Al-Abror Mohd Yusuf
"Kita mesti telanjang," kata Ebiet G Ade, "dan benar-benar bersih suci zahir dan di dalam batin."
Ada apa dengan telanjang?
Jawabnya: ada macam-macam. Sebermulanya manusia, memang sudah bertelanjang. Sejak terhasilnya janin sehinggalah ketika ia keluar ke dunia dari alam rahim. Semua kita adalan orang yang bertelanjang.
Setakat ini belum pernah lagi rasanya ada bayi lahir siap berlampin, apa lagi lengkap dengan seluar, baju atau berdasi.
Barangkali atas sebab itulah agaknya dari semasa ke semasa kita melihat orang terus bertelanjang. Dan pada masa tertentu, cuba menelanjangi orang lain. Untuk menggapai kuasa, misalnya.
Sedang kuasa itu sangat menggiur dan memberahikan.
Kiranya beberapa bulan lagi untuk sampai ke tahun 2020, kita menyangka aktiviti telanjang dan menelanjangi itu akan berkurangan atau terkawal. Tetapi mungkin kerana intimnya kita dengan telanjang, maka kisah telanjang itu jugalah yang sedang disaksikan saban hari.
Orang bestari berkata politik ialah seni menyulam strategi bagi meraih kuasa. Tanpa disedari politik juga sebenarnya ialah tentang bertelanjang dan menelanjangi. Pedulilah siapa pun wataknya.
Waima seorang yang bergelar ulama pun.
Justeru di sana sini kita melihat semasa ulama terbabit mensyarahkan kisah-kisah para nabi, rasul, dan sahabat serta menjustifikasikan ia dengan langkah politik yang diambil, maka seiring dengan itu, di depan ratusan atau mungkin ribuan mata, mereka pun bertelanjang.
Perlahan-lahan, mereka melabuhkan jubah masing-masing, kemudian membuka lilitan serban atau menurunkan kopiah atau songkok. Tidak akan pernah puas atau cukup dengan itu mereka menanggalkan apa saja kain yang terlekat pada badan.
Sehingga akhirnya mereka bertelanjang penuh, barulah datang kepuasan yang dicari.
Kita yang tak tahu apa-apa
Bukan golongan agamawan saja yang begitu. Politikus 'sekular' juga akan bertelanjang untuk kuasa. Pedulilah sama ada mereka bertelanjang secara harfiah atau sebaliknya. Dan telanjang itu bertujuan dua: untuk keuntungan sendiri atau merugikan orang lain.
Ia boleh saja untuk menunjukkan betapa sucinya mereka dan kerana itu kita - masyarakat, atau orang awam yang dilayan sebagai manusia yang tidak tahu apa-apa - wajib menyokong mereka.
Jika ia kurang berkesan politikus itu akan menelanjangkan musuh pula. Dan kita - sekali lagi yang terus dilayan sebagai makhluk bukan seperti mereka kerana tidak tahu apa-apa - mesti bersetuju bahawa tidak ada yang lebih baik daripada mereka itulah.
Dan jika bersetuju dengan akal, kita pun akan bertepuk tangan beramai-ramai bagi meraikan telanjang tersebut. Ia adalah sejenis kegilaan yang diinstitusikan.
Maka benar jugalah nukilan Serat Kanatidha oleh Ronggowarsito dulu.
"...ikut jadi gila tidak akan tertahan
tapai kalau tidak diikutkan
tidak akan mendapat habuan."
Ini zaman edan. Zaman telanjang dan menelanjangkan. Tapi itu jugalah dilemanya. Melihat orang lain bertelanjang dan terlepas bahagian masing-masing, atau kita harus ikut sama bertelanjang.
Lazimnya kita akan memilih untuk sama-sama bertelanjang.
Politik paksi telanjang
Menyanggahi kata-kata sendiri - yang pernah diikrarkan suatu ketika dulu - tanpa sedikit pun rasa bersalah atau malu, misalnya. Sedangkan nabi bersabda, malu itu sebahagian daripada cabang-cabang iman.
Apabila seseorang sudah ditelanjangkan, sifir seterusnya adalah mudah: teruskan berdiri tanpa seurat benang atau membalas dengan mencari cara terbaik - dan paling kejam - untuk menelanjangi orang yang melakukan hal itu kepada kita.
Maka politik dan sosial kita akan terus mengalir di atas paksi itulah. Paksi telanjang. Semakin bertelanjang semakin baiklah nasib yang ada di depan.
Kecuali kita - orang biasa yang dilayan oleh politikus sebagai tidak tahu apa-apa ini - bangkit dan menyergah dengan tegas: sudahlah!
Kita tidak perlukan lagi politik yang dilatari aksi-aksi telanjang dan pelondehan hal-hal dalam kain dan bawah selimut. Kita mahu melihat kematangan dalam pelaksanaan dasar dan kata-kata. Kejujuran - kalau masih ada - wajib dibuktikan dengan perbuatan.
Memang dari semasa ke semasa - di depan tuhan - kita perlu bertelanjang dan membersihkan diri zahir dan batin. Seperti lagu Untuk Kita Renungkan oleh Ebiet tadi. Tapi dia juga menasihatkan:
"Tengoklah ke dalam sebelum bicara
singkirkan debu yang masih melekat
singkirkan debu yang masih melekat."
Terlalu banyak hal yang perlu kita fikir dan bimbangkan selain hal-hal dalam kain dan bawah selimut, kan?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan