‘Ada penasihat, pakar strategi dari luar bantu perkahwinan Umno-Pas’

ARIF ATAN
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berpendapat ada pihak tertentu di sebalik “perkahwinan” Umno-Pas yang akan memastikan langkah tersebut tercapai.

“Saya tidak tolak kemungkinan mereka (Pas-Umno) ada penasihat dan pakar strategi dari luar untuk bantu Pas dan Umno.

“(Penasihat dan pakar strategi) mencorakkan suasana untuk memungkinkan perkara ini (kerjasama dengan Umno) dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas,” katanya di Slot Bicara YB Khalid Samad Siri 16 semalam.

Beliau berkata, pendekatan untuk memastikan kerjasama itu menjadi kenyataan dilakukan seperti menanamkan kebencian khususnya kepada DAP serta menampakkan Bersatu dan AMANAH sebagai musuh Islam.

“Peringkat awal dia tahu ahli Pas tidak terima lagi (kerjasama dengan Umno). Jadi, mereka wujudkan suasana tanamkan kebencian khususnya kepada DAP.

“Buat program atas dasar isu keIslaman, lama-lama nampak Bersatu, AMANAH sebagai musuh. Itu cara mereka mewujudkan satu suasana untuk memungkinkan perkara itu (kerjasama Umno-Pas) berlaku,” ujarnya.

Khalid memberitahu sejak 2008 lagi, ada pemimpin Pas yang cenderung mahu bekerjasama dengan Umno.

“Akhirnya mereka berjaya susun langkah untuk mewujudkan suasana yang diidamkan selama ini. Mereka menaburkan kebencian kepada Anwar.

“Strategi kedua gaduh dengan DAP timbul isu kafir harbi dan apabila berjaya meyakinkan sebahagian ahli (Pas), Pas dibawa keluar dari Pakatan Rakyat,” katanya.

Akhirnya, Khalid turut mengakui gandingan Pas-Umno pada PRK Dun Semenyih lalu sebagai satu gandingan mantap.

“Hasil daripada itu maka mereka merasmikan hubungan mereka melalui pengumuman pada 8 Mac lepas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan apa yang tersembunyi dan berlaku di belakang tabir sebelum ini sudah menjadi jelas lagi nyata.

“Dulu ketika saya dalam Pas kata ada pemimpin dalam Pas ingin berkerjasama dengan Umno, saya dilabel sebagai jebon dan memfitnah,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan