Tangani segera politik jalur keras yang berbahaya

AHMAD LUTFI OTHMAN

Analisis dan ulasan terhadap prestasi kerajaan baharu Pakatan Harapan memang menarik minat umum. Rata-rata tidak berpuas hati dengan perkembangan selepas setahun mengambil alih, namun bersedia memberikan lebih banyak masa untuk memperbaiki upaya.

AHMAD LUTFI OTHMAN menemui wartawan veteran dan kolumnis popular ZIN MAHMUD, berbicara panjang sekitar persoalan PRU14, faktor kemenangan PH, langkah pembaharuan yang dibuat, cabaran era kebebasan bersuara, masalah dalaman Pas, sehingga isu-isu seperti populariti menurun Dr Mahathir kepada persoalan jalur keras dalam politik.

Zin adalah bekas wartawan akhbar Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Harakah, Harian Watan dan Mingguan Tempo. Beliau mengasaskan dan menerbitkan majalah Dunia Islam dan Pembaharu.

Pernah juga menjadi editor jurnal Pemikir dan memimpin akhbar Mingguan Malaysia. Beliau juga pernah mengetuai syarikat Utusan Karya yang menerbitkan pelbagai majalah, dan juga syarikat penerbitan buku, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Kolum beliau pernah disiarkan dalam akhbar-akhbar Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Harakah, Harian Watan, Utusan Malaysia, Mingguan Amanah, majalah-majalah Fatimah, Al-Muslimah, Al-Ummah, Dunia Islam, Tamadun, Detik, Al-Islam, Wanita, Dakwah, Dian dan portal berita Malaysia Dateline. Pada masa ini beliau mempunyai kolum di portal berita Free Malaysia Today dan akhbar Wilayahku.

AHMAD LUTFI: Setahun lalu, 9 Mei 2018 hari mengundi dan malamnya keputusan PRU14 diumumkan. Boleh sdr ceritakan aktiviti pada hari Rabu dan malam Khamis itu?

ZIN MAHMUD: Pagi Rabu itu saya mengundi di Sekolah Agama Jabal Nur, Puncak Gombak, Gombak Setia bersama isteri. Pada petang bersama dua anak, saya pergi ke Bandar Seri Putra dan bermalam di situ. Buat pertama kali dalam hidup saya, saya tidak mahu mengikuti keputusan pilihan raya kerana menjangka bahawa BN akan menang semula. Saya tidur awal, pukul 10, dan tutup telefon saya.

Hebat, sdr mampu tidur dengan tenang malam itu tanpa perlu mengetahui terlebih dahulu keputusan PRU14. Bila pula sdr mendapat tahu kerajaan sudah bertukar?

Tidur saya malam itu tidaklah tenang kerana perasaan ingin tahu itu merenggut-renggut perasaan dan tangan asyik hendak menarik telefon. Tetapi lawan saja perasaan itu kerana suspense boleh memberi tekanan perasaan yang teruk akibat kekecewaan. Setelah mengalami kekecewaan sejak tahun 1986, rasanya tidak mampu berdepan perasaan kecewa itu lagi. Saya dapat tahu kemenangan apabila menyedari anak saya tidak pergi kerja kerana cuti umum. Suatu kejutan manis, perasaan paling seronok dalam kehidupan berpolitik.

Ramai mengharapkan BN tumbang dan kalah dalam PRU14 tetapi hanya sebilangan kecil yang merasakan PH akan menang. Sdr pula bagaimana?

Saya juga mengharapkan BN tumbang pada malam itu. Tapi harapan itu adalah biasa bagi saya. Ini kerana saya mengharapkan BN kalah sejak PRU 1974, tahun BN ditubuhkan dan usia saya ketika itu 15 tahun. Saya adalah pembangkang tegar.

Saya juga tidak merasakan Pakatan Harapan boleh menang kerana saya beranggapan bahawa sistem pilihan raya kita berat sebelah bukan saja pada PRU14 tetapi sejak pertama kalinya ia diadakan pada tahun 1955.

Cumanya saya berasakan harapan untuk BN tumbang adalah paling cerah untuk berlaku. Perasaan saya itu hanya timbul pada masa Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media di Parlimen sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. Nada kata-kata Tun penuh emosi menandakan bahawa suatu revolusi sedang berlaku.

Apakah faktor utama kemenangan PH dan penyebab terkuat BN tumbang selepas 61 tahun berluasa?

Faktor utama kemenangan PH adalah Tun Mahathir. Tidak pernah dalam sejarah pihak pembangkang mempunyai calon Perdana Menteri yang paling berwibawa. Dalam sejarah, calon-calon Perdana Menteri pada pihak pembangkang ialah Dato Onn Jaafar, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim. Mereka semua gagal tetapi Tun berjaya.

Sebagai orang lama suratkhabar, bagaimana sdr menilai loporan media ketika berkempen, atau lebih awal daripada itu ketika serangan ke atas Perdana Menteri Najib Razak giat dijalankan pembangkang? Atau lebih lama daripada itu, penilaian tentang tahap kebebasan dan integriti media di Malaysia?

Bagi saya kempen menentang BN bermula sejak ia ditubuhkan lagi iaitu pada tahun 1974. Ia hanya bersifat bibit-bibit idea mengapa polisi BN akan gagal. Masa itu Pas dalam BN. Jadi paling kuat ialah daripada DAP, diikuti dengan Pekemas dan PSRM tetapi tentulah mesejnya tidak sampai pada rakyat kerana media dikuasai oleh BN. Tetapi ia cukup untuk melahirkan aktivis yang akan meneruskan perjuangan. Ucapan wakil DAP dan Pekemas di Parlimen diedarkan secara terhad. PSRM secara terhad juga melahirkan aktivis.

Menjelang PRU 1986, mesej menentang BN adalah lebih besar dengan Pas aktif berceramah. Walaupun Pas kalah teruk tetapi mesejnya diterima oleh sebahagian anak muda yang kemudiannya menjadi aktivis menentang BN. Ia menjadi bertambah pada setiap pilihan raya umm termasuk ketika Ku Li dan Anwar menentang BN. Maka akhirnya, kemuncaknya ialah Tun turut menentang BN dalam suasana adanya media sosial yang meruntuhkan tembok kongkongan media BN.

Kerajaan PH tidak lagi mengongkong media dan bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan serta teguran. Akhbar yang condong kepada pembangkang, seperti Utusan, tidak diganggu. Dalam masa sama PH pula tidak mempunyai akhbar harian dan dilihat seperti tidak berhasrat mengambil alih media-media utama. Media kerajaan seperti RTM dan agensi awam seperti Jabatan Penerangan dilihat agak kurang berkesan untuk menjelaskan dasar dan program kerajaan serta menjawab serangan pembangkang. Apa pandangan sdr terhadap situasi ini, dan bagaimana harus ditingkatkan komunikasi politik yang disifatkan gagal itu?

Walaupun kerajaan PH tidak mengongkong tetapi ia patut bertindak tegas terhadap fitnah dan laporan berniat jahat. Untuk itu Majlis Media perlu disegerakan supaya kerajaan boleh membuat aduan terhadap salah laporan dan laporan berniat jahat. Penggunaan undang-undang juga perlu bagi fitnah.

Sementara teguran dan kritikan perlu dijawab dan pastikan ia disiar secara saksama. Selagi pembangkang ada akhbar, PH juga perlu akhbar sendiri. Tetapi ancaman besar datang dari media sosial, sebarang fitnah kepada kerajaan mesti ditangani setiap satu dengan tegas dan konsisten.

Media kerajaan kurang berkesan kerana cara kerja mereka adalah cara kerja lama ketika BN jadi kerajaan di mana pembangkang terkongkong. Sama ada pengendali media kerajaan benar-benar memahami atau beserta dengan visi kerajaan pun boleh dipersoalkan. Ataupun kerajaan PH tidak mempunyai polisi atau kaedah jelas dan bersistematik dalam komunikasi. Ini kerana parti-parti dalam PH pun tidak benar benar padu dalam menghadapi serangan pembangkang. Antara sesama parti pun tidak cukup komunikasi. Malah ahli parti pun tidak dapat cukup penjelasan apa yang kerajaan buat dan akan buat sedangkan penyokong ini merupakan benteng di akar umbi. Bagi saya caranya ialah tingkatkan kerja dan lebih aktif serta kreatif dalam komunikasi. Tidak ada jalan pintas.

Dan sebagai bekas penyokong kuat Pas yang pernah menjadi pengarang Harakah, bagaimana sdr melihat perkembangan Pas bermula perpecahan dalaman parti sehingga tertubuh Parti Amanah Negara dan sikap Pas yang bermusuh dengan pembangkang lain, sebaliknya mesra BN. Apakah benar pembentukan blok ketiga yang diterajui Pas juga memenangkan PH dalam PRU14?

Antara punca kekalahan BN juga adalah strategi. Strategi untuk memecahbelah undi pembangkang telah backfire. Ini kerana ia melemahkan kutipan undi BN. Pada asasnya daripada awal Umno berstrategi menjadikan Pas sebagai backup jika ia kalah. Dalam PRU 1969, apabila Umno hampir kalah, langkah pertama Tun Razak lakukan ialah berunding dengan Datuk Asri untuk menubuhkan kerajaan campuran. Ketika saya menjadi Pengarang Kumpulan Harakah dalam PRU tahun 1990, saya diberitahu bahawa pada malam pilihan raya apabila BN panik kerana Ku Li boleh menang ekoran sokongan PBS, Dr Mahathir telah bersedia untuk mengirim wakil bagi berjumpa dengan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat bagi berunding. Malah saya diberitahu juga MCA bersedia dengan Pas.

Jadi tidak hairanlah apabila keluar keputusan PRU 2008, ada usaha menubuhkan Kerajaan Pas-Umno di Selangor dan Perak. Selepas ia gagal usaha berbaik dengan Pas diteruskan. Selepas PRU 2008 saya menjadi Pengarang Mingguan Malaysia. Arahan dikeluarkan supaya mencari jalan untuk berbaik dengan Pas. Tetapi yang menjadi penghalang kepada kerjasama Pas-Umno adalah penyokong Anwar dalam PAS yang dilabelkan Anwaristas kerana mereka menguasai Jawatankuasa PAS Pusat. Maka langkah yang dilakukan ialah menyingkirkan golongan Anwaristas dari Pas.

Peralihan kuasa sejurus PRU14 berjalan secara lancar dan licin sedangkan banyak pihak beranggapan regim kukubesi akan pertahankan kuasa dengan apa sahaja, sehingga menumpahkan darah dan menelan banyak korban. Apa penilaian sdr terhadap proses pertukaran kerajaan itu?

Bagi saya peralihan kuasa tidak licin. Najib dan BN tidak rela hati menghormati demokrasi dan menyerahkan kuasa pada pemenang pilihan raya. Selalunya pihak yang bukan demokrat akan hanya mahukan demokrasi selagi ia menguntungkan mereka. Mereka hanya memperalatkan demokrasi dan bukan pendukung demokrasi. Pada malam itu Najib cuba pecahkan PH. Aktivis dan penulis, Hishamuddin Rais ada cerita hal ini. Terdapat usaha berunding dengan pelbagai pihak. Kunci kritikal di sini ialah kepandaian Najib. Tetapi semua ini gagal. Ini kerana institusi negara seperti institusi raja, jentera kerajaan dan tentera dengan cepat mengiktiraf hasil proses pilihan raya. Di sinilah terletaknya kewibawaan Tun Mahathir. Kepimpinan waktu krisis amat penting.

Banyak pihak meletakkan faktor Mahathir membantu melicinkan bukan saja proses peralihan kuasa tetapi menjamin kelancaran pembentukan kerajaan baharu dan agenda pemulihan negara dengan baik.

Faktor Tun Mahathir adalah besar. Hormat dan yakin pada Tun mendorong jentera kerajaan dan institusi negara menerima beliau. Langkah beliau dalam membentuk kerajaan pada awal penubuhannya adalah bijak dan menunjukkan kepentingan pengalaman, sesuatu yang mungkin tidak dapat dilakukan oleh pemimpin PKR, DAP, AMANAH dan pemimpin Bersatu yang lain.

Beliau tidak terus masuk ke pejabat PM. Beliau lantik menteri yang penting dahulu. Kebijaksanaan dalam rundingan dalam Majlis Presiden PH juga penting. Silap langkah boleh terburai. Beliau tenang dan yakin. Bila panggil KSN dan KSU, semua datang. Sebarang sabotaj tidak berlaku walaupun dirasakan majoriti kakitangan kerajaan di Putrajaya menyokong BN.

Di antara banyak perubahan positif berlaku selepas 9 Mei 2018, yang paling menonjol adalah agenda menbanteras korupsi dan kebebasan bersuara. Mungkin sdr ada tanggapan berbeda.

Saya setuju bahawa penghapusan korupsi adalah utama dan paling menonjol. Tetapi ia berlaku dalam kerangka terhadap keyakinan bahawa keadaan buruk boleh berubah, dan perubahan itu adalah di tangan rakyat. Inilah apa yang dipanggil sebagai Malaysia Baharu. Perasaan bahawa negara ini milik semua rakyat Malaysia dan bukannya ditentukan oleh Umno untuk kepentingan peribadi ahli politik mereka. Inilah perkara yang paling menonjol.

Selepas setahun menjadi perdana menteri buat kali kedua, sokongan terhadap Mahathir dikatakan menurun dan populariti kerajaan PH jatuh merosot. Banyak janji manifesto terutama berkaitan penurunan harga barang dan kos sara hidup belum dapat ditunaikan. Orang Melayu digambarkan resah dengan prestasi kerajaan PH. Anak muda juga tidak berpuas hati.

Sememangnya sokongan pada Tun dan PH menurun. Ada lima sebab. Pertama, harapan terlalu tinggi rakyat yang tidak realistik. Kedua, prestasi kerajaan yang rendah. Ketiga, gelagat sebahagian ahli politik PH yang buruk. Keempat, jentera kerajaan acuan BN yang sememangnya tidak serasi dengan PH. Kelima, kempen Umno-Pas yang ambil garis perkauman.

Apa yang perlu dilakukan kerajaan untuk terus mendapat sokongan rakyat? Bagaimana pula penilaian sdr terhadap usaha pembaharuan kerajaan selama setahun ini?

Kerajaan perlu bertindak tegas, berani dan cepat bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit. Serta komunikasi dengan rakyat wajib kemas, baik daripada saluran kerajaan, parti mahupun rakyat. Strategi komunikasi perlu dirombak segera dan berkesan. Komunikasi kerajaan setahun lalu telah gagal.

Pembaharuan yang dicapai oleh kerajaan sepanjang tahun ini memuaskan hati saya. Pembaharuan sememangnya kena buat berhati-hati. Ia seperti menarik rambut dari tepung. Tun sudah buat terbaik tetapi kabinetnya yang kurang memuaskan. Tetapi tentunya banyak isu yang belum sempurna ditangani.

Johor dilihat banyak menyumbangkan kemenangan terhadap PH dalam PRU14. Selama ini ia dianggap tiang seri Umno tetapi runtuh pada 9 Mei 2018. Namun nampaknya seperti ada masalah besar di negeri kelahiran Umno itu sehingga menteri besar terpaksa ditukar dan berlaku krisis di antara Putrajaya dan Istana Johor. Sebagai anak Johor mungkin sdr ingin komen hal ini.

Benar, Johor adalah tiang seri Umno. Tetapi ia juga tiang seri PH khususnya DAP. Sememangnya ada masalah di Johor. Tetapi saya tidak mahu komen apa-apa mengenainya.

Boleh sdr bayangkan situasi politik negara tiga hingga empat tahun akan datang, khususnya menjelang PRU15. Dinamika politik kita kadang-kadang sukar untuk ditelah.

Dalam empat hingga lima tahun, keadaan politik akan bertambah bergolak. Pakatan Umno-Pas akan meningkatkan kempennya untuk merebutkan Putrajaya. Bagi mereka jika PRU15 gagal dimenangi, maka lagi sukar untuk mereka menang. Bagi PH, mereka juga akan meningkatkan kempen. Bagi mereka, kalau mereka dapat mengekalkan Putrajaya, bertambah mantaplah kedudukan mereka. Kerajaan PH akan bertambah baik, ekonomi bertambah elok. Tetapi persaingan dalaman PH menjadi tajam.

Kalau sekarang, ia kelihatan persaingan antara PKR dan Bersatu, tetapi akan datang ia merupakan persaingan empat penjuru, dan setiap parti termasuk AMANAH juga akan berlaku persaingan dua fraksi. Anwar akan menggantikan Tun tetapi laluannya tidak lancar. Di pihak Umno dan Pas juga berlaku persaingan, dengan setiap parti juga ada dua fraksi. Sementara itu akan muncul blok ketiga yang hanya bibit-bibit tetapi tiada impak. Ada kalangan PH akan menyertai blok ketiga.

Komen sdr terhadap gejala ekstremisme atau pendekatan jalur keras terutama berkaitan elemen bangsa dan agama bagi meraih sokongan politik. Bukankah ia sudah menjadi fenomena global termasuk dalam kempen politik di negara jiran kita juga?

Politik jalur keras atau ektremisme itu adalah berbahaya. ia kena ditangani masa ia jadi bibit lagi. Tidak boleh toleransi pada jalur keras. Ini kerana jalur keras ini menggugat keamanan. Ia mengundang keganasan walaupun ia bermula dengan hanya kata-kata dalam media sosial. Tapi perlu takrifan jelas mengenai jalur keras ini.

Bagi menteri agama, pemberantasan jalur keras ini adalah keutamaan. Lebih utama daripada penerapan gagasan Rahmatan Lil Alamin. Jalur keras ini berbahaya bukan saja bagi kerajaan tetapi bagi pihak pembangkang. Jika mereka mahu menggunakan jalur keras, maka ia akan menyusahkan diri mereka juga.
Ia merupakan fenomena global yang tidak boleh dibiarkan.

Golongan jalur keras tidak akan hilang, ia akan sentiasa ada tetapi ia perlu dikawal. Malangnya banyak kerajaan di dunia termasuk Amerika Syarikat memperalatkan jalur keras untuk kepentingan sendiri, akhirnya ia akan makan diri. Fenomena jalur keras perlu penelitian tersendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan