Umno-PAS perlu henti ‘tunggang’ Melayu demi agenda kuasa sendiri

Fakhrurrazi Rashid

Pendirian Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menolak calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bukan perkara asing.

Pelbagai NGO dan Umno-PAS cuba membawa pendekatan menggunakan isu kepentingan Melayu dalam PRK kali ini memandangkan undi Melayu terdiri daripada 68%. Ia satu petanda politik orang Melayu masih sama sejak 9 Mei 2018.

Kewujudan golongan Melayu veteran yang menunggang keistimewaan hak Melayu semakin meningkat saban hari. Mereka sanggup mengambil kesempatan tentang perpaduan Melayu di bawah payung Umno-PAS tanpa menghiraukan kemudaratan dibawakan pemimpin Melayu kedua-dua parti itu yang telah merosakkan urus tadbir Malaysia.

Adakah mereka fikir orang Melayu tidak kecewa dengan Umno-PAS dan pendirian lemah mereka?

Orang Melayu sebenarnya telah meluahkan kekecewaan itu pada 9 Mei lalu. Cuma, perubahan itu tidak memberi satu pengajaran kepada pemimpin Umno yang perlu kekal relevan berdepan kekalahan pertama dalam pilhan raya umum.

Mereka seharusnya mengambil pendekatan lebih matang dengan idea dan cadangan. Namun, mereka memilih untuk memainkan isu politik, agama dan bangsa.

Pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyaksikan pemimpin Umno-PAS gagal menjadi pembangkang berwibawa. Mereka menganggap memainkan isu perkauman dan saling menuduh itu tanggungjawab pembangkang. Mereka menuduh pihak lain seperti DAP menggugat hak Melayu.

Tetapi, mereka tidak sedar yang bertanding itu majoriti calon Melayu, ada calon bebas bukan Melayu dan DAP tidak meletakkan calon mewakili PH. Namun, mereka tetap menggunakan sentimen lama dalam meraih sokongan.

Malangnya, pemimpin Melayu Umno-PAS masih sukar menilai hukum “berbohong” yang dibuat ahli parti sendiri. Apakah pendirian Perkasa dalam hal ini? Adakah orang Melayu perlu mengundi parti yang mengatakan “berbohong” itu biasa, walaupun dalam PRK Semenyih?

Sebenarnya, orang Melayu telah hilang pemimpin jujur dalam menegur nasib mereka sendiri. Datuk Onn Jaafar berjaya menyatukan Melayu untuk menjatuhkan penjajah, tetapi pada masa sama, sedar akan nasib bangsanya yang ketinggalan, sehingga idea untuk membuka keahlian kepada pelbagai kaum disisih dan dipandang rendah pemimpin Umno.

Hari ini, pemimpin Melayu Umno-PAS mahu menyatukan orang Melayu untuk melawan rakan sebangsa kerana perbezaan parti, dan mereka sanggup mempertahankan pemimpin Melayu “berbohong” serta menyalahgunakan wang rakyat ketika memerintah.

Mereka terpaksa “menunggang” orang Melayu sendiri untuk meneruskan agenda kuasa mereka.

Kalau dahulu, dunia mengenali orang Melayu sebagai pakar pelayaran, hari ini dunia mengenali pemimpin Melayu Umno yang mencuri wang rakyat dan hati orang Melayu yang mudah ditunggang untuk kekal berkuasa.

Orang Umno sendiri tidak dapat mengubah nasib mereka dalam parti. Pemilihan Umno selepas kekalahan PRU14 membuktikan politik Melayu tidak berubah, masih mengekalkan “tuan” lama dan status quo elit Melayu menerajui Umno.

Usaha mengubah Umno kini satu tindakan sia-sia kerana mereka lebih gemar mencari kelemahan orang Melayu untuk menguatkan diri.

Bagaimana Perkasa dan Umno-PAS dapat mengubah nasib Melayu sedangkan mereka tidak berubah?

Orang Melayu sebenarnya berdaya saing dan berkebolehan. Mereka harus lenyapkan mitos palsu yang mengarahkan orang Melayu percaya mereka mangsa penindasan ekonomi di tanah air sendiri. Orang Melayu, terutamanya golongan muda perlu mencari kekuatan dalam aspek ekonomi dan pengetahuan.

Matlamat utama penguasaan ekonomi ini tidak menjadikan orang Melayu jutawan, tetapi bagi memastikan orang Melayu hidup dalam keadaan sihat, sejahtera dan sederhana.

Apa kaitan ekonomi Melayu dan kehidupan sejahtera?

Jika orang Melayu percaya kepada peluang dan kekuatan ekonomi, mereka mampu melihat pelbagai peluang dan ruang dalam meningkatkan kualiti hidup.

Kestabilan kewangan akan memberi orang Melayu kelebihan untuk bersikap bertanggungjawab, positif dan berintegriti. Maka, mereka mempunyai kuasa membuat keputusan dalam memilih urusan politik sebagai semak dan imbang kepada pemimpin Melayu yang sering mendakwa kaum sendiri tertindas dalam ekonomi.

PRK DUN Semenyih tidak seharusnya menjadi medan penyebaran ketakutan buat pengundi Melayu untuk bebas membuat keputusan sendiri. Sebaliknya, pengundi Melayu di Semenyih perlu diberikan peluang memilih calon yang boleh meningkatkan kualiti hidup dan ekonomi mereka di peringkat setempat dan negeri.

Kepada pemimpin Perkasa dan Umno-PAS, lebih baik mencari kekuatan sendiri tanpa menakutkan orang Melayu.

Beri orang Melayu ruang untuk memilih dengan matang dalam PRK Semenyih. Berilah orang Melayu peluang menentukan nasib sendiri dengan bebas tanpa rasa takut yang selama ini ditanam Umno-PAS demi mendapatkan sokongan Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan