Zamihan Mat Zin: PAKAR RUJUK TERRORISM DI PDRM?

DrMAZA.com
PAKAR RUJUK TERRORISM DI PDRM?

Dr. Bilal Philips merupakan tokoh pendakwah antarabangsa. Beliau telah dikaitkan dengan terrorism oleh Zamihan Mat Zin semasa zaman kerajaan lepas. Dr. Bilal Philips telah menyaman Zamihan Mat Zin menuntut bayaran 1 juta. Dr Bilal menang kes tersebut dan Zamihan bersetuju untuk membayar satu jumlah kepada Dr Bilal. Hari ini sekali Dr Bilal menfailkan agar Zamihan diistiharkan muflis kerana gagal membayar walaupun satu sen kepadanya. Itu yang media laporkan semalam.

Persoalan yang patut ditanya, bagaimana Zamihan yang merupakan 'partner' yang sering bersama Dato Ayob Khan bahagian terrorism PDRM diambil sebagai pakar rujuk Polis mengenai terrorisme? Padahal individu ini penuh dengan pelbagai isu dan pandangan yang radikal termasuk dalam isu dobi non-muslim, isu perkataan cercaan kafir dan murtad pada pihak lain, maki-hamun dan lain-lain. Demikian juga isu kelucahan yang dibangkitkan oleh tahanan SOSMA semasa Zamihan mengendalikan proses deradikalisasi.

Tuduhan rambang Zamihan kepada pihak lain ternyata tidak benar melalui keputusan tuntutan yang dia terpaksa bayar. Namun sosok inilah yang bersama dengan ketua bahagian terrorism PDRM Dato Ayob Khan. Bahkan ulasan-ulasan beliau banyak yang seiras dengan irama Zamihan yang dibuktikan tidak boleh dipercayai tuduhannya.

Jikalau Dato Ayob Khan boleh bersama Zamihan pada masa kerajaan lepas sehingga banyak polemik isu terrorism timbul dalam negara ini, bagaimanakah keyakinan rakyat terhadap keutuhan siasatan kes-kes yang dibabitkan dengan keganasan jika membabitkan individu seperti ini? Wajarkah beliau masih dalam bidang tersebut?

Inilah jawapan saya kenapa saya meminta Dato Ayob Khan tidak dilibatkan dalam siasatan kes warga asing di Perlis tempoh hari. Apapun in sha Allah saya akan bercakap hal ini dengan TS YB Menteri KDN sendiri. Juga in sha Allah pejabat saya akan menjemput beliau untuk membuat penerangan dan dialog tentang terrorism kepada kita di Perlis. Kalau semasa zaman kerajaan dahulu beliau tidak menjawab surat jemputan saya sekalipun setelah saya berjumpa dan bertanya beliau tentang surat itu secara langsung, tapi in sha Allah saya percaya di bawah kerajaan baru yang mahu integriti PDRM ditingkatkan, saya yakin beliau hadir dan berdialog secara profesional.

Kes Zahid Hamidi: Menyelak syarikat 'misteri' Mastoro Kenny

Mastoro Kenny – apa sebenarnya syarikat 'misteri' ini?

Persoalan ini timbul setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa syarikat ini membayar RM13.25 juta kepada Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi bagi mendapatkan projek MyEG.

MyEG bagaimanapun dalam kenyataan di Bursa Malaysia selepas itu berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan syarikat itu dan tidak pernah berurusan dengannya.

Carian profil syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat perunding teknologi maklumat (IT) itu turut membekalkan perisian, membina laman web dan membekalkan aksesori komputer.

Malaysiakini mengenal pasti pemiliknya M Kumaraguru, 46, sebagai orang yang sama yang memiliki syarikat Mentari Maju Textiles.

Sebagai pemilik Mentari Maju, dia telah diheret ke mahkamah atas pertuduhan pengubahan wang haram pada 14 Mac lalu.

Beliau dilapor melakukan kesalahan itu antara 17 Januari hingga 23 Februari 2017.

Ia kebetulan waktu yang sama ketika Mastoro Kenny didakwa membayar RM13.25 juta kepada Zahid.

Menurut pertuduhan kedua dan ketiga melibatkan Mastoro Kenny, Zahid dikatakan menerima 23 cek yang keseluruhannya bernilai RM13 juta antara 7 Disember 2016 hingga 8 Februari 2017.

Dalam pertuduhan pertama pula, Zahid dikatakan menerima RM250,000 pada 15 Julai 2016.

Pemberian itu dibuat sebulan sebelum Kumaraguru mendaftarkan Mastoro Kenny pada 19 Ogos tahun itu.

Alamatnya didaftarkan di Scott Garden, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Setakat ini masih belum jelas projek apa yang dipercayai SPRM cuba diperoleh dari MyEG dengan memberikan wang kepada Zahid.

Kedua-dua syarikat itu, Mastoro Kenny atau Mentari Maju Textiles, tidak wujud di alam maya.

Menurut SSM juga, pendaftaran kedua-dua syarikat itu juga tamat pada 18 Ogos 2017 dan 11 Julai tahun yang sama.

Pertuduhan terhadap Zahid melibatkan Mastoro Kenny adalah berkaitan kesalahan menerima suapan.

Jika sabit kesalahan, Zahid boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Zahid berdepan lapan pertuduhan menerima suapan, 10 pertuduhan pecah amanah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.
-malaysiakini

Perincian pengubahan wang haram RM72 juta Zahid

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Zahid, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Bagi pertuduhan pertama sehingga ke-25, Zahid didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram.

Iaitu dengan memberi arahan untuk mendepositkan wang antara RM600,000 hingga RM9.35 juta ke dalam akaun bernombor 264258871612 dan juga 'AKAUN PELABURAN AM-i' bernombor 264258871605 sebagai Simpanan Tetap, melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co, Peguambela dan Peguamcara, di mana ia merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, cawangan Dataran Maybank, Aras 1, Tower A, No. 1 Jalan Maarof, Bangsar dekat Kuala Lumpur antara 27 Mei 2016 hingga 11 April 2018.

Bagi pertuduhan ke-26, Zahid didakwa melakukan kesalahan sama iaitu dengan memberi arahan berhubung pembelian dua buah rumah banglo di Mukim Kajang, Daerah Hulu Langat bernilai RM5.9 juta, menggunakan cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tempat sama pada 9 Jan 2017.

Bagi pertuduhan ke-27, Zahid, melakukan kesalahan serupa dengan cara mengarahkan Omar Abdullah, 46, untuk mengubah bagi pihak tertuduh wang tunai berjumlah RM6,885.270.20 kepada 30 keping cek yang kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise Sdn Bhd, LG 1.15, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, dekat sini pada 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016.

Pendakwaan untuk kesemua pertuduhan berkenaan adalah mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 10 tuduhan pecah amanah Zahid didakwa sebagai seorang ejen iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang telah diamanahkan wang berjumlah RM20,833,132.99 milik yayasan tersebut telah melakukan pecah amanah jenayah wang tersebut.

Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Jalan Bunus, No. 133, Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India, di sini antara 13 Jan 2014 dan 11 Jan 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan sebatan dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tegang seketika, penyokong Zahid baling objek kearah polis

Kes pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram ke atas Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berjalan lancar kecuali percubaan sekumpulan penyokong yang cuba merempuh masuk pagar utama perkarangan kompleks mahkamah.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis sejak awal pagi telah mengawal rapi kompleks mahkamah di Kuala Lumpur itu.

Namun kira-kira 200 penyokong yang berpakaian serba merah dengan logo Umno mula berang apabila mereka dihalang masuk di kedua-dua pagar kompleks mahkamah itu.

Kehadiran, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khair Jamaluddin pada jam 11 pagi menyaksikan ramai yang menunggu di luar cuba menemami mereka masuk tetapi dihalang.

Akibatnya berlaku tolak-menolak dan cubaan merempuh masuk. Ini disusuli dengan objek yang tidak dikenali melayang ke arah anggota keselamatan yang bertugas.

Para penyokong mula menjerit ke arah polis apabila seorang anjggota cuba mengenal pasti dan berjalan ke arah individu yang disyaki membaling objek itu.

Kumpulan berbaju merah yang diketuai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam kemudian meminta para penyokong Umno supaya untuk duduk tetapi tidak semua mematuhinya.

Katanya, kehadiran mereka bukan untuk memprovokasi pihak berkuasa, dan Umno akan dipersalahkan jika berlaku sebarang kekecohan.

"Ini perhimpunan aman, jangan timbulkan masalah." katanya sambil meminta mereka duduk di tengah laluan ke pintu pagar masuk kompleks.

Polis kemudian mengarahkan pasukan Light Strike Force bagi mengekang penyokong yang cuba merempuh masuk selepas mendapat maklumat sebutan kes itu telah selesai.

Mereka bagaimanapun berjaya dikawal beberapa minit selepas itu oleh polis bersama Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terus mengawal rapi.

Sumber polis memberitahu, tahap keselamatan di perkarangan kompleks ketika ini terkawal dan meminta penyokong Umno supaya mematuhi arahan ketika berada di kawasan mahkamah.

Zahid mungkin perlu bercuti - Datuk Mohamad Hassan

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin perlu bercuti daripada menjalankan tugas-tugas parti selepas berdepan dengan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram hari ini.

Timbalannya, Datuk Mohamad Hassan (di atas), memberitahu pemberita bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009 yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

"Ia (amalan ini) digunakan untuk mengggantung pemimpin yang menghadapi tuduhan, tetapi SOP baru memerlukan mereka yang didakwa bercuti.

"Bagaimanapun, jika mereka kemudiannya didapai tidak bersalah, pemimpin berkenaan boleh meneruskan kedudukan mereka," katanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 10.20 pagi ini.

Beliau menambah bahawa SOP dibuat dengan tujuan untuk melindungi Umno daripada dituduh atau dikaitkan dengan sebarang salahlaku.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat di kalangan ahli Umno, berkata perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan oleh jawatankuasa pengurusan parti itu.

Keputusan dari mesyuarat itu, katanya, akan dibawa ke Majlis Tertinggi Umno untuk membuat keputusan.

Zahid tiba di mahkamah, dijangka hadapi 45 tuduhan

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di mana beliau dijangka menghadapi 45 pertuduhan.

Zahid akan berdepan proses pendakwaan berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

Beliau tiba di mahkamah itu pada pukul 8.15 pagi dengan sebuah kenderaan dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno kelihatan tenang ketika berjalan masuk ke bangunan berkenaan dengan tersenyum serta melambai-lambai kepada media dan orang ramai.

Semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ditahan SPRM Putrajaya pada 3.15 petang berhubung siasatan kes berkenaan.
Bagaimanapun, sumber-sumber berkata dakwaan lain tidak berkaitan dengan 1MDB.

Pada bulan Julai, MP Bagan Datuk itu disoalsiasat oleh agensi anti-rasuah SPRM.

Dalam pusingan pertama, soalsiasat ialah mengenai derma keluarga diraja Saudi kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala pusingan kedua berkaitan dengan dana Yayasan Akal Budi.

Isteri Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak perempuannya Datuk Nurulhidayah adalah antara ahli keluarga yang dilihat di ruang Mahkamah.

Turut kelihatan ialah Datuk Mohammad Hassan dan pemimpin parti lain, Datuk Ismail Sabri Yaakob, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Khaled Nordin dan Datuk Noraini Ahmad.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM (operasi) Azam Baki adalah antara mereka yang kelihatan berada di galeri awam.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi akan mendengar prosiding pagi ini.

Bekas hakim Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwa, sementara peguam Hisham Teh Poh Teik mengetuai barisan peguam Zahid.

Sebelum ini, Ahmad Zahid telah enam kali dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes itu dengan kali terakhir memberi keterangan semalam.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, lebih 100 penyokong Ahmad Zahid berkumpul di hadapan perkarangan kompleks mahkamah di Jalan Duta, untuk menandakan solidariti bersama bekas menteri dalam negeri itu.

Zahid akan hadapi sekurang-kurangnya 35 dakwaan babit RM7 juta

FMT Reporters
PETALING JAYA: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka berdepan sekurang-kurangnya 35 pertuduhan berjumlah RM7 juta di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang pengubahan wang haram serta rasuah, kata sumber.

Beberapa kesalahan yang melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 itu, didakwa dilakukan antara 2014 hingga 2017.

Sumber berkata, jika kesalahan itu dilakukan sebelum September 2014, Zahid mungkin berdepan denda sehingga RM5 juta, penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika kesalahan itu dilakukan selepas September 2014, beliau berdepan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti menyalahi undang-undang, mana yang lebih tinggi.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut berdepan pertuduhan rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, di mana pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga akan berdepan pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Zahid yang ditahan petang tadi, selepas dipanggil SPRM buat kali ke-6, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk disoal siasat berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.

Beliau menghabiskan hampir 11 jam dalam sesi soal siasat SPRM Jumaat lalu.

Ketika mula disoal siasat SPRM Julai lalu, Zahid memberitahu agensi anti-rasuah itu beliau sudah memulangkan RM800,000 milik Yayasan Akal Budi yang digunakan untuk membayar bil kad kreditnya dan isteri pada 2016.

Beliau menyalahkan pegawainya tersilap menggunakan cek yayasan untuk membayar bil kad kredit.

‘3 perkara merisaukan saya tentang Kabinet’

AHMAD LUTFI OTHMAN

Lama sebelum PRU14, sekitar 14 bulan sebelum hari bersejarah 9 Mei 2018, pensyarah kanan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia ini sudah membayangkan “tsunami Mahathir” bakal menggemparkan negara.

PROF DR MOHAMMAD AGUS YUSOF ketika ditemui Ahmad Lutfi Othman di kediamannya, akhir September 2018, berbicara santai tentang keputusan PRU14 yang disifatkannya “amat menggembirakan rakyat”. Beliau juga melihat usaha Dr Mahathir Mohamad memimpin Pakatan Harapan memenangi PRU14 sebagai “luar biasa”.

Turut disentuh dalam sesi wawancara lebih dua jam itu situasi politik berbeda di Kelantan dan Terengganu, serta hubungan negeri dan pusat. Juga mengenai senario menarik di Sabah.

Langkah pembaharuan dan reformasi kerajaan PH turut diulas. “Cuma, pelaksanaannya masih lemah, dan ini perlu disegerakan,” kata Dr Agus. Beliau turut mengkritik pelantikan pengerusi baharu GLC atau agensi kerajaan “yang masih lagi orang lama dikitar semula, manakala orang politik yang berjuang untuk parti dipinggirkan”.
Seterusnya, beliau bertanya, “Bila peluang untuk orang baharu dan orang yang berjuang untuk parti?”

Mengenai janji manifesto yang tidak melibatkan pertambahan dana, Dr Agus juga menyentuh pelantikan jawatan strategik yang perlu dirujuk kepada Parlimen, seperti Pengerusi SPR dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Hubungan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim juga disinggung khususnya isu peralihan kuasa. Beliau yakin mereka berdua tidak bermasalah: “Tun tidak kemaruk kuasa … dan Anwar hanya bersedia mengambil alih jawatan apabila tiba masanya.”

Dr Agus turut meluahkan tiga kerisauannya tentang kabinet hari ini. Ikuti sebahagian daripada temubual panjang itu.

LUTFI: Rasanya Prof paling awal menggunakan kalimah tsunami Mahathir sekitar Mei 2017 bagi menggambarkan senario PRU14, selepas Prof membuat perbandingan tiga ceramah umum membabitkan Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad dan Haji Hadi Awang. Boleh Prof huraikan semula tanggapan awal itu?

DR AGUS: Saya nyatakan tsunami Mahathir apabila melihat sambutan rakyat yang luar biasa semasa beliau hadir dalam ceramah di Kota Bharu. Ketika itu, walaupun ramai menyatakan ceramah tersebut tidak akan mendapat sambutan, kehadiran ramai sudah cukup menggambarkan pengaruh Tun Mahathir masih kuat.

Bukan hanya itu, selepas itu, rakyat mula meminta Tun Mahathir meneruskan usahanya untuk melawan regim kleptokrat Najib Razak. Sambutan ceramah sebegini tidak ada pada pemimpin-pemimpin Umno atau Pas. Pemimpin-pemimpin Umno dan Pas ini, jika mengadakan ceramah, pendengarnya mesti diatur, diangkut atau diberi habuan. Jarang yang mahu datang secara sukarela. Inilah bezanya ceramah Tun Mahathir dengan pemimpin Umno dan Pas.

Jika di Pantai Barat, kehadiran ceramah Tun Mahathir lagi luar biasa. Rakyat dari pelbagai kaum datang mendengar ceramahnya. Ceramah dibuat live dengan belasan dan puluhan ribu yang menontonnya secara online. Mulai saat ini, semakin jelas tsunami Mahathir akan tercetus. Ternyata, dengan usahanya bersama pemimpin PH yang lain, tsunami Mahathir betul-betul berlaku dan kerajaan Umno-BN tumbang.

Elok kalau Prof. dapat membuat penilaian umum mengenai peranan Dr Mahathir bagi menumbangkan regim Umno-BN bermula daripada beliau keluar Umno, menggerakkan Deklarasi Rakyat, menubuhkan parti baharu Bersatu, dan mengetuai pembangkang Pakatan Harapan, sehingga disepakati sebagai calon perdana menteri.

Tun Mahathir seorang negarawan. Beliau disokong kerana rakyat melihat pengorbanan beliau untuk menyelamatkan negara kita ini. Saya tidak boleh bayangkan apa yang akan berlaku kepada negara jika Umno-BN terus berkuasa. Keborosan dan salah guna kuasa regim terdahulu menakutkan.

Usaha Tun Mahathir dalam perjalanannya memimpin PH untuk memenangi PRU14 luar biasa. Beliau cekal berkempen dengan usianya yang sudah mencecah 93 tahun, sanggup ke mahkamah berjumpa Anwar Ibrahim, sanggup ke pelosok tanah air berceramah, dan sanggup segala-galanya demi mengembalikan semula kegemilangan Malaysia. Kehebatannya inilah yang menyebabkan parti-parti dalam PH bersedia menyepakati beliau sebagai calon PM dari PH. Dan rakyat menerima percaturan dan strategi PH ini dengan baik.

Apa yang Prof harapkan di bawah Malaysia Baharu, hubungan antara kerajaan negeri, yang ditadbir pembangkang dengan kerajaan persekutuan, selaras dengan semangat federalisme?

Saya harap kerajaan hari ini menjunjung undang-undang dan prinsip perlembagaan. Oleh itu, kerajaan pusat hendaklah memberi hak kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Perlembagaan telah membahagikan kuasa dua peringkat kerajaan ini dengan jelas dalam Jadual Kesembilan. Saya yakin jika tidak ada diskriminasi ini oleh kerajaan pusat, maka hubungan kerajaan pusat-negeri akan menjadi baik.

Ini saya rujuk kepada hak royalti minyak dan juga hak-hak lain yang sepatutnya menjadi hak kerajaan negeri. Begitu juga dengan peruntukan kewangan, kerajaan pusat hendaklah bertindak adil membahagikan sumber ini kepada kerajaan negeri, tidak kira kerajaan negeri itu diperintah oleh kerajaan yang sama yang memerintah di peringkat pusat atau sebaliknya.

Saya yakin apabila prinsip-prinsip ini diikuti, maka hubungan kerajaan pusat dengan negeri akan menjadi baik dan kita akan menjadi sebuah negara persekutuan yang stabil dan mantap. Inilah yang saya harap menjadi asas politik negara kita ke hadapan.

Kerajaan baharu telah mengemukakan beberapa pembaharuan dan langkah reformasi, selaras dengan janji 100 hari, juga mengambil tindakan tegas terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak berkaitan skandal mega 1MDB. Minta komentar Prof terhadap usaha-usaha itu.

Saya teruja dengan janji kerajaan PH untuk membuat reformasi institusi. Saya mahu melihat berlaku reformasi dalam Parlimen, sistem kehakiman, birokrasi, SPR, SPRM, pendidikan, dan kebebasan media. Hingga setakat ini, janji dan kesungguhan pemimpin PH itu ada, tetapi pelaksanaannya masih lemah. Inilah yang perlu disegerakan dari segi pelaksanaan supaya rakyat dapat melihat kesannya.

Dahulunya semasa Najib Razak menjadi PM, beliau menjanjikan banyak perkara dan memperkenalkan banyak program baharu seperti 1Malaysia, Program Transformasi Nasional, NKRA, NKEA dan lainnya. Akhirnya, pengumuman program baharu itu banyak, tetapi pelaksanaannya cukup hambar menyebabkan rakyat kecewa. Harapnya kerajaan PH tidak mengulangi kelemahan yang sama. Saya harap cuma satu: program pembaharuannya jelas dan pelaksanaannya juga jelas.

Berkaitan 1MDB, saya harap juga kes ini dapat diselesaikan dengan cepat dan betul-betul diselesaikan mengikut proses undang-udang yang telus. Dengan cara ini, insya-Allah, kita dapat memulihkan keyakinan rakyat kepada reformasi institusi yang kita janjikan.

Pandangan Prof terhadap Kabinet Mahathir. Keanggotaan, saiz, cara ia dipilih tanpa merujuk jumlah ahli parlimen sesebuah parti.

Saya senang dengan bilangan kementerian dan mereka yang dipilih menganggotai kabinet. Jika pun bilangan menteri yang dipilih tidak mengikut kepada jumlah keahlian sesebuah parti, rakyat boleh menerimanya asalkan mereka yang dipilih itu layak dan bebas dari unsur rasuah dan mempunyai integriti. Keutamaan rakyat sekarang ialah mahukan ahli kabinet berintegriti, mampu membangunkan negara serta menjaga kesejahteraan hidup mereka.

Kerisauan saya dengan kabinet hari ini ada tiga perkara. Pertama, setelah dipilih, ahli kabinet ini masih lagi bercakap untuk membersih kesilapan kerajaan lama, memberikan janji-janji baharu yang hendak dilaksanakan, tetapi impak pelaksanaan kepada janji-janji itu belum lagi terasa kesannya.

Kedua, kerajaan PH ini belum lagi mempunyai satu polisi dan perancangan yang jelas untuk masa depan negara. Misalnya, bagaimana dengan peluang pekerjaan rakyat, bagaimana dengan biasiswa untuk pelajar cemerlang dan kos pendidikan, bagaimana dengan kos hidup rakyat, dan tempoh masa untuk melaksanakan sesuatu janji.

Ketiga, saya risau dengan pelantikan pengerusi baharu untuk mengetuai GLC atau agensi kerajaan. Saya lihat masih lagi orang lama yang dikitar semula, manakala orang politik yang berjuang untuk parti dipinggirkan. Bila peluang untuk orang baharu dan orang yang berjuang untuk parti?

Mungkin Prof ada saranan dan idea terhadap langkah-langkah pembaharuan dan perubahan secara menyeluruh, yang wajar dilakukan.

Saya ada beberapa cadangan. Pertama, beri peluang kepada orang baharu. Orang yang sudah bersara itu lantik sahaja sebagai penasihat jika khidmat mereka masih diperlukan dan bukannya dengan diberikan kuasa eksekutif lagi.

Kedua, laksanakan manifesto yang dijanjikan. Contohnya, jika dahulu PH menjanjikan pelantikan Pengerusi SPR, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan lainnya perlu melalui kelulusan Parlimen, maka laksanakanlah janji itu.

Ketiga, semak semula undang-undang yang menyekat kebebasan hak asasi rakyat. Kita mesti berusaha untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara demokrasi kerana inilah masanya untuk negara kita berubah ke satu tahap yang lebih tinggi.

Hingga setakat ini, saya lihat telah banyak perubahan positif yang telah kerajaan PH lakukan dan saya gembira dengan perubahan tersebut. Cumanya ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki lagi, maka perbaikilah dan mantapkan.

Kempen pemilihan PKR mendedahkan seolah ada masalah besar mengenai proses peralihan jawatan PM daripada Tun Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim. Minta komen Prof.

Kempen politik mempunyai banyak warnanya. Komen, kritik dan kejian, semua itu adalah lumrah berpolitik. Dalam kempen PKR ini, walaupun ada yang mempertikaikan keikhlasan PM Tun menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada saya itu adalah kempen politik sahaja. Saya yakin antara Tun Mahathir dan Anwar, hingga setakat ini hubungan mereka tidak bermasalah.

Kedua-dua mereka telah melalui liku yang besar sebelum ini dan telah belajar dari pengalaman lepas. Saya tidak lihat Tun kemaruk kuasa, tetapi menjadi PM sekarang untuk memenuhi niat besarnya meletakkan kembali kegemilangan negara.

Anwar faham realiti ini. Beliau pun memberikan masa kepada Tun Mahathir memulihkan negara ini dan akan hanya bersedia mengambil alih jawatan apabila tiba masanya. Soal perebutan jawatan antara mereka berdua ini pada saya hanyalah mainan musuh politik mereka sahaja, tetapi tidak kepada kedua-dua Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Saya mendoakan kedua-dua pemimpin kita ini dapat bekerjasama dengan baik untuk membangunkan negara ini.

Ada juga Ahli Parlimen bodoh macam ini

Apa hak menteri larang merokok di parlimen
Zikri Kamarulzaman 
Anggota Dewan Rakyat hari ini membangkitkan isu bidang kuasa Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang mengenakan larangan merokok di parlimen bermula kelmarin.

Johari Abdul (HARAPAN-Sungai Petani) berkata menteri tiada kuasa menguatkuasakan undang-undang itu kerana parlimen berada bawah bidang kuasa speaker.

“Ini dewan kamu (speaker). Tidak ada menteri ada kuasa. Saya melihat mana mungkin menteri pergi pelekat notis ikut sukat hati dia. Tak boleh.

"Dia kena bincang dengan speaker.

“Speaker akan maklum kepada kita. Biarlah speaker yang letak notis,” katanya yang menegaskan beliau tidak merokok.

Justertu itu, beliau memohon Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menarik balik notis yang ditandatangani Dzulkefly.

Johari disokong oleh anggota parlimen parti lawan daripada BN, iaitu Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) dan Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

Bung berkata tiada pegawai penguat kuasa dibenarkan meronda di parlimen tanpa kebenaran speaker.

“Kami beri kuasa penuh kepada speaker untuk selesai. Mereka harus hormati yang dipertua,” kata Bung yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Ariff bagaimanapun menjawab dengan tenang bahawa beliau akan mengeluarkan petua yang berkaitan setelah mengkaji undang-undang dan peraturan mesyuarat.

Setakat ini, lapan orang, termasuk anggota parlimen telah didenda.

-------------------
Menteri jumpa speaker, larangan merokok dalam parlimen kekal
 
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan menarik balik penguatkuasaan larangan merokok di dalam bangunan parlimen, kata menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata pihaknya telah menemui Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bagi menyatakan pendirian mengenai pembatalan bilik merokok di kawasan berkenaan.

Katanya ia selaras dengan Artikel 8 WHO FCTC bagi melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Penguatkuasaan peraturan ini menunjukkan bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen.

"Sehubungan itu, KKM tidak akan menarik semula keputusan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen," kata Dzulkefly dalam kenyataan media hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan mengisytiharkan seluruh bangunan Parlimen termasuk tempat makan dan sudut merokok sebelum ini sebagai kawasan larangan merokok.

Sehari selepas itu, lapan kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang tidak mengendahkan larangan itu termasuk seorang anggota parlimen.

Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul hari ini membangkitkan isu bidang kuasa Dzulkefly mengenakan larangan berkenaan.

Menurut Johari, menteri tiada kuasa menguatkuasakan undang-undang itu kerana parlimen berada bawah bidang kuasa speaker.

Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pula berpendapat Dzulkefly perlu membuat kunjungan hormat terhadap speaker terlebih dahulu.

Dzulkefly dalam kenyataannya hari berkata hasil pertemuan dengan speaker mereka bersetuju menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan Parlimen.

Ruang itu katanya akan disediakan sehingga satu ruang merokok alternatif tetap dibina di luar bangunan Parlimen.

Sementara itu dalam usaha mencapai sasaran ‘sifar rokok’, KKM dengan kerjasama rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok mQuit akan menyediakan perkhidmatan rawatan berhenti merokok dengan menawarkan rawatan ubatan permulaan di ruang legar bangunan parlimen.

"Perkhidmatan saringan nafas CO dan fungsi paru-paru juga ditawarkan secara percuma," kata Dzulkefly.
-malaysiakini

Ada pemimpin Umno mohon sertai Bersatu: Rais

NORAFIDAH ASSAN
JELEBU - Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mengakui ada pemimpin dalam kalangan Umno yang memohon untuk menyertai Bersatu.

Bagaimanapun menurutnya, permohonan pemimpin berkenaan tentu sekali akan ditimbang oleh jawatankuasa pemilihan parti.

“Saya tidak dapat umum jumlahnya, tetapi minat menggalakkan. Cuma salah seorangnya ialah bekas Adun Klawang, Datuk Yunus Rahmat, yang lain-lain itu saya tidak mahu sebut siapa.

“Permohonan menyertai Bersatu itu secara amnya di negeri ini kita menerima akhlak, latar belakangnya yang tidak menentang kemasukan mereka dari segi syarat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bersatu bahagian Jelebu di Dewan D’Sury, Kuala Klawang, di sini, hari

Sementara itu, Rais berkata, pihaknya akan mengadakan program penerangan kepada ahlinya yang kini melebihi 3,000 dan akan diintensifkan susulan ada kalangan mereka masih tidak tahu perbezaan dengan Umno dahulu.

“Hal ini penting dihuraikan, begitu juga isu-isu manifesto, apa sebab setengah manifesto tidak dapat dilaksanakan ketika ini. Bagaimanapun, apa yang penting adalah meninggalkan di belakang amalan- malan lama yang tidak memberi manfaat.

“Saya ingin mengelakkan percakaran, saya akan mengutamakan yang penting iaitu disiplin,” katanya.

Manakala katanya, semua bahagian akan diselesaikan pelancarannya menjelang 25 Oktober ini termasuklah usaha memulihkan kembali parti tersebut.

“Semua bahagian menjelang 25 Oktober ini akan tertubuh termasuk seorang Menteri dan Timbalan Menteri akan mengepalai bahagian. Jadi saya akan pantau,” katanya.

Zahid diberi notis serah diri kepada SPRM esok, dakwa Lokman Adam

FMT Reporters
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan notis serah diri untuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.

Katanya, pemimpin itu juga dijangka akan didakwa agensi itu pada Jumaat ini.

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno telah diberikan notis serah diri untuk ditahan jam 1.45 ptg tadi supaya menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM jam 3.00 ptg esok, 18hb Oktober, 2018 (Khamis) dan dijangka akan didakwa keesokkan harinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau mengajak ahli dan penyokong Umno untuk hadir ke ibu pejabat SPRM dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan solidariti terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Hadir untuk menyatakan sokongan secara aman bukan merupakan satu kesalahan, usah gentar untuk turun.

“Saya akan hadir pakai baju oren lokap SRPM. Terpulang kepada anda mahu pakai baju apa,” katanya.

Pada 12 Oktober, Zahid dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya sebelum ini.

Ia adalah kali kelima Zahid memberi keterangan berhubung dakwaan wang RM800,000 milik yayasan itu digunakan untuk membayar bil kad kredit beliau dan isteri.

Sebelum ini Zahid dilaporkan berkata pegawainya tersilap menggunakan cek yayasan dan beliau sudah membayar semua wang yayasan milik keluarganya itu yang digunakan untuk membayar bil kad kredit.

Saman 1 - Deepak mahu Najib, Rosmah bayar RM676 juta

Hafiz Yatim

Peniaga permaidani, Deepak Jaikishian memfailkan saman RM676 juta terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua syarikat kerana didakwa berkonspirasi dan mengenakan tekanan yang tidak wajar ke atasnya berhubung tiga bidang tanah berhampiran Bukit Raja.

Tanah 180 hektar itu dikatakan lokasi Pusat Kajian Pertahanan Negara yang sepatutnya dibina di sana pada tahun 2007.

Selain menamakan Najib dan Rosmah, Deepak juga menamakan syarikat senaraian awam, Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya Bakti Wira Development Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan Deepak yang difailkan oleh firma Haniff Khatri dan Co, beliau mendakwa perjanjian yang dimeterai pada 8 Jun 2005 itu melibatkan Awan Megah Sdn Bhd untuk membina sebuah pusat pertahanan.

Berikutan penswastaan, Awan Megah menawarkan Astacanggih Sdn Bhd, yang majoriti sahamnya dimiliki oleh Deepak, untuk membeli tanah berkenaan pada harga RM118.57 juta dan berikutan ini, perjanjian pemerolehan dibuat pada tahun 2007.

Susulan pengambilalihan itu, Astacanggih membayar Awan Megah RM13 juta dan menaikkan jaminan bank kepada RM72.5 juta untuk digunakan sebagai bon tanah bagi projek yang diswastakan.

Beliau mendakwa bahawa Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah, yang memiliki Awan Megah, adalah proksi Najib dan Rosmah.
Katanya, Raja Ropiaah memeterai satu lagi perjanjian lain pada 2010 untuk menjual tanah itu kepada GuppyUnip Sdn Bhd dan ini bertentangan dengan perjanjian asal yang dimeterai dengan Astacanggih.

Deepak mendakwa bahawa Raja Ropiaah tidak sepatutnya menjual tanah itu apabila dia mempunyai perjanjian awal dengan Astacanggih.

Hasilnya, ahli perniagaan itu memfailkan saman terhadap Awan Megah dan memohon ia dibicarakan.

Namun Deepak mendakwa beliau terpaksa menarik balik samannya terhadap Awan Megah apabila ditekan oleh pihak berkuasa.

Ahli perniagaan itu mendakwa bahawa masalahnya itu tidak berakhir dan mendakwa bahawa Najib dan Rosmah menggunakan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk membeli 80 peratus saham Astacanggih melalui Boustead menerusi anak syarikatnya, Bakti Wira.

Deepak berkata, pada akhirnya, beliau hanya dibayar RM30 juta pada tahun 2012 untuk 80 peratus sahamnya, manakala syarikat itu kini bernilai lebih berikutan pengambilan tanah tersebut.

Pembangkang semakin terancam Anwar kembali ke Parlimen

ARIF ATAN
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berpendapat pembangkang semakin terancam dengan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen.
Menurutnya, pendirian Ketua Umum PKR itu dalam hal-hal berkepentingan nasional membuatkan Pas dan Umno sukar untuk menyerang Pakatan Harapan (PH) yang kini menguasai kerajaan.

“Pembangkang semakin sukar dan terancam apabila Anwar kembali ke Parlimen.

“Hal ini kerana kebanyakan isu yang sering dibangkitkan oleh pembangkang seperti isu berkaitan Melayu, Islam, institusi diraja akan dapat dipatahkan oleh Anwar sendiri di Parlimen.

“Sebabnya, Anwar dianggap tokoh yang banyak berjuang isu-isu tersebut dahulu dan kini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Jelasnya, kemunculan Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam perbahasan di Dewan Rakyat selepas ini juga memberi isyarat kukuhnya PH sebagai kerajaan.

“Anwar ke Parlimen bermakna kedudukan PH semakin kuat, semakin mantap dan mampu mematahkan hujah-hujah pembangkang dalam isu nasional juga,” kata Dr. Awang Azman.

Mengulas lanjut, pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM) UM itu berkata, Anwar juga dijangka akan mereformasikan Parlimen iaitu memastikan proses semak dan imbang berlaku dalam fungsi eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Ujarnya, Anwar akan memastikan ketiga-tiga institusi tersebut berfungsi dengan baik dan tidak bertindan bagi mengelak wujudnya situasi monopoli daripada mana-mana pihak.

“Dengan pendekatan berkenaan, badan eksekutif akan terus memainkan peranannya dan badan kehakiman mempunyai sempadan tersendiri.

“Jikalau terdapat unsur yang cuba memanipulasikan antara tiga fungsi ini, ia boleh menjejaskan sistem pentadbiran negara.

“Jadi, peranan Anwar penting kerana reformasi di Parlimen memerlukan pemimpin yang berkarisma, berpengalaman dan memainkan peranan yang dinamik,” jelasnya.

Membimbing

Dr Awang Azman juga berpendapat, Anwar bakal memantapkan suara PH di Dewan Rakyat.

“Pengalaman dan kredibiliti bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dapat dimanfaatkan untuk membantu Ahli Parlimen lain agar lebih berfungsi dan berkesan.

“Reformasi yang dilakukan Anwar juga akan turut memastikan isu-isu penting diketengahkan dan dibincangkan di Dewan Rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr. Awang Azman berharap perbahasan dan perbincangan Parlimen yang akan datang lebih bermutu.

“Ada Ahli Parlimen yang agak baru dan kurang pengalaman. Maka tugas Anwar untuk membimbing kelompok ini agar mereka ini boleh berfungsi dengan lebih baik lagi.

“Anwar akan buktikan beliau bukan gopoh dan hanya lakukan proses untuk jadi PM dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Anwar akan memberikan Tun Mahathir ruang dan laluan untuk buat hala tuju politik dalam tempoh dua tahun ini dalam tadbir urus negara tanpa campur tangan politik Anwar,” hujahnya.

Beliau juga berpendapat Anwar akan membuktikan bahawa dirinya ialah Perdana Menteri yang terbaik untuk mengambil alih teraju pimpinan selepas dua tahun akan datang.

“Pada masa yang sama, Anwar juga akan pastikan tidak akan overshadow PM pada masa kini kerana belajar daripada tragedi politik 1998 agar tidak berulang kali,” tambah Dr Awang Azman lagi.

Persaingan sengit pemilihan PKR cetus politik wang

WARTAWAN SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Persaingan sengit di kalangan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan PKR adalah antara faktor politik wang semakin menular dalam parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, isu tersebut perlu dibendung serta merta kerana ia bakal menentukan sama ada pemilihan tersebut dijalankan secara bersih atau sebaliknya.

“Isu ini juga pernah disuarakan oleh timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bukan hanya PKR, malah semua parti perlu bersih daripada masalah sama.

“Ahli-ahli politik harus memainkan peranan yang telus dan adil dalam mana-mana parti supaya boleh dijadikan sebagai contoh kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kesedaran dan didikan kepada semua ahli dalam parti harus diterapkan supaya budaya rasuah itu tidak terus merosakkan parti.

“Apa yang penting adalah kesedaran ahli-ahli parti untuk memperjuangkan matlamat parti itu sendiri bukan berasaskan kepada wang, projek atau sebagainya.

“Pihak pemimpin tertinggi parti juga harus menegur sekiranya ada di kalangan ahli-ahli yang amalkan budaya rasuah,” katanya.

Terima gelaran Datuk: Apa jasa mereka terserlah sejak jadi menteri?

A Kadir Jasin
Hal yang hendak saya kupas ini mungkin sensitif dan menyinggung perasaan. Jadi saya mulakan dengan memohon ampun kepada sesiapa juga yang berasa tersinggung.

Ada dua aliran pemikiran dalam hal yang hendak saya bahaskan ini.

Pertama diwakili oleh seorang Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghantar pesanan WhatsApp (tolong, bukan wasap) menyatakan kejelikan melihat menteri setahun jagung (sebenarnya baru empat bulan lebih kurang) dianugerahkan bintang kehormatan (honorific title) negeri Melaka.

Kedua, seorang penggiat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga menghantar pesanan WhatsApp, menuduh langkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) menolak bintang kehormatan sebagai “protes atas ketuanan raja-raja Melayu.”

Saya amat setuju dengan orang tua bergelar Tun itu. Gunakanlah alasan dan kayu ukur apa pun, tindakan lima menteri itu menerima bintang kehormatan negeri Melaka adalah tidak bijak.

Ia memberi gambaran bahawa tidak ada sebarang perbezaan di antara menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan para pembesar kerajaan Barisan Nasional yang gilakan pangkat, gelaran dan kekayaan.

Maaf cakaplah kalau saya katakan ramai dalam parti masing-masing belum jelas apakah jasa mereka sehingga melayakkan mereka menerima darjah kehormatan itu.

Namun begitu saya tidak menafikan ada sebahagian kecil mereka yang berjasa dan terbukti kerana lama berjuang dalam pembangkang.

Tetapi yang rakyat nilai sekarang adalah jasa dan prestasi mereka sebagai menteri kabinet HARAPAN.

Jengkel dan loya

Rakyat jelata jengkel. Perbahasan dalam media sosial jelas menunjukkan majoriti rakyat jelata tidak bersetuju malah berasa loya dengan penganugerahan dan penerimaan bintang penghormatan tersebut.

Soalnya, apakah mereka ini diberikan bintang kerana pangkat mereka besar atau jasa mereka yang besar?

Adakah bintang kehormatan diberikan kerana pangkat dan kedudukan atau jasa bakti kepada masyarakat, negeri dan negara?

Kalau kerana pangkat mereka besar, siapakah yang memberikan mereka pangkat itu?

Adakah mereka mendapat restu orang atau pihak yang memberikan mereka pangkat yang besar itu sebelum bersetuju menerima bintang kehormatan tersebut?

Kalau kerana berjasa, apakah jasa mereka yang terserlah sejak menjadi menteri?

Sebaliknya, di warung kopi pasar tani Pendang, Kedah, semalam saya mendengar rungutan rakyat jelata tentang menteri, menteri besar dan timbalan menteri HARAPAN yang tidak nampak kelibat sejak menang pilihan raya.

Mereka juga bersungut mengenai banyak masalah harian yang belum diatasi.

Seorang daripada mereka bertanya, bolehkah menteri yang lahir dan membesar di bandar raya faham susah payah hidup rakyat jelata di kampung dan desa?

Menteri yang dimaksudkan itu berkata anugerah bintang Melaka yang diterimanya akan memberikannya semangat untuk lebih tekun berkhidmat kepada rakyat jelata.

Apakah undi dan mandat rakyat jelata belum memadai untuk memberikan beliau semangat?

Perlu peka

Kalau pemimpin PH peka atau dalam lain bahasa, lebih baik daripada pemimpin BN, mereka perlulah sedar bahawa kita kini berada dalam persekitaran baru.

Kita sedang menyusun semula keutamaan dan tingkah laku politik kita. Gerak geri kita sedang diperhatikan oleh semua pihak.

Kita kena ingat bahawa ketika pilihan raya umum lalu, ada di kalangan anggota golongan feudal yang “berkempen” untuk mengekalkan BN dengan menghina HARAPAN, khususnya pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya setuju dengan pendirian DAP tidak menggalakkan pemimpinnya mengutamakan bintang kebesaran sebaliknya menumpukan perhatian kepada menunaikan amanah rakyat jelata.

Bagi saya, ini bukan soal “protes atas ketuanan Raja-raja Melayu” atau apa-apa, tetapi isu dasar. Sepatutnya semua parti HARAPAN mengutamakan khidmat kepada rakyat jelata dan membentuk persekitaran yang lebih sama rata (egalitarian) bukan memanjangkan amalan feudalisme, kelas dan kasta.

Lagipun bintang kehormatan semakin hari semakin tidak bermakna apabila diberikan seumpama “door gift” majlis kenduri kepada orang yang entah apa-apa latar belakangnya – termasuk ketua kongsi gelap, kaki pukul dan gedebe.

Melaka bukanlah sebuah negeri besar. Tapi dalam majlis penganugerahan kali ini, selain lima orang menteri, 414 yang lain turun terima bintang dan gelaran.

Saya harap, dalam Malaysia baru ini marilah kita muliakan balik institusi-institusi negara agar masing-masing berada di tempat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Ingatlah tidak seorang pun yang memijak bumi Malaysia dan menjunjung langitnya berada di atas Perlembagaan. Kita semua tertakluk kepada Perlembagaan.

Dan selagi kerajaan HARAPAN berkuasa – atas penentuan rakyat jelata - tolonglah utamakan perkhidmatan. Belum terlambat memperbetulkan kesilapan. Jadikan cerita bintang Melaka ini sebagai teladan dan sempadan.

Rakyat Malaysia suka buang, bazir makanan: 3000 tan metrik makanan yang boleh dimakan dibuang setiap hari

Bernama
Pembaziran makanan di kalangan masyarakat negara ini semakin membimbangkan malah di peringkat kritikal, demikian menurut Ketua Sekretariat MySaveFood, Dr Ainu Husna MS Suhaimi.

Beliau merujuk kepada data yang dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada tahun lepas yang menunjukkan sisa makanan adalah komponen pepejal tertinggi dibuang di tapak pelupusan sampah iaitu sebanyak 55%.

Rakyat Malaysia dilaporkan membuang tidak kurang 3,000 tan metrik makanan yang masih boleh dimakan setiap hari dan jumlah itu bertambah pada musim perayaan.

Pada Ramadan tahun ini, SWCorp merekodkan 615,000 tan metrik makanan dibazirkan.

Menurut Ainu, pembaziran ini bukan sahaja di peringkat pengguna sahaja tetapi turut berlaku di bahagian pengeluaran makanan seperti di ladang yang dinamakan kehilangan lepas tuai.

Kehilangan lepas tuai bagi sayuran dan buah-buahan biasanya mencatatkan antara 20 hingga 50%. Ini jelas memperlihatkan separuh hasil tanaman hilang disepanjang rantaian akibat pengurusan yang tidak mengikut spesifikasi.

“Untuk memasuki pasaran, produk pertanian seperti sayuran dan buah-buahan perlu berada dalam keadaan sempurna dan tiada kecacatan, ‘standard kosmetik’.

“Ini disebabkan tanggapan pengguna terhadap produk makanan iaitu sayur dan buahan yang sempurna adalah lebih baik daripada yang tidak sempurna,” kata Ainu kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, tanggapan di peringkat pengguna ini perlu diubah bagi memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak sempurna bentuk dan fizikal masih boleh dimakan dan mempuyai khasiat yang sama.

MySaveFood digerakkan di bawah projek kerjasama antara MARDI dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu (FOA) di bawah SaveFood Global. Ia dimulakan pada Mac 2016 dengan sasaran mengurangkan separuh jumlah pembaziran makanan di Malaysia menjelang 2030 selaras dengan matlamat ‘Save Food’ di peringkat global yang diterajui FAO.

Contoh negara luar

Beberapa negara luar seperti Turki, Perancis, Denmark amat aktif dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan ini, katanya.

Ainu memberi contoh, Kempen Mengurangkan Pembaziran Roti secara besar-besaran di Turki pada 2013 berjaya dengan sokongan padu Presiden Turki selain kerjasama aktiviti dan promosi yang bukan sahaja melibatkan agensi kerajaan tetapi juga syarikat swasta, hotel, restoran dan juga media.

Hasilnya, kempen itu berjaya mengurangkan pembaziran roti yang bernilai 2.8 bilion Turki Lira dalam tempoh setahun.

Sementara itu, Perancis pula boleh dijadikan negara contoh dalam pembangunan polisi mengurangkan pembaziran makanan.

“Melalui polisi tersebut, pasaraya digalakkan untuk menyerahkan produk makanan sama ada segar atau produk proses kepada bank makanan. Jumlah serahan tersebut akan dinilai dan diberi pengecualian cukai,” katanya.

Berbeza di Denmark, mereka menggalakkan semua pihak yang terlibat secara sukarela. Kerajaan memberi galakkan sehingga banyak bank makanan ditubuhkan bagi menampung makanan yang didermakan oleh pelbagai pihak.

“Chef-chef di Denmark turut aktif menghasilkan makanan bernilai tinggi daripada lebihan makanan. Secara keseluruhan, Denmark memperkenalkan konsep ekonomi sirkular di mana makanan dapat dikurangkan jika dirancang dengan baik,” katanya.

Bank makanan di Malaysia

Di Malaysia, pihak kerajaan mula memandang serius terhadap penubuhan bank makanan di peringkat kebangsaan selepas penubuhan bank makanan di Pulau Pinang awal tahun ini dengan usahasama Food Aids Foundation.

Melihat ia sebagai sesuatu yang positif, Ainu berkata satu rangka kerja khas dicadang dibangunkan untuk menjadi rujukan semua pihak yang berminat membangunkan bank makanan.

“Ini akan memastikan makanan sampai kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan. Pengalaman melalui MySave@Ramadan, makanan hanya diberikan sebanyak yang perlu mengikut bilangan ahli. Makanan yang dimasak perlu diedarkan serta merta dan edaran juga perlulah bersesuaian seperti sebelum waktu makan.

“Banyak faktor perlu diambil kira terutama sekali apabila menguruskan makanan yang dimasak seperti lebihan makanan dari restoran serta hotel dan tidak mustahil Malaysia akan mempunyai bank makanan sendiri,” katanya yang berharap MySaveFood akan terus berkembang menjadi satu entiti penting negara dalam usaha mengurangkan pembaziran.

Jelas beliau, walaupun inisiatif mewujudkan bank makanan untuk menyelamatkan makanan sangat dialu-alukan namun yang paling penting keperluan membuat perancangan untuk tidak membazir tidak kira di ladang, restoran, hotel mahupun di rumah.

Ainu berkata hala tuju MySaveFood seterusnya adalah untuk menjalankan penyelidikan daripada peringkat pengeluaran makanan sehingga kepada pengguna untuk mengenalpasti isu sebenar pembaziran makanan.

Elak salah faham

Sementara itu, Grub Cycle yang melakukan kerja sosial melalui bank makanan mempunyai pendekatan berbeza iaitu mengumpulkan barang makanan kering yang hampir tamat tempoh untuk dijual dengan harga yang murah kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Ini dapat mengurangkan pembaziran terutama pasaraya yang menjual barangan keperluan dapur, menurut salah seorang penaung bersama Grub Cycle, Hawanisa Roslan.

Beliau berkata, masyarakat Malaysia kurang peka dan tidak bersifat rasional dalam menghargai makanan kerana ramai yang mempunyai anggapan yang salah mengenai label tarikh luput makanan.

“Sebagai contoh makanan yang sudah melepasi tarikh berlabel “Best Before” (masih boleh dimakan namun kualiti dan kesegaran makanan sudah berkurangan) disalah erti sebagai sudah luput dan terus dibuang.

“Di samping itu masih ramai juga, peniaga yang akan membuang produk atau buahan dan sayuran yang dianggap “tidak cantik” walaupun cuma terdapat kecacatan minima yang tidak menjejaskan rasa dan khasiatnya,” katanya.

Dalam usaha menyedarkan masyarakat bagi mengelakkan pembaziran makanan daripada terus berlaku, Grub Cycle cuba memberi kesedaran dengan mendidik pengguna supaya lebih bersikap menghargai makanan.

Sebagai contoh, Crub Cycle menghasilkan produknya sendiri seperti jem nenas & Apple Cinnamon untuk melangsungkankan jangka hayat buah-buahan yang digunakan disamping menyelamatkan daripada dibuang begitu sahaja kerana tidak menepati piawaian pasaran.

Sepanjang tiga tahun terlibat dalam Grub Cycle, Hawanisa mengakui semakin ramai yang menyedari seriusnya isu pembaziran makanan di negara ini dan sudah mula terbuka dengan idea baru untuk sama-sama mengurangkan tahap pembaziran.

“Namun secara peribadi, saya masih mengharapkan tindakan dan langkah yang lebih proaktif diambil oleh pihak berkuasa untuk memastikan perniagaan melibatkan makanan terutamanya, tidak lagi menjadi penyumbang kepada statistik kehilangan dan pembaziran dalam sistem makanan.

“Di samping itu, rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat suka menjamu juga harus diberi kesedaran untuk lebih menghargai makanan dan berpada-pada dalam menguruskannya supaya tidak berlaku pembaziran,” katanya.

Sempena sambutan Hari Makanan Sedunia yang disambut pada 16 Oktober setiap tahun, diharapkan supaya masyarakat di negara ini menghargai makanan bagi mengelakkan pembaziran dan makanlah mengikut keperluan bukan mengikut nafsu.

Ingatlah ramai di luar sana yang tidak cukup makanan malah di sesetengah negara yang dilanda kemarau atau perperangan, ramai yang menderita kerana kebuluran, malah terpaksa mengutip sisa makanan dari sampah atau makan rumput untuk kelangsungan hidup!