Nasharudin Mat Isa mengadap SPRM

Faisal Asyraf

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dipanggil SPRM berhubung dakwaan transaksi dana RM90 juta yang diterima pemimpin PAS dari Umno.

Menurut sumber dari SPRM, Nasharudin tiba kira-kira jam 8.40 pagi untuk merekod keterangannya mengenai perkara itu.

Dipercayai, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan dan bekas naib pengerusi PAS Husam Musa juga dijadualkan akan tiba di SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, ketika berita ini ditulis, kelibat beliau masih belum kelihatan.

Sementara itu di Kelantan, ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tiba di Kompleks SPRM di Kota Bharu pada jam 10.20 pagi, dengan memandu kereta Mercedes Benz berwarna hitam.

SPRM sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung RM90 juta disyaki dari syarikat 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

Sebelum ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown pada 6 Ogos 2016 berhubung jumlah RM90 juta yang didakwa dibayar Umno kepada pemimpin PAS untuk meraih sokongan.

Pada 2 Februari lalu, Abdul hadi menyelesaikan kes itu di luar mahkamah apabila menarik balik tuntutan terhadap defendan iaitu Claire serta defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan