Islam, Melayu terancam selepas PRU14?

Hilman Fikri Azman

Isu kempen yang kelihatan agak ketara dalam pilhan raya kecil (PRK) Cameron Highlands adalah, adakah kedudukan Islam dan Melayu terancam pada pasca PRU14? Untuk menjawab soalan ini, kita mungkin perlu merujuk semula kepada sejarah.

Kefahaman konvensional dalam teori perubahan sosial meletakkan faktor ekonomi sebagai kunci utama untuk sesebuah perubahan itu berlaku. Insiden dalam sejarah seperti kenaikan harga roti memainkan peranan penting mencetuskan Revolusi Perancis 1789.

Begitu juga dengan tekanan ekonomi dan rampasan bahan jualan yang memaksa Mohammed Bouazizi membakar dirinya di Tunisia, dikatakan mencetus revolusi “Arab Spring” di negara Arab pada 2011. Dalam insiden ini, faktor ekonomi memainkan peranan penting untuk berlakunya sesuatu perubahan yang besar.

Namun, Francis Fukuyama tampil untuk mencabar kefahaman konvensional ini. Menerusi bukunya “Identity”, Fukuyama menjelaskan bagaimana pada akhir-akhir ini identiti menggantikan faktor ekonomi sebagai pemangkin kepada perubahan.

Kerangka pemikiran Fukuyama mengenai politik identiti relevan dalam konteks Malaysia kerana pada akhir-akhir ini politik identiti mengambil pentas utama dalam persada politik tanah air. Identiti yang dimaksudkan di sini adalah identiti Melayu-Islam.

Identiti Melayu-Islam memainkan peranan yang signifikan dalam mencorak peranan pembangkang pasca PRU14. Ia terbukti berkesan sehingga berjaya mengikat 2 parti Melayu yang sebelumnya berseteru untuk bersama dalam memenangkan calon pilihan mereka dalam beberapa siri PRK sebelum ini, dan yang terbaru dalam PRK Cameron Highlands.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pentas ceramah PRK Cameron Highlands mengungkapkan umat Islam di Malaysia mendapat pukulan dahsyat susulan pertukaran kerajaan pada PRU14 yang lalu. Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyifatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai boneka DAP.

Apakah pendekatan ini berjaya menangkap hati rakyat? Hasil pemerhatian umum dan temu bual yang dilakukan memperlihatkan naratif tersebut berkesan menembusi fikiran rakyat. Sebahagian besar rakyat Malaysia, khususnya yang berbangsa Melayu, menyuarakan pandangan dan kegusaran mereka terkait identiti Melayu-Islam.


Tetapi di sinilah politik identiti di Malaysia berbeza daripada politik identiti yang digerakkan oleh kumpulan seperti Black Lives Matter di Amerika Syarikat dan LGBT, kerana ia timbul bukan daripada sejarah penindasan. Sebaliknya, ia timbul daripada retorik yang digerakkan secara aktif bahawa Islam dan Melayu diancam di bawah kerajaan baru.

Namun, bagaimanakah ia diancam? Atau lebih tepat lagi, apakah yang dimaksudkan dengan Islam dan Melayu diancam di bawah kerajaan baru?

Sekiranya isu ancaman terhadap Islam dan Melayu disikapi secara terperinci, kita boleh menilai setiap isu tersebut secara adil dan objektif. Intonasi ancaman dan ketakutan tidak sewajarnya membalut isu semasa.

Apabila ancaman dan ketakutan diadunkan dengan politik, maka yang muncul adalah rasa ketidaksenangan dalam kalangan masyarakat yang terpercaya dengan tanggapan sedemikian.

Sesungguhnya Islam menjelaskan kedudukan emosi takut dalam diri seseorang. Ibn ‘Ata’illah menyebut dalam kitabnya al-Hikam (Kebijaksanaan) bahawa ketakutan dan pengharapan hanya layak untuk ditujukan kepada Allah.

Menurutnya, ketakutan dan pengharapan dipupuk agar sampai ke makam ihsan, di mana dia sentiasa merasakan dirinya dilihat oleh tuhan. Yang demikian itulah yang sayugianya dilakukan oleh ahli politik yang takutkan tuhan. Bukan mengalihkan ketakutan tersebut kepada identiti yang dipertikai ancamannya.

Apabila emosi ketakutan dipakai dalam kerangka politik, ia bererti meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya itu bercanggah dengan konsep keadilan dalam Islam. Oleh itu, pengamalan politik ketakutan bercanggah dengan prinsip keadilan yang seharusnya diterapkan dalam politik Islam.

Menyentuh mengenai ketakutan, Nabi Muhammad bersabda dalam hadith riwayat al-Bukhari: “berilah khabar gembira, dan jangan kau sebarkan ketakutan.” Berdasarkan semangat ini, Nabi “Imarah telah mendeduksi prinsip pemeliharaan keamanan dan pembasmian ketakutan sebagai matlamat tertinggi dalam siyasah Islam.”

Mengapakah emosi takut menjadi elemen yang begitu penting, sebagaimana yang diterapkan dalam ceramah politik untuk kempen PRK Cameron Highlands? Yang demikian kerana ketakutanlah yang menjadikan perjuangan demi identiti itu menjadi relevan.

Dan dalam hal ini jelas terbukti, meskipun perubahan tidak semestinya berlaku kerana faktor ekonomi – bahkan identiti – namun di hujungnya identiti diperjuangkan demi kepentingan utilitarian juga.

Yang demikian adalah lumrah dalam politik, dan parti terbabit perlu pragmatik dengan perubahan landskap semasa. Dalam hal ini, identiti dan ketakutan merupakan alat yang mampu untuk membantu mengekalkan survival PAS dan Umno.

Jika hanya berbekalkan idealisme tanpa pragmatisme, tidak mungkin sesebuah parti boleh mengharungi cabaran dan arus politik yang deras. Yang tidak tangkas dan tidak pragmatik pasti akan tersingkir dalam persilatan politik ini.

Namun bagaimanakah kerajaan sewajarnya merespon terhadap naratif identiti ini? Adakah mereka harus mengikut arus politik identiti dengan memberi reaksi balas terhadap identiti yang dikatakan terancam? Adakah wajar untuk wacana politik berteraskan ekonomi dan idea terus ditenggelami dengan politik identiti dan perkauman?

Ahli sosiologi, Malik Bennabi menegaskan pembinaan sebuah peradaban yang baru mesti didasarkan kepada idea dan budaya hujah. Sekiranya semangat Malaysia baru ingin terus dikekalkan, ia sewajarnya memartabatkan wacana politik berteraskan ekonomi atau idea dengan berterusan sehingga mengatasi dominasi politik identiti dan ketakutan.

Politik berasaskan idea juga merupakan acuan paling sesuai dalam konteks Malaysia kerana sifatnya yang lebih universal, merentasi kaum dan agama. Sekiranya budaya sebegini dapat diperluas dan diterima masyarakat, segala isu yang dikatakan mengancam identiti Melayu dan Islam dapat dibincangkan secara matang dan objektif.

Hilman Fikri Azman ialah penyelidik di EMIR Research dan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Usuluddin dan Perbandingan Agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan