCA di PRK Balakong sebab mereka rakyat Malaysia
Zulaikha Zulkifli


Jika alasan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya anggota parti mengundi calon MCA pada pilihan raya kecil (PRK) di kerusi DUN Balakong adalah atas "semangat pembangkang" hari ini, setiausaha Majlis Syura Ulama parti itu memberi hujah yang berlainan.

Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) ketika membahaskan usul Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) di Dewan Rakyat, berkata, walaupun MCA menentang hukum hudud, sokongan kepada parti Cina itu dibuat kerana mereka adalah "rakyat Malaysia".

"PAS kalau bekerjasama dengan MCA, Umno (sebab) mereka adalah rakyat Malaysia.

"Berbanding dengan di sebelah sana (kerajaan) yang bekerjasama dan bekerja dengan rakyat asing, IRI (International Republican Institute)," katanya ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (HARAPAN-Rasah).

Nik Zawawi dipercayai merujuk kepada kenyataan Presiden IRI, Daniel Twining yang mendakwa usaha pertubuhannya untuk "mengukuhkan" parti pembangkang di Malaysia sudah berjalan sejak 2002.

IRI merupakan badan gabungan dengan Parti Republikan di Amerika Syarikat dan merupakan salah satu daripada kumpulan yang didanai oleh National Endowment for Democracy (NED) yang mendapat dana daripada Kongres AS.

Chen bertanya mengenai pendirian PAS pada PRK DUN Balakong yang dilihat bersedia menjalinkan kerjasama dengan MCA meskipun parti itu sebelum ini dengan lantang menolak usul Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 berkaitan hukum hudud yang dibawa PAS.

MCA selama ini konsisten secara terbuka menolak RUU berkenaan yang ingin meningkatkan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.

Abdul Hadi, malam semalam meminta anggotanya mengundi MCA atas semangat pembangkang.

Isu kerjasama antara MCA itu timbul selepas Nik Zawawi dalam ucapannya sebelum itu mengkritik tindakan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan, terdapat beberapa pemimpin dalam HARAPAN yang pernah mengkritik perdana menteri berkenaan.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi menyokong hujah Nik Zawawi agar Akta Antiberita Tidak Benar tidak dimansuhkan.

"Akta antiberita palsu ini sangat efisien dan lebih baik untuk sistem perundangan dalam negara.

"Saya amati ucapan-ucapan yang disebut oleh wakil daripada kerajaan seperti wakil Port Dickson (Danyal Balagopal Abdullah) - (mansuh akta berkenaan) untuk lahirkan rakyat berani tegur kerajaan, pemimpin.

"Apa cerita dulu sebahagain pemimpin yang komen Langkawi (Dr Mahathir) berapi-api, macam-macam komen, kenapa hari ini senyap? Apakah mereka jilat ludah sendiri?

"Dengan hapus benda (akta) ini, ia lahirkan masyarakat yang berani menegur, ini sangat terpesong jauh," katanya.
-malaysiakini

PAS cari publisiti dangan fitnah dan isu yang direka-reka

Pendirian Menteri Kesihatan gagalkan cubaan fitnah PH aniaya Dr Ilyani
Pendirian Menteri Kesihatan gagalkan cubaan fitnah PH aniaya Dr Ilyani
ZIKRI ABDULLAH

Norashidah Jaafar
Percubaan menyebarkan fitnah terancang kononnya kerajaan Pakatan Harapan akan menganiayai Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi kerana menulis teguran terbuka melalui facebook tenyata gagal.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Norashidah Jaafar yang lebih mesra dengan panggilan Mbak Eda berkata, kenyataan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bahawa tiada sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap Dr Nur Ilyani semalam, jelas menunjukkan segala gembar gembur yang dimainkan hanyalah satu sandiwara yang mempunyai agenda tersembunyi.

“Ini semua satu permainan untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia baharu tanpa sebarang fakta dan asas kukuh.

“Mereka perlu sedar sekarang kita berada dalam era baharu pasca Barisan Nasional (BN) yang tidak terburu-buru menindas kebebasan mengeluarkan pendapat.

“Ini tidak bererti penyebaran berita palsu dan fitnah tidak ada akibatnya kerana sekarang rakyat bijak menilai dan mahkamah akan menjalankan peranannya melaksanakan undang-undang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan Dr. Dzulkefly berkata, tulisan pegawai perubatan itu merupakan pandangan peribadi dan pihaknya mengambil perhatian.

“Perkara itu di bawah perhatian saya dan Kementerian Kesihatan Malasyia (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dr Nur Ilyani masih bertugas seperti biasa, itu hanya pandangan peribadi beliau.

“Saya telah menjelaskan apa yang saya sebutkan ini adalah dasar KKM dan beliau menyatakan pandangan peribadi,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu.

Sebelum ini, doktor yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu itu dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ia susulan ‘surat terbuka’ yang ditulisnya di Facebook pada 6 Ogos lalu mengenai pandangan terhadap isu Lesbian,Gay, Biseksual, Transgender (LGBT).

Aduan kepada BPA ini telah heboh diperkatakan seolah-olah pihak berkuasa telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan kepadanya.

Sebuah ahkbar harian edisi timur hari ini menjadikan fokus laporan muka depan kononnya pelbagai pihak untuk bersolidariti dengan doktor berkenaan.

Ketua pemuda sebuah parti politik dalam laporan itu berkata, satu perhimpunan bantahan besar-besaran akan diadakan bagi menyokong pendirian Ilyani.

Bagi Mbak Eda semua ini agenda yang disusun untuk menimbulkan keresahan masyarakat yang sedang menerima dengan aman segala perubahan yang sedang dilaksanakan kerajaan PH.

“Kerajaan baru sedang bergerak membina situasi yang sama sekali berbeza dari dahulu.

“Kitalah yang dulu berjuang menentang kejahatan rejim BN menyekat kebebasan bersuara.

“Tak payahlah sesiapa yang nak ajar kita tentang perkara ini,” katanya.

Kerajaan PH katanya sedang bergerak melaksanakan situasi adil dan hormat menghormati termasuk kepada pembangkang.

“Mereka ini tahu hanya dengan situasi tegang, kebencian dan permusuhan boleh menangguk di air keruh, sebaliknya bila keharmonian dan keadilan jelas berjalan kumpulan seperti ini tidak akan ada tempat di hati rakyat,” katanya.

Dr Nur Ilyani yang mengkritik Marina Mahathir berhubung isu LGBT dalam tulisannya berkata beliau sebagai seorang doktor tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

“Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

“Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan terbaik buat mereka.

“Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?” tulisnya.

Tulisan beliau itu menerima pelbagai kritikan dan sokongan termasuk menggesa supaya tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

Malah, satu petisyen turut diwujudkan bagi menyatakan kebersamaan terhadap doktor berkenaan.

Pas bergabung dengan Umno di Johor?

AMNI JAGAT
Pas bergabung dengan Umno di Johor?
Sidang Dewan Negeri (Dun) Johor dalam sesi pertama penggal ke 14 yang memasuki hari kelima menjadi gamat apabila Speaker Dun Suhaizan Kaiat berseloroh berkenaan kesepakatan pembangkang antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Hal tersebut bermula apabila Ahli Dewan Negeri (Adun) Perling, Cheo Yee How dari parti DAP telah mengemukakan kekeliruan berkenaan dengan papan tanda sidang media pembangkang.

Perkara tersebut menjadi tanda tanya apabila papan tanda sidang media pembangkang tertera dengan logo BN yang banyak di papan tanda tersebut.

“Dewan yang mulia, saya ada sedikit kekeliruan yang ingin pencerahan dari Tuan Speaker, di mana kita lalu di depan bilik Ketua Pembangkang itu kita sebenarnya nampak ada papan tanda sidang media BN.

“Persoalannya bolehkah mereka membuat perkara sebegitu sedangkan kita maklum di Dun ini ada dua pembangkang yakni BN dan Pas,” tanya Cheo Yee How dalam sidang Dun.

Perkara itu jelas dijawab oleh Suhaizan sebagai Speaker Dun Johor yang berseloroh sambil mengamatkan sidang Dun Johor yang sedang berlangsung.

“Sidang media itu adalah untuk pembangkang dan kita ada dua pembangkang di dalam dewan selain Bebas.

“Pada saya kalau BN sudah ada muafakat dengan Pas untuk buat sidang media itu tidak ada masalah.

“Hak dialah tetapi dengan syarat PAS mesti bersetuju bahawa itu adalah sidang media dari BN,” jelas Suhaizan ketika menjawab pertanyaan Adun Perling.

Dalam pada masa yang sama, perkara itu sekali lagi menggambarkan bahawa PAS di Johor yang mempunyai satu kerusi itu tidak mampu untuk bersaing sebagai pembangkang dalam Dun.

Perkara tersebut dilihat ketara apabila sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan dari pimpinan PAS baik peringkat negeri mahu pun pusat berhubung dengan tindakan yang dilakukan pembangkang dari BN tersebut.

Agak-agak kepada siapa catatan ini dtujukan oleh Mufti Perlis

DrMAZA.com

Saya percaya niat baik YB Dato Dr Mujahid dalam melakukan pendekatan dakwah yang berbeza. Dari konfrontasi kepada engagement. Kita mungkin berbeza pendapat tentang beberapa pendetilan. Saya juga ada berbeza pendapat dengan beliau. Namun saya hargai langkah ijtihad beliau dalam dakwah di era ini. Kita boleh berbeza dan berikan pandangan yang membina. Bukan asyik mencerca.

Sementara kelompok tertentu di negara ini aktiviti mereka sejak sekian lama asyik maki hamun, mencarut dan mencerca orang lain, apakah itu dakwah yang mencari keredhaan Allah? Sibuk tentang pendekatan orang lain, bagaimana dengan pendekatan kita dan apa yang cuba kita buat? Sejak sekian lama mengkafir, mencarut, memaki, mencerca, apakah telah bertambah kekuatan kepada umat ini?

Abdullah Sani dakwa Zuraida ugut isterinya

JANATUL FIRDAUS YAACOB

KUALA LUMPUR - Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin telah menggunakan pengikutnya mengugut isteri beliau.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata, beliau memiliki bukti termasuk dalam bentuk pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan ugutan tersebut.

Menurutnya, ekoran ugutan tersebut, isterinya, Datin Faezah Ariffin telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Raja, Klang, malam semalam.

“Zuraida ini cukup pengkhianat dengan kata-katanya. Beliau bercakap pasal orang, diri sendiri macam itu.

“Kamu menteri, mustahil nak panggil budak hingusan, isteri saya ada buat laporan polis. Laporan polis ini jelas kerana ada sebut nama ‘Kak Zu mengarahkan saya untuk menghentam dan memastikan telanjangkan Datin Faezah’,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Jelas Abdullah Sani, sepatutnya Zuraida yang dikenakan tindakan disiplin dan bukannya dirinya kerana beliau tidak mengugut mana-mana pihak.

“Saya penakut, tak berani ugut orang, saya takut betul, saya jaga saya punya disiplin. Dia (Zuraida) suruh orang ugut isteri saya.

“Siapa yang lebih teruk? Saya atau dia lagi teruk? Saya nak betulkan keadaan, dia nak tekan orang, cakap dengan Zuraida jaga diri sendiri, disiplinkan diri sendiri, anda menteri, berkelakuan seperti menteri bukan seperti keanak-anakan,"desaknya.

Menurut Abdullah Sani, ugutan itu diterima selepas isterinya itu berucap dalam satu majlis PKR mengkritik Zuraida.

Hari ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jawatankuasa disiplin PKR dan PH seharusnya mengambil tindakan ahli-ahli yang didapati melakukan serangan terbuka terhadap mana-mana pemimpin parti.

Sementara itu, Zuraida yang juga calon Naib Presiden PKR ketika ditemui media menafikan dakwaan tersebut malah mengakui beliau tidak tahu langsung mengenai tuduhan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, tindakan Abdullah Sani membuat laporan polis itu wajar sekiranya dakwaan itu betul.

“Ugut apa? Nak telanjang? Haih (terkejut), saya rasa orang cakap tu dalam bahasa metafora hendak telanjang itu nak mendedahkan, bukan nak telanjangkan fizikal dia, saya tak rasa begitu tapi saya tak tahulah apa-apa,” katanya.

Ahad lalu, kem calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Seremban, Negeri Sembilan menyasarkan Zuraida yang didakwa tidak membawa banyak perubahan, sebaliknya menjadi punca pelbagai kepincangan semasa menerajui sayap parti itu

Semalam, Abdullah Sani mendakwa wujud pihak yang cuba mencantas laluan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri ke -8.

Gadis berhijab buka mata masyarakat Myanmar mengenai Islam

Reuters
Win Lae Phyu Sin mempunyai 600 pelajar yang menghadiri lebih 150 kelas solekan yang dijalankannya. (Gambar Reuters)
YANGON: Umat Islam dalam majoriti penganut Buddha di Myanmar biasanya sentiasa merendah diri kerana takutkan tindakan intimidasi, tetapi Win Lae Phyu Sin, salah seorang penulis blog mengenai penjagaan kecantikan bertindak sebaliknya.

Gadis berusia 19 tahun itu menjadi perhatian apabila melancarkan produk kecantikannya di Yangon baru-baru ini. Beliau tampil dengan solekan yang menyerlah, digayakan pula dengan gaun hijau putih berlengan panjang dan bertudung.

“Saya tidak menyesali keputusan saya memakai tudung,” kata blogger itu. “Tuhan kami memberi pelbagai cara untuk saya. Hijab ibarat kunci untuk saya. Saya boleh menggunakannya untuk pergi ke mana saya suka dan buat apa yang saya mahu.”

Umat Islam yang membentuk kira-kira 5% daripada populasi negara berjumlah 50 juta orang, berkata mereka tidak dapat membina masjid baharu dalam beberapa dekad dan berjuang untuk menyewa pangsapuri daripada pemilik tanah penganut Buddha.

Penganiayaan sistematik umat Islam semakin berkembang di Myanmar, kata kumpulan hak asasi, walaupun perhatian dunia memfokuskan kepada umat Islam Rohingya tanpa kerakyatan, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan bantuan berkata lebih 700,000 berhijrah ke negara jiran Bangladesh selepas tindakan kejam tentera negara itu, tahun lalu.

Tetapi ramai umat Islam dari semua etnik ditolak dokumen identiti negara mereka, dan dinafikan akses ke beberapa tempat ibadat, kata Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma dalam satu laporan tahun lepas.

Bagi sesetengah pelajar Win atau juga dikenali sebagai Hafsah Bahnuu, tutorialnya bukan semata-mata bagaimana menggunakan pembayang mata dan celak, ia juga mengenai membina keyakinan dan kebanggaan dalam identiti yang sentiasa dipersoalkan penganut Buddha.

“Saya melihat dia memakai solekan dengan memakai tudung dan ia sangat cantik,” kata Hay Mann Aung, 20.

“Saya mahu menjadi cantik seperti dia.”

Usaha Win menyampaikan gaya fesyen orang Islam Myanmar menggunakan pakaian dan padanan tudung serta solekan yang menyerlah telah menarik minat orang ramai.

Beliau mempunyai 6,000 pengikut di media sosial Facebook dan 600 pelajar menghadiri lebih 150 kelas solekan yang dijalankan di studio sementara.

Kajian: 71 peratus puas hati Dr M sebagai PM

Menjelang pentadbiran 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), kajian oleh Merdeka Centre mendapati 71 peratus rakyta berpuas hati dengan kepimpinanan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Menurut kajian itu, peratus berkenan jatuh 12 peratus dalam tempoh antara 31 Mei dan 11 Ogos lalu.

Kajian Merdeka Center juga mendapati bahawa Dr Mahathir mencatatkan kedudukan peratusan yang tinggi di kalangan pengundi bukan Melayu dengan kaum India pada 93 peratus dan Cina pada 83 peratus, manakala di kalangan kaum Melayu, jumlah yang berpuas hati dengannya adalah pada 62 peratus.

Ahli politik berusia 93 tahun, yang menjadi perdana menteri untuk penggal kedua itu sebelum ini telah memimpin negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

Beliau mendapat sokongan yang hampir setara di kalangan pengundi bandar dan luar bandar baik di Semenanjung Malaysia, mahupun di Sabah dan Sarawak serta dari pelbagai latar pendapatan dan kumpulan umur.

Peratus yang menyokongnya adalah tinggi di kalangan kakitangan kerajaan dan GLC iaitu pada 81 peratus.

Sementara itu, kerajaan HARAPAN juga diberikan penarafan positif oleh lebih dua pertiga daripada responden, iaitu pada 67 peratus.

Kajian juga mendapati 64 peratus responden berpendapat negara menuju "ke arah yang betul" dalam perkara-perkara mengenai kepimpinan dan isu semasa berikutan pilihan raya umum 9 Mei. Jumlah itu bagaimanapun menurun kepada 55 peratus pada bulan Ogos.
Tempoh yang sama juga menyaksikan peratusan mereka yang merasakan negara bergerak ke arah yang salah meningkat dari 12 peratus kepada 24 peratus.
-malaysiakini

Siasatan SPRM ke atas pembantu Mat Sabu dedah perebutan jawatan

FMT Reporters 

KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas seorang pembantu Mohamad Sabu melibatkan sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun bank menunjukkan perebutan jawatan di kementerian dalam kalangan kawan-kawan dan rakan-rakan ahli politik Pakatan Harapan.


Seorang pembantu Mohamad dilaporkan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditugaskan untuk memastikan semua pembantu dan pegawai politik para menteri bebas daripada urusan meragukan sebelum dilantik secara rasmi.

Dipercayai SPRM sedang menyiasat transaksi berjumlah RM800,000 ke akaun bank pembantu itu, sejurus selepas Mohamad mengangkat sumpah menteri pertahanan.

Pembantu berusia pertengahan 40-an itu dikatakan dekat dengan presiden Amanah itu dan terpilih daripada berpuluh kawan-kawan rapat yang juga mahukan jawatan kanan bawah menteri itu.

“Dia seorang yang setia dan bersama Mohamad ketika susah dan senang, termasuk ketika Mohamad hilang pengaruh selepas diketepikan PAS dan kemudian meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Amanah,” kata sumber yang dekat dengan pemimpin Amanah itu.

Sumber berkata sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Mohamad untuk portfolio pertahanan pada Mei, dia dibanjiri permintaan daripada kawan-kawan dan penyokong-penyokong yang mahu menjadi pembantunya.

“Tetapi dari awal lagi jelas orang itu akan terpilih kerana dedikasinya,” kata sumber itu.

Pilihan Mohamad bagaimanapun tidak disenangi ramai kawan-kawan yang juga mahu menjadi pembantu di kementerian utama itu.

“Ramai kawan-kawan yang kononnya ‘berhaluan kiri’ ini tidak ada pendapatan tetap. Ada antara mereka dari Amanah, ada dari parti komponen lain, serta aktivis yang perlukan kestabilan kewangan,” kata sumber itu.

“Kita tak boleh puaskan hati semua orang.”

Sumber berkata pendedahan tentang siasatan SPRM ke atas pembantu itu berbetulan dengan angkat sumpah minggu ini, dengan harapan ia boleh menggagalkan pelantikan dan mengosongkan jawatan itu.

“Satu lagi dakwaan yang dilontarkan bagi mengurangkan peluangnya termasuk menuduhnya seorang Syiah,” kata sumber itu dan berkata serangan sebegitu terhadap kem Mohamad “bukan aneh”.

“Mohamad juga pernah dilabel Syiah oleh pengkritiknya kerana bersimpati dengan gerakan seperti Hizbullah,” kata sumber itu.

Sumber mengesahkan pembantu itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi sebelum Amanah ditubuhkan.

Perkara itu mesti diatasi dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah wang untuk melangsaikan hutang tersebut.

Sumber berkata pembantu itu kemudian menemui kawan-kawan rapat – “kira-kira 12 orang” – untuk membantu dia menyelesaikan hutang peribadi berjumlah kira-kira RM800,000 itu.

FMT difahamkan semasa tapisan SPRM, pembantu itu menyerahkan dokumen mengandungi nama-nama orang yang meminjamkan wang dan setiap transaksi diperincikan.

“Wang didepositkan dalam pelbagai kadar, daripada sekecil RM10,000 sehingga RM100,000, hingga mencecah RM800,000.”

Masalah yang dihadapi pembantu itu bukan perkara luar biasa setiap kali menteri baru dilantik, lebih-lebih lagi selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya Mei lepas yang menyaksikan banyak jawatan politik kosong.

Ia termasuk jawatan setiausaha politik dan setiausaha akhbar, yang dilihat sebagai tulang belakang pejabat menteri terutama untuk mengendalikan persepsi umum.

Sementara itu, sumber berkata SPRM mungkin tidak akan menemui unsur-unsur rasuah dalam siasatan ini.

“Tetapi persepsi buruk sudah terpalit pada pejabat Mohamad, terutama bila dia memegang jawatan itu diiringi perasaan gembira orang ramai,” katanya.

AMANAH alukan siasatan SPRM ke atas pegawai kanan Mat Sabu

MALAYSIA DATELINE 
Tiada kompromi dalam soal integriti, kata Menteri Pertahanan
AMANAH alukan siasatan SPRM ke atas pegawai kanan Mat SabuMenteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam soal integriti sekiranya terdapat sebarang kes membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berpendirian sama dalam siasatan dilakukan SPRM di kementerian pertahanan yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

“Saya juga mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan SPRM terhadap sesiapa sahaja di Kementerian Pertahanan mahupun di pejabat saya.

“Saya juga bersedia memberikan komitmen dan kerjasama penuh kepada pihak SPRM.

“Bagi saya, tiada kompromi dalam soal integriti.Sekiranya terdapat apa-apa kes, SPRM bolehlah mendakwa individu yang terlibat mengikut saluran undang-undang sedia ada,” ujar Presiden AMANAH itu dalam kenyataan rasminya yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan hari ini.

Mohamad mengulas mengenai kenyataan balas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki, semalam, terhadap laporan portal Malaysiakini yang dipetik sumber mengesahkan berhubung siasatan terhadap pegawai kanan kepada menteri pertahanan itu kemungkinan berlaku salahguna kuasa dalam membayar hutangnya sebanyak RM800,000 bagi supaya namanya dikeluarkan daripada senarai muflis.

Hari ini Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dalam kenyataannya, dipetik berkata, pendirian parti itu yang mengalu-alukan usaha pencegahan rasuah dilakukan SPRM dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahlinya yang disiasat atau didakwa SPRM.

Dalam perkembangan sama Pemuda AMANAH Nasional menerusi kenyataan Naib Ketua Pemudanya Shazni Munir Mohd Ithnin hari ini, turut mengesa pimpinan parti itu ‘merehatkan’ pegawai kanan itu daripada menjalankan tugas bersama Menteri Pertahanan.

Anwar dapat laluan dari MP bebas Perak?

Seorang wakil rakyat bebas di Perak dilaporkan telah menawarkan kerusi parlimennya kepada presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut laporan berita, ahli parlimen itu, yang sebelum ini pernah bersama BN, membuat tawaran itu semasa pertemuannya dengan Anwar, baru-baru ini.

“Memenangi pilihan raya kecil tidak patut menjadi masalah kepada Anwar kerana Pakatan Harapan menguasai Putrajaya dan kerajaan negeri Perak,” kata sumber itu kepada FMT.

Kedua-dua Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal bertanding di bawah tiket BN pada pilihan raya umum ke-14 lalu. Namun mereka meninggalkan Umno selepas itu.

Semasa mengumumkan keputusannya, Noor Azmi secara terbuka mengisytiharkan sokongannya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkata beliau kini adalah ahli parlimen Bebas dan merancang untuk menyertai BERSATU.

Beliau memenangi Bagan Serai dengan majoriti tipis sebanyak hanya 172 undi berbanding pencabar terdekatnya dari PAS, Rohaya Bakar.

Tiga hari selepas itu, Syed Abu Hussin pula mengumumkan keputusannya untuk menjadi ahli parlimen Bebas kerana kecewa dengan keputusan pilihan raya Umno baru-baru ini.

Syed Abu Hussin, bagaimanapun berkata, beliau tidak berniat untuk menyertai mana-mana parti lain. Pada PRU-14, beliau memenangi Bukit Gantang dengan majoriti 4,089 dalam pertandingan tiga penjuru melawan PKR dan PAS.

Sebelum ini, ahli parlimen Selayang, William Leong dan ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul turut menawarkan untuk meletak jawatan supaya Anwar boleh mengambil kerusi mereka.

Sementara itu, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuannya, Nurul Izzah masing-masing menegaskan bahawa mereka tidak berhasrat mengundurkan diri dan melepaskan kerusi mereka.

Anwar sebelum ini berkata, beliau tidak tergesa-gesa menjadi perdana menteri kerana keutamaannya ialah memasuki Dewan Rakyat.

Beliau menggesa rakyat memberi sokongan kepada Dr Mahathir yang sedang memimpin negara dan berkata, berdasarkan persetujuan awal HARAPAN, peralihan kuasa boleh berlaku dalam masa terdekat dengan penyertaannya di Dewan Rakyat.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Anwar untuk ulasannya.

Perarakan kententeraan luar biasa di Makkah menjelang haji


MAKKAH - ARAB SAUDI. Kerajaan Arab Saudi telah mengadakan perarakan ketenteraan yang luar biasa sebelum ibadah haji bermula, semalam.

Perarakan tahunan itu antaranya mempamerkan kekuatan pasukan elit dan aset kerajaan, perbarisan membentuk formasi serta pertunjukan udara menerusi helikopter, di Arafat, di sini.

Selain itu, anggota tentera terlibat turut mengadakan simulasi taktikal antikeganasan antaranya aksi mengejar pengganas menggunakan kereta berkelajuan tinggi dan serbuan terhadap bangunan rekaan tiga tingkat yang diakhiri dengan letupan.

Keamanan dan kestabilan sepanjang musim haji adalah antara kebimbangan terbesar negara itu ketika berjuta-juta umat Islam berkumpul di Kota Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Menurut laman web Pusat Komunikasi Kerajaan Arab Saudi, setakat ini seramai 1,392,739 jemaah haji telah tiba menerusi pengangkutan udara, darat dan laut untuk melaksanakan haji pada tahun ini. 
-Bernama

Pasangan lesbian dijatuhi hukuman sebat, denda cubaan melakukan seks:

Dua wanita disabitkan bersalah kerana cuma melakukan hubungan sejenis dan dijatuhi hukuman enam sebatan syarie serta denda RM3,300 setiap seorang.

Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah berkata, dua wanita itu cuba melakukan hubungan seks dalam kereta pada April lalu, lapor Reuters.

Wanita 32 dan 22 tahun itu mengaku bersama atas kesalahan musahaqah, yang turut melarang seks lesbian.

Kes itu timbul di tengah-tengah perdebatan awam berkaitan isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

Dr M tegur MP HARAPAN jaga disiplin jika tak mahu k'jaan jatuh

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bahawa kekurangan disiplin dan pertelingkahan dalaman akan menyebabkan kejatuhan gabungan itu.

Malaysiakini difahamkan bahawa Dr Mahathir menyampaikan mesej berkenaan ketika majlis makan malam melibatkan menteri, timbalan menteri dan anggota parlimen di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Beberapa yang hadir majlis berkenaan, yang enggan dinamakan, memberitahu Malaysiakini bahawa Dr Mahathir menegur sikap sesetengah anggota parlimen yang masih seperti pembangkang dan menggesa mereka bersikap seperti kerajaan.

Dr Mahathir dikatakan mengingatkan anggota parlimen bahawa HARAPAN merupakan gabungan yang sama rata, maka disiplin penting kerana sekiranya terdapat parti komponen yang keluar gabungan itu, ia boleh menyebabkan kerajaan jatuh.

"Pada masa lalu, terdapat parti dominan (dalam kerajaan BN) yang boleh buat apa saja dan semua orang perlu ikut walaupun tidak suka.

"Tapi kini, kita semua ada kekuatan yang sama.

"Setiap parti komponen penting dalam gabungan ini. Jika ada yang menarik diri, kerajaan boleh jatuh, jika bukan di peringkat persekutuan, mungkin di peringkat negeri," kata Dr Mahathir seperti dipetik sumber.

Dr Mahathir juga dikatakan menyentuh secara tidak langsung berhubung dakwaan bahawa beliau masuk campur dalam urusan PKR.

Jelas Dr Mahathir, perkara itu merupakan salah satu contoh yang boleh menyebabkan ketidakpuasan hati di kalangan pemimpin dalam gabungan itu.

"Kita perlu berkorban dan mengutamakan HARAPAN berbanding parti sendiri. Jika kita mengenepikan keputusan HARAPAN untuk kepentingan sendiri, ia akan menyebabkan perpecahan dan pergeseran di kalangan parti HARAPAN," katanya.

Dr Mahathir juga berpesan bahawa pembangkang kini menunggu untuk menarik pihak yang keluar dari HARAPAN.

Pengerusi HARAPAN itu juga menggesa anggota parlimen berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana ia boleh dijadikan senjata oleh pembangkang.

"Ketika BN dalam kerajaan, satu perkataan yang dikeluarkan pemimpin mereka boleh digunakan untuk menentang mereka.

"Cakap 'kepala bapak' boleh jadi isu besar. Tapi kini kita adalah kerajaan," katanya.

Pesanan Dr Mahathir itu dibuat ketika terdapat anggota parlimen PKR mendakwa beliau dan orang kanannya, Tun Daim Zainuddin merancang menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya.

Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa Dr Mahathir dan Daim turut berpakat dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Semalam, Dr Mahathir menggesa pihak yang membuat dakwaan itu mengemukakan bukti tuduhan berkenaan.
-malaysiakini

SPRM siasat orang kuat Mat Sabu susulan 'bantuan RM800k'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Ini susulan dakwaan dia menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan hutangnya dan dikeluarkan daripada status muflis.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa siasatan sedang dijalankan tetapi enggan mendedahkan lanjut butiran berkaitan.

Sementara itu, sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, pegawai itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi kira-kira empat tahun lalu.

Status itu kekal sehingga penghujung Mei lalu, apabila beberapa bayaran dikatakan dimasukkan ke dalam akaun jabatan itu oleh beberapa pihak untuk penyelesaian hutangnya.

“Didakwa bayaran itu dibuat bagi pihaknya hanya beberapa hari selepas Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri pertahanan,” kata sumber.

Sumber yang lain berkata SPRM telah merakamkan kenyataan pegawai itu untuk membantu siasatan.

Selain dia, sepuluh lagi individu telah dirakamkan kenyataan, termasuk beberapa kontraktor pertahanan dan wakil-wakil perniagaan.

“Agak meragukan bila dia dikatakan akan dilantik sebagai pembantu kepada menteri,” katanya.

Sumber berkata SPRM menyiasat sama ada hutang itu diselesaikan dengan niat mendapatkan projek sebagai balasan.

Mohamad, yang juga presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), melapor diri sebagai menteri pertahanan pada 22 Mei, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan bersama 13 lagi pemimpin Pakatan Harapan.

Malaysiakini sudah menghubungi menteri dan seorang setiausahanya serta masih menunggu penjelasan mereka.
-malaysiakini