Kadir Jasin: Ada cakap-cakap 40 MP Umno akan keluar parti

Susulan penyertaan Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Anggota Majlis Tertinggi BERSATU Datuk A Kadir Jasin memberi gambaran kemungkinan 40 lagi wakil rakyat Umno akan keluar parti.

Ketika dihubungi, Kadir berkata beliau sudah mendengar khabar angin itu buat beberapa ketika dan menjangkakan sejumlah pemimpin Umno akan menyertai BERSATU.

"Saya ada terdengar khabar angin, cakap-cakap, sehingga 40 orang ahli parlimen Umno akan keluar parti.

"Dan mungkin sebahagian dari mereka akan menyertai BERSATU," katanya kepada Malaysiakini.

Kadir bagaimanapun menegaskan bahawa BERSATU menetapkan syarat agar anggota parlimen yang ingin menyertai parti itu berkhidmat sebagai wakil rakyat bebas terlebih dahulu dan BERSATU berhak menerima atau menolak permohonan mereka.

"Bukan semua orang akan diterima menyertai BERSATU," katanya.

Ditanya sama ada perkara itu dibincangkan ketika mesyuarat Majlis Tertinggi BERSATU semalam, Kadir berkata ia bukan agenda rasmi mesyuarat itu, namun disebutkan ketika parti itu mengadakan persediaan menerima Mustapa.

Mustapa yang juga merupakan bekas menteri, mengumumkan keputusannya menyertai BERSATU semalam, lebih kurang sebulan selepas meninggalkan Umno.

Mustapa mengumumkan keluar dari Umno sebelum ini kerana tidak lagi percaya dengan hala tuju parti itu yang menurutnya tidak selari dengan prinsip politiknya.

Selain Mustapa, wakil rakyat Umno lain yang meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum ke-14 ialah: Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Syed Abu Hussin, Anggota Parlimen Labuan Datuk Seri Rozman Isli, Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman, dan Anggota Parlimen bagan Serai Datuk Seri Noor Azmi Ghazali.

Umno kini mempunyai 48 anggota parlimen daripada 54 sebelum ini.

Pemandu teksi tolak kerajaan PH?

Akram Shah Sanusi

Tempoh hari di Langkawi, seolah-olah sudah bermula bantahan oleh pemandu teksi terhadap kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak berpuas hati dengan syarikat dan pemandu e-hailing yang terus mengancam periuk nasi mereka.

Sebenarnya, apa yang berlaku adalah hanya segelintir yang melontarkan kata-kata tidak manis terhadap Dr Mahathir di dalam majlis yang dipenuhi warga teksi yang amnya penyokong tegar PPBM dan Pakatan Harapan (PH).

Malah, Zailani Isaisuludin, pengerusi Perjiwa, persatuan teksi yang menganjurkan majlis tersebut, merupakan ketua PPBM Bahagian Bukit Bintang.

Pemandu teksi amnya menyokong peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan nasional (BN) kerana melihat PH prihatin terhadap masalah yang dihadapi mereka.

Walau ramai pemandu teksi terancam dengan kehadiran e-hailing khususnya Grab, mereka masih ingat zaman di mana mereka menjayakan sistem e-hailing tersebut apabila ia masih berjenama MyTeksi, selain pelopor e-hailing awal lain seperti EzCab.

Mereka juga simpati terhadap sebahagian besar pemandu e-hailing yang menceburi bidang ini kerana kehilangan pekerjaan atau kekurangan pendapatan.

Namun, mereka konsisten dengan mesej – mereka mahukan pasaran dan persaingan yang adil antara e-hailing dan teksi.

Ini tidak semestinya dari mekanisma pemanggilan teksi, tetapi lebih dari segi bebanan kos, seperti permit serta lesen yang diperlukan, penyelenggaraan kenderaan termasuk kos berkait Puspakom dan sebagainya.

Amnya, pemandu teksi dilatih dan ditekankan keperluan keselamatan penumpang maka mereka juga mempersoalkan jaminan ini termasuk insuran bagi pelanggan e-hailing. Semua aduan mereka terlihat tidak diendahkan kerajaan BN tetapi cukup dilayan pemimpin PH sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mengurus kemenangan

Kini, PH harus menyambut cabaran pemandu teksi, terutama penyokong tegar PH sebelum PRU14 lagi, untuk menjaga kebajikan mereka, seperti yang termaktub dalam manifesto PH, Buku Harapan dibawah Janji 8: Memperbaiki kualiti dan liputan pengangkutan awam.

Malah pemandu teksi juga seharusnya tergolong rakyat yang menerima manfaat Janji 34: Meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak.

Tetapi, sebagai pemimpin komponen PH, saya amatlah kecewa dengan usaha Kementerian Pengangkutan dan pihak berwajib yang lain yang kelihatan lebih tertumpu membawa kesamarataan antara teksi dan e-hailing dengan menyamakan beban yang dipikul kedua-duanya.

Ini perlu dari segi memastikan pemandu e-hailing mempunyai permit, lesen serta latihan sesuai dan terlindung keselamatannya serta segalanya diinsuranskan.

Tetapi bukankah hasilnya nanti adalah peningkatan kos kepada pelanggan e-hailing? Selain itu, apakah penambahbaikan utama yang diterima warga teksi sendiri?

Ya, ada usaha untuk membuka khidmat e-hailing yang lebih menarik bagi pemandu teksi, tetapi ini tidak mencukupi kerana ia tidak menyelesaikan masalah pokok yang mengekang pendapatan pemandu teksi sejak dari dahulu, yakni struktur industri teksi negara kita sendiri.

Amnya, sebahagian besar pemandu teksi masih lagi menjadi mangsa struktur industri teksi peninggalan BN di mana pemandu teksi terpaksa berkongsi pendapatan dengan syarikat kroni BN yang merupakan pemegang permit teksi mereka.

Inilah yang pada asalnya menekan kehidupan pemandu teksi, tanpa terlihat manfaat besar dari adanya syarikat pemegang permit teksi ini.

Pasti akan ada suara sumbang mengatakan perlu adanya syarikat teksi kroni ini untuk membiayai kos besar memiliki dan menyelenggara khidmat teksi untuk pemandu.

Tetapi ini tidak lojik lagi pada zaman yang orang kebanyakan boleh sahaja membeli sebuah kereta dan terus memulakan khidmat sebagai pemandu e-hailing.

Benarkah kos milik dan penyelenggaraan ini tinggi atau adakah diada-adakan untuk syarikat kroni ini terus mengikis setiap nilai titik peluh pemandu teksi.

Sudah tiba masanya menteri pengangkutan serta semua pihak berwajib dalam kerajaan Malaysia baharu ini benar-benar meneliti cara terbaik merombak struktur industri teksi negara demi menjaga kebajikan pemandu teksi, sekaligus membalas sokongan serta kepercayaan yang diberikan oleh mereka kepada kita pada PRU14.

Akram Shah Sanusi ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed sertai Bersatu

Astro Awani

Mustapa menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selepas keluar dari UMNO pada 18 September lalu.

Beliau telah menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, malam ini.

Mustapa mengumumkan keluar daripada UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Kata beliau, keputusan itu dibuat setelah melakukan pemerhatian tentang landskap politik Malaysia, hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta masa depan negara.

Keputusan itu sekali gus melucutkan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan menjadi Ahli Parlimen bebas.

Ha ha ha.... Menteri Arab kata RM2.6b tiada kaitan dengan Saudi - Saifuddin

Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra di sini hari ini.

Dalam pertemuan yang turut menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta derma RM2.6 bilion, Saifuddin berkata : “Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi."

Menurutnya, ketika mereka bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lepas, Adel memberitahunya bahawa kerajaan Arab Saudi akan bekerjasama dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.

"Hari ini ulangi sekali lagi bahawa itu tiada kaitan dengan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas turut hadir pada kunjungan hormat Adel terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di Putrajaya.

Pada 2016 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, Turki, Adel dilaporkan berkata sumbangan derma kepada Najib datang dari Arab Saudi.

"Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

"Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," kata Adel seperti dilaporkan pada 2016.

Pada Januari 2016, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata dalam pertemuan mereka itu, beliau turut menyampaikan keputusan kabinet bahawa Malaysia tidak akan menganggotai gabungan tentera pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman.

“Pada masa ini, semua askar kita sudah balik dan kita sudah tidak terlibat,” katanya.

Berhubung cadangan untuk menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), Saifuddin berkata perkara itu turut dibincangkan.

“Idea itu pun belum dilaksanakan dan kita tidak akan laksanakan,” katanya.

Mengenai operasi usaha sama Petronas dan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco), Saifuddin berkata perkara itu akan dibincangkan kedua-dua syarikat itu.

“Kedua-dua pihak mahu kerjasama itu dipertingkatkan. Yang paling utama, jumlah dagangan antara kedua-dua negara akan dipertingkatkan,” katanya.

Ditanya berhubung beberapa keputusan kerajaan yang melibatkan kerajaan Arab Saudi, Saifuddin berkata hubungan kedua-dua negara kini berada pada peringkat sangat baik dan mesra.

“Kita mahu meningkatkan lagi kerjasama ini dan persefahaman ini harus dibuat mengikut saluran biasa. Ini bermakna perbincangan menteri luar dan menteri luar sahaja.

“Di bawah kerajaan Pakatan Harapan, kita tidak lagi ada menteri-menteri tugas khas yang membuat kerja-kerja ini,” katanya.
-Bernama

Nenek 100 tahun dirogol


Wanita berusia 100 tahun jadi.mangsa rogol di Bengal Barat.
KOLKATA - INDIA. Gara-gara mabuk, seorang pemuda hilang pertimbangan apabila merogol nenek berusia 100 tahun dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan ramai di Bengal Barat.

Kejadian itu terbongkar selepas cucu mangsa mendengar suara aneh muncul dari kediaman warga emas berkenaan di perkampungan Chakulia di daerah Nadia.

Sebaik sahaja perbuatannya disedari, pemuda yang dikenali sebagai Argha Biswas itu bertindak menyembunyikan diri di bawah katil.

Polis berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu semasa nenek tua itu berseorangan.

Pemuda berusia 20 tahun itu kini direman 14 hari dan sedang menunggu pendengaran kes kali kedua di mahkamah.

Sebelum ini, Biswas memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa beliau tidak menyedari perbuatannya kerana mabuk.

Difahamkan, nenek tua itu telah dibawa ke hospital dan keadaannya dilaporkan stabil. - Agensi

Istana NS tarik balik pingat Najib, Rosmah

Istana Negeri Sembilan menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor berkuat kuasa serta merta.

Menurut laporan berita pantas Bernama yang memetik pendaftar darjah, Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) kepada Najib dan Darjah Seri Paduka Tuanku Ja'afar Yang Amat Terpuji (SPTJ) kepada Rosmah ditarik balik.

Anugerah itu membolehkan Najib bergelar Datuk Seri Utama dan Rosmah pula bergelar Datuk Seri.

Penarikan balik darjah kebesaran itu dibuat di tengah-tengah pendakwaan dan siasatan bertali arus terhadap pasangan itu atas pelbagai dakwaan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Warga Palu masih trauma dikejar ombak hitam deras setinggi pohon kelapa

Malaysia Dateline
ARIF ATAN
Hilang enam ahli keluarga termasuk saudara ipar dan dua cahaya mata.Hanifa, 38, masih berteka-teka tentang kehidupannya selepas ini.

Termangu tenang di sisi katil menemani ibunya di lobi Rumah Sakit Umum Anutapura di Kota Palu, dia kemudiannya tenang menceritakan kembali bencana dahsyat memalu kota pelancongan pada 28 September lalu itu.

“Lewat sore (petang) itu, saya di tempat jualan tidak jauh dari pesisir pantai. Orang begitu ramai di pantai Talise ketika itu lantaran merayakan Festival Palu Nomoni.

“Ya Allah, pastinya mereka habis dipukul tsunami. Mujur saya dan ibu sempat melarikan diri. Kami berlari sekuat hati ke arah bukit,” ceritanya sebelum terhenti menahan sebak.

Selepas tiga minggu berlalunya tragedi, Hanifa dan ibunya meneruskan hidup dengan masih berteduh di bawah khemah.

“Kami tinggal sehelai sepinggang. Hingga kini masih trauma. Ombak besar hitam likat setinggi pucuk pohon kelapa seperti mengejar dan cuba meragut kami.

“Baju dipakai ini pun hasil sumbangan masyarakat yang peduli. Ramai lagi tidak mendapat bantuan. Keadaan kami hari ini masih tidak menentu,” ujarnya.

Hanifa antara mangsa gempa bumi, tanah mencair dan tsunami yang melanda wilayah Pasigala iaitu Palu-Sigi-Donggala pada 28 September lalu.

Beliau ditemui Malaysia Dateline yang mengikuti rombongan Misi Bantuan Kemanusiaan Palu anjuran Pemuda AMANAH Nasional dengan kerjasama organisasi relawan Indonesia, Aksi Cepat Tanggap (ACT).

Hidayah: Shuhada nama baru Sinead O'Connor

Penyanyi yang pernah mempopularkan lagu Nothing Compares 2 U sekitar tahun 1990-an, Sinead O’Connor mengumumkan sudah memeluk agama Islam.

Wanita kelahiran Ireland itu mula berkongsi kisah dia keluar daripada agama Kristian di akaun Twitter sejak 19 Oktober lalu tetapi baru dilaporkan media hari ini.

"Ini untuk mengisytiharkan saya bangga menjadi seorang Muslim. Ia adalah keputusan semulajadi bagi seseorang yang mengkaji ilmu ketuhanan.

“Semua kitab suci menjurus ke arah Islam, ini menjadikan semua kitab suci lain tidak lagi diperlukan,” katanya seperti dipetik NME.

Sinead, 50, meraih populariti sekitar 1980-an melalui album pertama The Lion and The Cobra.

Dia kemudian mulai dikenali di seluruh dunia selepas membawa nafas baru dalam lagu hasil nukilan komposer dan penyanyi Prince, Nothing Compares 2 U pada 1990.

Pada ciapan sama yang dibuat ketika itu, pemilik nama asal Sinéad Marie Bernadette O'Connor juga memberitahu dia kini ingin dikenali dengan nama baru, iaitu Shuhada.

“Saya akan diberi nama baru. Ia adalah Shuhada,” ciapnya.

Bintang itu juga turut menukar nama di akaun Twitter miliknya kepada Shuhada’ Davitt dan menggunakan ID @MagdaDavitt77.

Untuk rekod, pada 2017, Sinead pernah mengumumkan bahawa dia telah mengubah namanya secara rasmi kepada Magda Davitt.

Sinead yang membawa lagu-lagu bergenre alternative rock, pop rock dan folk rock itu kemudian berkongsi sebuah rakaman klip video melaungkan azan.

“Ini adalah cubaan pertama saya untuk membunyikan azan. Terdapat beberapa sebutan salah kerana sedang diselubungi emosi, tetapi akan ada banyak lagi perkembangan,” katanya.

Pada 20 Oktober lalu, Sinead turut berkongsi berita pertama kali dia diberikan hijab oleh seorang rakan baiknya, Elaine.

“Dia (Elaine) menggigil apabila saya mengenakan hijab. Saya tidak akan berkongsi foto kerana saat itu amat peribadi. Saya sudah berusia, tetapi seorang tua yang amat gembira,” ciapnya.

Sinead dijangka kembali membuat persembahan awal tahun ini selepas berjuang melawan penyakit mental.

Bagaimanapun, dia menangguhkan jadualnya itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pemuda Umno Berpecah kerana seru Zahid bercuti

FMT Reporters
PETALING JAYA: Pemuda Umno nampaknya terbahagi apabila Pemuda Umno Kinabatangan di Sabah mempersoalkan tindakan ketuanya menyarankan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti sehingga perbicaraan rasuah selesai.

Ketua Pemuda Umno Kinabatangan Mohamad Kurniawan Naim Moktar menggesa Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengkaji semula saranan tersebut kerana ia langsung tidak menggambarkan Pemuda sebagai benteng parti yang waja.

“Pemuda harus agresif mempertahankan saf kepimpinan dan parti,” kata Kurniawan, yang juga anak kepada Ketua Bahagian Bung Moktar Radin.

Beliau mengingatkan bahawa 45 pertuduhan terhadap Zahid belum terbukti di mahkamah.

“45 tuduhan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah semata untuk melemahkan pemimpin tertinggi parti sepertimana yang dilakukan terhadap bekas presiden.

“Siapa yang dihadapan itulah sasaran utama pihak lawan untuk melemahkan parti ini,” katanya.

Asyraf hari ini menyarankan Zahid bercuti bagi membolehkan beliau tumpu kepada perbicaraan rasuah akan datang. Bekas timbalan perdana menteri itu berdepan 54 pertuduhan berkaitan pecah amanah, pengubahan wang dan rasuah melibatkan lebih RM100 juta.

“Tidak ada desakan untuk letak jawatan. Kita hormat dia tapi tak nak bebankan beliau dengan kes-kes. Kita mohon agar Zahid pertimbangkan cuti dan rehat sampai kes selesai,” katanya.

Kenyataan Asyraf menyusuli pandangan veteran Umno dan ketua majlis penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah, yang berkata jalan terbaik bagi Zahid ialah bercuti atau meletak jawatan seperti amalan pemimpin Umno terdahulu apabila dituduh di mahkamah.

Pemuda Umno desak Zahid letak jawatan?

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

SHAH ALAM - Pemuda Umno akan membuat desakan supaya Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan ekoran kes mahkamah yang dihadapi beliau.

Menurut sumber, desakan itu bakal dibuat dalam Mesyuarat Exco Pemuda Umno yang diadakan hari ini di Ibu Pejabat Umno di Bangunan Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Desakan itu susulan Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu atas 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

“Mesyuarat itu akan mendesak Ahmad Zahid letak jawatan atau berundur dan berehat. Datuk Seri Mohamad Hasan(Timbalan Presiden Umno) akan diminta memangku jawatan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber itu berkata, dalam beberapa siri perjumpaan membabitkan Pemuda Umno, sayap parti itu mahu Ahmad Zahid berundur.

“Saya tidak tahu sejauh mana Ahmad Zahid mampu bertahan,” kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan didesak supaya meninggalkan Umno kerana kes yang dihadapi bekas Presiden Umno itu memberi imej tidak baik kepada parti.

Dalam pertuduhan tersebut, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca dihadapan hakim Azura Alwi.

Rentetan itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat bagi membincangkan hala tuju dan tindakan parti susulan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut senada dengan Mohamad berkata, keputusan mengenai kedudukan Ahmad Zahid wajar ditentukan menerusi mesyuarat MT Umno.

Semalam, Ahmad Zahid juga disiasat berhubung dakwaannya bahawa RM116.7 juta yang dirampas dalam serbuan di premis berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah milik parti itu.

Difahamkan, keterangan Ahmad Zahid diambil pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman, dan berlangsung selama satu setengah jam.

Menurut sumber itu, polis akan memanggil beberapa lagi pemimpin Umno sekiranya perlu bagi membantu siasatan kes sama.

Chua imbau skandal seks: Pak Lah 'nasihat' Soi Lek masuk Islam

Bekas presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyifatkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang yang sangat memahami masalah yang dihadapinya ketika pendedahan skandal seks luar nikahnya sepuluh tahun lalu.

Perkara itu diimbau kembali Chua dalam autobiografi beliau bertajuk Like me or hate me: Rising from the political ashes yang baru dilancarkan baru-baru ini.

Malah, kata Chua, ketika meminta nasihat Abdullah bagi menangani perkara itu, perdana menteri kelima itu sempat bergurau dengannya dengan menyarankan beliau menukar agama dan berpoligami.

"Ditemani isteri saya dan seorang ahli perniagaan Cina yang rapat dengan perdana menteri, saya pergi bertemu Pak Lah bagi merujuk dan meminta nasihat beliau.

"Saya beritahu beliau, sayalah orang dalam DVD itu. Saya juga menjelaskan yang saya akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan fakta tersebut.

"Beliau (Abdullah) sangat memahami serta malahan bergurau menyarankan saya masuk Islam supaya saya boleh menikahi wanita berkenaan secara sah," kata Chua.


Autobiografi itu antara lain memaparkan beliau dengan jujur bercakap mengenai skandal seksnya itu.

Chua menjadi menteri kesihatan dari tahun 2004 hingga 2008, semasa pentadbiran Abdullah dan ketika kejadian itu berlaku beliau ialah naib presiden MCA.

Dalam buku itu, Chua berkata Abdullah cuma ingin tahu jika wanita terbabit merupakan kakitangan di kementeriannya.

"Kerisauan beliau (Pak Lah) jika wanita berkenaan merupakan kakitangan kementerian kesihatan atau mempunyai perkaitan perniagaan dengan kementerian.

"Saya beritahu beliau wanita itu tidak ada kena-mengena (dengan kementerian).

Pak Lah arah IGP siasat

"Beliau mencadangkan saya bercuti selama dua minggu. Malahan kami berbincang isi kandungan sidang akhbar (yang diadakannya kemudian)," tulisnya.

Dalam buku itu juga, beliau berkata Abdullah bertanya pihak yang disyakinya di sebalik pendedahan skandal seks tersebut.

"Besar kemungkinan, ini cubaan untuk memusnahkan kerjaya politik saya," katanya.

Dalam pertemuan itu, Chua mendakwa Abdullah berkata akan mengarahkan ketua polis negara (Tan Sri Musa Hassan) untuk menyiasat perkara itu.

"Perdana menteri (Abdullah) memberi jaminan beliau akan mengarahkan IGP untuk menyiasat perkara itu dari segenap sudut," tulisnya.

Pada sidang akhbar yang disebutnya "telah dibincangkan terlebih dahulu bersama Abdullah" itu, Chua mengaku sebagai individu dalamvideo seks dan meletakkan jawatan sebagai menteri kesihatan dan semua jawatan dalam MCA, berkuat kuasa serta merta.

Beliau turut meletakkan jawatannya sebagai anggota parlimen Labis.

Video itu yang menunjukkan seorang lelaki sedang melakukan hubungan seks dengan seorang wanita dalam bilik sebuah hotel.

Pada 2010, Chua kembali bertanding dalam saingan pemilihan MCA dan menjadi presiden parti itu sehingga 2013.

Selepas PRU13 yang menyaksikan prestasi buruk parti komponen BN itu, beliau melepaskan jawatan presidennya.

ADUN Pilah didakwa terkena ilmu hitam

Salah seorang exco Negeri Sembilan dilaporkan mengalami penyakit misteri dan belum dapat menjalankan tugas seperti sepatutnya lapor akhbar hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu dikatakan lama tidak kelihatan di khalayak ramai sehingga timbul desas-desus dia bersara daripada politik.

Bagaimanapun menurut laporan The Star dia yang baru menjadi ADUN untuk kali pertama melalui pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu sedang mengalami masalah kesihatan, dipercayai ada kaitan dengan ilmu hitam.

Memetik kenyataan pegawai khasnya, Aminuddin Mohamed Yunus, wakil rakyat PKR itu mula sakit selepas PRU yang diadakan pada 9 Mei lalu sebelum keadaannya bertambah serius selepas Aidilfitri.

"Kami merujuk Mohamad Nazaruddin ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu beliau mengalami tekanan," katanya.

Pada PRU lalu Mohamad Nazaruddin dicalonkan Pakatan Harapan di kerusi DUN Pilah dan berdepat pertembungan tiga penjuru.

Selain penyandang, Nordihayati Omar (BN) dia juga dicabar calon PAS Ahmad Fadzil Othman.

Lantik pegawai khas

Mohamad Nazaruddin merampas kerusi Pilah daripada Norhidayati dengan kelebihan 1,806 undi. Beliau memenangi kerusi DUN berkenaan dengan mendapat 5,643 undi.

Selepas HARAPAN membentuk kerajaan Mohamad Nazaruddin dilantik mengetuai portfolio Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata mereka juga membawa Mohamad Nazaruddin mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali dan dimaklumkan ADUN terbabit menjadi mangsa sihir.

Disebabkan keadaan itu juga kata Aminuddin wakil rakyat itu tidak dapat bertanding pada pemilihan PKR Sabtu lalu.

Mohamad Nazaruddin ialah timbalan ketua PKR Cabang Kuala Pilah.

Mengenai tugasnya sebagai wakil rakyat Aminuddin berkata seorang pegawai khas sudah dilantik bagi mengendalikan operasi di pusat khidmat Mohamad Nazaruddin.

"Sejak menjalani rawatan dan tidak dapat berkhidmat kepada orang ramai di kawasan diwakilinya, kami melantik seorang pegawai khas bagi membantu masyarakat setempat," katanya.

Sementara itu memetik kenyataan isteri Mohamad Nazaruddin, Sarimah Zaizakrani, Utusan Online melaporkan doktor berpendapat wakil rakyat itu menghadapi masalah tekanan.

"Kita boleh bercakap dengan dia dan dia memahami apa yang kita kata, tetapi mengalami kesukaran menjawab semula apa yang dituturkan," katanya.

Gopal mohon Najib, Irwan diikat jamin RM3j seorang

Peguam kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendawaan ke atas Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar, meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM3 juta seorang ke atas kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun peguam bela Najib Tan Sri Shafee Abdullah membantah.

Kata Shafee bekas perdana menteri itu sudah membayar ikat jamin sebanyak RM4.5 juta bagi dakwaan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

Tambahan pula kata Shafee Najib juga sudah menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah selepas dikenakan tuduhan berhubung penyelewengan RM4.5 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Shafee turut menegaskan ikat jamin yang dikenakan hanya bertujuan bagi memastikan seseorang tertuduh hadir semasa perbicaraan, dan bukan untuk menghukum.

Justeru Shafee menggesa mahkamah mengambil kira jumlah keseluruhan ikat jamin yang sudah dikenakan ke atas Najib.

Dia juga berkata pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui Najib tidak berisiko tinggi untuk melarikan diri.

Semalam pula katanya Najib dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditunjukkan tuduhan-tuduhan yang akan dikenakan hari ini.

Apabila diarah hadir di mahkamah pada jam 8.30 pagi hari ini, kata Shafee, Najib datang lebih awal daripada waktu itu.

Jutseru katanya Najib wajar dibenarkan diikat jamin tanpa perlu membayar wang tambahan atau penjamin dan tertakluk kepada ikrar bahawa beliau terikat dengan syarat yang dikenakan sebelum ini.

Irwan beri kerjasama baik

Kata Shafee, anak guamnya itu juga memberitahu tuduhan pertama dan kedua yang dikenakan hari ini sama sekali tidak berasas kerana keputusan mengenainya dilakukan secara bersama dengan Mohd Irwan bagi mengelakkan kecuaian dan kesan buruk.

"Anak guam saya berasakan bahawa tuduhan-tuduhan ini sangat menggerunkan dan beliau tidak sabar-sabar untuk melalui perbicaraan yang baik," katanya.

Sementara itu peguam bela Mohd Irwan, Datuk K Kumaraendran berhujah bekas pegawai kanan kerajaan itu sudah berkhidmat dengan penuh dedikasi selasam 20 tahun.

Katanya bekas ketua setiausaha Perbendaharaan itu juga tidak mampu menyediakan wang yang besar sebagai ikat jamin.

Lagi pun kata dengan diarah membayar ikat jamin yang tinggi ia mungkin hanya akan menyebabkan Mohd Irwan terpaksa berada dalam penjara sementara menunggu perbicaraan.

Menegaskan Mohd Irwan tidak berisiko tinggi melarikan diri, Kumaraendran berkata mahkamah sebalikya perlu menetapkan ikat jamin yang rendah dan anak guamnya itu akan menyerahkan pasport antarabangsanya.

Ketika disoal siasat SPRM dalam 10 pertemuan berasingan, kata Kumaraendran, Mohd Irwan memberikan kerjasama yang baik walaupun tiada notis rasmi diserahkan, kecuali semalam.

Justeru, kata Kumaraendran, mahkamah dicadang supaya menetapkan ikat jamin untuk Mohd Irwan sebanyak RM500,000.

"Jumlah itu memadai bagi memastikan beliau hadir di mahkamah. Sebarang jumlah yang lebih tinggi hanya akan bersifat menghukum," katanya.

Gopal bagaimanapun berhujah, jumlah yang dipohon itu tidak boleh dianggap keterlaluan jika melihat kepada tuduhan yang dikenakan ke atas Najib dan Mohd Irwan.

Tambahan pula, katanya, Irwan mendapat bayaran berjuta-juta ringgit bagi pelbagai jawatan yang dipegangnya sebelum ini.

Perbicaraan itu diadakan di depan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad.

Langsung: Najib, Irwan, Hasanah didakwa di mahkamah

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini kembali ke mahkamah dan akan didakwa bersama beka ketua perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Kedua-dua mereka dijangka didakwa berhubung bayaran 1MDB kepada firma pelaburan Abu Dhabi-based International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dikatakan mempunyai kaitan dengan dana persaraan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sementara itu, bekas pengarah risikan Datuk Hasanah Abdul Hamid akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi berdepan tuduhan pecah amanah.

Malaysiakini melaporkan secara langsung dari kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

LAPORAN LANGSUNG
Malaysiakini
Berita
Parlimen
Pilihan Editor
Sukan
Seni & Hiburan
Global
Kolum
Surat
Laporan Khas
Ulasan
Wawancara
Lensakini
TV

Langsung: Hari pendakwaan Najib, Irwan, Hasanah
Wartawan Malaysiakini
25 Okt 2018, 8:20 pagi (Dikemaskini 25 Okt 2018, 9:20 pagi)

A A
LANGSUNG | Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini kembali ke mahkamah dan akan didakwa bersama beka ketua perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Kedua-dua mereka dijangka didakwa berhubung bayaran 1MDB kepada firma pelaburan Abu Dhabi-based International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dikatakan mempunyai kaitan dengan dana persaraan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sementara itu, bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dibawa ke mahkamah hari ini bagi berdepan tuduhan pecah amanah.

Malaysiakini melaporkan secara langsung dari kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.


LAPORAN LANGSUNG


9.01am: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di mahkamah menaiki Vellfire hitam, lengkap berkemeja biru dan sut biru gelap.
Bekas timbalan perdana itu yang dilihat hadir bersendirian sempat tersenyum dan melambai kepada wartawan.

Menjawab solaan wartawan yang bertanyakan adakah dia datang untuk memberi sokongan kepada Najib, Zahid menjawab: “Sudah tentu. Saya datang untuk memberikan sokongan moral.”

8.37am: Bekas ketua pengarah MEIO, Datuk Hasanah Abdul hamid tiba dan dibawa ke mahkamah melalui pintu masuk lain daripada yang dilalui Najib dan Irwan.

8.22am: Najib tiba di pekarangan mahkamah menaiki kereta Proton Perdana TN50 dengan memakai sut kelabu. Beliau sempat senyum dan melambai kepada media yang menunggu tanpa sebarang pertukaran kata

8.15am: Irwan tiba dengan memakai sut hitam.

Beliau dibawa ke mahkamah dari lokap SPRM dengan menggunakan van Hyundai Starex hitam.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan kira-kira 10 yang lain dilihat di lobi mahkamah.

Terdahulu, beliau memaklumkan melalui mesej teks bahawa beliau tidak menjangkakan ramai penyokong hadir ini kerana sudah mengadakan himpunan semalam.

7.55am: Najib, Irwan, and Hasanah dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama.

Sementara itu, tidak seperti pendakwaan Najib sebelum ini, tiada penyokong bekas perdana menteri itu dilihat di mahkamah setakat ini.

Kira-kira 20 polis ditempatkan di bahagian pekarangan mahkamah, sementara wartawan berbaris sejak awal pagi tadi untuk masuk ke mahkamah.

Pasukan peguam Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sementara Irwan dijangka diwakili oleh Dev Kumaraendran.

Pasukan peguam Hasanag pula terdiri daripada peguam Shaharudin Ali, Mohd Khairul Azam and Imran Khairi Osman.

Pihak media masih beratur di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendapatkan pas. Petugas media dibenarkan masuk melalui pagar sejak pukul 6.50 pagi.

Tiga beranak dihumban ke sungai


Tiga beranak dihumban ke sungai
Perancang utama pembunuhan, Rio Suryaningrat (tiga kanan) dan rakan subahatnya berjaya dicekup polis.
MEDAN - INDONESIA. Angkara dendam, seorang lelaki tergamak membunuh satu keluarga dalam kejadian yang menggemparkan penduduk di daerah Deli Serdang, Sumatera Utara baru-baru ini.

Suspek didakwa menghumban kesemua mangsanya ke dalam sungai bagi menghilangkan bukti.

Lebih kejam, suspek yang dibantu tiga rakan subahat turut mengikat tangan, kaki dan mulut mangsa sebelum menghumban mereka ke dalam sungai ketika masih bernyawa.

Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Muhajir, Suniati (isteri) dan Solihin (anak lelaki).

Pembunuhan kejam itu terbongkar selepas mayat tiga beranak terbabit dijumpai terapung di sungai Blumei berhampiran Tanjung Morawa, Isnin lalu.

Sebelum penemuan mayat berkenaan, polis telah dimaklumkan mengenai kehilangan mereka sejak 9 Oktober lalu.

Susulan itu, polis telah memberkas perancang utama pembunuhan, Rio Suryaningrat.

Siasatan mendapati motif pembunuhan adalah dendam.

"Suspek melakukan pembunuhan itu kerana tidak tahan diejek oleh isteri mangsa dengan gelaran 'gajah' kerana keadaan fizikalnya yang gempal.

"Dia meminta pertolongan tiga rakan bagi melupuskan mayat dan bahan bukti," kata Ketua Polis Sumut, Agus Andrianto.

Tambah Agus, kesemua tertuduh bakal dihadapkan ke muka pengadilan dan didakwa membunuh. - Tribunnews

Penghantar makanan selamatkan kanak-kanak lemas

FMT Reporters

Seorang penghantar makanan yang berusia 23 tahun, He Linfeng menjadi hero sekelip mata selepas satu rakaman video dia menyelamatkan kanak-kanak daripada lemas viral di laman sosial.

Dalam kejadian di wilayah Zhejiang, 2 orang kanak-kanak kelihatan duduk di tepi sungai Shaoxing sambil salah seorang kanak-kanak yang berusia 13 tahun jatuh tergelincir sewaktu sedang mencuci kain.

Ketika itu, He Linfeng yang kebetulan melalui kawasan itu melihat air berkocak dan apabila dia mengintai ke sungai, dia dengan jelas melihat kanak-kanak perempuan bergelut dan sedang lemas dalam air sungai itu.

Tanpa melengahkan masa, He Linfeng terus menghentikan motosikalnya, meninggalkan telefon bimbitnya dan melompat ke sungai untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Sebaik kanak-kanak itu dibawa ke darat, dia masuk semula ke dalam sungai untuk mengambil sebelah kasut kanak-kanak yang berada dalam air.

“Saya melihat sebelah kasutnya hilang. Jadi saya masuk ke dalam air untuk mengambilnya,” katanya kepada sebuah portal tempatan.

He Linfeng juga memastikan kanak-kanak itu pulang ke rumah dengan selamat.

Menurut Zhejiang 24 Hours, kanak-kanak itu bersendirian selepas ibu bapanya keluar bekerja ketika kejadian berlaku.

Ekoran perbuatan penuh keberanian itu He Linfeng dihadiahkan sejumlah wang tunai dan dianugerahkan dengan sebagai “penghantar makanan contoh” di wilayah itu.

Pocong menangis di kubur


Penduduk kampung turut menemani 'pocong' terbabit yang dihukum tidur di kubur.
DEPOK - INDONESIA. Gara-gara menyamar jadi pocong, dua remaja di Kampung Bojong Liyo, Sukmajaya, Depok ini menerima padah selepas mereka dihukum tidur di kubur.

"Kami terpaksa memanggil ibu bapa mereka selepas 'pocong' terbabit menangis di atas kubur. Kami menjelaskan berpura-pura menjadi pocong bukan satu gurauan kerana ia boleh membahayakan orang lain," kata penduduk kampung itu, Fachmi, semalam.

Difahamkan, Fachmi adalah salah seorang daripada penduduk yang turut sama menangkap 'pocong' terbabit.

Ketika dihukum tidur di kubur, mereka juga ditemani penduduk kampung.

Jelasnya, tujuan hukuman itu adalah untuk memberi pengajaran kepada mereka.

"Kita tidak menggunakan hukuman dalam bentuk fizikal. Ia adalah untuk mengajar mental mereka," kata seorang lagi penduduk dikenali sebagai Oji.

Pihak berkuasa turut ke lokasi tersebut dan menasihatkan remaja itu dan ibu bapa mereka.

"Polis tidak mengambil sebarang tindakan. Kami meminta mereka tidak mengulangi perbuatan itu," kata jurucakap polis, Bronet. - DetikNews

Guan Eng tunjuk surat kerajaan Kelantan mohon pinjam wang untuk bayar gaji

Kembali menyanggah Kelantan, Lim Guan Eng hari ini tampil mengemukakan data daripada Kementerian Kewangan untuk membuktikan negeri terbabit mengalami kekurangan dana untuk membayar gaji kakitangannya.

Bercakap kepada media di parlimen hari ini Lim menunjukkan surat dari Pejabat Perbendaharaan Kelantan yang meminta bantuan pinjaman daripada pusat untuk membayar gaji kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Surat itu ditulis Pegawai Kewangan Negeri Kelantan Datuk Nik Kazim Nik Yusoff.

“Ini (surat) bukan daripada saya, dari Kelantan," katanya.

Melalui salinan surat itu, Nik Kazim menyatakan kerajaan Kelantan terdedah kepada kelewatan pembayaran gaji kakitangan serta bil semasa.

Surat bertarikh 18 Jun 2018 itu menyatakan Kelantan perlu pendahuluan dana sebanyak RM97 juta pada Julai bagi menampung perbelanjaan luar jangka serta ketiadaan punsa baru sumber hasil.

"Implikasi shortfall ini akan menyebabkan kerajaan negeri terdedah kepada kelewatan pembarayan gaji kakitangan termasuk sambilan sebanyak RM24.5 juta sebulan, serta bayaran bil-bil melebihi 14 hari," kata surat itu.

Surat itu juga menyatakan kerajaan Kelantan memohon pendahuluan sebanyak RM97 juta bagi menampung aliran wang tunai Kelanta untuk 2018.

Lulus walaupun ada tunggakan

Turut dijelaskan dalam surat itu bagaimana Kelantan mencatatkan aliran menaik defisit akaun semasa dengan jumlah terkumpul berjumlah RM19.46 juta dan defisit kumpulan wang pembangunan berjumlah RM45.03 juta, tidak termasuk tanggungan semasa berjumlah RM49.73 juta.

Kata Lim sebagai kerajaan apa yang dinyatakan mengenai kedudukan kewangan Kelantan dibuat berdasarkan angka-angka dan fakta sebenar.

“Pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan perlu dijalankan berdasarkan fakta dan angka, bukannya sentimen dan fitnah jahat.

“Sukar memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur atau membangunkan semula sebuah negeri yang gagal sekiranya membelakangkan fakta dan angka,” katanya.

Lim yang juga anggota parlimen Bagan menambah, Kelantan menerima pinjaman pendahuluan sebanyak RM100 juta yang belum dijelaskan sehingga 31 Disember 2017.

Dalam keadaan begitu Kota Bharu sekali lagi memohon bantuan pinjaman pendahuluan pada Jun tahun ini.

"Biarpun masih ada tunggakan besar, permohonan itu telah diluluskan.

Semalam, Lim mendedahkan Kelantan menerima pemberian (grant) daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM398 juta termasuk RM59.9 pemberian defisit kerana kerajaan negeri itu tidak mempunyai hasil mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji kakitangan awam.

Ada kerajaan negeri tulis surat mohon pinjam duit untuk bayar gaji - Guan Eng

Kerajaan negeri buat permohonan bertulis pinjam duit bayar gaji kakitangan, kata Menteri Kewangan
BORHAN AHMAD
Menteri Kewangan mendakwa ada sebuah kerajaan negeri menghantar surat kepada kementerian kewangan secara jelas memohon untuk bantuan kewangan dari kerajaan pusat bagi membayar gaji kakitangannya.

Lim Guan Eng ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan negeri berkenaan secara jelas memohon wang untuk membayar gaji kakitangannya.

“Saya ingin jelaskan di sini kerajaan negeri Sabah dan Sarawak tidak pernah memohon wang dari kerajaan pusat untuk membayar gaji kakitangannya.

“Tetapi ada kerajaan negeri yang dengan jelas menulis surat kepada kementerian kewangan untuk meminta pinjaman bagi membayar gaji kakitangannya,” kata Guan Eng.

Sebelum ini Dewan Rakyat kecoh apabila Lim Guan Eng menyindir kerajaan negeri Kelantan yang mahu mengambil alih pembinaan ECRL sedangkan kerajaan negeri itu tidak mampu membayar gaji kakitangannya sendiri.

Ia telah dibantah oleh wakil- wakil rakyat Pas dengan membuat sidang media khas mengenainya di Parlimen.

Guan Eng pada Selasa berkata Kelantan adalah sebuah negeri yang gagal dari segi urusan ekonomi kerana tidak mampu membayar gaji dan emolumen kepada anggota pentadbirannya.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan dibuat Guan Eng dan meminta dibuktikan sekiranya kerajaan Kelantan kononnya tidak dapat membayar gaji kakitangan awam di negeri itu dan terpaksa dibantu kerajaan Persekutuan.

Mayat Khashoggi ditemui?

LONDON - BRITAIN. Bahagian tubuh dipercayai milik wartawan terkenal, Jamal Khashoggi telah ditemui.

Laporan Sky New memetik sumber pihak berkuasa mendakwa tubuhnya telah dikerat-kerat dan wajahnya 'dicacatkan'.

"Mayatnya ditemui di kawasan taman kediaman konsul umum Arab Saudi," jelas laporan itu.

Berita itu dilaporkan selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta Riyadh mendedahkan lokasi mayat Khashoggi.

Terdahulu, Erdogan mendakwa pembunuhan kejam pengkritik lantang Putera Mahkota, Mohammed Salman itu telah dirancang terlebih dahulu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan rakaman audio yang diperoleh pihak berkuasa Turki untuk mengesahkan Khashoggi diseksa dan jarinya dipotong sebelum dibunuh.

Erdogan juga tidak memaklumkan secara spesifik bagaimana wartawan berusia 59 tahun itu dibunuh 15 agen Saudi yang terlibat dalam komplot itu. - Agensi

Malaysia Baharu tuntut sikap berbeza terhadap gelaran anugerah

MALAYSIADATELINE
Selama 61 tahun Malaysia Lama, tidak ada bantahan terbuka terhadap penganugerahan gelaran. Walaupun di sekitar 2010-an ini, ada beberapa pemberian gelaran bukanlah dipersoalkan tetapi ditertawakan.

Ia menjadi bahan cemuhan sinis dalam sembang-sembang teh tarik di samping ada juga bayangan sentimen ini dalam posting di media sosial.

Ia tidak menjadi isu besar tetapi dapat difahami bahawa banyak orang tidak senang dengan sebahagian amalan penganugerahan gelaran datuk yang dianggap sudah menjadi begitu lumrah, hingga merendahkan nilainya.

Maknanya amalan itu dikaitkan dengan cara Umno mentadbir negara ini. Mereka yang rasa tidak senang dengan amalan itu adalah juga sebahagiannya merupakan penyokong pembangkang sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Satu lagi perkara yang menyebabkan rasa tidak senang orang ramai terhadap amalan itu hanya timbul pada tahun-tahun kebelakangan ini adalah kerana adanya media sosial.

Sebelum itu, orang ramai tidak mempunyai saluran bebas untuk menzahirkan perasaan mereka.

Tambahan pula, kebanyakan gelaran ini datang dari institusi institusi yang pastinya tidak boleh dipersoalkan.

Namun begitu, penganugerahan di Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah dilakukan oleh institusi gabenor. Tetapi negara ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Kerajaan-kerajan pusat dan negeri yang dikuasai oleh parti politik turut memberi nasihat dalam penyediaan senarai bagi penganugerahan itu.

Sistem penganugerahan ini juga dari awal lagi dicipta oleh kerajaan pimpinan Umno. Tunku Abdul Rahman adalah satu-satunya Perdana Menteri yang datang daripada institusi istana.

Ketika itu pembangkang terdiri daripada Pas, Parti Buruh dan Parti Rakyat. Pas dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy yang merupakan bekas ketua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Beliau, Parti Buruh dan Parti Rakyat adalah golongan kiri yang tidak begitu menghiraukan soal gelaran.

