Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Johor Sheikh Omar Ali akan dilantik menjadi anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Menurut sumber, Sheikh Omar akan dilantik ke jawatan itu untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikannya akan disampaikan oleh menteri agama Mujahid Yusof di Putrajaya esok.
Sheikh Omar, yang juga exco pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan ekonomi kreatif Johor, mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi dan pengesahan Sheikh Omar dan Mujahid berkaitan perkembangan terbaru ini.
Pelantikan Sheikh Omar itu dipercayai yang pertama melibatkan pemimpin DAP ke dalam institusi agama berkaitan kerajaan pusat.
Ditanya sama ada latar belakang DAP akan menjadi masalah bagi Sheikh Omar, sumber berkata tidak.
“Kalau kita ingat, Sheikh Omar dulu pernah dispekulasi sebagai bakal exco agama (Johor), tetapi tidak menjadi kenyataan.
“Lagi pun bidang pengajiannya memang dalam pengajian Islam,” katanya.
Yadim kini dipimpim oleh yang dipertuanya yang baru Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat.
Badan amanah itu didaftarkan bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab secara langsung kepada perdana menteri.
Ditubuhkan pada 1974, ia bertujuan menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar seiring dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan