AHMAD LUTFI OTHMAN
Lama sebelum PRU14, sekitar 14 bulan sebelum hari bersejarah 9 Mei 2018, pensyarah kanan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia ini sudah membayangkan “tsunami Mahathir” bakal menggemparkan negara.
PROF DR MOHAMMAD AGUS YUSOF ketika ditemui Ahmad Lutfi Othman di kediamannya, akhir September 2018, berbicara santai tentang keputusan PRU14 yang disifatkannya “amat menggembirakan rakyat”. Beliau juga melihat usaha Dr Mahathir Mohamad memimpin Pakatan Harapan memenangi PRU14 sebagai “luar biasa”.
Turut disentuh dalam sesi wawancara lebih dua jam itu situasi politik berbeda di Kelantan dan Terengganu, serta hubungan negeri dan pusat. Juga mengenai senario menarik di Sabah.
Langkah pembaharuan dan reformasi kerajaan PH turut diulas. “Cuma, pelaksanaannya masih lemah, dan ini perlu disegerakan,” kata Dr Agus. Beliau turut mengkritik pelantikan pengerusi baharu GLC atau agensi kerajaan “yang masih lagi orang lama dikitar semula, manakala orang politik yang berjuang untuk parti dipinggirkan”.
Seterusnya, beliau bertanya, “Bila peluang untuk orang baharu dan orang yang berjuang untuk parti?”
Mengenai janji manifesto yang tidak melibatkan pertambahan dana, Dr Agus juga menyentuh pelantikan jawatan strategik yang perlu dirujuk kepada Parlimen, seperti Pengerusi SPR dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Hubungan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim juga disinggung khususnya isu peralihan kuasa. Beliau yakin mereka berdua tidak bermasalah: “Tun tidak kemaruk kuasa … dan Anwar hanya bersedia mengambil alih jawatan apabila tiba masanya.”
Dr Agus turut meluahkan tiga kerisauannya tentang kabinet hari ini. Ikuti sebahagian daripada temubual panjang itu.
LUTFI: Rasanya Prof paling awal menggunakan kalimah tsunami Mahathir sekitar Mei 2017 bagi menggambarkan senario PRU14, selepas Prof membuat perbandingan tiga ceramah umum membabitkan Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad dan Haji Hadi Awang. Boleh Prof huraikan semula tanggapan awal itu?
DR AGUS: Saya nyatakan tsunami Mahathir apabila melihat sambutan rakyat yang luar biasa semasa beliau hadir dalam ceramah di Kota Bharu. Ketika itu, walaupun ramai menyatakan ceramah tersebut tidak akan mendapat sambutan, kehadiran ramai sudah cukup menggambarkan pengaruh Tun Mahathir masih kuat.
Bukan hanya itu, selepas itu, rakyat mula meminta Tun Mahathir meneruskan usahanya untuk melawan regim kleptokrat Najib Razak. Sambutan ceramah sebegini tidak ada pada pemimpin-pemimpin Umno atau Pas. Pemimpin-pemimpin Umno dan Pas ini, jika mengadakan ceramah, pendengarnya mesti diatur, diangkut atau diberi habuan. Jarang yang mahu datang secara sukarela. Inilah bezanya ceramah Tun Mahathir dengan pemimpin Umno dan Pas.
Jika di Pantai Barat, kehadiran ceramah Tun Mahathir lagi luar biasa. Rakyat dari pelbagai kaum datang mendengar ceramahnya. Ceramah dibuat live dengan belasan dan puluhan ribu yang menontonnya secara online. Mulai saat ini, semakin jelas tsunami Mahathir akan tercetus. Ternyata, dengan usahanya bersama pemimpin PH yang lain, tsunami Mahathir betul-betul berlaku dan kerajaan Umno-BN tumbang.
Elok kalau Prof. dapat membuat penilaian umum mengenai peranan Dr Mahathir bagi menumbangkan regim Umno-BN bermula daripada beliau keluar Umno, menggerakkan Deklarasi Rakyat, menubuhkan parti baharu Bersatu, dan mengetuai pembangkang Pakatan Harapan, sehingga disepakati sebagai calon perdana menteri.
Tun Mahathir seorang negarawan. Beliau disokong kerana rakyat melihat pengorbanan beliau untuk menyelamatkan negara kita ini. Saya tidak boleh bayangkan apa yang akan berlaku kepada negara jika Umno-BN terus berkuasa. Keborosan dan salah guna kuasa regim terdahulu menakutkan.
Usaha Tun Mahathir dalam perjalanannya memimpin PH untuk memenangi PRU14 luar biasa. Beliau cekal berkempen dengan usianya yang sudah mencecah 93 tahun, sanggup ke mahkamah berjumpa Anwar Ibrahim, sanggup ke pelosok tanah air berceramah, dan sanggup segala-galanya demi mengembalikan semula kegemilangan Malaysia. Kehebatannya inilah yang menyebabkan parti-parti dalam PH bersedia menyepakati beliau sebagai calon PM dari PH. Dan rakyat menerima percaturan dan strategi PH ini dengan baik.
Apa yang Prof harapkan di bawah Malaysia Baharu, hubungan antara kerajaan negeri, yang ditadbir pembangkang dengan kerajaan persekutuan, selaras dengan semangat federalisme?
Saya harap kerajaan hari ini menjunjung undang-undang dan prinsip perlembagaan. Oleh itu, kerajaan pusat hendaklah memberi hak kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Perlembagaan telah membahagikan kuasa dua peringkat kerajaan ini dengan jelas dalam Jadual Kesembilan. Saya yakin jika tidak ada diskriminasi ini oleh kerajaan pusat, maka hubungan kerajaan pusat-negeri akan menjadi baik.
Ini saya rujuk kepada hak royalti minyak dan juga hak-hak lain yang sepatutnya menjadi hak kerajaan negeri. Begitu juga dengan peruntukan kewangan, kerajaan pusat hendaklah bertindak adil membahagikan sumber ini kepada kerajaan negeri, tidak kira kerajaan negeri itu diperintah oleh kerajaan yang sama yang memerintah di peringkat pusat atau sebaliknya.
Saya yakin apabila prinsip-prinsip ini diikuti, maka hubungan kerajaan pusat dengan negeri akan menjadi baik dan kita akan menjadi sebuah negara persekutuan yang stabil dan mantap. Inilah yang saya harap menjadi asas politik negara kita ke hadapan.
Kerajaan baharu telah mengemukakan beberapa pembaharuan dan langkah reformasi, selaras dengan janji 100 hari, juga mengambil tindakan tegas terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak berkaitan skandal mega 1MDB. Minta komentar Prof terhadap usaha-usaha itu.
Saya teruja dengan janji kerajaan PH untuk membuat reformasi institusi. Saya mahu melihat berlaku reformasi dalam Parlimen, sistem kehakiman, birokrasi, SPR, SPRM, pendidikan, dan kebebasan media. Hingga setakat ini, janji dan kesungguhan pemimpin PH itu ada, tetapi pelaksanaannya masih lemah. Inilah yang perlu disegerakan dari segi pelaksanaan supaya rakyat dapat melihat kesannya.
Dahulunya semasa Najib Razak menjadi PM, beliau menjanjikan banyak perkara dan memperkenalkan banyak program baharu seperti 1Malaysia, Program Transformasi Nasional, NKRA, NKEA dan lainnya. Akhirnya, pengumuman program baharu itu banyak, tetapi pelaksanaannya cukup hambar menyebabkan rakyat kecewa. Harapnya kerajaan PH tidak mengulangi kelemahan yang sama. Saya harap cuma satu: program pembaharuannya jelas dan pelaksanaannya juga jelas.
Berkaitan 1MDB, saya harap juga kes ini dapat diselesaikan dengan cepat dan betul-betul diselesaikan mengikut proses undang-udang yang telus. Dengan cara ini, insya-Allah, kita dapat memulihkan keyakinan rakyat kepada reformasi institusi yang kita janjikan.
Pandangan Prof terhadap Kabinet Mahathir. Keanggotaan, saiz, cara ia dipilih tanpa merujuk jumlah ahli parlimen sesebuah parti.
Saya senang dengan bilangan kementerian dan mereka yang dipilih menganggotai kabinet. Jika pun bilangan menteri yang dipilih tidak mengikut kepada jumlah keahlian sesebuah parti, rakyat boleh menerimanya asalkan mereka yang dipilih itu layak dan bebas dari unsur rasuah dan mempunyai integriti. Keutamaan rakyat sekarang ialah mahukan ahli kabinet berintegriti, mampu membangunkan negara serta menjaga kesejahteraan hidup mereka.
Kerisauan saya dengan kabinet hari ini ada tiga perkara. Pertama, setelah dipilih, ahli kabinet ini masih lagi bercakap untuk membersih kesilapan kerajaan lama, memberikan janji-janji baharu yang hendak dilaksanakan, tetapi impak pelaksanaan kepada janji-janji itu belum lagi terasa kesannya.
Kedua, kerajaan PH ini belum lagi mempunyai satu polisi dan perancangan yang jelas untuk masa depan negara. Misalnya, bagaimana dengan peluang pekerjaan rakyat, bagaimana dengan biasiswa untuk pelajar cemerlang dan kos pendidikan, bagaimana dengan kos hidup rakyat, dan tempoh masa untuk melaksanakan sesuatu janji.
Ketiga, saya risau dengan pelantikan pengerusi baharu untuk mengetuai GLC atau agensi kerajaan. Saya lihat masih lagi orang lama yang dikitar semula, manakala orang politik yang berjuang untuk parti dipinggirkan. Bila peluang untuk orang baharu dan orang yang berjuang untuk parti?
Mungkin Prof ada saranan dan idea terhadap langkah-langkah pembaharuan dan perubahan secara menyeluruh, yang wajar dilakukan.
Saya ada beberapa cadangan. Pertama, beri peluang kepada orang baharu. Orang yang sudah bersara itu lantik sahaja sebagai penasihat jika khidmat mereka masih diperlukan dan bukannya dengan diberikan kuasa eksekutif lagi.
Kedua, laksanakan manifesto yang dijanjikan. Contohnya, jika dahulu PH menjanjikan pelantikan Pengerusi SPR, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan lainnya perlu melalui kelulusan Parlimen, maka laksanakanlah janji itu.
Ketiga, semak semula undang-undang yang menyekat kebebasan hak asasi rakyat. Kita mesti berusaha untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara demokrasi kerana inilah masanya untuk negara kita berubah ke satu tahap yang lebih tinggi.
Hingga setakat ini, saya lihat telah banyak perubahan positif yang telah kerajaan PH lakukan dan saya gembira dengan perubahan tersebut. Cumanya ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki lagi, maka perbaikilah dan mantapkan.
Kempen pemilihan PKR mendedahkan seolah ada masalah besar mengenai proses peralihan jawatan PM daripada Tun Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim. Minta komen Prof.
Kempen politik mempunyai banyak warnanya. Komen, kritik dan kejian, semua itu adalah lumrah berpolitik. Dalam kempen PKR ini, walaupun ada yang mempertikaikan keikhlasan PM Tun menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada saya itu adalah kempen politik sahaja. Saya yakin antara Tun Mahathir dan Anwar, hingga setakat ini hubungan mereka tidak bermasalah.
Kedua-dua mereka telah melalui liku yang besar sebelum ini dan telah belajar dari pengalaman lepas. Saya tidak lihat Tun kemaruk kuasa, tetapi menjadi PM sekarang untuk memenuhi niat besarnya meletakkan kembali kegemilangan negara.
Anwar faham realiti ini. Beliau pun memberikan masa kepada Tun Mahathir memulihkan negara ini dan akan hanya bersedia mengambil alih jawatan apabila tiba masanya. Soal perebutan jawatan antara mereka berdua ini pada saya hanyalah mainan musuh politik mereka sahaja, tetapi tidak kepada kedua-dua Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim.
Saya mendoakan kedua-dua pemimpin kita ini dapat bekerjasama dengan baik untuk membangunkan negara ini.