Begitu juga dengan salah seorang pemimpin utama Umno yang berasal dari PKMM iaitu Tun Ghafar Baba. Beliau menolak sebarang gelaran hinggalah setelah bersara politik.

Ahmad Boestamam, pengasas Parti Rakyat mendapat gelaran Datuk dari Sarawak tanpa beliau ketahui pada awalnya. Beliau diminta datang ke Sarawak tanpa diberitahu mengapa. Ketika itu beliau sudah bersara politik.

Tokoh dari Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas), juga dari golongan kiri, Tan Chee Khoon juga menerima gelaran Tan Sri selepas bersara.

Jadi apabila kerajaan pimpinan Umno tumbang pada 9 Mei lalu dan Pakatan Harapan mengambil alih, orang ramai mengharapkan kerajaan baharu ini adalah lebih baik dan tidak akan mengamalkan perkara-perkara negatif dalam Malaysia Lama.

Pada awal kabinet dibentuk, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta media supaya memanggil dirinya Saudara.

Perkara ini juga berlaku ketika Anwar Ibrahim baru dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1981. Beliau meminta para pemberita memanggil dirinya Saudara.

Tetapi malangnya, ada pemimpin Pakatan Harapan tidak cukup peka dengan sensitiviti orang ramai ini.

Tanda-tanda rasa tidak puas hat terhadap perkara ini dari awal lagi dapat dilihat apabila Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub menerima gelaran datuk dari Pulau Pinang.

Perkara ini menerima rungutan termasuk dari kalangan penyokong AMANAH yang mana beliau adalah timbalan presidennya.

Pulau Pinang pula diperintah oleh DAP. Sedangkan DAP dan AMANAH adalah parti-parti dalam Pakatan Harapan yang dilihat sepatutnya paling tidak menghiraukan soal gelaran.

Lainlah kalau Bersatu dan PKR yang banyak pemimpinnya berasal dari Umno.

Malah ketika Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini tidak ada penganugerahan dan bintang-bintang kebesaran.

Maka tidak menghairankanlah apabila pemberian gelaran dari Melaka kepada ahli-ahli politik Pakatan Harapan mendatangkan kecaman.

Melaka pula diperintah Pakatan Harapan dan ketua menterinya dari AMANAH.

DAP pun menyatakan pendiriannya. Isunya bukanlah bintang kebesaran dan gelaran itu tidak boleh diberikan atau diterima. Tetapi buat masa ini para pemimpin Pakatan Harapan baru saja dilantik dan prestasinya belum teruji.

Sentimen yang sama juga disuarakan oleh A Kadir Jasin dari Bersatu yang mencadangkan supaya dibuat garis panduan.

2 pelajar buat laporan polis dakwa diliwat pengetua

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dua laporan yang masing-masing dibuat oleh murid Tahun Lima dan pelajar Tingkatan Satu, mendakwa mereka diliwat oleh pengetua sebuah sekolah menengah di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kedua-dua pelajar terbabit membuat laporan polis hari ini mendakwa diliwat pengetua berusia 55 tahun tersebut pada hujung minggu lalu selepas memaklumkan kejadian kepada keluarga masing-masing.

Menurut sumber, mereka dihantar ke Hospital Kepala Batas bagi pemeriksaan sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati ada kecederaan di bahagian kemaluan masing-masing.

"Dua mangsa mendakwa diliwat pengetua itu ketika mereka menyertai satu program pendidikan di sekolah (menengah) berkenaan. Lelaki itu akan dipanggil pihak polis untuk direkodkan keterangan," katanya di Kepala Batas hari ini.

Menurut sumber selain dua mangsa berkenaan, beberapa pelajar lain turut mendakwa diliwat pengetua terbabit dan mereka dijangka membuat laporan polis esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
-Bernama

Nyaris hilang zakar kerana mahu 'seronok'


Doktor terpaksa menggunakan gergaji industri yang digunakan untuk memotong marmar.
NEW DELHI - INDIA. Seorang lelaki di India nyaris kehilangan zakar selepas cincin kononnya untuk 'keseronokan seksual' tersangkut pada alat sulitnya hingga ia mula membusuk.

Mangsa berusia 33 tahun yang identitinya tidak didedahkan itu menderita selama dua minggu sebelum dia ke hospital dalam keadaan kesakitan dan zakarnya membengkak.

Rawatan biasa bagaimanapun gagal untuk mengeluarkan cincin tersebut.

Doktor di Hospital UCMS & GTB akhirnya terpaksa menggunakan gergaji industri yang digunakan untuk pemotongan marmar untuk memotong cincin besi itu yang disifatkan sebagai 'langkah terdesak'.

Mereka mengambil masa 15 minit ketika melakukan prosedur itu menggunakan gergaji Bosch GDC 120.

Usaha mereka berjaya menyelamatkan zakar lelaki itu daripada menjadi gangren.

Dua minggu selepas 'langkah terdesak' itu, mangsa mendakwa alat sulitnya telah kembali berfungsi.

Dia kini menjalani sesi kaunseling. - Daily Mail

Tariq Ramadan mengaku terlibat dalam ‘permainan seks’

Ahli akademik Switzerland Tariq Ramadan mengaku terlibat dalam “permainan seks” dengan dua wanita Perancis yang mendakwa dirogolnya dan menegaskan hubungan itu berlaku secara sukarela.

Pengakuan profesor pengajian Islam di Universiti Oxford yang sedang bercuti itu adalah yang pertama setelah hampir setahun kes itu berlangsung, lapor Reuters.

“Dia akhirnya boleh bercakap dengan bebas, dan dia lega,” peguamnya Emmanuel Marsigny dilapor sebagai berkata kepada pemberita.

Ramadan adalah cucu pengasas gerakan Islam terkemuka dunia Ikhwanul Muslimin Hassan al Banna.

Kes Ramadan dibicarakan di Paris.

Seorang pengadu kes yang hanya dinamakan sebagai Christelle, mualaf yang mengalami masalah kurang upaya selepas kemalangan jalan raya, mendawa dirogol Ramadan dalam sebuah hotel di selatan Perancis pada 2009.

Peguam Ramadan berkata beberapa siri pesanan teks di dua telefon bimbin pengadu menunjukkan hubungan berlaku secara sukarela.

Ramadan ialah bapa kepada empat orang anak.

Dia turut berdepan satu lagi dakwaan rogol oleh wanita Switzerland di Geneva.

“Suka dengan Mujahid yang cetuskan kejutan”

DINSMAN

Tidak tahu siapakah yang mula menyebutnya. Tahu-tahu orang sudah ramai menyebut Malaysia baharu. Yang dimaksudkan ialah Malaysia selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, dan tumbangnya kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memerintah Malaysia selama 61 tahun sejak Merdeka 1957.

Satu hal yang paling ketara dengan Malaysia baharu, mengikut pemerhatian saya, ialah kerajaan baru Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini agak terbuka dan membenarkan kebebasan bersuara, sehingga kita mendapati kritikan-kritikan disuarakan terhadap pihak kerajaan begitu berleluasa sekali terutamanya di media sosial fesbuk.

Fenomena kebebasan bersuara ini adalah satu fenomena baru dalam sejarah Malaysia, yang jelas merupakan satu perubahan besar hasil kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 itu.

Apakah kebebasan bersuara yang sedang dizahirkan dan dinikmati oleh rakyat Malaysia baru ini sesuatu yang baik untuk rakyat Malaysia keseluruhannya kini, masih terlalu awal untuk kita rumuskan.

Namun apa pun, saya perhatikan ledakan kritikan-kritikan itu seperti suatu permainan baru yang diberikan kepada anak-anak yang sedang belajar bermain dengan alat-alat mainan baru, yang mereka pun belum kenal benar apakah jenis permainan itu dan apakah kesan dari permainan itu kepada mereka dan kepada masyarakat seluruhnya.

Apakah pihak kerajaan Malaysia baharu pimpinan Perdana Menteri 93 tahun Dr Mahathir sekarang memang bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan cabaran daripada dasar kebebasan bersuara ini? (Sedangkan waktu dia memerintah 23 tahun dulu hal ini tidak dibenarkannya).

Nampaknya di pihak pimpinan khasnya kabinet Pakatan Harapan mereka memang bersedia dalam keadaan yang terpaksa menghadapi cabaran-cabaran kritikan itu.

Keadaan ini seperti menimbulkan satu suasana yang agak bergelora, kucar-kacir dan tidak stabil.

Malah ada suara yang meminta menteri pendidikan dan menteri agama meletak jawatan pun, dengan hujah, alasan dan kritikan tertentu.

Dan ada yang meminta menteri kewangan dan menteri pengangkutan juga berbuat demikian. Dan sebelum itu menteri sumber manusia juga.

Demikianlah rakyat Malaysia baharu yang tiba-tiba sahaja menjadi berani bersuara.

Dan setakat ini keberanian bersuara itu masih berkisar di sekitar mengkritik pihak kerajaan yang dikatakan tidak mematuhi janji manifesto, menipu rakyat dan sebagainya.

Belum ada keberanian yang membawa nilai-nilai positif ke arah pembangunan dan kemajuan yang lebih bermakna. (Setakat yang sempat saya perhatikan).

Keadaan menjadi bergelora, kucar-kacir dan tidak stabil itu berbetulan pula dengan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang baru dan belum berpengalaman, malah ada yang terlalu muda dan dikatakan masih berperangai kebudak-budakan pun.

Hanya Tun Mahathir yang banyak dan kaya pengalaman mentadbir negara. Seorang lagi ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi beliau dalam keadaan kurang sihat.

Di samping itu ada dua orang yang mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan negeri, iaitu Lim Guan Eng bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Azmin Ali bekas Menteri Besar Selangor.

Keadaan kurang berpengalaman dalam mentadbir negara ini bagi saya bukanlah suatukelemahan atau kekurangan.

Saya berpendapat itu adalah satu kebaikan untuk Malaysia baharu; agar menteri-menteri itu tidak terikat dengan cara dan gaya serta nilai-nilai pentadbiran lama.

Biarlah kita melakukannya dengan cara dan pendekatan yang baru, berdasarkan nilai-nilai yang baru.

Satu lagi isu yang penting untuk diangkat daripada sekian banyak isu yang timbul dan ditimbulkan dalam tempoh lima bulan Malaysia baru ialah sikap dan pemikiran agama dalam kalangan orang Melayu, yang nampaknya mengalami kejutan akibat daripada beberapa kenyataan dan tindakan yang dibuat oleh menteri berkenaan iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Saya sebenarnya suka dengan beberapa kenyataan dan tindakan Dr Mujahid yang menimbulkan kejutan itu, yang saya melihatnya sebagai satu permulaan yang baik dan berani, ke arah sikap dan pemikiran Islam yang lebih wajar dan sesuai dengan tuntutan al-Quran dan sunnah.

Memang ia mengejutkan dan menimbulkan kontroversi, malah serangan-serangan terhadap menteri berkenaan, yang didakwa dibuat atas nama kesucian Islam dan sebagainya.

Itu tidak menghairankan, malah memang dijangka, kerana memang itulah masyarakat Islam di negara kita.

Dan masyarakat Islam di negara kita itu perlukan peningkatan pemahaman terhadap teks Islam yang sahih, yang akan membawa kepada perubahan pemikiran dan sikap mereka dalam banyak perkara. Malaysia baharu yang sebenarnya tidak akan tercapai selagi sikap dan pemikiran tertentu di kalangan masyarakat Melayu-Islam kita tidak berubah.

Dalam konteks ini saya melihat Dr Mujahid memerlukan satu pasukan ilmuwan Islam yang berwibawa untuk membantunya.

Ini suatu tugas dan tanggungjawab besar, yang tidak mungkin dilaksanakan oleh seorang menteri dengan timbalannya sahaja.

Beliau memerlukan ramai tenaga untuk membantunya.

Seperti terbukti apabila Dr Mujahid menyentuh sedikit soal LGBT dan soal mencegah maksiat, pelbagai pandangan dan kritikan telah timbul, yang sebahagiannya menampakkan kurang kefahaman terhadap teks Islam yang sahih itu.

Dan di sana sebenarnya ada banyak lagi isu atau perkara yang perlu diangkat untuk ditingkatkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam kita, secara yang bebas daripada fahaman politik kepartian.

Satu masalah yang menjadikan perkara ini sukar untuk dilakukan ialah sikap dan pemikiran yang taksub dengan kumpulan atau tokoh/pemimpin tertentu tanpa memahami sendiri ajaran agama berkenaan.

Ketaksuban ini menolak sebarang hujah dan penerangan. Dan inilah wajah kebanyakan watak dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam kita.

Memang cabaran yang wujud di sekeliling Dr Mujahid (dan lain-lain menteri Malaysia baru) adalah sukar.

Manakala suasana kebebasan bersuara yang dilahirkan oleh Malaysia baharu pula menggalakkan semua orang mengeluarkan pendapat dan kritikan, tanpa perlu memikirkan kewajaran dan kesahihannya terlebih dahulu.

Inilah wajah Malaysia baharu yang masih samar-samar.

HADI BERHENTILAH MAIN POLITIK KOPIAH BURUK

Mohd Sayuti Omar
Ikutkan hati kesal dan kecewa dengan cara Hadi Awang berpolitik malas untuk mengomen apa-apa darinya. Tetapi kerana beliau masih tercatuk di tandang Pas sebagai presiden, suka tak suka terpaksa juga sentuh.

Terbaharu sekali lagi Hadi menunjukkan kedangkalan politik ala “kopiah” cariknya. Kali ini dia untuk kesekian kalinya menayalahkan kepada DAP, kononnya parti Cina itu menjadi penghalang kepada pembangunan di negeri Pantai Timur yang menggunakan kedudukan kerusinya yang dominan di Pantai Barat.

Saya tidak tahu apakah Hadi sedar atau pun “mamai” bila berhujah demikian. Apakah dia tahu diskiminasi untuk Kelantan dan Terengganu bukan berlaku sebulan dua bulan ini, tetapi berlaku sejak lama dahulu. Ketika itu Pantai Barat parti Cina mana yang mendominasi? Bukan DAP, tetapi MCA? Geoogle biar dapat fakta yang jelas.

Saya juga tidak suka dan sangsi kepada DAP, tetapi untuk menghuduhkannya kemukakan hujan dan bukti yang rasional kerana kalau tidak, kita akan dikatakan “debek”. (Huduh dan buruk).

Macam kita bencikan anjing, kalau kita memukulnya tanpa peri kebinatangan, tanpa sebab dan kesalahan yang jelas, maka yang memiliki sifat dan perangainya itu, adalah kita. Kita yang akan dikatakan anjing.

Mungkin dalam jiwa orang seperti Hadi menganggap DAP parti najis, tetapi kita lupa yang menyalak sebenarnya ialah kita. Trims.

Saya akan buat hidup kamu tidak tenang, ‘ugut’ cucu Zahid Hamidi

ARIF ATAN
Saya akan buat hidup kamu tidak tenang, ‘ugut’ cucu Presiden Umno
Tular di media sosial apabila cucu perempuan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi memberi amaran secara terbuka di media sosial ekoran 45 pertuduhan yang dihadapi datuknya.

Dimuat naik oleh ibunya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid di Instagram sejak 19 Oktober lalu, rakaman video berdurasi 28 saat itu memaparkan kanak-kanak berusia sembilan tahun tersebut berucap fasih dalam bahasa Inggeris.

“Saya akan membuatkan kamu menyesali hidup kamu dan saya akan memastikan hidup kamu tidak akan aman,”
kata Sofee yang bercermin mata dan berbaju warna jingga yang tertera ‘Lokap SRPM’.

Menurutnya, dia memberikan sokongan tanpa belah bahagi terhadap datuknya yang pada 19 Oktober lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Hampir 10,000 tontonan rakaman video tersebut di Instagram selepas dua hari dimuat naik atas nama anak perempuan Zahid itu.

Rakaman tersebut turut disertakan tanda pagar #solidarityforgrandpa dan #beranikeranabenar.

Untuk rekod, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan tertuduh diikat jamin RM2 juta dan perlu membayar RM1 juta pada 19 Oktober lalu manakala bakinya perlu dibayar sebelum 26 Oktober ini.

Mat Sabu 'dikepung' walaupun ketika basuh tangan di sinki

Mohamad Sabu atau Mat Sabu ‘dikepung’ lagi di Singapura. Kali ini di Restoran Al Jasra, Changi Rd.

Kejadian berlaku ketika Menteri Pertahanan itu singgah di restoran itu semalam selepas temu bual bersama Bernama di Changi Naval Base sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Mat Sabu berada di Singapura selama tiga hari sejak 18 Okt dalam rangka lawatan pengenalan diri ke republik ini.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama dua hari hingga 20 Okt.

Menteri itu pernah ‘dikepung’ pada Jun lalu di Singapura ketika singgah di Masjid Sultan untuk menunaikan solat Jumaat.

Beliau turut ‘dikepung’ oleh pekerja-pekerja hotel termasuk Chef tempat beliau menginap ketika di republik itu.

Semalam, beliau tidak ‘dilepaskan’ sekali lagi untuk beberapa ketika oleh orang awam.

Ia memberi sedikit tekanan dan kegelisahan di wajah pegawai pengiring Singapura yang bertugas menjaga keselamatannya.

Rata-rata pengunjung di restoran itu mengenali Mat Sabu dan ‘mengepung’ beliau bertujuan hanya untuk berswafoto bersama seorang daripada pemimpin utama Pakatan Harapan itu.

Mat Sabu seperti biasa tidak menolak dan bersalaman bersama orang awam yang menyapanya.

Ketika melintas jalan bersama Mat Sabu, Bernama turut menyaksikan seorang pemandu van tergesa-gesa menurunkan cermin tingkap dan memanggil “YB Mat Sabuu !”

Mat Sabu dengan bersahaja menyahut “Ya.. Dari mana..?” Dan dijawab pemandu tersebut “Dari Penang…”

Walaupun berjaga-jaga, pegawai keselamatan Singapura tetap memberi ruang untuk orang awam mendekati Mat Sabu.

Mereka tetap mengiringi Mat Sabu walaupun ketika beliau memilih lauk dan membasuh tangan di sinki.

Mungkin sedikit berlainan bagi mereka ‘mengiringi’ pemimpin bernama Mat Sabu ini kerana beliau tidak kekok untuk makan bukan di restoran lima bintang dan bertemu orang awam tanpa protokol.
-Bernama

Tun M merajuk dengan sikap kasar pemandu teksi :'Kalau tak nak saya jadi PM, hari ini saya letak jawatan'

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan rasa kecewanya dengan sikap pemandu teksi yang enggan mendengar penjelasannya berkaitan isu e-hailing.

Kejadian itu berlaku apabila kira-kira 10 pemandu teksi bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dalam satu sesi dialog yang diadakan bersama perdana menteri di Langkawi.

Sesi dialog itu dihadiri hampir 200 pemandu teksi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas ekoran perkhidmatan Grab yang dikatakan ‘mencuri’ pelanggan mereka, lapor Berita Harian.

“Saya nak tolong tapi kalau tak ada bantuan...saya pun tak boleh tolong juga. Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendiri. Tengok apa yang jadi.

“Saya bukan nak jadi Perdana Menteri, saya dah bersara...orang panggil balik, jadi saya datang.

“Kalau tak nak saya jadi Perdana Menteri, saya hari ini letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum kejadian itu, Dr Mahathir berkata Grab akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan dan membayar insuran serta cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan yang adil.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam kabinet. Saya beritahu Menteri (Pengangkutan) supaya memperbetulkannya, tetapi malang sehingga kini tiada kemajuan langsung.

“Saya akan usaha lagi, saya pun rasa tidak adil. Perkara ini dalam perhatian saya tetapi saya tidak boleh bagi jaminan hapuskan Grab, tetapi kita boleh samakan mereka dengan teksi,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan majlis perjumpaan itu kecoh apabila beberapa orang anggota persatuan bertindak biadap keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Sekitar 10 pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas perdana menteri berkata beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Kekecohan itu berlaku sekitar dua minit sebelum reda.

Jamal Kashoggi dikerat hidup-hidup, dipenggal dan anggota badannya direndam dalam asid di Kedutaan Arab Saudi?

BAKAL PENGANTIN MATI DIBUNUH KEJAM KERANA PRO-IKHWAN MUSLIMIN, TURKI & QATAR

Siapa Jamal Kashoggi? Siapa bakal isteri beliau? Kenapa begitu dahsyat sekali pembunuhan yang dilakukan Arab Saudi ke atas beliau? Apa hubungan beliau dengan pesaing Arab Saudi iaitu gerakan Islamis Ikhwan Muslimin, Turki dan Qatar?

1. Nama Jamal Kashoggi tiba-tiba menggegarkan arena politik antarabangsa. Pada mulanya, lelaki Arab Saudi ini yang sepatutnya melangsungkan perkahwinannya tidak lama lagi telah disytiharkan hilang selepas beliau pergi ke Kedutaan Arab Saudi di Istanbul, Turki untuk urusan persediaan perkahwinannya. Akhirnya kebenaran tidak dapat disembunyikan lagi: pihak Turki memiliki bukti bahawa beliau telah mati dibunuh dengan dikerat hidup-hidup, dipenggal dan anggota badannya direndam dalam asid untuk menghapuskan bukti pembunuhan dahsyat di Kedutaan Arab Saudi di Istanbul ini.

2. Jamal Kashoggi bukanlah sebarangan lelaki. Beliau sebenarnya pernah berkhidmat dengan agensi perisikan Arab Saudi selama lebih 20 tahun sebelum hari ini terkenal sebagai seorang penulis dan wartawan yang berpengaruh dan banyak mengkritik rejim monarki Arab Saudi yang diketuai oleh Raja Salman dan Putera Mohammed Bin Salman.

3. Beliau pernah berkhidmat di bawah Putera Turki al-Faisal, Putera Bandar al-Sultan dan arkitek badan perisikan Arab Saudi sendiri iaitu Brigadier-General Yousuf al Idrissi. Beliau pernah menulis laporan pada 1994 bahawa usaha Arab Saudi untuk menghapuskan pengaruh gerakan Islamis yang paling berkuasa di Mesir iaitu Ikhwan Muslimin adalah sia-sia.

4. Hubungan Jamal Kashoggi dengan gerakan Islamis Ikhwan Muslimin menjadi fokus utama yang mengakibatkan pembunuhan kejam ke atas beliau ini. Beliau pada asalnya menyertai jemaah Ikhwan Muslimin pada waktu muda sebelum berkhidmat dengan kerajaan Arab Saudi.

5. Susulan pendirian beliau yang menentang tindakan Putera Mohammed Bin Salman seperti memerangi Yaman, memulau Qatar, dan rapat dengan Donald Trump, beliau telah bertindak nekad melarikan diri dari Arab Saudi pada September 2017. Jamal Kashoggi juga lantang mengkritik Israel dan sering menyeru para pemimpin Dunia Islam dan Arab khususnya agar berjuang menentang Israel. Pada 2 Oktober 2018, beliau telah ke Kedutaan Arab Saudi untuk urusan perkahwinannya – itulah hari terakhir beliau dilihat di khalayak ramai.

6. Adakah beliau dibunuh hanya semata-mata kerana ‘mengkritik Raja Salman dan Putera Mohammed Bin Salman’ atau dasar luar agresif Arab Saudi? Tidak, motif yang lebih kukuh adalah pada bakal isterinya dan juga perancangan Jamal Kashoggi sendiri.

7. Siapakah bakal isteri Jamal Kashoggi? Beliau ialah seorang wanita Turki bernama Hatice Cengiz. Siapakah Hatice Cengiz ini? Beliau ialah seorang diplomat dan merupakan anak perempuan kepada bekas penasihat Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Apakah perancangan Kashoggi? Beliau merancang untuk menubuhkan sebuah Pusat di Turki dengan bantuan dana Turki dan Qatar – dua negara yang pro-Ikhwan Muslimin dan pesaing kuat kepada dominasi Arab Saudi di Timur Tengah.

8. Hakikatnya, jika Putera Mohammed Bin Salman sekadar ingin membunuh Kashoggi, beliau boleh mengupah mana-mana pembunuh upahan untuk membunuh Kashoggi di jalanan Istanbul. Sebaliknya, beliau ingin menyoal-siasat Kashoggi terlebih dahulu dan mendapatkan pelbagai maklumat hubungan dan perancangan beliau. Tentu sahaja, perancangan Kashoggi untuk menubuhkan pusat di Turki dengan dana Turki dan Qatar – yang masih dipulaukan oleh Arab Saudi – cukup mengancam rejim Mohammad Bin Salman.

9. Hal ini demikian kerana Kashoggi memiliki rangkaian yang cukup besar dan meluas di dalam mahu pun di luar Arab Saudi. Maka tidak menghairankan apabila Putera Mohammad Bin Salman mengutuskan pembantu beliau sendiri, iaitu Maher Abdulaziz Mutreb ke Istanbul untuk ‘menguruskan’ Kashoggi.

10. Rahsia ini bocor apabila seramai 15 orang ejen dari Arab Saudi – termasuk ahli patologi – dikesan terlibat hasil siasatan pihak berkuasa Turki. Malah, foto pembantu Putera Mohammad Bin Salman, iaitu Maher Abdulaziz Mutreb memasuki Kedutaan Arab Saudi beberapa jam sebelum ‘kehilangan’ Kashoggi juga telah didedahkan.

11. Kedutaan Arab Saudi yang pada mulanya mendakwa bahawa Kashoggi telah pun keluar beredar dari kedutaan di Istanbul selepas urusan beliau selesai akhirnya menukar kenyataan mereka. Terbaru, mereka mengakui bahawa Kashoggi telah ‘terbunuh’ dalam kedutaan.

12. Apa pula reaksi ‘polis dunia’ iaitu Amerika Syarikat yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara para wartawan? Seperti diduga, Presiden Trump mengulangi kenyataan bahawa Arab Saudi ialah sahabat dan sekutu paling penting bagi Amerika Syarikat di Timur Tengah.

13. Pastinya, Arab Saudi dan Amerika Syarikat cukup gerun dengan perancangan Kashoggi yang boleh mengukuhkan pengaruh Ikhwan di Timur Tengah – apatah lagi dengan dukungan Turki dan Qatar di samping pengalaman beliau dalam perisikan Arab Saudi. Dari segi luaran, gerakan Ikhwan Muslimin hari ini semakin berpengaruh dalam politik negara sekutu Saudi iaitu Bahrain, Kuwait, dan Jordan serta turut memerintah di Maghribi, dan berpengaruh di Tunisia. Dari segi dalaman pula suara tentangan terhadap Raja Salman dan Putera Mohammad Bin Salman semakin jelas kedengaran. Begitulah bahayanya seorang lelaki bernama Jamal Kashoggi ini.

Semoga keadilan dapat ditegakkan dalam kes pembunuhan berprofil tinggi ini dan seluruh dunia Islam juga tidak wajar berdiam diri semata-mata kerana menjaga kepentingan dengan Arab Saudi dan Amerika Syarikat.