Kelibat anak muda mengundi kurang di PRK Cameron Highlands, menurut pemerhati

BERNAMA
Kelibat anak muda keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dilihat kurang, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim.

Berdasarkan pemerhatian pasukannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kea Farm khususnya, hampir tiada anak muda yang mengundi dan hanya golongan dewasa yang beratur bagi giliran mengundi.

“Kita juga mendapat input bahawa peratusan pengundi kaum Tionghua akan berkurangan memandangkan Tahun Baharu Cina jatuh dalam tempoh 10 hari lagi, mungkin mereka (anak muda Cina) memikirkan mereka perlu pulang ke Cameron Highlands dua kali.

“Ia sedikit sebanyak (akan) mempengaruhi peratusan undi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, semalam.

Menurut beliau, walaupun setakat ini laporan pemerhatian mengatakan proses perjalanan PRK Cameron Highlands adalah lancar, namun beberapa kawasan mula lengang dengan kekurangan pengundi secara amnya. Kita juga menerima laporan salah laku pilihan raya tapi sedang mengesahkan perkara itu.

“Pusat mengundi di sekitar Kea Farm, Brinchang dan Ringlet semakin lengang (setakat 12 tengah hari), mungkin pengundi akan datang selepas waktu makan tengah hari, sebab ada yang bekerja sebelah pagi,” katanya.

MCW merupakan antara badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai pemerhati selain Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), OKU Sentral dan Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) yang turut bertugas di PRK Cameron Highlands.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di SMK Sultan Ahmad Shah pagi semalam turut mendapati lebih ramai pengundi dewasa yang menunggu giliran mengundi dan anak muda dalam lingkungan 18 tahun pula menemani ibu bapa mereka.

Seorang lelaki tua memberitahu rahsia potensinya
PRK itu menyaksikan saingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran mewakili Pakatan Harapan (PH), bekas Pesara Polis Diraja Malaysia, Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional dan dua calon bebas, iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40.

Kesemua pusat pengundian akan ditutup sepenuhnya secara berperingkat pukul 5.30 petang ini.
-BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan