“Kasi lima tahun, tengok tidak baik, baru kita buang”

ARIF ATAN
“Singgah minum dulu. Ada air kelapa pandan. Singgah minum,” laung seorang wanita Cina berusia emas di kaki Bukit Broga pagi semalam.

Setiap kali pengunjung turun mendaki dari bukit berketinggian 400 meter dari paras laut tersebut lalu di hadapan gerainya, beliau dengan sebutan cara Melayu itu dilihat begitu mesra menyapa.

Namun, pemerhatian Malaysia Dateline sambil menikmati kesegaran air kelapa muda itu mendapati tidak ramai orang yang singgah.

Rata-rata mereka terutama orang Melayu yang turun dari Bukit Broga itu sekadar memerhati. Ada juga yang melemparkan senyuman bahkan terdengar seorang lelaki mengingatkan rakannya jangan singgah kerana penjualnya adalah Cina.

Ditanya tentang jualan kelapanya yang berharga RM5 sebiji itu, beliau mengakui kemuraman ekonomi semasa menyebabkan ramai yang berkira-kira untuk berbelanja.

“Tidak tentulah (jualan). Cuaca panas pun kalau dulu boleh laku 100 biji (kelapa pandan).

“Sekarang tidak, sebab ekonomi jatuh punya pasal. Orang mahu isi perut pun susah,” katanya lagi sebelum melayan pembeli.

Serentak itu, suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Richard, 63, menyampuk memberitahu perubahan ekonomi yang lebih baik sukar dicapai dalam tempoh singkat.

“Ekonomi jatuh bukan sini (Malaysia) saja. Satu dunia ekonomi turun. Itu (dakwaan kemerosotan ekonomi) hanya tipu helah pembangkang. Bukan betul pun.

“Terlalu awal untuk kata kerajaan PH (Pakatan Harapan) tidak tahu jaga ekonomi. Tunggu lebih empat tahun, baru kita buat keputusan.

“Kasi lima tahun (peluang), tengok tidak baik, baru kita buang(PH) ,” tegasnya sambil memerhati pengunjung yang hanya terus berlalu tidak singgah ke gerainya.

Ditanya tentang apa perlunya pengundi N24 Semenyih menyokong calon PH, beliau berkata, memilih pembangkang sebagai wakil rakyat di kawasan itu tidak menjamin pembangunan.

“Sebenarnya, rakyat tiada pilihan punya. Belum setahun PH jadi kerajaan, tidak adil kata (PH) tidak bagus,” kata pemilih yang bakal membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Semenyih itu.

Kerja kuat

Richard yang juga terlibat dalam industri hartanah sejak 1999 itu mendakwa salah laku dan penyelewengan berkaitan hartanah begitu ketara ketika era pentadbiran BN.

“Zaman BN property (hartanah) banyak masuk BN. Setiap kali pilihan raya, kerajaan (era BN) angkat tanah pergi jual untuk wang pilihan raya. Geran tanah semua keluar.

“Semua dari atas sampai bawah songlap, money laundering (pengubahan wang haram) itu semua ada. Dia (BN) buat macam negara kita ini dia punya. Sudah melampau.

“Pas pun serupa. Kalau saya ahli Pas, kasi buang semua memang imej semua habis. Depan saja alim tapi belakang wang juga,” tempelaknya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih pada 2 Mac ini.

Beliau juga berpendapat kerajaan PH tidak harus terus memanjakan rakyat dengan pemberian wang kerana menganggap cara BN itu hanya terus melemahkan rakyat terutama masyarakat Melayu.

“BN ajar banyak benda tidak baik macam BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Ada yang ambil BRIM tapi datang pakai kereta besar. Ajar rakyat jadi lemah. Ajar Melayu angkat wang, tidak mahu kerja. Tapi kalau tak dapat, marah.

“Kalau hidup mahu senang, kerja kuatlah. Kerajaan terus bagi duit semua jadi lemah. Kita mesti mahu belajar, mahu pandai, cari kerja, baru boleh hidup senang.

“Bukan (kerajaan) terus bagi wang. Tidak guna. Bagi pancing bukan ikan. Bagi kuasa pun, kalau negara bankrap tidak guna juga,” tegasnya lagi.

Richard dan isterinya antara kira-kira 17 peratus kaum Cina daripada keseluruhan 54,471 pengundi di Semenyih.

PRK N24 Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30; calon BN, Zakaria Hanafi, 58; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25 dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56, atau ‘Uncle Kentang’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan