Ezam tiada wibawa, kredibiliti nasihati PH, kata AMANAH

MOHD ALI HASHIM
Sebenarnya Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Rasuah (Gerak), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor tidak mempunyai kewibawaan dan kredibiliti untuk menasihati Pakatan Harapan (PH) mengenai kedudukan kerusi Perdana Menteri (PM) setelah PH menang dengan majoriti besar dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, kata Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezam semalam, adalah selaras dengan persetujuan sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyarankan agar Pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad kekal hingga tamat penggal.

Malah katanya, Ezam antara lain memberi alasan rakyat memberi mandat kepada Dr Mahathir dalam PRU ke 14, selepas PH mewarwarkan Pengerusi Bersatu itu sebagai calon PM dalam kempen PRU yang lalu.

“Kemunculan Ezam dalam arena politik selepas keluar dari PKR, tidak lagi begitu diambil peduli oleh majoriti rakyat dalam negara ini.

“Kewibawaan beliau tidak lagi dipercayai, bahkan kemunculannya dilihat cuba kembali ke perseda politik tanah air dengan menaruh harapan kepada pihak tertentu.

“Secara ringkasnya, ia dilihat ‘nanar’ politik ( dalam loghat Kelantan), atau tiada halatuju seperti anak ayam kematian ibu dalam politik apabila tidak lagi bersama parti politik, ” jelasnya.

Menurut Dr Zaidi lagi, mengulas kritikan Ezam mengenai peralihan kuasa PM, ianya lebih dilihat sebagai ‘dendam kesumat’ terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak dapat dinafikan ia mempunyai agenda politiknya sendiri bersama dengan pihak tertentu yang tidak mahu Anwar menjadi PM.

“Walau apa pun alasan yang diberikan, sebetulnya ia harus ingat dan sedar kewibawaan sudah tidak lagi ada padanya untuk menasihati PH.

“Apa lagi kredibiliti yang boleh diharapkan, sedangkan PH kini telah pun berjaya menjadi sebuah kerajaan berasaskan kepada konsensus yang dipersetujui, ” tegasnya.

Justeru itu tambahnya, PH harus konsisten untuk menobatkan Anwar sebagai PM dalam tempoh yang telah dinyatakan sebelum ini, sehinggakan apa yang dijanjikan kepada rakyat sebelum kemenangan dalam PRU ke 14, menjadi realiti dan mendapat dokongan majoriti sebagai parti pemerintah kini.

Ujar beliau lagi, rakyat senantiasa memerhati setiap pergerakan pimpinan PH samada segala janji yang dibuat akan dicabuli atau mampu direalisasikan sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum kemenangan dicapai pada Mei yang lalu.

Ezam semalam dalam kenyataannya dipetik berkata, jawatan Perdana Menteri adalah soal negara dan bukan soal individu atau parti dan Negara memerlukan seorang Perdana Menteri yang mampu menyelesaikan masalah bukan sebaliknya.

Bekas senator itu menyokong cadangan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-2,, pada Ahad, lepas agar Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan tempoh sepenggal jawatan sebagai Perdana Menteri adalah wajar.

Katanya lagi, mandat rakyat itu adalah untuk menyelesaikan masalah negara, bukan soal tempoh masa jawatan PM atau penganti PM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan