“Ya, ana ambil duit amnuuuu”

IZMIL AMRI
Kenapa isu tarik balik saman Sarawak Report itu sangat penting? Sebab dakwaan berat SR terhadap Pas ialah parti Haji Hadi itu telah menerima dana dari Umno.

Persoalan dana dari Umno ini juga sangat penting, kerana ia menjadi punca bagaimana Pas terbelah dua. Maksudnya orang yang menerima duit UMNO telah menjalankan tugasnya untuk memecahkan PAS dan mengeluarkan PAS dari gabungan Pakatan Rakyat.

Kita semua tahu PAS adalah komponen paling kuat dalam Pakatan Rakyat ketika itu. Dan kerana itu UMNO mencari point lembik tengkuk PAS, dan setelah dibelai, ia termakan umpan perpaduan yang membuka jalan mudah menuju kuasa.

Maka UMNO beli jiwa beberapa pimpinan PAS. Mereka timbulkan perbalahan, dan PAS pun berpecah, dengan harapan ia akan dapat menyertai kerajaan bersama UMNO setelah PRU14. Perbahasan halal haram makan duit UMNO ini ambil masa yang cukup lama juga. Kita semua tahu akan hal itu.

Usai PRU14, UMNO melingkup dan duitnya putus. Berjuta ringgit dana yang disimpan di pejabat dan rumah pemimpinnya kerana begitu yakin akan menang besar, telah disita. PAS kiranya putus duit juga, selain putus harapan untuk naik tahkta di Putrajaya.

Jadi gini saja lah. Memandangkan hukum undi BN pun sudah jadi wajib, dan tidak ada segan silu lagi tentang kerjasama politik kedua-duanya, saya minta tanzim PAS berlaku jujur dengan akar umbi.

Mengaku sahaja enta orang dulu sudah ambil duit UMNO untuk kempen menghalau para jebon dan Anwarinas, dan dengan tindakan tersebut menjahanamkan jemaah sehingga hancur berkecai.

Mengaku bahawa ya, enta makan duit UMNO supaya Pakatan Rakyat melingkup. Mengaku supaya akar umbi tahu pengkhianatan enta dan berapa sebenarnya harga untuk membeli sebuah tanzim jemaah Islam.

Apa nak malu? Benda pun sudah berlalu. Saman pun dah tarik balik, laporan Sarawak Report tetap kekal begitu. Segeralah mengaku. Katakan dengan lidah yang fasih, “Ya, ana ambil duit amnuuuu”.

Jangan malu-malu. Enta tahu. Ana pun tahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan