Tujuh Ekor melayu bahalol ini cabar larangan merokok mahkamah

HANIZA HASSAN

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Tujuh individu hari ini memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai tempat dilarang merokok bermula esok.

Permohonan secara sebelah pihak (ex-parte) itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi secara dalam talian melalui Tetuan Haniff Khatri dan menamakan Kementerian Kesihatan sebagai responden tunggal.

Tujuh individu selaku pihak pemohon adalah Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd. Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd. Yazid Mohd. Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39, yang memfailkan permohonan itu atas kapasiti individu dan bagi pihak perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok.

Berdasarkan permohonan itu, kesemua pemohon mendakwa larangan merokok itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana merokok bukan suatu aktiviti jenayah dan atau diharamkan di negara ini dan sehubungan itu, aktiviti tersebut adalah suatu yang sah daripada segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Mereka juga mendakwa, perokok mempunyai hak yang sama rata dengan golongan yang tidak merokok untuk mengunjungi dan menghabiskan masa mereka di premis-premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.

Rakyat Malaysia yang merokok akan secara konstruktifnya diketepikan dan atau didiskriminasikan daripada berkunjung dan atau menikmati kemudahan premis-premis makanan dan menghabiskan masa mereka di sana kerana adanya larangan merokok tersebut.

Kesemua pemohon juga mendakwa larangan merokok itu adalah bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang dan atau salah prosedur kerana responden tidak pernah dilaporkan telah berjumpa dengan perokok atau pihak-pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan tersebut, selain bersifat tidak munasabah dan tidak adil.

Kerajaan juga, dakwa pihak pemohon tidak memperuntukkan kemudahan-kemudahan seperti kawasan merokok yang terasing atau memberi peruntukan dalam larangan merokok untuk pengusaha premis makan untuk melaksanakan budi bicara masing-masing untuk mengadakan kawasan merokok asing.

Sehubungan itu, pihak pemohon memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan pihak responden menguatkuasakan larangan tersebut bermula esok, selain deklarasi bahawa keputusan penguatkuasaan itu adalah suatu tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon suatu perintah larangan bagi menghalang responden sama ada melalui dirinya sendiri atau ejen atau wakil daripada menguatkuasakan larangan tersebut, selain perintah penggantungan oleh mahkamah terhadap responden daripada meneruskan penguatkuasaan perintah itu sehingga meritnya didengar dan diputuskan. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan