'Insya-Allah PAS dengan Umno akan bergabung'

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu dan Umno akan bergabung menjelang PRU ke-15 nanti.

Kata Abdul Hadi usaha itu boleh berjaya kerana PAS dan Umno kini berada dalam keadaan bersih selepas beberapa individu bermasalah meninggalan kedua-dua parti berkenaan.

Menurut anggota parlimen Marang itu kewujudan PH yang mengambil individu terbabit membolehkan kedua-dua parti kini berada dalam keadaan baik.

"Dengan itu, usaha penyatuan PAS dan Umno akan berlaku dengan baik, insya-Allah ini natijahnya.

“Saya ucap terima kasih kepada Tun Mahathir kerana tolong ambil orang ini masuk PH, untuk selamatkan PAS dan Umno.

"Insya-Allah PAS dengan Umno akan bergabung hadapi PRU ke-15 dan capai kemenangan," katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Berucap di Kerdau, Temerloh semalam Abdul Hadi juga menyalahkan individu tertentu yang didakwanya menyumbang kepada isu kafir-mengkafir yang berlaku beberapa puluh tahun lalu.

Kerana orang ekstrem

Kata Abdul Hadi kejadian berkenaan - yang menyaksikan berlaku perpecahan serius dalam kalangan masyarakat Melayu terutama di Pantai Timur - terjadi kerana ada individu yang ekstrem dalam PAS dan Umno.

Menurutnya individu yang ekstrem itu kemudian bertembung sesama sendiri dalam keadaan jahil mengenai Islam.

Antara individu yang dipersalahkan Abdul Hadi sehingga membawa kepada amalan takfiri itu ialah Anwar Ibrahim yang dibawa menyertai Umno oleh Dr Mahathir Mohamad.

Baca Hadi nafi pakatan sulit dengan Umno

Kata Abdul Hadi, Anwar dibawa menganggotai Umno ketika sebelumnya bekas pemimpin mahasiswa itu keras mengkritik kerajaan BN dan Umno.

Abdul Hadi menjelaskan apabila berlaku krisis dalam Umno, Anwar meninggalkan parti itu dan bekerjasama dengan PAS sebelum sekali lagi menimbulkan masalah.

Namun kata Abdul Hadi perkembangan itu menyebabkan Umno dan PAS berada dalam keadaan bersih sekarang.

“(Tetapi) Alhamdulillah, saya ucap terima kasih (kepada) perdana menteri (kerana) ambil orang-orang ini masuk Bersatu, masuk dalam parti dia, dan Umno bersih daripada orang ini.

"Jadi Umno dan PAS dalam keadaan yang bersih sekarang," katanya.

Untuk rekod krisis kafir-mengkafir yang berlaku pada era 1980-an dulu banyak dikaitkan dengan ucapan Abdul Hadi di Banggol Peradong, Manir di Kuala Terengganu.

Baca Najib: Penyatuan PAS-Umno hasil usaha senyap saya dan Hadi

Petika ucapan Abdul Hadi itu - yang kemudian dikenali sebagai Amanat Haji Hadi - menjadi pegangan sebahagian anggota PAS.

Antara perpecahan yang berlaku ketika itu ialah pemulauan majlis kenduri, sembahyang dua imam, penolakan sembelihan orang parti tertentu dan pergolakan rumah tangga.

Mahathir adalah antara orang yang banyak menyalahkan Abdul Hadi atas perpecahan berkenaan.

Sebelum ini Abdul Hadi adalah antara pemimpin PAS yang menafikan parti terbabit akan bergabung dengan Umno ketika isu itu dibangkitkan beberapa tahun lalu.

Beliau secara konsisten menegaskan, hubungan PAS dengan Umno hanyalah dalam bentuk kerjasama di antara parti pembangkang menghadapi PH sebagai kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan